Wednesday, April 13, 2022

[ TINTA PIMPINAN | PENGURUSAN MASA YANG BIJAK ]

 


TAJUK: PENGURUSAN MASA YANG BIJAK 

Semakin hari semakin dewasa,

Menyambut ia dengan bermacam rasa,

Berdepan Kita dengan pelbagai perkara,

Yang pasti semua itu terikat dengan masa, 

Jika celaru banyak kewajipan akan tertunda,

Bijaklah mengurus masa, ianya akan berjaya. 

Saranan Ibn Jauzi dalam sebuah kata-kata motivasinya yang masyhur : 

  " Hari-hari adalah lembaran baru untuk goresan amal perbuatan. Jadikanlah hari-hari mu sarat dengan amalan yang terbaik. Kesempatan itu akan segera lenyap secepat perjalanan awan, dan menunda-nunda pekerjaan tanda orang yang rugi dan barang siapa  bersampan kemalasan, ia akan tenggelam bersamanya."

 Sidang sahabat yang dirahmati Allah S.W.T ,

Masa itu adalah kehidupan, sebagai mahasiswa Islam perlulah kita bijak dalam menjayakan pengurusan masa yang berkesan agar kita mampu melakukan pelbagai perkara termasuklah melakukan aktiviti yang sihat untuk rohani dan jasmani. 

Terdapat 7 tanggungjawab kita sebagai mahasiswa Islam dalam menghargai masa :

1. Hak terhadap Allah dan Rasul

2. Hak terhadap ibu bapa

3. Hak terhadap akademik 

4. Hak terhadap jasmani

5. Hak terhadap masyarakat

6. Hak terhadap keluarga 

7. Hak terhadap perjuangan aktiviti yang diceburi

Sahabat  yang dimuliakan Allah S.W.T 

  Perlulah kita percaya bahawa kewajipan seharian kita  adalah lebih banyak daripada masa untuk kita manfaatkan dengan sebaiknya. Kewajipan kita sebagai mahasiswa bukanlan berpundak kepada satu perkara sahaja. Namun sering kita gagal dalam mengurus dan menjadi satu bebanan pada akhirnya.

Punca seseorang lemah dalam mengatur masa 

1. Sibuk kepada perkara sampingan

2. Letakkan amal ibadat yang sederhana 

3. Penuhi dengan perkara yang tidak berfaedah

4. Kumpul banyak perkara dalam satu masa 

5. Meyakini esok masih ada 

Punca-punca di atas inilah yang menyebabkan kita berada pada tahap lama dan tidak bertindak.

Teringat akan pesanan Imam Ghazali, 

" Kehidupan ini cuma tiga detik, sesaat yang berlalu tidak dapat kita ubah lagi, sesaat yang sedang dilalui ini manfaatkan sebaiknya dan sesaat yang akan datang belum pasti kita temui."

Oleh itu, kita perlu amalkan beberapa langkah dalam menjalankan  pengurusan masa yang efektif. 

Langkah dalam pengurusan masa yang efektif

1. Kenal pasti kekuatan dan kelemahan diri kita 

2. Perancangan jadual yang tersusun dan mengutamakan prioriti

3. Fokus pada matlamat yang jelas

4. Elakkan daripada terpedaya dengan perkara trivia (perkara-perkara kecil dan tidak penting)

5. Sentiasa muhasabah aktiviti seharian 

Ketahuilah sahabat, bahawa prestasi kehidupan seseorng bergantung kepada prestasi pengurusan masa kita seharian. Biasakanlah seharian kita dengan perkara-perkara yang membuahkan hasil. "At first you make habits, at last habits make you".

Firman Allah S.W.T :

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيم

 وَٱلْعَصْرِ

إِنَّ ٱلْإِنسَٰنَ لَفِى خُسر

إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّٰلِحَٰتِ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلْحَقِّ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلصَّبْرِ

Demi masa,

Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

Akhir kata, pengurusan masa perlulah dipandang serius oleh setiap individu. Hal ini kerana, ia boleh mendatangkan kesan yang negatif kepada diri seseorang. Marilah sama-sama kita mempratikkan kepentingan pengurusan masa agar kehidupan kita sebagai mahasiswa Islam lebih teratur dan dapat diharungi dengan mudah.

Bittaufiq wannajah sahabat fillah .

Sekian,

والله أعلم

Ustazah Nur Ayuni binti Mohd Zamri

Unit Sambutan dan Rehlah HEWI (Lajnah Kebudayaan, Kesenian dan Sukan HEWI) BKPJM 21/22


Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...