Monday, April 24, 2017

ISRA’ MIKRAJ DAN MARHALAH PEMBENTUKAN IMAN


OLEH : MUHAMMAD SYAFFARIN BIN ZAINAL
KETUA PAKAR,UNIT PENGETAHUAN DAN BIMBINGAN BKPJM 2016/2017

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya(Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al Haram(Makkah) ke MasjidAl- Aqsa(Palestin), yang telah Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda(Kekuasaan dan Kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
(SURAH AL-ISRA’ : 1)

                Menjadi kelaziman kepada umat islam seluruh dunia, apabila tiba bulan Rejab mereka menyambut peristiwa Isra' dan Mikraj. Ia diadakan bagi memperingati kembali sirah Nabi S.A.W yang kian hilang dalam ingatan dan buku planner tahunan umat islam. Walaupun para Sahabat berkhilaf pandangan berkenaan tarikh secara tepat berlakunya peristiwa tersebut. Tetapi berlakunya peristiwa ini tidak dapat dinafikan lagi, kerana disana terdapat nas-nas yang thabit daripada al-quran dan hadis-hadis sahih  mutawatir yang diriwayatkan oleh ramai Sahabat.
                Faktor berlakunya perbezaan pandangan dalam kalangan para Sahabat berkenaan ketepatan tarikh Isra' dan Mikraj adalah kerana, ketika peristiwa tersebut berlaku kehidupan umat islam dalam keadaan yang penuh cabaran, tekanan dan penindasan yang dilakukan oleh kaum musyrikin Mekah. Dan ini menyebabkan para Sahabat tidak berkesempatan untuk mencatat tarikh peristiwa tersebut berlaku secara tepat.
                Peristiwa ini bukan sahaja menjadi cabaran besar buat Rasulullah, bahkan ia juga menjadi cabaran besar buat umat islam. Kerana terdapat dalam kalangan umat islam sendiri, tidak percaya dengan ketulenan peristiwa tersebut. Ini dikuatkan lagi dengan Firman Allah :
وَمَا جَعَلْنَا الرُّؤْيَا الَّتِي أَرَيْنَاكَ إِلا فِتْنَةً لِلنَّاسِ
Dan tiadalah Kami jadikan pandangan(pada malam Mikraj) yeng telah Kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia
                Ada yang murtad dalam kalangan manusia apabila dinyatakan kepada mereka tentang peristiwa Isra  dan Mikraj ini. Ini menjadi cabaran besar buat Rasulullah untuk meyakinkan kaum arab berkenaan ketulenan Isra dan Mikraj, dan ia juga merupakan penghormatan yang terlalu tinggi jika dibandingkan dengan Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul terdahulu. Ia mempaparkan kepada kita tingginya kemuliaan Rasulullah sehingga Baginda dijemput berjumpa terus kepada Allah.
                Allah menjadikan peristiwa ini banyak pengajaran kepada umat islam dan seluruh manusia. Peristiwa ini berlaku adalah kerana Allah ingin mengundang Baginda untuk menjadi tetamu-Nya. Menjemput Baginda untuk melihat kerajaan yang besar yang tiada tanding dan bandingnya dengan kerajaan yang ada di bumi.Adapun kerajaan manusia apabila melayan dan menyambut tetamu, mereka akan melayan tetamu tersebut di dalam bilik khas, dan diperlihatkan segala apa yang mereka lakukan, samada perancangan, projek atau  program bagi memperlihatkan kepada tetamu tersebut bahawa kerajaan yang berada dibawah pimpinan mereka utuh dan kukuh kekuasaanya. 
                Adapun pada malam Isra' dan Mikraj, Baginda telah dibawa ke alam yang luas, yang luar daripada ukuran akal dan kemampuan ilmu manusia. Baginda dibawa ke alam langit dan bumi, alam dunia dan alam barzakh, alam nyata dan alam akhirat. Ditayangkan kepada Baginda tentang perihal manusia bermula dari zaman nabi Adam sehingga manusia yang terakhir. Dari sebaik-baik makhluk sehingga sejahat-jahat makhluk. Perjalanan yang jauh ini, tidak mampu diukur dengan ilmu manusia sehingga ke hari ini.Allah telah memperjalankan Baginda SAW bermula dari Mekah ke Baitul Maqdis pada zaman tiada alatan canggih dan teknologi moden. Kemudian Baginda naik ke langit seraya ke Sidratul Muntaha mengatasi lapisan langit yang ketujuh. Sedangkan sehingga ke hari ini, para ahli sains angkasa lepas masih belum mampu untuk mengesan kesemua cakerawala dan bintang-bintang yang berada di lapisan langit yang pertama. SubhanAllah!
Firman Allah :
وَلَقَدْ زَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا بِمَصَابِيحَ وَجَعَلْنَاهَا رُجُومًا لِلشَّيَاطِينِ وَأَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابَ السَّعِيرِ
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap syaitan-syaitan, dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.
                Ahli Astronomi menyatakan masih terdapat bintang-bintang yang tidak mampu mereka kesan kerana jaraknya memakan masa trilion tahun perjalanan cahaya.Tempoh jarak perjalanan cahaya sesaat ini adalah bersamaan 300,000 kilometer atau 186,000 batu. Akan tetapi peristiwa Isra' dan Mikraj, ianya disempurnakan dengan mengambil masa 1 malam sahaja yang mempunyai jarak jauh yang tidak terkira. Sedangkan ketika itu roket dan pesawat angkasa lepas masih belum dicipta.
                Peristiwa ini ingin menyatakan kepada kita, bahawa adanya alam yang jauh lebih besar berbanding bumi ini. Ia juga menerangkan kepada kita bahawa bumi yang kita diami ini, jauh lebih kecil seperti butiran debu di tengah padang pasir.
                Rasulullah dijemput menjadi tetamu, ketika Baginda dalam fasa-fasa tekanan setelah dilantik menjadi rasul. Baginda bukan sahaja menjadi rasul khusus untuk kaum arab, tetapi baginda dilantik untuk menjadi rasul untuk semua manusia. Yang mana ini sangat berbeza dengan rasul-rasul terdahulu. Mereka diutuskan hanya untuk umat tertentu,negeri tertentu dan zaman yang tertentu seperti Nabi Hud diutuskan hanya untuk kaum Ad, Nabi Soleh kaumnya Tsamud, Nabi Yahya kaumnya Bani Israel dan lain-lain.Firman Allah :
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ
Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau(wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.
                Rasullah diutuskan untuk seluruh alam, Baginda telah dilantik dibumi yang kering kontang, yang tiada hasil bumi, tiada sumber asas ekonomi,tiada infrastruktur pembangunan dan tiada kekuatan pembela dan pengundi. Jika didalam istilah politik ia dikira sebagai "Hilang wang deposit" kerana gagal memperoleh undi atau sokongan 12.5% daripada jumlah keseluruhan penduduk mekah. Bagaimana Baginda dilantik ditempat yang sedemikian rupa?.Ditengah-tengah bangsa yang buta huruf, yang tiada asas tamadun. Bagaimana Baginda ingin memimpin seluruh dunia? Sedangkan ketika itu, Rom dan Parsi telah ada tamadun yang tersendiri. Ahli kitab dan ahli falsafah Greek dan Yunani yang jauh terkehadapan dari sudut ilmu. Bagaimana Baginda ingin memimpin mereka padahal di awal proses marhalah dakwah, Baginda telah mendapat tentangan hebat oleh masyarakat arab sendiri?.
Arab jahiliyah yang terkenal dengan sifat ganas dan keras. Baginda diutuskan didalam kelompok mereka. Bagaimana Baginda ingin sampaikan risalah dan mesej islam ke seluruh dunia, kalau ini merupakan permulaan episod dakwah Baginda ?.Namun demikian, Rasulullah menunjukkan sikap seorang rasul yang berjiwa besar. Kehebatan akhlak peribadi ditunjukkan di awal peringkat perjuangan Baginda. Seperti yang dinyatakan dalam sepotong hadis Baginda bersabda :
إِنَّمَا بُعِثْتُ لاُتَمِّمَ مَكَارِمَ الاَخْلَاقِ
“Sesungguhnya aku diutus, adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.
                Dan secara kesimpulannya, ingin dijelaskan kepada kita bahawa Isra dan Mikraj bukan sahaja menjadi satu peristiwa besar yang hanya perlu diingati di bulan Rejab sahaja. Tetapi apakah mesej utama yang kita peroleh daripada peristiwa tersebut ?. Rasulullah memulakan proses dakwah baginda dengan tekanan dan penindasan. Seterusnya Allah menjemput Baginda menjadi tetamu-Nya, bagi membentuk semula semangat dakwah dalam diri Rasulullah setelah diasak dengan masyaqah  di segenap penjuru. Dan ia juga ingin menerangkan kepada kita bahawa terdapat kerajaan yang jauh lebih hebat daripada kerajaan manusia. Peristiwa ini juga sebenarnya menguji iman kita, dan menimbulkan persoalan dalam hati munafiq tentang ketulenan Isra' dan Mkiraj.Wallahu A’lam.
“ KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN “

“ MEMBENTUK GENERASI MITHALI “

Thursday, April 20, 2017

101 MAHASISWA/WI BARU TAJAAN MAINJ SELAMAT TIBA DI MESIR



OLEH : MUHAMMAD ZAHID MOHAMAD NOR
SETIAUSAHA URUS SETIA MAHASISWA BARU (USMB) 2017

KAHERAH, 20 April 2017 - Urus Setia Sambutan Mahasiswa/wi Baru (USMB) Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir pada tahun ini telah menyambut ketibaan mahasiswa baru pada 15 dan 16 April yang lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah. Jumlah besar mahasiswa/wi yang tiba pada tahun ini ialah seramai 101 orang berbeza dengan bilangan tahun-tahun sebelum ini. Mereka telah diterbangkan dengan dua sesi penerbangan berasingan iaitu pada 15 April seramai 30 orang manakala pada 16 April seramai 71 orang. Semua mahasiswa/wi yang bakal menyambung pengajian dalam Fakulti Pengajian Islam di Universiti Al-Azhar ini adalah dibawah seliaan pengurusan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Kedatangan mahasiswa/wi ini telah diiringi sendiri oleh pegawai-pegawai MAINJ yang diketuai oleh YB Dato' Haji Hashim bin Yahya selaku Ahli Majlis Agama Islam Negeri Johor. Ketibaan mereka serta rombongan delegasi MAINJ telah disambut mesra oleh Ustaz Adam bin Ibrahim selaku Pegawai Atase Pendidikan Negeri Johor di Mesir. YDP dan Ketua Hewi BKPJM serta beberapa pimpinan dan ahli jawatankuasa pelaksana USMB BKPJM turut sama menyambut ketibaan mereka sekitar jam 5.00 petang waktu tempatan. Seterusnya mereka telah dibawa ke Asrama Pelajar Johor Rabaah dan disana para aktivis BKPJM dan anak-anak Johor di Mesir telah turut bersama turun padang membantu mengangkat bagasi dan beg para mahasiswa/wi baru ke bilik penempatan masing- masing.

Para mahasiswa/wi ini juga dimaklumkan akan menduduki Imtihan Qobul pada akhir April ini bagi menentukan peringkat mustawa markaz bahasa sebelum memasuki pengajian tahun 1 fakulti pengajian Islam, Universiti Al-Azhar. Semoga mereka beroleh kejayaan yang cemerlang dan akan bersungguh- sungguh dalam menuntut ilmu di bumi Mesir yang barakah ini. - al-Jauhar.

“ KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN “

“ MEMBENTUK GENERASI MITHALI “

Tuesday, April 18, 2017

SISWI GATHERING 2.0 : MERIBAT UKHUWAH KEKELUARGAAN



OLEH : NORDIYANA BINTI MOHD AKHIR
SETIAUSAHA JABATAN FASILITATOR,UNIT DAKWAH DAN TARBIAH BKPJM 16/17

KAHERAH, 9 April 2017 - Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir di bawah Jabatan Fasilitator, Unit Dakwah dan Tarbiah HEWI BKPJM dengan kerjasama Lajnah Kebudayaan, Keseniaan dan Sukan HEWI BKPJM 2016/2017 telah mengadakan program usrah gabungan bagi semua peringkat mahasiswi Johor di bumi Mesir yang bertempat di Asrama Pelajar Johor Rabaah (APJ4).

Antara aktiviti menarik yang telah diadakan ialah : J-Robik, Siapa Dia, Bowling Air, Grow Your Mind dan tazkirah maghrib bertajuk 'Pemuda Ashabul Kahfi' yang telah disampaikan oleh wakil naqibat iaitu Ustazah Siti Fatimah Binti Saidan serta persembahan nasyid oleh Soutul Jauharah.

Objektif program ini diadakan adalah untuk menjayakan usrah gabungan setiap peringkat dan membina tautan ukhwah sesama anak Johor serta menambahkan thaqafah sesama ahli. Semoga program ini dapat memberikan kefahaman Islamiah sekaligus mengukuhkan ikatan ukhuwah Islamiah dalam kalangan mahasiswi Johor.

“ KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN “

“ MEMBENTUK GENERASI MITHALI “

Saturday, April 15, 2017

SUMBANGAN TABUNG ANAK MELAKA : SIMBOL KEBERSAMAAN BKAN


SABTU, 15 April 2017 - Penyerahan hasil kutipan sumbangan Tabung Anak Melaka di dalam program Kongres Badan Kebajikan Anak Negeri pada baru-baru ini telah diserahkan kepada pihak Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM).
Sumbangan tersebut telah diserahkan oleh wakil Yang DiPertua Badan Kebajikan Anak Negeri, Ustaz Muhammad Syazwan Faiz bin Shahrom, Yang DiPertua Majlis Kebajikan Keluarga Kedah (MKKK) kepada Ustaz Muhammad Anuar bin Abdullah, Yang DiPertua Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM). Penyerahan telah diadakan pada 8 April 2017 yang lalu bertempat di Rumah Melaka Sementara, Hayyu Sabie dengan hasil kutipan sebanyak LE 14,700.
Sehubungan dengan itu, seluruh Badan Kebajikan Anak Negeri mendoakan agar segala urusan dipermudahkan. Moga-moga dengan sumbangan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM).

" MUAFAKAT ASAS KEJAYAAN "
" KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN "
" MEMBENTUK GENERASI MITHALI "

MESIR:BERLIAN DI SEBALIK DEBUAN


OLEH : AHMAD HELMI BIN SUBHAN
TIMBALAN YANG DIPERTUA(LAJNAH PERHUBUNGAN LUAR)BKPJM 2016/2017

Kota seribu menara, satu gambaran yang hanya dimiliki oleh Bumi Mesir.Sebuah negara yang didiami masyarakat arab. Ardul kinanah ini dikenali sebagai tempat tumpuan dunia daripada pelbagai sektor. Di samping tumpuan perlancongan, bumi ini juga telah menjadi tumpuan bagi seluruh dunia dari sektor keilmuan iaitu al-Azhar, sebuah institusi gergasi ilmu islam.
                     
Al-Azhar yang telah dimulai dengan sebuah masjid yang diimarahkan dengan majlis-majlis ilmu sekitar tahun 970 - 972 masihi dan kini telah berkembang kepada sebuah universiti. Pusat tumpuan ilmu ini telah melahirkan ramai tokoh ilmuwan yang telah bertebaran seluruh dunia bagi mencurahkan khidmat ilmunya demi masyarakat yang memerlukan.

Medan ilmu di bumi Mesir tidak hanya tertumpu di masjid dan universiti sahaja, malah ia turut berkembang ke seluruh negara. Mesir ini juga dikenali oleh masyarakat melayu dengan ringkasan “ 3J ”:Jami’ (Masjid), Jami’ah (Universiti) dan Jam’iyah (Persatuan).3J ini merupakan perkembangan yang berlaku hasil dari sektor keilmuan al-Azhar.

Pertama, Jami’ yang dikenali sebagai pusat-pusat talaqi dan pengajian di luar kuliah. Pengajian-pengajian talaqi ini seringkali dibudayakan oleh masyarakat-masyarakat Malaysia di Mesir. Pengajian yang wujud daripada ulama’ Mesir yang giat mengajar di masjid-masjid, rumah, perpustakaan dan sebagainya. Ilmu yang diberikan merupakan ilmu-ilmu yang menjadi rujukan disekeliling kita, dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara.

Kedua, Jami’ah pula merupakan institusi pengajian yang wajib bagi setiap penuntut di Mesir. Tidak hanya pengajian islam malah pengajian sains kesihatan juga turut ditawarkan di pusat ilmu dunia ini. Pengajian di Jami’ah ini lebih menumpukan tentang perkara-perkara yang berkait rapat dengan ilmu-ilmu asas bagi seorang mahasiswa. Bermulalah daripada pengajian turathi sehingga pengajian kontemporari dapat diperoleh daripada tokoh-tokoh ilmuwan al-Azhar.

Ketiga, Jam’iyah juga tidak boleh ditinggalkan oleh masyarakat Malaysia di Mesir. Hal ini kerana Jam’iyah merupakan satu medan bagi seorang penuntut ilmu untuk mempraktikkan segala ilmu yang diperoleh dari Jami’ dan Jami’ah. Jam’iyah ini menyediakan ruang bagi seluruh mahasiswa yang berkebolehan untuk berkongsi apa-apa jua perkara dari bidang keagamaan dan juga profesional. Ilmu-ilmu kemahiran yang kita tidak peroleh dari Jami’ dan Jami’ah akan dapat kita peroleh dari Jam’iyah.

Untuk akhirnya, “ 3J ” ini tidak boleh digerakkan dengan hanya salah satu sahaja akan tetapi ia perlu digerakkan seiring. Ini kerana asas bagi sebuah ilmu itu adalah untuk diamalkan. Sufyan bin ‘Uyainah mengatakan : “Orang berilmu yang rosak (kerana tidak beramal dengan ilmunya) akan menyerupai orang Yahudi.” (Majmu’ al-Fatawa, 16/567).

Mesir, sebuah bumi yang penuh dengan debuan pasir akan tetapi di sebalik debuan pasir tersebut terselitnya berlian-berlian yang sangat bernilai untuk kita ambil dan itulah Jami’, Jami’ah dan Jam’iyah. Demikianlah “ 3J ” ini merupakan perkara yang perlu dititikberatkan oleh seluruh mahasiswa. Wallahu‘alam.

" KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN "
" MEMBENTUK GENERASI MITHALI "

Sunday, April 9, 2017

ROMBONGAN PERTUBUHAN AL-KHAIRIAH MERSING MEMERIAHKAN IQ ‘17


Oleh : Wartawan BKPJM

RABAAH, 21 MAC 2017 – Pihak BKPJM begitu bertuah apabila program IQ ’17 yang dianjurkan pada tahun ini turut menerima kehadiran rombongan Pertubuhan al-Khairiah, Mersing. Rombongan seramai 6 orang ini yang hadir ke Mesir dengan tujuan mencari penempatan bagi pelajar lepasan Maahad Tahfiz Al-Khairiah Mersing (MTAM) ini berpeluang untuk melihat sendiri secara dekat akan aktiviti-aktiviti pelajar di Mesir.

Dalam majlis penutup IQ ’17 ini juga, wakil daripada pihak MTAM iaitu Ustaz Ariff Bin Abdul Kadir telah diberi peluang untuk memberi nasihat kepada mahasiswa/wi Johor di Mesir. Pihak MTAM sendiri dilihat begitu teruja dan sangat menyokong akan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh BKPJM di Mesir. – al-Jauhar.

" KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN "
" MEMBENTUK GENERASI MITHALI "

LEBIH 100 HADIR KE MAJLIS PEMBACAAN HADIS IQ ‘17



Oleh : Wartawan BKPJM

RABAAH, 21 MAC 2017 – Majlis pembacaan hadis dalam program IQ ’17 berjaya menarik sejumlah besar kehadiran mahasiswa Malaysia di Mesir. Bukan sahaja anak-anak-anak Johor malah berjaya menarik kehadiran warga Malaysia yang lain. Majlis pembacaan hadis ini membuka kitab ‘Sahih Bukhari’ dalam kitab fitnah yang dibacakan oleh Syeikh Rif’at Fauzi bin Abdul Mutalip. Syeikh telah membaca mensyarahkan sebanyak 10 bab dalam kitab fitnah tersebut. Syeikh turut mengingatkan kepada semua pelajar agar sentiasa berwaspada dengan fitnah-fitnah akhir zaman.

            “Seronoknya jika program IQ ini dapat dianjurkan pada setiap tahun”. Ujar salah seorang peserta yang hadir dalam majlis tersebut. Hadirin dan hadirat yang hadir juga dilihat begitu teruja dan bersemangat dengan kehadiran syeikh dengan bertanyakan pelbagai soalan-soalan yang berkaitan dengan fitnah akhir zaman. – al-Jauhar.

" KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN "
" MEMBENTUK GENERASI MITHALI "

BKPJM LATIH AHLI TERJUN KE MEDAN MASYARAKAT


Oleh : Wartawan BKPJM

RABAAH, 22 Mac 2017 – Sejajar dengan tema ‘Generasi Rabbani Pemangkin Kesatuan’ yang dibawa dalam program Ijtimak Fikri (IQ ’17), BKPJM terus melangkah dengan agenda kebajikan dan perpaduan. Program yang berlangsung selama 3 hari tersebut bukan sahaja menerapkan ilmu dengan menadah kitab semata-mata tetapi turut dihidangkan dengan kemahiran softskill sebagai bekal untuk terjun ke medan masyarakat kelak.

            Slot Pengurusan Jenazah antara pengisian menarik yang dihidangkan didalam program IQ ’17 pada kali ini. Melalui slot ini peserta didedahkan dengan kedua-dua slot teori dan praktikal bagi memberi gambaran jelas berkenaan pengurusan jenazah yang sebenar. Latihan kepada peserta juga diberikan secara langsung semasa slot praktikal dijalankan. Di samping pengurusan Jenazah, peserta IQ ’17 juga disajikan dengan ilmu mirath. Slot ini turut diberikan latihan secara langsung kepada peserta akan kaedah pembahagian pusaka yang betul dalam Islam. Pelbagai salah faham berkaitan ilmu tersebut juga dapat dirungkaikan dalam slot ini. – al-Jauhar.

" KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN "
" MEMBENTUK GENERASI MITHALI "

IJTIMA’ FIKRI ’17 : KEPELBAGAIAN DALAM PENGISIAN



OLEH : MUHAMMAD HAJID BIN MOHD AZHAR
SETIAUSAHA IJTIMA' FIKRI '17 

19 - 21 Mac 2017 - Ijtima’ Fikri ’17 (IQ ’17) anjuran Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir yang berlangsung selama 3 hari di Dewan Asrama Pelajar Johor Rabaah telah menyediakan pelbagai pengisian yang menarik. Istimewanya, pengisian dan thaqafah yang telah disusun khas buat mahasiswa dan mahasiswi Johor di Perlembahan Nil menampilkan pengisi-pengisi hebat dalam bidangnya. Pengisian-pengisian yang mencakupi pelbagai bidang ilmu ini juga mendapat sambutan baik di kalangan mahasiswa Johor di Mesir. Pengisian pada hari pertama bertajuk ‘Evolusi Pemikiran dan Kepercayaan Menurut Manhaj Ahli Sunnah Wal Jemaah’ telah disampaikan sendiri oleh Ustaz Adam Bin Ibrahim selaku Pegawai Atase Pendidikan Negeri Johor. Pengisian ini menyentuh berkaitan aqidah dan kepercayaan sepanjang sejarah dunia Islam.

Antara pengisian lain yang dimuatkan dalam IQ ’17 ini ialah slot yang disampaikan oleh Ustaz Zahari Bin Ali berkaitan ‘Ghazwah Rasulullah SAW’. Beliau memberi pengisian melalui pendekatan bercerita sirah secara santai telah berjaya membangkitkan semangat para peserta dalam mencontohi perjuangan Rasulullah SAW. Secara keseluruhannya IQ’ 17 memuatkan sekurang-kurang 5 bidang ilmu iaitu Tauhid, Sirah, Fiqh, Faraid dan Hadis.-Al-Jauhar-

Thursday, April 6, 2017

[ KENYATAAN BERSAMA YDP BKAN : RESOLUSI KONGRES BKAN ]

                 

Berikutan telah berlangsungnya Kongres Badan Kebajikan Anak Negeri. Peringkat Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan program tersebut. Kehadiran yang melebihi seribu orang menunjukkan bahawa semangat persaudaraan dan kesatuan yang telah dibina sekian lama masih kukuh terpasak di kalangan mahasiswa Malaysia di Mesir.

Kongres Badan Kebajikan Anak Negeri ini diadakan bagi membincangkan dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi menangani isu-isu yang berlaku di kalangan mahasiswa. Pelbagai pandangan dan cadangan telah dilontarkan agar perkara tersebut dapat dilaksanakan secara bersama.

Hasil dari pembentangan wakil-wakil Yang Dipertua BKAN dan perbahasan daripada wakil-wakil BKAN berkaitan isu yang telah dibentangkan. Peringkat Majlis Yang Dipertua BKAN telah bersepakat untuk mengeluarkan beberapa resolusi untuk digerakkan secara bersama.

Jesteru, kami menyeru kepada semua mahasiswa agar memfokuskan kepada menjayakan 4 resolusi yang telah dipersetujui dalam kongres lepas iaitu :

1. Bersama bersatu dalam membawa wadah kesatuan dan menjadikan BKAN sebagai lidah rasmi mahasiswa Malaysia Mesir.
2. Menggempur gerak kerja amar ma'ruf  nahi mungkar demi kesejahteraan bersama.
3. Meningkatkan pencapaian akademik mahasiswa Malaysia Mesir dalam membentuk ulama amilin.
4. Sedia mendepani segala cabaran dalam mempertahankan hak mahasiswa.

#BersatuHatiTeguhBerdiri
#MuafakatAsasKejayaan

Wednesday, April 5, 2017

PRO AZHARI MELAHIRKAN MAHASISWA BERTHAQAFAH



OLEH : Muhammad Nazirul Munir Bin Puniran

KAHERAH, 11 MAC 2017-Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Di Mesir telah menganjurkan sebuah program berbentuk thaqafah iaitu Profesional Azhari (Pro Azhari’ 17). Objektif Pro Azhari ini diadakan adalah untuk membentuk kefahaman Islam  yang tepat, melengkapkan mahasiswa dan mahasiswi dengan kemahiran softskill serta pengetahuan kotemporari dan merapatkan hubungan silaturrahim antara mahasiswa Johor di Mesir. Program ini telah disertai oleh seramai 45 orang peserta.

Program yang berlangsung di Wisma Pahang, Hayyu Sabik ini memuatkan 3 slot asas iaitu slot bedah kitab “Peranan Pemuda Dalam Membawa Risalah” yang disampaikan oleh Ketua Unit Thaqafah & Tafaqquh, Ust Muhammad Yassaruddin bin Samsul. Slot Kedua pula ialah bengkel “Pengurusan Mesyuarat Yang Berkualiti”. Slot ini disampaikan oleh Timbalan Yang di-Pertua BKPJM, Ustaz Ahmad Helmi Bin Subhan.

Pengisian yang paling mendapat perhatian dalam program ini ialah slot “Dunia Kesihatan & Rawatan Awal” yang disampaikan oleh Ketua Unit Kemanusiaan, Dr. Wan Mohd Aniq Azizi Fitri Bin Zainudin. Peserta dilihat begitu teruja yang sangat berminat dengan pembentangan yang dijalankan. Peserta juga berharap agar slot berkenaan diteruskan lagi di masa akan datang. – al-Jauhar. 

Monday, April 3, 2017

KONGRES BADAN KEBAJIKAN ANAK NEGERI : SATU SEJARAH TERCIPTA! MERCU KESATUAN TEGUH TERBINA



KHAMIS, 30 Mac 2017 – Satu program yang dinamakan Kongres Badan Kebajikan Anak Negeri anjuran Majlis Gabungan Badan Kebajikan Anak Negeri (MG BKAN) telah diadakan buat julung-julung kalinya di Mesir. Kongres BKAN ini diadakan di Dewan American Future Language School. Program yang bertemakan “Bersatu Hati, Teguh Berdiri” ini telah berjaya menghimpunkan seramai 1261 orang mahasiswa dan mahasiswi Malaysia di Mesir.
Program ini dimulai dengan majlis perasmian yang disempurnakan oleh Ustaz Muhamad Nazif bin Shaari, Yang DiPertua Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sebagai wakil barisan Yang DiPertua. Seterusnya program diteruskan dengan slot pembentangan dan perbahasan isu mahasiswa Malaysia di Mesir yang dikendalikan oleh wakil YDP BKAN. Slot ini membincangkan empat topik utama iaitu isu hisbah yang dibentangkan oleh Ustaz Muhammad Arif bin Hamzah (YDP BKPJM), isu hak mahasiswa oleh Ustaz Muhammad Anuar bin Abdullah (YDP BKKIMM), manakala isu akademik dan kesatuan dibentangkan oleh Ustaz Mohd Fariz bin Mohd Zaini (YDP BKPPPM). Seterusnya program diteruskan dengan slot pandangan, cadangan dan muhasabah daripada seluruh mahasiswa dan mahasiswi yang membanjiri dewan American Future Language School ini.
Persembahan nasyid daripada kumpulan al-Wadi yang dijemput khas oleh pihak pelaksana program menyerikan lagi suasana perjalanan program. Kemudian, slot MG BKAN dikendalikan oleh Ustaz Khairul Naim bin Abd Razak, Yang DiPertua Keluarga Pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM). Beliau membentangkan gerak kerja koordinator MG BKAN sesi lalu, seterusnya memperkenalkan barisan koordinator MG BKAN sesi baru.
Akhir sekali, majlis penutup Kongres BKAN disempurnakan dengan pengumuman resolusi kongres dan bacaan doa penutup yang disampaikan oleh Ustaz Abdul Karim bin Makhtar, Yang DiPertua Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir (KPKM) sebagai wakil barisan YDP BKAN. Kongres BKAN pada kali ini melabuhkan tirai sekitar jam 11.30 malam dengan sesi bergambar.
” Bersatu Hati, Teguh Berdiri ”
” Muafakat Asas Kejayaan “

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...