Tuesday, October 3, 2017

SUKEJ COMEBACK (116’S)


OLEH : SYAHIDAH BINTI ABDUL HADI
TIMBALAN SETIAUSAHA MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-35 BKPJM 2016/2017

KAHERAH, 21 SEPTEMBER 2017 - SUKEJ, Suara Kampus Edisi Johor adalah majalah ilmiah terbitan Lajnah Penerangan dan Penerbitan BKPJM. Majalah yang telah menjangkau edisi ke-116 ini telah lama terhenti pengeluarannya sejak tujuh tahun yang lalu. BKPJM pada sesi 2016/2017 telah berjaya menerbitkannya semula dan pelancarannya telah dilakukan pada hari yang sama Mesyuarat Agung Tahunan BKPJM kali ke-35 dilaksanakan.

“Usaha menerbitkan ‘makalah’ yang diberi nama majalah Suara Kampus Edisi Johor (SUKEJ) berdasarkan isu dan cabaran umat Islam kini untuk tujuan dakwah dan memberikan pendedahan kepada masyarakat berkaitan taktik-taktik licik musuh Islam merupakan satu kecenderungan baru yang wajar disokong”, ujar Ustaz Anuar Sarimin dalam kalam pengantar yang turut dimuatkan dalam edisi kali ini. Beliau juga merupakan mantan Yang di-Pertua BKPJM pada tahun 1990.

Majalah SUKEJ sesuai untuk dibaca dan diamalkan oleh generasi pemuda zaman sekarang kerana ia memuatkan fikrah-fikrah serta ilmu-ilmu duniawi mahupun ukhrawi yang sudah tentu memberikan banyak manfaat kepada mereka. Generasi kini yang majoritinya sudah leka dengan hal peribadi masing-masing memerlukan satu agen perubah yang mampu membangkitkan kembali semangat kemasyarakatan mereka. Bagi melaksanakan perkara ini, majalah SUKEJ mengambil peranannya sebagi api yang membakar semangat pemuda-pemuda Islam.


Team SUKEJ yang telah diketuai sendiri oleh Ustaz Muhammad Zaki bin Ramle selaku Ketua Lajnah Penerangan dan Penerbitan BKPJM 16/17 telah bertungkus-lumus dalam menyiapkan majalah ini pada tahun ini. Dengan moto “Ke Arah Membina Minda Islam” pelbagai topik, artikel, isu semasa dan lain-lain terdapat dalam keluaran kali ini.

Akhir sekali, satu penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada team SUKEJ khususnya, seluruh kepimpinan BKPJM sesi 16/17 dan semua yang terlibat dalam menerbitkan majalah SUKEJ yang khusus untuk ahli BKPJM dan ammnya kepada semua. Semoga segala usaha dan keringat ini mendapat keberkatan dan dinilai Allah sebagai jariah. Oleh itu, bagi mahasiswa/i yang masih belum mendapatkan SUKEJ keluaran ke-116, boleh terus berhubung dengan Unit Ekonomi BKPJM 17/18.

Monday, October 2, 2017

NORHALIM : “KITA PENYAMBUNG RANTAI-RANTAI PERJUANGAN !!!”


OLEH : SYAHIDAH BT ABDUL HADI
TIMBALAN SETIAUSAHA MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-35 BKPJM 2016/2017

KAHERAH, 21 SEPTEMBER 2017 – Raut wajah yang tenang, tutur kata yang lembut dan kebolehan untuk mempelajari sesuatu dengan pantas. Itulah antara traits yang dimiliki oleh Ustaz Norhalim bin Lokman yang kini merupakan Yang di-Pertua Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir. Beliau dicadangkan untuk bertanding di kerusi tersebut dan mendapat sokongan yang jitu daripada ahli-ahli BKPJM seterusnya membolehkan beliau untuk memenangi kerusi tersebut tanpa bertanding dan menjadi YDP BKPJM bagi sesi 2017/2018.

                Berasal daripada Benut, Pontian, ustaz muda yang sedang mununtut di tahun tiga Kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar  ini menuturkan kalam-kalam semangat sewaktu sesi taaruf pimpinan pada akhir program Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-35 atau nama pendeknya MAT 35.

                Antara ucapan beliau ialah galakan kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi Johor untuk  mengekalkan kesatuan anak-anak Johor dengan berwasilahkan medan BKPJM. Antara lain ialah beliau meminta kepada semua ahli BKPJM untuk sentiasa mengingati dan mengenang perjuangan Rasulullah S.A.W. serta para Sahabat dalam menegakkan Islam. Kata beliau : “Kita penyambung rantai-rantai perjuangan mereka !!!”.

                Ustaz Halim mengakhiri ucapan dengan meninggalkan sebuah harapan kepada seluruh ahli BKPJM agar dapat membantu, menyokong dan mendokong beliau, AJKT HEWI dan BKPJM sendiri bagi memastikan kebajikan anak-anak Johor terjaga. Ucapan beliau disambut dengan baik oleh sidang dewan sekalian. 

USUL DITERIMA, AJKT HEWI BERTAMBAH


OLEH : FAKHRUR RAZI BIN BAKAR
SETIAUSAHA MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-35 BKPJM 2016/2017

KAHERAH, 21 SEPTEMBER 2017 – Seiring dengan perjalanan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-35 atau nama pendeknya MAT, sebuah usul dengan matan yang berbunyi “Meminda Undang-undang Tubuh BKPJM bab 5, fasal 19 (A) Ahli Jawatankuasa Tadbir badan dianggotai oleh 10 orang kepada 11 orang” telah dibentangkan dan diluluskan.
               
                Usul ini memberi kesan kepada pimpinan akan datang dalam melayari bahtera kepimpinan BKPJM. Sesuai dengan matan usul yang dibacakan oleh mantan Timbalan Yang Di-Pertua sendiri, Ustaz Ahmad Helmi bin Subahan, dengan dipersetujui sebulat suara oleh semua perwakilan, pengerusi sidang MAT-35 telah bersetuju untuk meminda Undang-undang Tubuh BKPJM dengan meningkatkan bilangan AJKT (Ahli Jawatankuasa Tadbir) kepada 11 orang daripada 10 orang dan AJK HEWI kepada 10 orang daripada 9 orang. Perkara ini juga akan meminda Fasal 22 (A) iaitu Hal Ehwal Wanita Islam dianggotai seorang Ketua HEWI dan 8 orang ahli jawatankuasa kepada 9 orang ahli jawatankuasa dan mana-mana fasal yang berkaitan.

                Kata pembentang usul, Ustaz Ahmad Helmi bin Subahan yang kini sedang berada di tahun ketiga dalam pengajian Syariah Islamiah, usul ini diharapkan dapat memudahkan dan melancarkan gerak kerja AJKT dan AJK HEWI BKPJM bagi sesi akan datang. Keputusan ini dibuat setelah beliau memerhatikan bilangan ahli BKPJM yang semakin lama semakin meningkat seiring dengan bertambahnya bilangan pelajar-pelajar Johor yang menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Perkara ini mendorong kepada perlunya lebihan tenaga kerja dalam memimpin bahtera BKPJM. Lantaran itu, penambahan bilangan AJKT dan AJK HEWI akan merealisasikan perkara tersebut dan gerak kerja AJKT dan AJK HEWI BKPJM diharapkan akan berjalan dengan lebih lancar.

                Pindaan ini membawa kepada pembukaan sebuah kerusi untuk dipertandingkan bagi peringkat AJKT dan juga AJK HEWI bagi melantik seorang  lagi AJKT dan seorang AJK HEWI BKPJM. Perkara ini telah dilaksanakan oleh SPR BKPJM bertempat di Bait Mustofa untuk pencalonan Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) dan Bait Hasanah untuk pencalonan AJK HEWI bagi kepimpinan BKPJM sesi 2017/2018. Sesi pencalonan telah dibuka bermula pada 25 September 2017 manakala sesi bantahan calon pula pada 26 September 2017.

                Calon AJKT yang dipertandingkan adalah Muhammad Huzaifah bin Fakhruzzaman bagi kerusi AJKT dengan bernombor kod B 008 dan Nurul Shafiqah binti Tuah Janji bagi kerusi AJK HEWI dengan bernombor kod D 007. Kedua-dua calon menang tanpa bertanding.

MAT KEMBALI DI APJ4


OLEH : FAKHRUR RAZI BIN BAKAR
SETIAUSAHA MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-35 BKPJM 2016/2017

KAHERAH, 21 SEPTEMBER 2017 - MAT atau nama penuhnya Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-35 merupakan program mega yang telah dianjurkan oleh Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir bertempat di Asrama Pelajar Johor, Rabaah dan berlangsung selama sehari dengan tema “Generasi Syura Membangun Wehdah”.

Objektif yang diletakkan dalam mesyuarat kali ini adalah membentangkan laporan gerak kerja tahunan kepimpinan BKPJM sesi 2016/2017. Selain itu, ahli juga boleh menyuarakan pendapat, pandangan, idea, muhasabah serta cadangan berkaitan gerak kerja BKPJM. Tidak lupa juga, objektif utama adalah untuk mengeratkan ukhuwah islamiah yang terjalin dalam kalangan ahli baik yang baru mahupun yang lama.

Alhamdulillah, Mesyuarat Agung Tahunan kali ini dapat dilaksanakan di Asrama Pelajar Johor, Rabaah setelah sesi yang lepas,  2015/2016 terpaksa diadakan di luar premis sendiri iaitu bertempat di dewan Tontowi. Pendaftaran telah dibuka pada jam 7 pagi. Setelah itu, Majlis Perasmian diadakan  dengan dirasmikan oleh Penasihat BKPJM sendiri, Ustaz Muhammad Amin Bin Sailan.

Bukan itu sahaja, mesyuarat kali ini lebih menarik apabila diadakan Majlis Pelancaran Sukej yang sudah lama tidak menonjolkan dirinya sejak 7 tahun. Sebuah penghargaan dan ucapan terima kasih dirakamkan kepada kepimpinan sesi 2016/2017 yang bersungguh-sungguh menerbitkan majalah Sukej bermatlamatkan khusus untuk ahlinya. Tepat pada jam 9.00 pagi, Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-35 dimulakan dan berakhir pada jam 10.00 malam dengan solat Isyak secara berjemaah, jamuan dan sesi bergambar.

Sepanjang mesyuarat tersebut berlangsung, perwakilan ikhwah dan akhawat memberikan respon yang baik dengan mengajukan soalan-soalan kepada kepimpinan, memberikan muhasabah serta menyumbangkan idea dan cadangan.

MAT dihangatkan lagi dengan sebuah slot yang ditunggu-tunggu oleh ahli BKPJM iaitu slot Perbahasan Usul. Mesyuarat kali ini menerima 3 usul dengan matan usul yang berbunyi “Meminda Undang-undang Tubuh BKPJM bab 5, fasa 19 (A) Ahli Jawatankuasa Tadbir badan dianggotai oleh 10 orang kepada 11 orang” , “Menggempur gerak kerja hisbah demi kesejahteraan bersama” dan “Kesatuan tunjang kekuatan”.

Setelah selesai mesyuarat, pembubaran kepimpinan BKPJM sesi 2016/2017 telah diisytiharkan oleh YDP BKPJM 2016/2017, Ustaz Muhammad Arif Bin Hamzah. Kemudian, diumumkan pula keputusan pilihanraya oleh pengarah SPR dengan diumumkan calon yang menang tanpa bertanding. Norhalim Bin Lokman selaku YDP baru sesi 2017/2018 memberikan ucapan sekaligus mewakili Ahli Jawatankuasa Tadbir yang lain.

Akhir sekali, besar harapan BKPJM dan seluruh Eksekutif Pelaksana agar Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-35 pada  tahun ini lebih bermakna apabila tahun ini dapat dilaksanakan di Asrama Pelajar Johor Rabaah. Pengarah MAT, Ustaz Fathurrahman Bin Mohd Saleh yang juga merupakan AJKT baru sesi 2017/2018 turut berharap agar ahli-ahli BKPJM terus menyokong dan mendokong BKPJM kerana BKPJM merupakan wadah kesatuan anak-anak Johor di Mesir.

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...