Saturday, July 31, 2021

[ MAKLUMAN RASMI | PEMBUKAAN PERMOHONAN SYANTOH KEBAJIKAN ANAK JOHOR DI MUHAFAZAH ]


Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir merupakan satu kesatuan induk yang sentiasa mengambil cakna mengenai kebajikan anak Johor di Mesir.

Sehubungan dengan itu, saya selaku Timbalan Yang di-Pertua (Lajnah Perancang) BKPJM 20/21 dengan sukacitanya ingin memaklumkan pembukaan permohonan Syantoh Kebajikan kepada anak Johor di muhafazah.

Oleh itu, bagi anak Johor di muhafazah yang berminat untuk mendapatkan syantoh kebajikan, boleh mengisi _google form_ yang akan disertakan di laman rasmi Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir.

Tempoh permohonan bermula 1-4 Ogos 2021.


Edaran Syantoh ini dikhususkan bagi muhafazah  :

1) Iskandariah

2) Mansourah

3) Tanta

4) Zaqaziq

5) Shoubra


Untuk mengetahui maklumat lebih lanjut, pemohon boleh merujuk _wallpaper_ yang akan dikeluarkan di laman rasmi BKPJM.

Sebarang permasalahan atau pertanyaan, sila hubungi ketua Majlis Perwakilan Muhafazah (MPM) :


Ikhwah :

• Mohamad Safwan bin Kamazelan

+601156958294 (ws)

+201119772196 (call)

Akhawat :

• Nur Syuadah binti Mohd Salleh

+201127955376 (ws & call)


Semoga usaha yang telah dirancang peringkat BKPJM ini dapat menjaga kebajikan anak Johor di Mesir.


Mohamad Safwan bin Kamazelan

Timbalan Yang di-Pertua (Lajnah Perancang) BKPJM 2020/2021

Monday, July 12, 2021

[ GENDER KETIGA | SUATU TAFSIRAN YANG TERPESONG DARIPADA LANDASAN AGAMA ]

 


Gender Ketiga: Suatu Tafsiran Yang Terpesong Daripada Landasan Agama

            Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta keluarga baginda, para sahabat, serta orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari akhirat. 

            Kita telah digemparkan dengan satu isu yang dicetuskan oleh SUHAKAM ( Suruhanjaya Hak Asasi Manusia ) pada 14 Jun 2021 yang mana telah menyiarkan iklan untuk mencari penyelidik bagi kajian ‘The Research on Feasibility of Having Legislation on The Recognition of a Third Gender in Malaysia’. Perkara ini telah menimbulkan penentangan dari pelbagai pihak khususnya dalam kalangan rakyat yang beragama Islam terhadap golongan yang berusaha untuk mengiktiraf kelompok transgender tersebut. Oleh kerana itu, pelbagai pihak telah mula bersuara dan mula menimbulkan perdebatan dan perbahasan berkenaan gender ketiga tersebut.

Apa Yang Dimaksudkan Gender Ketiga?

Menurut Wikipedia, gender ketiga atau jantina ketiga adalah kelas sosial yang dikenalpasti melalui perangai, psikologi dan karakter yang dibina berlainan daripada jantina lelaki atau perempuan. Jantina ketiga juga digunakan untuk menggambarkan kategori yang wujud dalam beberapa masyarakat yang tahu lebih daripada dua jantina. Perkataan "ketiga" biasanya ditafsirkan untuk merujuk kepada sesuatu yang "lain".

Keadaan biologi menentukan sama ada seks anatomi dan kromosom seseorang itu lelaki,  perempuan atau salah satu variasi luar biasa yang boleh menimbulkan kekaburan yang dikenali sebagai intersex. Walau bagaimanapun, cara orang itu mengenal pasti dirinya sendiri atau dikenalpasti dalam masyarakat sebagai lelaki, perempuan,atau sebaliknya, secara amnya ditentukan oleh identiti jantina dan peranan jantina dalam budaya tertentu di mana dia tinggal.

Gender Ketiga Menurut Perspektif Islam

Setiap manusia yang lahir ke atas dunia diciptakan dengan fitrah yang tersendiri. Fitrah adalah sesuatu yang bersifat suci kerana ianya merupakan aturan oleh Allah SWT dan bersifat semulajadi. Sesuatu yang bersifat semulajadi tidak boleh dianggap tidak rasional, tidak berhati perut dan lain-lain. Sebagai contoh, jika seekor haiwan memakan haiwan yang lain maka ianya adalah fitrah dan aturan semulajadi, tetapi jika manusia yang berbunuhan sesama sendiri maka ianya bukan fitrah.  Begitu juga fitrah manusia yang dilahirkan sama ada sebagai lelaki ataupun perempuan, yang mana merupakan aturan semulajadi. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا

(49:13)

Maksudnya : “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)…”

Namun begitu, adanya manusia yang dilahirkan secara semulajadi mempunyai 2 alat kelamin lelaki dan wanita, yang mana dikenali di dalam Islam sebagai khunsa (خنثى).

Bertepatan dengan definisi yang telah diletakkan oleh Kamus Dewan Edisi Keempat, khunsa ialah individu yang mempunyai 2 alat kelamin.

Manakala menurut Imam al-Nawawi pula, beliau menegaskan bahawa khunsa bukanlah jantina yang ketiga. Mereka ini tergolong sama ada lelaki atau wanita. Beliau menyebut :

فَمَذْهَبُنَا أَنَّهُ إمَّا رَجُلٌ وَإِمَّا امْرَأَةٌ وَلَيْسَ قِسْمًا ثَالِثًا

“Mazhab kami menentukan bahwa khunsa itu sama ada lelaki atau perempuan. Dia bukan jantina ketiga.”

Keburukan dan Kesan Pengiktirafan Gender Ketiga:

1.      Mencabuli hak asasi manusia akibat daripada diskriminasi terhadap jantina, serta memberi kesan yang buruk terhadap masa hadapan masyarakat dan negara.

2.      Boleh mengakibatkan jenayah sosial yang serius dalam kalangan masyarakat apabila terjadinya hubungan sejenis di luar tabi’i antara lelaki dengan lelaki, atau perempuan dengan perempuan.

3.      Berlakunya penipuan keatas jantina asal seseorang individu, hasil daripada kesan transgender atau transeksual keatas dirinya yang boleh mengakibatkan hilangnya imej dan identiti seorang muslim.

4.      Meruntuhkan institusi kekeluargaan disebabkan kesan buruk terhadap jangka masa panjang kepada kelangsungan generasi dan populasi rakyat sesebuah negara tersebut.

Kesimpulan:

            Kita dapat lihat di sini bahawa usul penyelidikan dan kajian terhadap gender ketiga yang dibawa oleh SUHAKAM dalam usaha untuk mengiktiraf gender ketiga di dalam perundangan Malaysia ini ditentang kerana ia membawa kepada  banyak keburukan serta membuka ruang kepada budaya hidup yang tidak sihat dalam kalangan masyarakat. Bahkan ia juga melahirkan generasi yang rosak didalam institusi kekeluargaan dan penipuan jantina asal seseorang individu itu. Maka, perlulah ditekankan di sini bahawa pentingnya mewujudkan satu suasana masyarakat yang harmoni tanpa mendiskriminasi jantina dalam kalangan individu dan masyarakat majmuk, agar keamanan dan keharmonian dalam sesebuah negara terpelihara.

Disediakan oleh: Ahmad Najib bin Fadilah

Sumber Rujukan:

1.      Alquran serta terjemahannya.

2.      Wikipedia: Definisi Gender ketiga.

https://www.translatetheweb.com/?from=id&to=ms&dl=en&ref=trb&a=https%3A%2F%2Fid.wikipedia.org%2Fwiki%2FGender_ketiga

3.      Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat: Definisi Khunsa.

4.      Bayan Linnas siri ke-235: Gender Ketiga menurut perspektif Islam.

https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/4838-bayan-linnas-siri-ke-235-gender-ketiga-menurut-perspektif-islam?fbclid=IwAR2_E8olg7P6c0v1Drc50izGwO8Bf29js4SDh8G3H6HYDSWCkgUtammbo5s

 

 


Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...