Tuesday, January 22, 2019

[ MAHASISWA BERTHAQAFAH PENERUS GENERASI NUBUWWAH ]



 Mahasiswa merupakan satu kelompok yang membawa harapan umat dan aset bagi masyarakat. Mahasiswa juga merupakan penggerak utama kepada jatuh bangunnya dalam sesebuah negara. Di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, mahasiswa didefinisikan sebagai penuntut di universiti. Namun secara realiti, peranan mahasiswa melampaui definisi tersebut. Mahasiswa merupakan obor dan nadi perjuangan junjungan baginda Rasulullah S.A.W dan para Sahabat. Namun, tanpa thaqafah dan pengetahuan yang mapan, makna tersirat bagi mahasiswa tidak membawa apa-apa erti bagi seorang penuntut di universiti. 

Firman Allah S.W.T :


يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا۟ فِى ٱلْمَجَٰلِسِ فَٱفْسَحُوا۟ يَفْسَحِ ٱللَّهُ لَكُمْ ۖ وَإِذَا قِيلَ ٱنشُزُوا۟ فَٱنشُزُوا۟ يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ دَرَجَٰتٍ ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ  

Maksudnya : “ Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan”


 Seorang mahasiswa yang luar biasa tidak akan terlahir dari rahim yang pemikirannya hanya tercorak di bilik kuliah sahaja. Mahasiswa yang luar biasa merupakan seorang manusia yang pemikirannya jauh kehadapan melangkaui zaman. Corak pemikiran ini hanya mampu diacu dengan thaqafah yang jitu dan kualiti pembacaan yang bermutu. Mahasiswa seperti ini haruslah mempunyai semangat yang tinggi untuk menjulang keizzahan ilmu demi meneruskan perjuangan junjungan baginda Nabi Muhammad S.A.W. Untuk mencapai ke peringkat tersebut bukan satu perkara yang mudah, kerana banyak perkara yang perlu dikorbankan sama ada masa, tenaga dan harta. Namun, bagi seorang mahasiswa yang luar biasa, perkara tersebut tiada ertinya berbanding menjadi pewaris kepada gerak kerja Rasulullah S.A.W. Pepatah menyebut “nak seribu daya, taknak seribu dalih”.

 Dalam mengejar maksud sebenar mahasiswa, beberapa pra-syarat perlu dipatuhi sebelum bermulanya ekspedisi seorang mahasiswa yang berthaqafah. Antaranya, niat yang ikhlas dan kefahaman yang baik. Dua aspek ini merupakan elemen yang penting dalam pembentukan seorang mahasiswa yang berthaqafah. Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya I’lam Al-Muwaqi’in menyebutkan ada 2 nikmat yang terbesar selepas nikmat Iman dan Islam. Yang pertama Husnu al-Qasd (niat yang baik) dan yang kedua Husnu al-Fahm (kefahaman yang baik). Jika dua aspek ini gagal dipatuhi dengan elok, maka akan lahirlah mereka yang gemar bermain dengan ilmu tetapi ilmunya tidak pernah menatijahkan perkara yang baik bagi dirinya mahupun orang lain. 

 Setelah kedua aspek tersebut berjaya mendarah daging dalam diri mahasiswa, langkah diteruskan lagi dengan pembinaan thaqafah yang luas dalam diri. Antara nikmat terbesar yang wujud khususnya bagi mahasiswa di Mesir ialah bumi ini kaya dengan majlis ilmu. Terdapat ratusan majlis ilmu yang terhidang di hadapan mata dan hanya perlu dipilih sahaja. Majlis ilmu yang disajikan oleh para ulama’ di bumi Mesir ini sentiasa berkembang bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan. Seorang mahasiswa yang berthaqafah mestilah memperuntukkan sebahagian dari waktu hariannya untuk menghadiri majlis ilmu bagi menambah pengetahuannya dalam bidang yang diceburi. Satu lagi kenikmatan yang mampu dikecapi oleh mahasiswa di Mesir ini ialah majlis ilmu juga disediakan oleh peringkat pimpinan di setiap rumah negeri. Satu inovasi yang terlahir dari buah fikiran pimpinan yang terdahulu dengan menubuhkan Madrasah Al-Imam Abdullah Ibn Mubarak ( MAAIM ) yang menjemput para ulama’ yang berkredibilti tinggi untuk mencurahkan ilmu kepada mahasiswa di Perlembahan Nil ini. Maka, tiada lagi alasan bagi seorang mahasiswa untuk tidak menghadiri majlis ilmu. 

 Selain itu, mahasiswa yang berthaqafah sewajibnya menjadikan buku dan kitab sebagai rakan karib mereka. Pepatah Arab menyebut, “Sebaik-baik teman duduk setiap masa adalah buku”. Mahasiswa yang berthaqafah perlu bergelumang dengan bahan bacaan dengan kerap agar thaqafah yang baru sentiasa bertambah. Bahan bacaan pertama yang wajib dibaca dan dikupas isinya oleh setiap mahasiswa tidak lain dan tidak bukan ialah Al-Quran. Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi di dalam kitabnya Thaqafah Ad-Dai’yah menyebut, “ Antara kewajipan bagi seorang hafiz dan bukan hafiz ialah sentiasa berterusan membaca Kitabullah dengan penuh khusyu’ dan tadabbur. Membaca sambil membuka pintu hati, menerangkan dada untuk menerima kebenaran, menyediakan akal untuk cahaya pengetahuan dan cahaya kebenaran”. Setelah Al-Quran sudah menjadi sebahagian dari teman hidup, maka seorang mahasiswa perlu menambah lagi dengan bahan bacaan yang lain. Antara bahan bacaan yang baik bagi seorang mahasiswa ialah bahan bacaan yang berbentuk fikrah kerana secara tidak langsung mampu membentuk pemikiran yang baik. Selain itu, bahan bacaan berbentuk spiritual juga amat baik kerana genre sebegini mampu menjadi penyegar di kala hati sedang kelelahan.



  Seterusnya, setelah menghadiri majlis ilmu dan menambah pengetahuan dengan bahan bacaan, mahasiswa berthaqafah wajib mengamalkan segala yang terisi di dada dengan praktikal. Pelbagai medium yang tersedia untuk mencurahkan segala yang diketahui antaranya menjadi pembimbing dalam kelas tutor, menerima jemputan sebagai pengisi, menjadi kolumnis dalam majalah kampus, menjadi panel mahupun moderator dalam forum mahasiswa dan lain-lain. Proses sebegini mampu membentuk malakah pengetahuan seorang mahasiswa. Jika pengetahuan tersebut dibiar begitu sahaja, dikhuatiri akan hilang beransur-ansur sebelum sempat dimanfaatkan. Medan sebegini perlu dimanfaatkan sebaiknya sebelum turun ke medan yang lebih mencabar. Perlu diketahui berpencak di medan mahasiswa sangat berbeza dengan medan awam. Jika tidak diasah secara baik, nescaya ketumpulan dari dakwah yang dibawa akan terhasil dan akan merugikan.

  Akhirul kalam, moga dengan sedikit perkongsian ini mampu meniupkan sedikit semangat untuk bersama-sama menjadi seorang mahasiswa yang mampu menjadi ejen perubah masyarakat. Perlu diketahui bahawa ilmu dan amal perlu bergerak seiring laksana dua perahu yang bergerak di atas sungai yang sama. Imam Ghazali menyebut, “Ilmu tanpa amal itu gila, dan amal tanpa ilmu tidak membawa apa-apa”. Bergeraklah di atas bumi Allah dengan reda-Nya. Teruskan menjadi hamba.

Wallahualam.

Amirul Ashraf bin Sulaiman,
Kuliah Usuluddin,
Ketua Unit Pengetahuan dan Bimbingan BKPJM 18/19.

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...