Tuesday, June 14, 2022

[ RINGKASAN KITAB RISALAH ILA AKHI FILLAH ]


 

[ RINGKASAN KITAB RISALAH ILA AKHI FILLAH (KARANGAN DR. MAJDI AL-HILALI) ]

 

Muqaddimah 

Sesungguhnya setinggi-tinggi hubungan kemanusiaan di alam al-wujud adalah hubungan ukhuwah dalam naungan Allah. 

Sebanyak mana manfaat yang diperoleh oleh seseorang, itulah ukuran yang menjadi perhatiannya untuk membentuk hubungan dengan seseorang yang lain. 

Ternyata kebaikan dalam ukhuwah itu datang daripada Allah dan keburukannya itu datang daripada diriku. Tiadalah aku berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Allah adalah tujuanku dan Dialah yang Maha Memberi Petunjuk kepada jalan yang betul. 

Cinta Dalam Naungan Allah 

Akhi fillah, sesungguhnya erti cinta kerana Allah adalah kita mencintai sesuatu yang berada pada seseorang apa yang Allah cintai padanya. Maka kita tidak bolehlah mencintai seseorang yang lain kerana zat-Nya melainkan kerana sifat-sifat yang berada pada dirinya yang Allah cintai. 

Oleh itu, kita mencintai Rasulullah SAW kerana Allah mencintai baginda dan menyuruh kita untuk mencintai baginda. Demikianlah kita mencintai orang-orang Islam dan membenci orang-orang kafir. 

Siapa Merasai, Dia Mengetahui 

Akhi fillah, barangsiapa yang merasai, maka dia akan mengetahui. Sesungguhnya aku telah pun merasai kelazatan kecintaanmu dan aku tidak mendapati rasa yang lebih lazat dan sempurna daripadanya setelah kemanisan beribadah dan ketaatan kepada Allah. 

Setiap yang telah merasai kelazatannya tidak akan reda untuk menukarnya dengan yang lain, malah seluruh kelazatan dunia itu berdiri tersipu-sipu ketinggalan jauh daripadanya. 

Kekaguman 

Akhi fillah, aku telah melihat tanda-tanda kekaguman yang terpancar jelas pada wajah-wajah orang ramai yang melihat kita dan melihat sejauh mana keeratan hubungan kita. 

Aku berwaspada terhadap diriku dan dirimu daripada mencintai antara kita hanya kerana luaran sahaja. Perasaan-perasaan ukhuwah ini merupakan yang paling bahaya apabila cinta itu mula berubah daripada mencintai kerana Allah kepada kecintaan kerana luaran seseorang sahaja. 

Ukhuwah Yang Benar 

Akhi fillah, antara tanda benarnya ukhuwah dan kecintaan kita kerana Allah adalah kita saling membantu sesama kita untuk mendekatkan diri kepada Allah. 

Oleh itu, hendaklah setiap daripada kita mengingatkan saudara kita kepada amal-amal kebaikan, membantunya dalam melaksanakannya, mencegahnya daripada melakukan kemungkaran dan membantunya dalam meninggalkan kemungkaran tersebut. 

Telah Kau Potong Leher Sahabat

Akhi fillamu h, sekiranya kau prihatin terhadapku dan menghendaki kebaikan untukku maka janganlah kau memujiku di hadapanku. Pujian itu menjadikan manusia mabuk dan berbangga dengan dirinya. 

Peliharalah kehormatanku dan janganlah kau mengumpatku atas apa-apa nama sekalipun seperti kerana maslahah atau selainnya. Panggillah aku dengan nama-nama yang aku sukai. Janganlah memberi gelaran kepadaku yang berbentuk cacian atau kejian. 

Penyakit Berita, Tukang Ceritanya 

Akhi fillah, janganlah kau bersangka-sangka kepadaku kerana ia adalah seburuk-buruk perkara. Jika dirimu tidak mampu menahan sangkaanmu, janganlah kau menyimpannya atau menceritakannya kepada sesiapa pun tetapi segeralah ceritakan kepadaku hingga aku terangkan perkara sebenar. 

Janganlah kau menjadikan telingamu sebagai sumber utama untuk mendapatkan sesuatu maklumat tetapi pastikanlah kebenaran sesuatu itu. Janganlah kau menjadikan kata-kata itu hanya disampaikan menggunakan lidah tanpa melalui akal terlebih dahulu. 

Yang Mulia, Yang Berkekalan Kekasihnya 

Akhi fillah, aku mungkin berbeza denganmu dalam satu pandangan tertentu, maka janganlah ditimbulkan rasa benci dalam dadamu terhadapku.

Perbezaan pandangan tidak bererti kemampuan seseorang itu dihina. Ia merupakan suatu realiti yang tidak dapat ditolak. Sememangnya perbezaan itu adalah satu tabiat dan kadang-kadang ia terpuji sekiranya menjadi sebab untuk menyampaikan kebenaran.

Sekiranya kita menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran antara manusia, maka wajiblah kita bermula dengan diri kita dahulu. Hendaklah kita saling menasihati dan biasakanlah diri kita dengannya supaya kita dapat ditarbiyah melaluinya. 

Taasublah kepada kebenaran dan janganlah taasub kepada individu meskipun dia adalah orang yang paling rapat denganmu kerana kebenaran itu hanya satu dan tidak berbilang-bilang. 

Apabila kau telah melakukan sesuatu kebaikan kepadaku, janganlah kau mengungkit-ungkit kebaikan tersebut kerana hal itu akan melukakan aku. Hendaklah setiap daripada kita memaafkan kesilapan orang lain dan menghalang diri daripada mencela kesilapan tersebut. 

Janganlah Menjauhi Daripadaku 

Akhi fillah, telah hadir kepadaku satu saat yang menyakitkan. Maka janganlah kau menjauhiku dan meninggalkanku meskipun kau lebih teruji daripadaku. Sungguh, aku sangat-sangat berhajat untuk berada denganmu pada saat itu.  

Wahai orang yang aku menjadi dekat kepada Allah dengan asbab cintanya, ingatkanlah aku kepada Allah apabila aku telah melupai-Nya. Ingatkanlah aku tentang kematian jika aku lalai tentangnya. Ingatkanlah aku kepada sunnah Rasulullah SAW apabila kau melihat aku telah jauh daripadanya. 

Wahai orang yang sentiasa aku nanti-nantikan untuk bertemu, janganlah kau lupakan diriku ketika waktu berjauhan dan kenangkan aku dalam doamu. Moga-moga Allah SWT menghimpunkan kita dalam syurga sepertimana Dia telah menghimpunkan hati-hati kita di dunia ini. 

Penutup 

Sesungguhnya aku telah menggarap wasiat ini dalam keadaan aku sangat berhajat kepadanya. Aku bermunajat kepada Allah agar menolong kita untuk membangunkan hak-hak ukhuwah, menerima ukhuwah tersebut, mengampunkan kita, menetapkan kita di atas jalan-Nya. Sungguh, Dia Maha Mendengar lagi Maha Menerima Doa. 

 

Disediakan oleh: Unit Biah Solehah, Unit Dakwah dan Tarbiah BKPJM sesi 2021/2022

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...