Thursday, February 11, 2021

TINTA PIMPINAN | MEMAHAMI ERTI SEBUAH IMTIHAN



[ MEMAHAMI ERTI SEBUAH IMTIHAN ]


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن تبعه ونصره ومن والاه.

ربنا زدنا علما وارزقنا فهما وحكما. 


Firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut, ayat kedua dan ketiga: 

أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُون َ(٢) وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ (٣)

Maksudnya: "Apakah manusia itu menyangka bahawa mereka akan dibiarkan (begitu saja) dengan hanya mengatakan: "Kami telah beriman", sedangkan mereka tidak diuji lagi?. Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah pasti mengetahui, siapa di kalangan mereka yang benar dan siapa yang berdusta." (Surah al-Ankabut: 2-3)


Perkataan ujian (al-Imtihan) kerap kali disebut dalam al-Quran dan hadis, dan ia juga disebut dengan perkataan sinonimnya seperti al-Ibtila' dan al-Ikhtibar. Pendek kata, pelbagai firman Allah SWT dan hadis Rasulullah SAW yang menerangkan berkenaan ujian menunjukkan bahawa kitaran hidup manusia ini sentiasa bertemankan ujian.


(Hubungkait usaha dan tawakal)

Sidang hadirin yang dihormati,

Bilamana disebut ujian, pasti tidak boleh dipisahkan daripada usaha dan tawakal dalam menghadapinya. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran, ayat 159:

فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Maksudnya: "Apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya." (Surah Ali-Imran: 159)


Menurut Prof Dr. Yusuf al-Qaradhawi, tawakal bermaksud menyusun atur strategi dan persediaan dalam melaksanakan sesuatu perkara sebelum menyerahkan natijahnya kepada Allah SWT. Daripada tafsiran tawakal itu sendiri kita dapat simpulkan bahawa perlunya wujud usaha sebelum bertawakal kepada Allah SWT. Suka untuk saya kemukakan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Umar bin al-Khattab RA, Nabi SAW bersabda:


لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصاً وَتَرُوحُ بِطَاناً

Maksudnya: “Seandainya kamu semua benar-benar bertawakal pada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.” (Hadis Riwayat Imam al-Tirmidzi)


Maka jelas disini, tawakal tidak boleh dipisahkan dengan usaha dan ikhtiar, hatta binatang seperti burung sendiri mengambil ikhtiar dan usaha terlebih dahulu sebelum menyerahkan hasilnya kepada Allah SWT. Tawakal hendaklah diselarikan dengan  pelbagai usaha yang akan membawa kepada natijah yang diinginkan. Rasulullah SAW sendiri pernah berkata kepada seorang lelaki pemilik unta:

 اَعقِلْهَا وَتَوَكَّل

Maksudnya: “Ikatlah (untamu), baru kamu bertawakal.” (Hadis Riwayat al-Tirmidzi dan Ibn Hibban)


Rasulullah SAW memerintahkan kepadanya untuk melakukan usaha dan ikhtiar terlebih dahulu, kemudian menyerahkan urusannya (natijahnya) kepada Allah SWT. Justeru, hendaklah wujud usaha dalam melaksanakan sesuatu perkara di samping menyerahkan urusan kepada Allah SWT. Tegasnya, mahasiswa mesti memahami konsep usaha dan tawakal dengan baik, serta menerapkannya dalam menghadapi fatrah peperiksaan semester di universiti. 


(Hakikat sebuah ujian)

Sidang pembaca yang dimuliakan,

Umum mengetahui bahawa lumrah kehidupan manusia sememangnya tidak boleh lari daripada ujian. Imtihan ataupun ujian bukan sekadar hanya menguji kefahaman kita terhadap ilmu yang telah dipelajari di kuliah. Malah apabila dilihat dengan kaca mata kehidupan, imtihan adalah sebuah proses pendidikan yang kita jalani sepanjang hayat. 


Firman Allah SWT:

 إِنَّا جَعَلْنَا مَا عَلَى الْأَرْضِ زِينَةً لَّهَا لِنَبْلُوَهُمْ أَيُّهُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا 

Maksudnya: "Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi ini perhiasan (untuk dinikmati oleh manusia) untuk Kami menguji siapakah di kalangan mereka yang baik amalannya." (Surah al-Kahfi: 7)

Ujian merupakan sunnatullah yang Allah SWT ciptakan untuk menguji keimanan hambanya. Dengan erti kata lain, ujian merupakan satu platform yang Allah SWT sediakan untuk mengangkat darjat hambanya ke suatu mustawa (peringkat) yang istimewa di akhirat kelak.  Itulah tarbiyah kehidupan yang perlu kita adaptasi dan hayati hikmahnya supaya kita tergolong dalam kalangan hamba Allah SWT yang terpilih. Inilah hakikat sebuah ujian, ia bukan hanya semata-mata untuk mencapai markah di dalam peperiksaan sahaja, bahkan sasarannya lebih besar iaitu matlamat akhirat.


(Kepentingan menekuni ilmu)

Sidang hadirin dan hadirat sekalian,

Firman Allah SWT:

يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ دَرَجَٰتٍ ۚ

Maksudnya: "Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat." (Surah al-Mujadalah: 11)


Menuntut ilmu adalah satu kewajipan yang tidak asing lagi bagi kita. Ilmu itu perlu digali dengan sedalam-dalamnya untuk mencari khazanahnya yang begitu berharga selain menjadi wasilah paling efektif dalam menaikkan martabat manusia. Lihat sahaja realiti hari ini, mereka yang memiliki ilmu yang tinggi akan dihormati, disayangi dan disanjungi.


Namun malangnya, ramai lepasan pengajian islam hari ini menganggap lingkungan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh mereka hanya sekadar menuntut ilmu sahaja tanpa perlu diaplikasi dan disampaikan kepada masyarakat. 


"Laksana berlumba-lumba mencipta sebuah telefon pintar yang serba canggih akan tetapi terlupa untuk meletakkan bateri padanya."


Maka, ia tidak sedikit pun memberi manfaat kepada penggunanya walaupun dijual dengan nilai harga yang tinggi. Begitulah perumpamaan bagi mereka yang berlumba-lumba mencari ilmu tapi sayangnya tidak disampaikan kepada masyarakat. Bahkan lebih teruk lagi, mereka rela dan reda dengan kejahilan yang menyelebungi masyarakat. Ingatlah ilmu itu bukan untuk disimpan, tetapi ia perlu disampaikan. Nabi SAW berpesan:

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً

Maksudnya: “Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat.” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari)


Sidang pembaca sekalian,


Seperti mana yang kita maklum, mahasiswa pengajian Islam Universiti al-Azhar akan menghadapi imtihan tahriri bermula pada tanggal 20 Februari 2021. Kebiasaannya, apabila tarikh imtihan semakin tiba pastinya akan timbul istilah 'exam fever' yang mana akan membawa kepada munculnya berbagai-bagai gejala dan ragam seperti stres, kemurungan, kecewa, emosi tidak stabil, tidak bersemangat dan sebagainya.


Gejala seperti ini seolah-olah sudah menjadi fenomena di dalam kalangan mahasiswa abad ini. Detik-detik hujung fatrah imtihan ini jugalah, adakalanya kita dilanda ujian dan musibah yang tidak diduga seperti kemalangan, kematian, kecurian, kesakitan dan sebagainya. Cuba kita imbas kembali firman Allah SWT yang menceritakan perihal tentera Talut ketika berdepan dengan bala tentera musuh (yang lebih ramai bilangannya) di medan perang:

وَلَمَّا بَرَزُوا لِجَالُوتَ وَجُنُودِهِ قَالُوا رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: "Tatkala mereka mara melawan Jalut dan tenteranya, mereka pun (Talut dan tenteranya) berdoa: Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir." (Surah al-Baqarah: 250)


Rentetan daripada itu, kita mesti banyakkan bersabar dalam menempuh segala ujian yang tiba. Buatlah perancangan yang rapi sebelum menempuh medan perjuangan. Carilah semangat daripada rakan-rakan, guru dan keluarga tercinta. Cuba sedaya upaya kekalkan semangat dan terus fokus, dan yang paling penting jalinkan hubungan yang istimewa dengan Allah SWT. Insya-Allah akan peroleh natijah yang positif. Hayatilah firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: "Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah-payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat, kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar." (Surah al-Baqarah: 153)


(Ancaman pemikiran)

Sidang pembaca yang dikasihi sekalian,

Kayu ukuran kecemerlangan akademik bukanlah diukur berdasarkan keputusan di dalam pelajaran sahaja, bahkan diukur bagaimana hasil dan impaknya kepada masyarakat dan negara.


Umat Islam hari ini kian tenat, apabila diasak bertubi-tubi dengan serangan pemikiran yang semakin menggila. Sekularisme adalah satu idea barat yang dibawa oleh penjajah-penjajah ke negara Islam supaya peranan agama Islam boleh disempitkan bagi memudahkan mereka menguasai umat Islam. Sebuah fahaman yang memisahkan agama daripada negara dan duniawi, serta sejarah merekodkan bahawa fahaman inilah yang menjadi punca lumpuhnya khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924 angkara ketaksuban Mustafa Kamal Ataturk dengan ideologi barat. 


Firman Allah SWT:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ 

Maksudnya: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)." (Surah Ali-Imran: 110) 


Maka kita selaku umat yang terpilih seharusnya sedar akan amanah yang perlu dipikul kepada masyarakat dan negara. Dengan menggalakkan berlakunya amar makruf nahi mungkar dan nasihat menasihati maka terbentuklah umat yang dinyatakan di dalam ayat ini selain membenteng diri daripada ancaman-ancaman fikrah yang sesat. 


Snouck Hurgronje, seorang orientalis barat yang menyamar sebagai ulama dengan tujuan untuk merosakkan umat Islam di Indonesia telah menegaskan bahawa tugas paling penting bagi menghalangi semula kebangkitan Islam ialah menghalang ulama (ilmuwan islam) yang menyedarkan masyarakat akan kepentingan pemerintahan Islam.


Justeru, setiap mahasiswa mesti menuntut ilmu secara bersungguh-sungguh dan mendalami bidang ilmu masing-masing agar menjadi ilmuwan-ilmuwan yang pakar di dalam bidang tersebut lantas membentuk kerjasama yang kolektif antara satu sama lain dalam membangunkan negara mengikut acuan Islam. Seterusnya mewujudkan sebuah masyarakat madani yang bertamadun dan mempunyai nilai kemanusiaan yang  tinggi seperti mana firman Allah SWT:

بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ 

Maksudnya: "(Negerimu adalah) negeri yang baik, (dan sedangkan) tuhanmu Maha Pengampun." (Surah Saba’: 15)


Sebagai kesimpulan, menuntut ilmu adalah satu kewajipan kepada seluruh umat Islam. Adapun kecemerlangan dalam pelajaran adalah satu nilai tambah yang perlu dicari oleh setiap mahasiswa kerana umat Islam sepatutnya lebih ke hadapan berbanding umat lain. 


Marilah kita berganding bahu menunaikan amanah yang murni ini, supaya budaya cinta ilmu ini akan terus subur dalam kalangan mahasiswa. Hal ini juga bertepatan dengan pembawaan BKPJM pada sesi kali ini iaitu menerapkan budaya ilmu, dakwah dan tarbiah dalam menempuh norma baharu. Sekaligus menjayakan kempen ‘Towards Excellence’ dibawah Unit Pengetahuan dan Bimbingan BKPJM pada sesi kali ini. Saya akhiri kalam dengan sabda Nabi SAW:

كلكم راع ومسئول عن رعيته

Maksudnya: “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan ditanya tentang rakyatnya (orang yang dipimpin).” (Muttafaq alaih)


Sekian, terima kasih.


"Keislaman Diperkukuh, Kebajikan Terlaksana"

"Membentuk Mahasiswi Berkredibiliti"


Disediakan oleh:

WAN NASEERUL NAZHAN BIN WAN RAZALI

Unit Pengetahuan dan Bimbingan BKPJM

Sesi 2020/ 2021

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...