Saturday, March 24, 2018

CREATIVE ‘18 MENCUNGKIL BAKAT AHLI


DISEDIAKAN OLEH : MUHAMMAD SYAZMI BIN KAMARI
SETIAUSAHA CREATE OUR TALENT (CREATIVE ‘18)

RABAAH, 12 MAC 2018 – Hari terakhir  merupakan acara penutup program (CREATIVE ’18). Bengkel terakhir sebelum majlis  penutup ialah bengkel Bisnes dan Perakaunan.

Bengkel ini memberikan penerangan kepada peserta berkenaan etika jual beli dalam Islam, kerjasama syarikat dan pelbagai lagi ilmu-ilmu yang berkait rapat dengan bisnes. Para peserta juga diberikan maklumat berkenaan langkah-langkah awal utuk memulakan perniagaan.


Bengkel Bisnes dan Perakaunan sangat memberi manfaat pada masa akan datang.
Majlis penutup telah berlangsung pada jam 6.30 petang dengan dimulakan oleh alunan ayat-ayat suci al-Quran, Asmaul Husna dan lagu BKPJM.  Majlis diteruskan lagi dengan ucapan Pengarah CREATIVE ’18, ustaz Fathurrahman bin Mohd Saleh, ucapan Yang di-Pertua Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) 17/18, Ustaz Norhalim bin Lokman sebelum akhirnya ia dirasmikan oleh Penasihat BKPJM, Ustaz Mohd Asil bin Rabie. Majlis diserikan lagi dengan gimik penutup.

Sebelum program berakhir, pihak penganjur telah menampilkan persembahan pentomen daripada kalangan mahasiswa Johor sendiri. Persembahan yang bertemakan “kepentingan berpersatuan” itu mendapat sambutan yang hangat daripada segenap peserta. Aneka ragam para pelakon disambut dengan gelak tawa peserta. Persembahan pentomen turut menyelitkan mesej yang sangat bermakna kepada semua peserta agar sentiasa melibatkan diri dalam persatuan.

Persembahan yang mantap; kelakar namun mengandungi mesej tersirat yang sangat bermakna.
Diharapkan program seperti ini dapat membantu mahasiswa dan mahasiswi mengasah bakat yang terpendam di samping merapatkan silaturrahim dalam kalangan mahasiswa Johor di Mesir.

HEDONISME PEROSAK MAHASISWA




DISEDIAKAN OLEH: USTAZ MUHAMMAD SYAKIR BIN SAHIMI
KETUA UNIT DAKWAH, UNIT DAKWAH DAN TARBIAH BKPJM 2017/2018 

Firman Allah Taala :

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ 

Maksudnya: Dan hendaklah ada diantara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
(Surah Ali Imran: 104)

Umat Islam kini semakin lemah kerana semakin meninggalkan ajaran Islam dan jauh dari cara hidup muslim yang sebenar sebagaimana golongan terdahulu yang disebut sebagai as-Sabiqun.

Golongan as-Sabiqun ialah mereka yang mengikut petunjuk dan panduan al-Quran. Merekalah golongan yang membawa seruan dan tugas yang satu iaitu menyeru manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah dan mencegah daripada berlakunya perkara-perkara yang toghut (buruk) dan sesat dengan slogan amar makruf nahi mungkar melalui medium yang pelbagai dalam masyarakat yang berbilang.

Umat Islam kini juga didorong dengan penyakit cintakan dunia yang melampau sehingga terlupa akan kampung akhirat yang kekal abadi akibat jahil dengan panduan wahyu sebagai cara hidup Islam yang bersifat syumuliah dan fleksibel.

Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan berita yang menyedihkan dan menjatuhkan imej dan integriti mahasiswa Islam di bumi anbia’ Mesir iaitu penganjuran program dengan dicemari dengan majlis tari menari bertemakan Bollywood. Tidak cukup sekadar itu, turut berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan dalam satu majlis.

Adakah mahasiswa kini sedar mereka sedang ditimpa 'virus' hedonisme?
Majlis tersebut turut mendapat kecaman dan kritikan daripada pelbagai pihak kerana ianya bersifat hiburan yang melampau dan tersasar daripada batasan dan garis panduan Islam yang sebenar. Budaya hedonisme ini sudah semakin menular dan menjadi fenomena dalam kalangan mahasiswa yang inginkan kebebasan berlandaskan panduan akal yang terbatas. Mereka cenderung untuk dipengaruhi oleh nafsu semata-mata tanpa menyedari bahawa keasyikan dunia hanyalah sementara.

Tidaklah menjadi satu kesalahan untuk berhibur kerana Islam juga membolehkan umatnya untuk berhibur. Akan tetapi, hiburan yang dibolehkan bukanlah hiburan yang melampaui batasan sehingga menyimpang daripada etika dan panduan kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W dalam hadisnya yang mulia:

تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما : كتاب الله وسنة نبيه - صلى الله عليه وسلم

Mafhumnya: Aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara nescaya kamu tidak akan sesat selamanya sekiranya kamu berpegang kepada kedua-duanya iaitu Kitabullah dan Sunnahku.

(Hadis Riwayat al-Hakim)

Hadis ini menjelaskan kepada kita agar sentiasa menjadikan panduan wahyu sebagai penyelamat umat akhir zaman dengan pembawaan slogan amar makruf nahi mungkar. Hal ini perlu diaplikasikan dalam kehidupan mahasiswa terutamanya  bagi membentuk biah (suasana) yang baik dan harmoni dalam kehidupan bermasyarakat.

Sekiranya merujuk kepada suasana pelajar-pelajar Malaysia di Mesir, penekanan amar makruf nahi mungkar telah diterjemahkan melalui medium Badan Kebajikan Anak-anak Negeri (BKAN) seperti Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM), Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM), Keluarga Pelajar-pelajar Perlis (KPP) serta BKAN-BKAN lain yang menjadikan agenda dakwah, kebajikan dan kesatuan sebagai matlamat utama persatuan. Persatuan-persatuan ini menjadi simbolik kesatuan dalam membendung kemungkaran dan maksiat yang semakin menular dalam kalangan mahasiswa Islam di Mesir.

Amar makruf nahi mungkar merupakan suruhan Ilahi.
Kesimpulannya, perlunya ada kesedaran yang tinggi dalam kalangan mahasiswa supaya cakna terhadap isu di sekitar mereka. Mereka perlu sedar bahawa agenda amar makruf nahi mungkar merupakan tuntutan yang lebih utama dalam Islam berbanding tuntutan-tuntutan yang lain. Tuntutan ini mewajibkan mahasiswa adalah agar sentiasa memperbaiki diri dalam segenap aspek kehidupan mereka dan berterusan dalam menyeru yang lain kepada kebaikan dan kefahaman Islam yang syumul.

JAUHI VIRUS HEDONISME !!!!

Wallahu a’lam.

BENGKEL PENGUCAPAN AWAM, KALIGRAFI DAN SONY VEGAS PRO MEMBUKA MINDA PESERTA CREATIVE ‘18


DISEDIAKAN OLEH : MUHAMMAD SYAZMI BIN KAMARI
SETIAUSAHA CREATE OUR TALENT (CREATIVE ‘18)

RABAAH, 11 MAC 2018 – Program (CREATIVE ’18) pada hari kedua diteruskan lagi dengan bengkel Pengucapan Awam. Para peserta diberikan pendedahan tentang cara-cara hendak menjadi seorang mahasiswa dan mahasiswi yang cemerlang dalam memberikan pengucapan.

CREATIVE ’18 diteruskan dengan bengkel Kaligrafi atau pun juga dikenali sebagai seni menulis khat dengan meggunakan alatan-alatan yang tertentu. Kaligrafi terbahagi kepada enam jenis iaitu Nasakh, Tsuluth, Diwani, Riq’ah farisi dan Kufi.

Para peserta sedang dilatih untuk melakukan pengucapan awam.
Bengkel ini banyak membincangkan peranan dan penggunaan kaligrafi dalam menjaga ketamadunan Islam. Setiap jenis kaligrafi mempunyai cara penggunaannya yang tersendiri dan peranan yang berbeza; daripada menulis ulang al-Quran sehinggalah menulis surat kepada seorang raja.

Bengkel terakhir bagi hari kedua ialah bengkel Sony Vegas Pro. Para peserta diberikan pendedahan tentang fungsi-fungsi tombol bagi kegunaan menyunting video. Slot ini dihadiri oleh ramai peserta yang berminat untuk mengetahui cara-cara yang betul bagi mencipta video dan menambahkan effect kepada video tersebut.

Wednesday, March 21, 2018

BENGKEL ADOBE PHOTOSHOP (CREATIVE' 18) MENDAPAT SAMBUTAN MEMBERANGSANGKAN


 DISEDIAKAN OLEH : MUHAMMAD SYAZMI BIN KAMARI
SETIAUSAHA CREATE OUR TALENT (CREATIVE ‘18)

RABAAH, 10 MAC 2018 –  Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) telah berjaya menganjurkan sebuah program yang diberi nama Create Our Talent (CREATIVE ‘18). Program yang julung-julung kalinya diadakan ini dibuat khusus untuk mahasiswa-mahasiwa Johor yang berada di Mesir. Program ini berlangsung selama 3 hari di Dewan Kutub Sittah, Asrama Pelajar Johor Rabaah.

Objektif program ini adalah untuk membantu mahasiswa Johor meningkatkan asas-asas kemahiran dalam diri. “Kemahiran Dilatih Bakat Terserlah” merupakan tema program ini.

Hari pertama menyaksikan 3 buah bengkel menarik telah dianjurkan. Bengkel-bengkel tersebut ialah bengkel Vokasional, bengkel Penulisan dan Kesusasteraan serta bengkel Adobe Photoshop.

Semua bengkel diajar oleh pengisi yang mahir dan mampu memberikan kefahaman yang baik kepada para peserta. Kesemua bengkel diterangkan secara umum bagi memberi ‘kunci’ kepada para peserta untuk mula meneroka sendiri sesebuah bidang yang diminati oleh mereka.

Antara bengkel yang mendapat sambutan ialah bengkel Adobe Photoshop. Menurut pengisi, ustaz Muhammad Hasnul Hakimi bin Hussien, bengkel Adobe Photoshop merupakan sebuah perisian asas kepada jurugambar, pereka grafik dan sesiapa sahaja yang berminat untuk mendalami seni reka bentuk grafik dan manipulasi imej. 

Para peserta sedang fokus menyiapkan tugasan yang diberi.

          Bengkel ini mendedahkan penggunaan perisian tersebut secara teori dan praktikal. Bengkel ini mencatatkan kehadiran peserta yang sangat ramai.

Thursday, March 15, 2018

WHAT IS VALENTINE?


DISEDIAKAN OLEH: SITI MARIAM BINTI ABU
BENDAHARI (LAJNAH PERUMAHAN) HEWI BKPJM 2017/2018

Di momen terkasih ini kuberikan segenap jiwa untukmu sayang,
Di momen terkasih ini ku tinggalkan segala aktivitiku hanya untukmu sayang,
Sayang kala ini dunia terasa milik kita berdua,
Kala ini ingin kumiliki kau seutuhnya.

Sebuah puisi yang mungkin terucap daripada lisan muda mudi yang sedang mabuk dilamun api cinta yang membara. Yakinkah engkau dengan ucapan lelaki itu? Yakinkah engkau wahai perempuan berkenaan janji lelaki itu? Ramai perempuan mudah tergoda dengan rayuan lelaki yang mungkin kadang-kala baru beberapa minit dikenalinya sehingga menyebabkan mereka berdua terjerumus ke dalam perbuatan zina.

Tanggal 14 Februari, satu hari yang sudah maklum diketahui iaitu hari berkasih sayang. Akan tetapi, sayang seribu kali sayang kerana sejarah mengapa 14 Februari diingati sebagai hari kasih sayang masih tidak diketahui umum.

Sebagai seorang muslim, janganlah melakukan sesuatu yang belum jelas kebenarannya dan belum jelas asal-usulnya. Firman Allah S.W.T:

وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰٓئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡ‍ُٔولٗا ٣٦

Maksudnya: Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui. Kerana pendengarannya , penglihatan dan hati nurani, semua itu akan diminta pertanggungjawabannya.

(Surah Al-Isra’: 36) 

Sahabat sekalian, marilah memperdalam ilmu agar kita tidak terjerumus dalam perkara-perkara keburukan terutamanya perkara-perkara yang boleh menimbulkan dosa. Marilah kita terokai sejarah mengenai Valentine.



APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN HARI VALENTINE?

Valentine sebenarnya adalah seorang martyr (dalam Islam disebut syuhada’) yang kerana kesalahan dan bersifat ‘dermawan’, dia diberi gelaran saint atau santo.

Pada tanggal 14 Februari 270 M, St.Valentine telah dibunuh kerana penentangan penguasa Romawi pada waktu itu, Raja Claudius II (268-270 M) untuk mengagungkannya (St.Valentine) yang dianggap sebagai pembawa simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup. Rentetan daripada perkara ini, para pengikutnya memperingati kematian St.Valentine sebagai ‘upacara keagamaan’.

Saint Valentine telah dibunuh oleh Raja Claudius II.
Akan tetapi sejak abad 16 M, upacara keagamaan tersebut mulai beransur-ansur hilang dan berubah menjadi ‘perayaan bukan keagamaan’. Hari Valentine kemudian dihubungkan dengan pesta jamuan kasih sayang bangsa Romawi kuno yang disebut ‘supercalis’ yang jatuh pada tanggal 15 Februari.

Setelah orang-orang Romawi menganut agama Nasrani (Kristian), pesta supercalis kemudiannya dikaitkan pula dengan upacara kematian St. Valentine. Penerimaan upacara kematian St. Valentine sebagai ‘hari kasih sayang’ juga dikaitkan dengan kepercayaan orang Eropah bahawa waktu ‘kasih sayang’ mulai berputik bagai burung jantan dan betina pada tanggal 14 Februari .

Dalam bahasa Perancis Normandia, pada abad pertengahan terdapat kata ‘Galentine’ yang bererti ‘galant atau cinta’. Persamaan bunyi antara Galentine dan Valentine menyebabkan sebahagian orang berfikir bahawa waktu terbaik untuk para pemuda mencari pasangan hidupnya adalah pada tanggal 14 Februari.

Dengan berkembangnya zaman, Hari Valentine yang asalnya adalah upacara memperingati seorang martyr yang bernama St. Valentino mungkin akan terus tersasar jauh daripada pucuk pangkalnya. Masyarakat pasca kini tidak lagi mengetahui asal usul Hari Valentine dengan jelas.

Berbeza dengan zaman dahulu, masyarakat kini menyambut Hari Valentine dengan bertukar-tukar greeting card, penganjuran pesta-pesta hiburan dan sebagainya tanpa mengetahui asal-usul dan sejarah sebenar munculnya Hari Valentine. Sejarah yang sudah lebih dari 1700 tahun yang lalu. Sejarah yang sudah lapuk ditelan zaman.

Dari penjelasan di atas kita dapat mengambil kesimpulan bahawa Valentine’s Day berasal dari upacara keagamaan Romawi Kuno yang penuh dengan kesyirikan.

Hari Valentine juga adalah hari penghormatan kepada tokoh nasrani yang dianggap sebagai pejuang dan pembela cinta.

Sungguh menyedihkan keadaan umat islam ketika ini. Ada sebahagian orang mungkin sudah mengetahui kenyataan sejarah di atas. Seolah-olah mereka menutup mata dan menyatakan boleh saja merayakan hari valentine yang asal usulnya sebenarnya adalah ritual panagnisme . Maka kita sebagai seorang islam haruslah berfikir dan tidak sepatutnya kita merayakan hari tersebut yang jelas-jelas nyata bahawa perayaan valentine adalah perayaan non-muslim.



PADAH MENYAMBUT VALENTINE

Seterusnya kita lihat beberapa aspek keburukan yang ada di hari Valentine:

Keburukan pertama meraikan hari Valentine dalam skop pandangan Islam ialah seorang muslim itu akan menyamai orang bukan Islam. Agama Islam telah melarang kita menyamai orang bukan Islam. Larangan ini terdapat dalam beberapa dalil:

Rasulullah Sallahu Alaihi Wassalam bersabda memerintahkan agar kita agar tidak meniru perbuatan orang yahudi dan nasrani.

إِنَّ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى لاَ يَصْبُغُونَ ، فَخَالِفُوهُمْ
“ Sesungguhnya orang Yahudi dan Nasrani tidak mahu berubah uban , maka selisihlah mereka”  

( HR Bukhari )

Hadis ini menunjukkan kepada kita agar menyelisihi orang Yahudi dan Nasrani secara umum dan di antara bentuk menyelisihi mereka adalah dalam masalah uban. Sabda Rasulullah S.A.W lagi:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum , maka dia termasuk sebahagian dari mereka”

(HR Ahmad dan Abu Daud)

Telah jelas bahawa hari Valentine adalah perayaan panagnisme, lalu diadaptasi menjadi ritual agama Nasrsni. Merayakannya bererti telah meniru-niru mereka.

Keburukan kedua sambutan hari Valentine adalah ia terkeluar daripada adat dan budaya Islam; perayaan bersifat ritual bukan ciri-ciri perayaan yang dibolehkan dalam Islam.

Allah Subhanahu Wa Taala sendiri telah menyatakan sifat-sifat orang beriman; iaitu mereka adalah orang-orang yang tidak menghadiri ritual atau perayaan orang-orang musyrik. Hal ini secara tidak langsung memberi maksud bahawa umat Islam tidak boleh sewenang-wenangnya menyambut perayaan agama lain seperti hari Valentine tanpa soal selidik. Semoga ayat seterusnya menjadikan kita bermuhasabah dengan perbuatan kita.

Allah S.W.T berfirman:

وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا
“Dan orang-orang yang tidak menyaksikan perbuatan zur , dan apabila mereka bertemu dengan ( orang-orang ) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah , mereka melalui (saja) dengan menjaga kehormatan dirinya.”

(Surah Al-Furqan 25:72)

Keburukan ketiga dalam menyambut hari Valentine adalah akan terselitnya unsur mengagungkan sang pejuang cinta yang akan berkumpul bersamanya di Hari Kiamat nanti.

فَمَا فَرِحْنَا بِشَىْءٍ فَرَحَنَا بِقَوْلِ النَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – « أَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ » . قَالَ أَنَسٌ فَأَنَا أُحِبُّ النَّبِىَّ – صلى الله عليه وسلم – وَأَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ ، وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ مَعَهُمْ بِحُبِّى إِيَّاهُمْ ، وَإِنْ لَمْ أَعْمَلْ بِمِثْلِ أَعْمَالِهِمْ
“Kami tidaklah pernah merasa gembira sebagaimana rasa gembira kami ketika mendengar sabda Rasulullah : engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai.”
(HR Bukhari)

Renungkanlah, sekiranya yang dicintai dan diagungkan adalah seorang tokoh Nasrani yang dianggap sebagai pembela dan pejuang cinta di saat raja melarang para pemuda menikah (Valentine sebagai pahlawan dan pejuang ketika itu) sedangkan sudah jelas sabda Rasulullah S.A.W bahawa kita akan dibangkitkan bersama dengan orang yang kita cintai.

Jika anda sebagai seorang muslim, siapakah insan yang anda cintai itu? Adakah tokoh Nasrani atau pun tokoh Islam? Siapakah yang anda akan pilih? Tepuk dada tanya iman.

Keburukan keempat sambutan hari Valentine adalah ia menjadi pembakar semangat untuk berzina. Dengan menyambut hari Valentine akan mengakibatkan berlakunya maksiat secara berleluasa dan akan berlakunya perkara-perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T.

Allah S.W.T telah berfirman:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
“ Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk.”
(Surah Al-Isra 17:32)

Akhir sekali, ditekankan sekali lagi agar kaum muslimin tidak mudah terikut-ikut merayakan hari Valentine serta tidak boleh mengucapkan hari Valentine dan melakukan sebarang perbuatan yang seakan-akan menyerupainya.


Ingatlah, setiap orang haruslah takut pada kemurkaan Allah S.W.T . Semoga penulisan ini dapat memberi kesedaran kepada yang membacanya.

SAY NO TO VALENTINE!
Wallahua’lam.

Saturday, March 3, 2018

PENGEBOMAN DI TIMUR GHOUTA


APAKAH YANG SEDANG BERLAKU DI TIMUR GHOUTA SEKARANG?

Ghouta. Sebuah daerah bekas kawasan pertanian ini yang telah bertukar menjadi bandar terletak di dalam Damsyik ibu negara Syria ialah sebuah negara milik umat Islam.



Merangkumi keluasan 370 km persegi, Ghouta telah dikepung sejak empat tahun lepas oleh tentera kerajaan Syria dan disifatkan sebagai pengepungan kota paling lama dalam era moden. Pengepungan ini ditakrifkan sebagai tindakan tidak membenarkan perbuatan keluar masuk entiti apa pun ke dalam Ghouta.

Tujuannya? “To supress rebellion” yang berbaki di Damsyik.




DAH TU APA YANG JADI SEKARANG INI?

Sejak malam 19 Februari lalu, tentera kerajaan Syria telah menjalankan beberapa siri serangan udara ke atas timur Ghouta. Akibatnya, sekurang-kurangnya 930 orang telah dibom dan meninggal dunia. Dalam jumlah ini, 242 daripadanya adalah kanak-kanak dan 167 daripadanya adalah para wanita.



Serangan-serangan ini disifatkan oleh seorang wakil PBB sebagai kempen penghapusan secara besar-besaran. Menurut satu sumber lagi, sebanyak 189 serangan udara dan 1000 tembakan artileri telah ditujukan kepada timur Ghouta sahaja. Simply a concentrated bombing tactics. Salah satu strategi peperangan yang berkesan. Contoh terbaik menyerupai peristiwa Lahad Datu kira-kira 5 tahun lalu.

Serangan-serangan udara itu telah merosakkan 13 buah hospital dan secara langsung melumpuhkan keupayaan rakyat Ghouta untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan. Untuk pengetahuan anda, mengikut Konvesyen Geniva, hospital adalah antara tempat yang tidak boleh diganggu hatta semasa perang.[1]

As the air forces have been using multiple attacks targeting the civil areas, and then hitting the same areas again after couple of minutes. It is to achieve as much damage as possible, and to kill from the rescuing teams—who would come to save the wounded and the people who were stuck under the rubble—which is making the matter worse,”
- Raed al Saleh pengarah Syrian Civil Defence -

Ya Allah, selamatkan umat Islam!

#PrayForGhouta

Disediakan oleh:
Unit Informasi dan Kemanusiaan,
Unit Kebajikan dan Kemanusiaan BKPJM 2017/2018.



[1] https://ihl-databases.icrc.org/customary-ihl/eng/docs/v1_rul_rule35

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...