Thursday, March 31, 2022

[ PEMBAWAAN UBS KEDUA | INDAHNYA SOLAT BERJEMAAH ]

 


INDAHNYA SOLAT BERJEMAAH
  
• Dalil al-Quran: 
 
وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ الصَّلَاةَ فَلْتَقُمْ طَائِفَةٌ مِّنْهُم مَّعَكَ 
Maksudnya: Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak daripada mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu. (Surah al-Nisa: 102) 
 
Imam Ibrahim al-Bajuri menyebut bahawa dalil ini tuntutan ketika ketakutan (contoh: peperangan) maka lebih utama lagi dalam keadaan aman (Hasyiah al-Bajuri) 
 
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ
 
Maksudnya: Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk. (Surah al-Baqarah: 43) 
 
Syeikh Sa’id Hawwa menyebut bahawa maksud ayat ini ialah solat berjemah dan kebanyakan ulama menggunakan dalil ini ke atas kewajipan solat berjemaah (al-Asas Fi al-Tafsir) 
 
• Dalil Hadis: 
 
عن عبدالله بن عمر رضي الله عنهما أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: ((صلاةُ الجماعةِ أفضلُ مِن صلاةِ الفذِّ بِسبعٍ وعشرينَ درجةً)) (متفق عليه)
 
Maksudnya: Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersenderian sebanyak 27 darjat (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 
 
Ustaz Sofuan Soberi menyebut bahawa 27 darjat itu didapati pada mula-mula masuk pada solat jemaah itu hingga habis solat walaupun masbuq, cumanya 27 darjat bagi orang yang datang awal itu terlebih besar berbanding 27 darjat bagi orang yang datang lambat dalam solat jemaah. 
 
Ada riwayat kata 25 bahagian (juz’a). Maka Imam al-Nawawi menyebut bahawa sama ada 25 atau 27 bahagian adalah berdasarkan keadaan solat dan orang yang menunaikannya dan kesempurnaan solatnya serta sejauh mana dia menjaga solat secara berjemaah (Majmuk Syarh al-Muhazzab)
 
• Ta’rif Solat Berjemaah 
 
Bahasa: Golongan atau kumpulan (طائفة). 
Istilah: Satu ikatan solat makmum dengan solat imam (ربط صلاة المأموم بصلاة الإمام). 
  
• Hukum Solat Berjemaah 
 
1. Sunat Muakkadah –  Ini pendapat Imam Rafiie. Ataupun disebut sebagai Sunat Ain (dituntut atas tiap-tiap orang). Sunat Muakkadah ini maksudnya hampir-hampir jadi wajib.  
 
2.  Sunat Kifayah – Pekerjaan yang dituntut untuk dilaksanakan tetapi pekerjaan sunat itu memadai apabila seorang melakukannya maka pahala bagi yang membuat sahaja, tidak pada orang lain. 
 
3.  Fardhu Ain – Ini pendapat Imam Ahmad bin Hanbal. Wajib iaitu ada dua pendapat iaitu jika tidak berjemaah tidak sah dan tidak berjemaah sah tapi berdosa. Imam Ahmad mengambil hukum ini berdasarkan dalil bahawa Nabi SAW keinginan kuat untuk memerintahkan solat supaya diiqamatkan (berjemaah), lalu aku pergi ke rumah mereka yang tidak solat berjemaah kemudian aku akan bakar rumah-rumah mereka (ancaman Nabi SAW). 
 
Ulama mazhab Syafie berpendapat bahawa hadis ini tidak menjadi dalil hukum solat berjemaah Fardhu Ain kerana yang pertama adalah Rasulullah tidak mengotakan keinginan untuk membakar rumah-rumah mereka dan mereka yang meninggalkan solat berjemaah pada masa itu ialah mereka yang sangat jelas munafiq dan mereka sebenarnya tidak solat sama sekali. 
 
4. Fardhu Kifayah – Ini adalah pendapat yang asoh (terlebih sah) menurut Imam Nawawi dalam mazhab Syafie bagi lelaki yang baligh, merdeka, bermuqim dan dalam solat tunai sahaja. Yakni fardhu kifayah pada rakaat pertama sahaja, tidak wajib berjemaah pada setiap rakaat. Jika telah buat satu rakaat maka terlepas tuntutan fardhu kifayah. 
 
• Pensyariatan Solat Berjemaah 
 
Rasulullah SAW telah menetap di Mekah selama 13 tahun, di sepanjang tempoh itu baginda tidak solat berjemaah kerana para sahabat baginda masih dikuasai oleh kaum kafir Quraisy. Oleh itu, mereka menunaikan solat di rumah masing-masing. Setelah berhijrah ke Madinah, mereka telah mendirikan solat berjemaah dan berterusan memeliharanya. Melalui kesungguhan Rasulullah SAW dan para sahabat memelihara solat berjemaah inilah maka ulama’ secara ijma’ mengatakan solat berjemaah sememangnya disyariatkan (al-Mughni al-Muhtaj)

Ada yang mempersoalkan bagaimana dengan peristiwa solat yang telah didirikan oleh Rasulullah SAW bersama para sahabat keesokan hari selepas peristiwa al-Isra’ wa al-Mi’raj yang diimamkan oleh Jibril. Peristiwa kedua ialah Nabi SAW solat bersama Saidina Ali dan Saidatina Khadijah. Kedua-dua peristiwa ini berlaku di Mekah. Maka Ustaz Haidzir menjawab, yang dimaksudkan baginda tidak solat berjemaah sebelum hijrah ialah tidak melakukan solat berjemaah secara terang-terangan dan tidak berterusan melakukannya (Solat Berjemaah Serta Panduan Imam dan Makmum) 
 
• Nilai Solat Berjemaah di sisi Salaf al-Soleh 
 
- Mereka yang hidup sepanjang 3 kurun pertama yang dikenali sebagai generasi al-Salaf al-Soleh beranggapan bahawa tidak dapat menunaikan solat secara berjemaah itu adalah seperti ditimpa suatu musibah. 
 
- Suatu ketika, seorang lelaki pergi ke kebun kurmanya. Apabila dia pulang, didapatinya orang ramai sudah selesai menunaikan solat Asar berjemaah. Kemudian ia mengatakan (inna lillahi ila akhir), telah luput daripadaku solat berjemaah. Maka dengan itu bersaksikan kamu semua, sesungguhnya kebun kurma aku itu aku sedekahkan kepada fakir miskin. 
 
- Suatu ketika Saidina Abdullah bin Umar RA luput daripada solat Isyak berjemaah. Maka dengan itu, ia telah mengulangi solat Isyak sepanjang malam sehingga terbit fajar, bertujuan untuk menampung kekurangan pahala yang ia tidak perolehi akibat tertinggal solat berjemaah tadi. 
 
- Abdullah bin Umar al-Quwariri RA, beliau berkata, aku tidak pernah luput solat berjemaah. Pada suatu malam, aku didatangi tetamu, dan dengan sebab sibuk melayaninya, aku tidak dapat solat Isyak berjemaah di masjid. Kemudian aku pergi juga ke masjid untuk solat berjemaah tetapi setibanya aku di sana aku dapati masjid sudah berkunci. Kemudian aku pulang ke rumahku dengan perasaan sungguh sedih. Aku berkata kepada diriku, dalam Hadis Rasulullah SAW bersabda (solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat). Maka dengan itu, aku pun solat Isyak 27 kali. 
 
Kemudian, aku tidur. Dalam tidurku aku bermimpi, aku melihat diriku menunggang kuda bersama-sama orang kampung dan mereka berada di hadapanku. Aku memacu kudaku di belakang mereka, tetapi aku tidak dapat mengejar mereka. Salah seorang daripada mereka berpaling ke arahku dan berkata, engkau memenatkan kudamu, engkau tidak akan dapat mengejar kami. Aku bertanya, mengapa? Maka dia berkata, kerana kami solat Isyak berjemaah, sedangkan engkau solat bersendirian. Aku terus terjaga daripada tidur dengan perasaan sedih. 
 
- Sesetengah ulama salaf berpendapat bahawa seseorang itu tidak akan terluput daripada solat berjemaah melainkan kerana dosa-dosa yang telah dilakukannya. Pada umumnya masyarakat di zaman itu menganggap solat berjemaah adalah suatu yang amat penting dalam kehidupan mereka. Jika ada di antara mereka yang tidak dapat menunaikan solat secara berjemaah satu waktu, maka anggota masyarakat yang lain akan mengucapkan takziah kepadanya berlanjutan selama seminggu. Ada yang meriwayatkan, walaupun hanya terlewat satu rakaat sahaja. 
 
Mereka juga akan mengucapkan takziah selama 3 hari berturut-turut kepada sesiapa sahaja yang terlewat dan tidak mendapat takbiratul ula bersama imam. 
 
• Hikmah dan Kelebihan Solat Berjemaah 
 
1. Mendapat ganjaran besar dengan 27 darjat. 
 
2. Manusia mungkin saling berpecah dan dengki antara satu masa lain. Maka dengan wujudnya pertemuan melalui solat berjemaah akan menthabatkan hati-hati mereka daripada terus koyak akibat perpecahan dan menjaga hati mereka daripada kebencian dan hasad. Orang mukmin yang sejati itu bukan seperti orang munafik; orang mukmin menzahirkan solat berjemaah dan ibadah mereka dan berusaha untuk sentiasa ke masjid (Fiqh al-Manhaji) 
 
3.  Perkumpulan orang Islam itu menzahirkan keagungan syiar Islam agama Islam. Padanya ada syiar kesatuan, kekuatan dan hubungan yang baik dengan Allah dan agamanya (Taisir al-Fiqh al-Islam li al-Nasyiah)

4. Dilepaskan daripada api neraka dan selamat daripada sifat munafiq (al-Taqrirat al-Sadidah) 
 
5.  Diampunkan dosa (al-Taqrirat al-Sadidah) 
 
• Pengajaran 
 
1.  Solat berjemaah mendidik dan mentarbiyah umat Islam untuk hidup dalam sebuah jemaah dengan mematuhi adab-adab sebagai makmum (ahli) dan imam (pemimpin). 
 
2.  Tuan Guru Haji Zulkifli Ismail menyebut bahawa tidak akan tercapai kesatuan muslimin ini melainkan mereka semua beriltizam dalam jemaah muslimin dan pimpinan mereka. Yang dikehendaki dengan jemaah muslimin ini ialah orang-orang yang berpegang teguh dengan kebenaran daripada kalangan muslimin walaupun seorang (Risalatut Tahridh alal Jihad Fi Islahil Bilad wal Ibad) 
 
3.  Mengikat tali kesatuan umat Islam dan bersatu-hati dalam mencapai tujuan yang sama iaitu mendapatkan keredhaan Allah. 
 
Wallahu a’lam.

Disediakan oleh: Unit Biah Solehah, Unit Dakwah dan Tarbiah BKPJM 2021/2022

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...