Sunday, December 23, 2018

MENJADI HAMBA KEPADA ALLAH BUKAN KEPADA PEPERIKSAAN


   Peperiksaan merupakan sebuah penilaian yang dilaksanakan untuk mengetahui tahap penguasaan atau pemahaman pelajar di sesebuah institusi pengajian, baik di peringkat persekolahan mahupun di universiti, dengan tertakluk kepada gred yang ditetapkan oleh jabatan pendidikan sesebuah negara terhadap setiap tingkatan penguasaan.  Justeru itu, semestinya semua pelajar menginginkan keputusan yang terbaik dalam setiap peperiksaan yang diduduki mereka.

 Namun, ada segelintir pelajar yang berpendapat bahawa peperiksaan adalah segala-galanya dalam menentukan hala tuju dan baik-buruk kehidupan mereka di masa hadapan, sehinggakan acapkali terlupa tujuan utama kehidupan iaitu untuk menggapai keredhaan-Nya.  Lantas, kita perlu sentiasa beringat dan kembali kepada fitrah seorang hamba iaitu menjadi hamba kepada Allah bukannya kepada peperiksaan yang hanya merupakan penetapan manusia semata-mata.

  Ramai manusia mencari kedudukan di sisi manusia, dengan menginginkan keputusan yang cemerlang.  Akan tetapi, berapa ramai yang beringat untuk menjadi hamba yang cemerlang di dunia dan di akhirat sana. Malah, ilmu yang bermanfaat bukan hanya bertujuan untuk cita-cita, akan tetapi untuk mengecapi sebuah makna. Dengan ilmu yang bermakna dan sikap yang ikhlas, kita dapat mendidik diri kita untuk melakukan amal islami dan menyumbang kepada agama Allah. Apabila belajar sesuatu ilmu hanya untuk mengejar cita-cita, pastinya ia merugikan masa kerana tujuan hidup bukan untuk bekerja dan mendapat pangkat tinggi semata-mata.  Akan tetapi, untuk menegakkan amar makruf nahi munkar  (Menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran) di samping menjadi hamba Allah yang bertaqwa.  Bertepatan dengan firman Allah SWT:

 وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإِنسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونِ
Surah Adz-Zariyat, ayat 56

Maknanya: "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia kecuali untuk mereka menyembah-Ku "

  Ramai manusia mampu menghafal ilmu, tetapi tidak ramai yang mampu mengamalkan ilmu-ilmunya.  Hal ini kerana, hakikat ilmu itu bukan apa yang dihafal tetapi apa yang diamalkan. Secebis kata yang daripada Imam As-Syafie:

"Apabila kamu tidak tahan penatnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kejahilan"

"العلم نور، ونور الله لا يهدى لعاصي"

" Ilmu itu cahaya dan cahaya Allah tidak akan memasuki hati orang yang bermaksiat."


Oleh: Ustazah Nurhazirah binti Abdul Manan
Unit Sambutan dan Rehlah HEWI BKPJM 18/19

.::Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan::.
.::Kesyumulan Islam Tunjang Kesatuan Ummah::.
.:Memacu Profesionalisme Mahasiswi::.
.::Kebajikan dan Perpaduan::.

Wednesday, December 12, 2018

BEKALAN PENDAKWAH AZHARI


DISEDIAKAN OLEH : FATIN FARHANAH BINTI MOHD KHAIR
SETIAUSAHA PROFESIONAL AZHARI (PRO AZHARI) 2019

KAHERAH, 8 DISEMBER 2018 – Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) 18/19 telah menganjurkan sebuah seminar yang berlangsung di Dewan Asrama Pelajar Johor, Hayyu Thamin.

Seminar yang diberi nama Profesional Azhari atau singkatannya Pro Azhari ini dilaksanakan bertujuan membentuk kefahaman Islam yang sebenar dan melengkapkan mahasiswa dan mahasiswi dengan kemahiran softskill serta thaqafah kontemporari.

Pengisi bagi setiap slot terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang tersebut. Pengisi yang pertama ialah Ustaz Abdullah Hussin, Aktivis Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir (KPKM) . Beliau menerangkan bahawa syahadah ialah pintu masuk kepada Islam dan makna syahadah ialah hadir dan ilmu. 

Slot seterusnya disampaikan oleh Ustaz Ahmad Lutfi bin Subahan selaku Setiausaha Agung BKPJM 18/19 dan beliau menekankan keberkesanan sesuatu mesyuarat dijalankan dan membincangkan berkaitan pengendalian mesyuarat dan peranan ahli mesyuarat serta adab-adab bermesyuarat. Pengisi berharap agar peserta dapat mempraktikkan ilmu yang telah diperoleh sebaiknya.

Slot yang terakhir ialah Perubatan Islam dan Gangguan Jin Serta Rawatannya yang disampaikan oleh Ustaz Halim Zakaria bin Yusuf, Aktivis Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) Beliau turut berkongsi tentang amalan-amalan untuk melindungi diri daripada jin dan makhluk halus.

Antara kalam Pengarah Pro Azhari, Ustaz Muhammad Yahya bin Samsul,  beliau mengatakan bahawa “Pro Azhari adalah satu program tarbiah, dan tarbiah membentuk individu secara syumuliah". BKPJM berharap agar program ini memberi manfaat yang besar kepada peserta dan dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Sunday, December 9, 2018

KESYUMULAN ISLAM DIREALISASIKAN DALAM SEBUAH JEMAAH


KESYUMULAN ISLAM DIREALISASIKAN DALAM SEBUAH JEMAAH

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Segala Puji bagi Allah SWT Tuhan Sekalian Alam. Selawat dan Salam atas Junjungan Besar Baginda Nabi Muhammad SAW.

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT atas segala nikmat dan kasih sayang yang telah Allah berikan kepada kita terutamanya nikmat yang besar iaitu nikmat Iman dan Islam.

Suka saya menukilkan satu karya penulisan berdasarkan tema dan pembawaan BKPJM bagi sesi yang baru ini iaitu sesi 2018/2019. Semoga pimpinan BKPJM dapat merealisasikan tema dan pembawaan ini kepada seluruh anak Johor di Mesir.

Firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

hai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. (Surah Al-Baqarah : 208)

Allah SWT menyebut perkataan beriman disitu kerana mereka diberi tanggungjawab untuk membawa Islam dan disusuli taklif (perintah dan kewajipan).

Kewajipan yang dimaksudkan disini ialah masuk ke dalam agama Islam itu secara keseluruhannya kerana kalimah "" ادخلوا  disitu membawa kepada "فعل الأمر".

Ulama menyebut bahawa "  " السلم  itu adalah agama Islam itu sendiri kerana ianya adalah agama perdamaian yang menyeru kepada kedamaian dan membawa kesejahteraan kepada manusia.

Maksud pada ayat ادخلوا في السلم كافة ""  ialah masuk lah ke dalam agama Islam itu secara menyeluruh dengan makna betul-betul sebati dengan ajaran Islam yang sebenar dan tidak mengambil sebahagian pun daripada ajaran Islam itu sendiri.

Jadi bagi sesiapa yang membawa satu pendekatan atau gambaran yang berlainan dan bertentangan daripada Islam maka ianya tidak membawa kepada ajaran Islam yang sebenar.

Allah SWT menyebut perkataan " الشيطان " disitu ialah kerana mereka adalah musuh ketat dan makhluk yang berusaha untuk memalingkan manusia dalam bentuk apa cara sekalipun.

Disebut dalam kitab "خواطر قرانية" karangan Amru Khalid bahawa diantara penyebab hadirnya ayat ini kerana ayat-ayat sebelumnya menjelaskan tentang sebahagian daripada Islam iaitu dari sudut beribadat, hukum waris, peperangan, aturan haji dan infaq.

Maka ayat ini hadir untuk memberitahu bahawa agar umat Islam mengambil Islam secara keseluruhannya dan juga memperingatkan tidak mengambil Islam dengan sebahagian sahaja.

Islam ini adalah agama yang menyeluruh dan Islam tidak sama dengan agama lain yang mengambil sebahagian sahaja dalam agamanya. Islam ini mengikut syariat iaitu merangkumi ibadat, munakahat, muamalat dan jenayat.

Sekecil-kecil perkara seperti memakai selipar bermula kaki kanan pun ada dalam Islam apatah lagi sebesar-besar perkara seperti pentadbiran Islam. Maka ini yang menunjukkan bahawa Islam bukan agama yang lemah bahkan agama yang syumul.

Habib Rizieq Syihab  اللهحفظه  ada menyebut bahawa “Islam ini bukan seperti makanan hidangan (boleh dipilih-pilih) tetapi Islam perlu masuk sepenuhnya. Agama Islam ini adalah aturan Allah dimana kita perlu buat apa yang Allah perintahkan dan kita perlu tinggal apa yang Allah larang.”

Penghayatan dan pengamalan segala syariat dalam Islam itu tidak boleh tidak perlu direalisasikan melalui wasilah sebuah jemaah atau kesatuan yang utuh lagi bersungguh-sungguh untuk mengamalkan Islam itu secara menyeluruh.

Firman Allah SWT :

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai. (Sura Ali-Imran : 103)

Ayat di atas menerangkan kepada kita bahawa kita perlu berpegang teguh dengan agama Allah keseluruhannya. Ini menunjukkan bahawa umat Islam perlu bersatu dan menjadikan Islam itu sebagai asas dan panduan utama bagi seluruh gerak kerja dalam kehidupan kerana Islam adalah satu-satunya agama yang diiktiraf oleh Allah SWT.

Suka saya untuk memetik satu kalam daripada Saidina Umar Al-Khattab R.A :

”لا الإسلام إلا بالجماعة، لا الجماعة إلا بالقيادة، لا القيادة إلا بالطاعة“

“Tidak akan kuat Islam melainkan dengan Jemaah, Tidak akan kuat Jemaah melainkan dengan Kepimpinan, Tidak akan kuat Kepimpinan melainkan dengan Taat”

Berdasarkan kalam hikmah tersebut, kita dapat memahami bahawa kekuatan Islam itu akan hadir apabila semua bersatu padu dalam satu jemaah. Dan kekuatan jemaah itu akan hadir apabila wujudnya sifat taat dan wala' seorang ahli kepada kepimpinan dalam sebuah jemaah.

Kekuatan dalam menyeru manusia dan umat kepada ajaran Islam yang sebenar ialah tidak mencukupi jika dilakukan secara berseorangan tanpa jemaah tetapi perlu bergerak bersama jemaah supaya dapat saling membantu dan saling melengkapi antara satu sama lain.

Ulama' ada menyebut dalam satu kaedah yang berbunyi :

”للوسائل حكم للمقاصد“

“Hukum bagi wasilah sama dengan tujuannya”

Kaedah ini bersesuaian dengan pelaksanaan gerak kerja Islam secara syumul. Jadi bagi mencapai tujuan kesyumulan Islam itu adalah tidak boleh tidak perlu dilaksanakan dengan wasilah sebuah jemaah yang kuat dan kukuh atas dasar Islam.

Akhir kalam, saya memetik satu kalam hikmah mulia daripada Sulthonul Ulama' Al-Allamah Al-Arif Billah Al-Habib Salim bin Abdullah Asy-Syatiri  الله رحمه  iaitu :

”مجالس الخير تجعلك الخير ولو أنت من الأشرار
ومجالس الشر  تجعلك الشر ولو أنت من الأخيار“

“Perkumpulan yang baik akan menjadikan kamu baik meskipun kamu adalah orang yang buruk dan perkumpulan yang buruk akan menjadikan kamu buruk meskipun kamu adalah orang yang baik”.

Kalam ini memberitahu tentang perihal fadhilat berada dalam sebuah jemaah. Ianya menunjukkan bahawa dengan berada dalam sebuah jemaah yang baik mampu mengislah dan mentarbiyah diri kita ke arah yang lebih baik.

Maka marilah kita sama-sama sebagai mahasiswa Johor yang berada di bumi Mesir ini untuk bersama-sama berada dalam bahtera BKPJM sebagai wasilah untuk mencapai tujuan kita yang sebenar iaitu merealisasikan kesyumulan Islam demi kesejahteraan dan kebajikan bagi seluruh anak-anak Johor di Mesir.

Wallahu'alam.
Muhammad Harith Osman
21 November 2018.

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...