Wednesday, December 30, 2015

Ramah Mesra Pimpinan dan Perubatan Cawangan Azhar Johor

RAMAH MESRA PIMPINAN DAN PCA JOHOR




KAHERAH, 26 Disember 2015 – Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) dan Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor Di Mesir sesi 2015/2016 telah mengadakan satu pertemuan bersama pelajar Sains Kesihatan Johor dari Perubatan Cawangan Azhar (PCA).

 Ziarah Mahabbah AJKT & Hewi  BKPJM berlansung di Darul Hamka, Hayyu Sabi’e. Program  ini dibawah kelolaan Lajnah Perancang iaitu Ustaz Mohd Nur Syaza. Antara objektif ziarah adalah untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim diantara anak Johor Pelajar Sains Kesihatan dengan pimpinan BKPJM.

Program bermula dengan solat maghrib secara berjemaah. Seterusnya ,diteruskan dengan sesi taaruf dan pengenalan BKPJM secara ringkas. Pelbagai persoalan dan cadangan yang diutarakan oleh mereka. Majlis diakhiri dengan penyampaian watikah perlantikan mandub dan mandubah bagi Perubatan Cawangan Azhar (PCA), saudara Nor Ilmi bin Juzuli dan saudari Atiqah Faizah bte Omar.

Semoga dengan ziarah mahabbah yang dijalankan dapat meneruskan hubungan kekeluargaan antara Pelajar Sains   Kesihatan Johor dengan Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir. –aljauhar-


Jejaki Dunia Tarbawi ( JDT ) Ikhwah

JEJAKI DUNIA TARBAWI ( JDT) IKHWAH


KAHERAH, 19 Disember 2015 - Unit Sambutan dan Rehlah ikhwah telah menganjurkan lawatan ke makam para Aulia'  di sekitar Kota Kaherah dengan menamakan ziarah ini J.D.T “ Jejaki Dunia Tarbawi “. Ziarah ini disertai seramai 36 orang anak-anak Johor di Mesir. Para peserta berkumpul di Asrama pelajar Johor Hayyu Thamin dan bertolak sekitar jam 7 pagi dengan menaiki sebuah mini bus dan sebuah buah tramco.

Antara yang menarik didalam lawatan ini para peserta dapat menziarahi lebih 30 buah makam antaranya makam Imam Syafi'e, Mehrab Siyidah Nafisah, makam Sheikh Ibn Athoillah Assakandari dan banyak lagi.

    Program ini juga telah memberi peluang kepada para peserta untuk bertawassul di setiap makam yang diziarahi sekali gus menambahkan lagi thaqaffah mereka mengenai sejarah-sejarah hebat mereka dalam dunia Islam. Ziarah makam ini sememangnya aktiviti tahunan yang dianjurkan oleh Unit Sambutan dan Rehlah untuk penuntut-penuntut ilmu mengenali makam-makam para aulia' di bumi anbia' ini. –aljauhar-



Motivasi Kecemerlangan & Graduasi





KAHERAH, 15 Disember 2015 - BKPJM di bawah Unit Pengetahuan Dan Bimbingan sesi 2015/2016 telah mengadakan satu program Motivasi Kecemerlangan Dan Graduasi.
Program ini telah diadakan di Dewan Kutub Sittah, Asrama Pelajar Johor Rabaah bermula pada jam 5.30 malam. Program ini juga turut dijayakan dengan menjemput saudara Abdullah Aqiel Bin Aminuddin yang merupakan pelajar tahun 6 jurusan Perubatan Ain Syam, Kaherah untuk menyampaikan motivasi kecemerlangan kepada anak-anak Johor khususnya. Selain itu, program tersebut bertujuan untuk memberi suntikan semangat dan moral kepada anak-anak Johor selaku penuntut ilmu di bumi yang barakah ini.
Disamping itu, program ini telah diteruskan lagi dengan penyampaian anugerah kecemerlangan kepada anak-anak Johor yang telah tamat pengajiannya di Universiti Al-Azhar As-Syarif. Akhirnya, program ini mendapat sambutan dikalangan anak-anak Johor. Semoga program ini menjadi taqwim tahunan BKPJM untuk menyatukan anak-anak Johor dalam program seperti ini. –aljauhar-


Jejaki Dunia Tarbawi ( JDT ) Akhawat

JEJAKI DUNIA TARBAWI (JDT) AKHAWAT



KAHERAH, 12 Disember 2015 – Unit Sambutan Dan Rehlah HEWI Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) telah menganjurkan ziarah maqam auliya’untuk adik-beradik akhawat BKPJM.
   Seawal jam 6.30 pagi, akhawat mula berkumpul di Asrama Pelajar Johor Rabaah dan perjalanan bermula pada jam 7.15 pagi. Banyak maqam yang dapat dikunjung di sekitar Kaherah ini, antaranya maqam Imam Syafiee, maqam Sayyidah Nafisah dan banyak lagi . Setiap maqam yang diziarahi telah diberi penerangan ringkas oleh Ustazah Haslinda, Ustazah Hanisah dan Ustaz Ainuddin. Ziarah makam ini diakhiri dengan melihat pemandangan yang cantik di Jabal Mukhattam. Pada jam 7 malam semua akhawat Johor selamat tiba di Asrama Pelajar Johor Rabaah.
 Dengan adanya program seperti ini dapat menambahkan thaqafah berkaitan sejarah setiap makam dan mengeratkan lagi ukhuwah dikalangan ahli serta boleh diteruskan pada masa akan datang. -aljauhar-



Malam Cinta Rasul & Ribat Tarbawi

MALAM CINTA RASUL & RIBAT TARBAWI





 24 Disember 2015

 Saban tahun Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) akan menyambut hari kebesaran Islam. Tanggal 12 Rabiul Awal 1437 Hijrah bersamaan 24 Disember 2015 di bawah Unit Dakwah dan Tarbiah telah mengadakan program “Malam Cinta Rasul” dan “Ribat Tarbawi” bersempena Sambutan Maulidur Rasul.

  Program ini diadakan di Dewan Kutub Sittah  Asrama Pelajar Johor Rabaah. Majlis pada petang itu dimulakan dengan alunan qasidah dan selawat keatas junjungan Rasulullah SAW. Majlis diteruskan dengan solat maghrib secara berjemaah dan berbuka pusa dengan juadah yang disediakan.

Seusai solat maghrib, Ustaz Fathurahman telah mengetuai bacaan yassin untuk disedekahkan kepada arwah ayah seorang mahasiswa Johor yang telah kembali ke Rahmatullah pada hari tersebut. Kemudian majlis diteruskan lagi dengan solat isyak berjemaah serta solat sunat hifzi kali yang ketiga yang telah diimamkan oleh Ustaz Muhammad Nur Syaza dan Ustaz Muhammd Farid.

25 Disember 2015

Hari kedua program diteruskan kembali dengan qiamullail pada jam 4.00 pagi dan solat subuh secara berjemaah. Sebaik sahaja selesai solat, disambung dengan bacaan Hizb Bahar dan selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W serta bacaan surah Al-Kahfi . Majlis sambutan diserikan lagi dengan kehadiran pentazkirah jemputan iaitu Ustaz Nasrullah. Beliau menyampaikan tazkirah yang bertajuk ‘Cinta Kepada Nabi’.

Semoga dengan berlansungnya program pada kali ini dapat menjadi pemangkin cinta kita terhadap Rasulullah S.A.W dan sama-sama kita menghidupkan sunnah-sunnahnya dalam amalan seharian kita bersama.




Penerangan Etika Musyrif

KAHERAH, 15 NOVEMBER 2015 - Unit Kebajikan dan Kemanusiaan BKPJM sesi 2015/2016 telah mengadakan satu program dibawah Unit Musyrif iaitu Penerangan Etika Musyrif. Program ini bertujuan memberi penerangan dan penjelasan kepada ahli berkenaan etika penggunaan musyrif serta menjawab pelbagai persoalan mengenai musyrif dan keselamatan di Mesir. Program dimulakan pada jam 7.30 malam dengan penerangan definisi musyrif, sejarah dan kepentingan penggunaan musyrif yang disampaikan oleh saudara Norhalim Bin Lokman selaku ketua Unit Kebajikan Dan Kemanusiaan BKPJM sesi 15/16. Program diteruskan dengan pembentangan etika musyrif oleh Ketua Musyrif, Mohammad Amirnurrashidi Bin Mohd Azlan. 




Sesi soal jawab berkenaan musyrif turut diadakan bagi memberi peluang kepada ahli untuk bertanya dan melontarkan pandangan berkenaan sistem musyrif dan keselamatan di Mesir khususnya bagi para akhawat. Majlis disempurnakan dengan ucapan Yang diPertua BKPJM sesi 15/16, Ustaz Muhammad Ariff Bin Haron seterusnya merasmikan dan melancarkan kempen "Jom Musyrif" bagi memupuk kesedaran diperingkat ikhwah mahupun akhawat berkenaan kepentingan menjadi dan menggunakan musyrif. Turut diadakan penyampaian watikah perlantikan musyrif kepada musyrif yang dilantik mengikut kawasan di sekitar Kaherah. Program berjalan lancar dengan dihadiri oleh ahli dan anak-anak Johor di Mesir. Semoga dengan penganjuran program sebegini dapat meningkatkan lagi kebajikan dan keselamatan anak-anak Johor di Mesir dan seterusnya mencegah perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Program berakhir pada jam 9.30 malam.





Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam ( Hewi ) BKPJM sesi 15/16





















Ahli Jawatankuasa Tadbir BKPJM sesi 2015/2016




























Tuesday, December 29, 2015

SAIED '15 : Pengorbanan, Perjuangan, Kesatuan

                                    


KAHERAH, 24-26 September 2015 – Badan Kebajikan Pelajar- Pelajar Johor saban tahun menganjurkan program Sambutan Hari Raya Aidiladha dan pada tahun ini ia telah diberi nama Sambutan Hari Raya Eiduladha (SAIED ’15) dengan tema ‘Pengorbanan, Perjuangan, Kesatuan’. Perasmian program ini     bertempat di Dewan  Asrama Pelajar Johor Thamin. Pengarah bagi program SAIED '15 kali ini adalah Ustaz Mohd Zahid bin Mohd Nor.
Pada 23 September 2015, laungan takbir hari raya dan perutusan hari raya Aidiladha telah disampaikan oleh Ustaz Usamah bin Aris di APJ Rabaah. Keesokan harinya, telah diadakan proses penyembelihan dan melapah di APJ Thamin. Sebanyak 45 ekor kambing dan biri-biri serta seekor unta telah selamat dikorbankan.  
Majlis perasmian SAIED ’15 dimulakan dengan ucapan Yang di-Pertua BKPJM, Saudara Usama  bin Aris dan ucapan Pegawai Atase Pendidikan Johor di Mesir, Ustaz Khairi bin Jalalluddin sekaligus    merasmikan program SAIED ‘15. Majlis diteruskan dengan dengan pengisian khas oleh Ustaz Mohd Kamal  bin Said yang merupakan mantan Pengetua Madrasah Arabiah Kluang.

Agenda majlis diteruskan dengan slot santai yang telah dikendalikan oleh Saudara Ayub bin Azizol dan Saudara Mohd Syaza bin Jamal. Antara slot yang menarik adalah persembahan qasidah oleh anak-anak Johor, pentomen berkisarkan keluarga  dan tayangan movie khas.  Turut hadir bersama-sama dalam program Yang DiPertua dari seluruh Badan Kebajikan Anak Negeri serta Ketua-ketua HEWI dan beberapa orang ahli.             
Program diakhiri dengan bacaan surah Al-Asr dan tasbih kifarah serta jamuan istimewa Hari Raya Aidiladha.
Akhir sekali, harapan seluruh badan pelaksana program SAIED ‘15 agar Zulhijjah  pada kali ini lebih bermakna kepada anak-anak Johor yang menyambut Hari Raya di perantauan disamping menaut kembali ikatan mahabbah sesama adik beradik BKPJM sekaligus membajai semangat berkorban dan bekerjasama dalam diri anak-anak Johor.
                     

TRANSIT ABOU ILA' - Persediaan Hadapi Musim Sejuk

KAHERAH, 31 Oktober 2015 – Badan Kebajikan Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) di bawah Unit Sambutan dan  Rehlah telah mengadakan lawatan ke Abu Ila' , gedung pakaian musim sejuk yang sudah tidak asing lagi dalam kalangan pelajar Malaysia di Mesir. Lawatan telah dijalankan pada 31 Oktober yang lalu. Lawatan ini bertujuan sebagai persediaan buat para ahli, terutama pelajar-pelajar baru untuk menghadapi musim sejuk yang bakal tiba tidak lama lagi.

Sebuah bas mini telah ditempah yang memuatkan 47 orang siswa, termasuk diiringi fasilitator muzakarah berkelompok, Ustaz Yassarudin bin Samsul. Rombongan ini telah bertolak jam 4.45 petang  dan tiba di Abu Ila'  pada jam 5.45 malam setelah melalui lalu - lintas yang agak sesak.




Para peserta rombongan sangat teruja sepanjang lawatan berlangsung. Pelbagai perkara baru telah mereka pelajari terutama cara berkomunikasi dalam berjual – beli dengan masyarakat Arab Mesir. Ikatan Ukhuwah persaudaraan sesama ahli juga semakin erat.

“Lawatan ini sememangnya aktiviti tahunan yang dijalankan oleh Unit Sambutan dan Rehlah  bagi memastikan kebajikan ahli – ahli BKPJM sentiasa terjaga,” ujar Saudara Aizat Bin Shahadan selaku Ketua Unit Sambutan dan Rehlah pada sesi 2015/2016.

Rombongan selamat  tiba di Asrama Rumah Johor Hayyu Thamin pada jam 9.30 malam.

" Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan "

"Kebajikan dan Perpaduan"

"Setia bersamamu BKPJM"

Tuesday, December 15, 2015

Kisah Imam Abu Hanifah dan Dahari Al-Yahudi

Pada zaman Abu Hanifah, terdapat seorang Yahudi daripada aliran Dahari yang telah berdebat dan mengalahkan kesemua ulama Islam ketika itu melainkan Hamad, iaitu guru Abu Hanifah. Lalu beliau mencabar Hamad untuk berhujah dan Hamad pula meminta tempoh selama satu malam.
Ada yang mengatakan bahawa Dahari adalah penganut fahaman muktazilah, manakala guru kepada Imam Abu Hanifah ialah Imam Ahmad ibnu Hambal.
Keesokan harinya, Imam Abu Hanifah telah datang menemui gurunya dan mendapati gurunya sedang duduk berdukacita. Lalu dia bertanya kepada Hamad tentang punca kesusahan hatinya. Gurunya memberitahu bahawa dia dicabar untuk berhujah dgn Dahari dan pada malamnya dia bermimpi melihat sebuah pokok yang besar serta banyak buahnya. Tiba-tiba keluar dari satu penjuru seekor khinzir yang memakan buah, daun dan ranting pokok tersebut melainkan batangnya saja. Kemudian, keluar seekor harimau dari umbi pokok itu dan menerkam khinzir tersebut sehingga mati.

Berkata Abu Hanifah: “Sesungguhnya telah diajar ilmu takbir mimpi kepadaku. Mimpi itu adalah kebaikan untuk kita dan keburukan untuk musuh kita. Sekiranya kamu izinkan aku mentafsirkan, nescaya aku takbirkannya.” 

Setelah diberi keizinan, lalu Abu Hanifah berkata: “Bermula kebun itu adalah agama Islam, pokok kayu yang berbuah itu adalah para ulamanya, batang pokok yang tinggal adalah engkau, khinzir itu adalah Dahari, dan harimau itu adalah aku. Lalu aku berjalan dengan engkau dan dengan izin engkau, maka berhujahlah aku dengannya.”

Kemudiannya Abu Hanifah yang masih kecil lagi ketika itu pun berjalan bersama Hamad dgn memegang jubah gurunya dan jubahnya ke masjid untuk berhujah dengan Dahari.

Di majlis perdebatan tersebut, Dahari telah naik ke atas mimbar dan mengemukakan soalan kepada Abu Hanifah yang telah menyahut cabarannya. Berikut dkemukakan dialog perbahasan antara Abu Hanifah dengan Dahari:

Dahari: Adakah Allah SWT itu wujud?

Abu Hanifah: Bahkan.

Dahari: Di mana Dia?

Abu Hanifah: Dia tidak bertempat.

Dahari: Bagaimanakah suatu benda yang maujud (ada) itu tidak bertempat?

Abu Hanifah: Dalil tersebut ada pada diri kita. Bukankah pada diri kita ada Roh? Jadi dimanakah terletaknya roh, adakah di kepala, di perut atau di kaki kamu? Di dalam air susu ada lemak, jadi dimanakah terletaknya lemak itu? Adakah di atas ataupun di bawah? Jadi begitulah Allah SWT yang tiada bertempat.

Dahari: Apakah yang terdahulu daripada Allah SWT dan apakah yang terkemudian daripada-Nya?

Abu Hanifah: Dalilnya terdapat pada diri kita. Apakah yang terdahulu daripada ibu jari dan apakah yang terkemudian daripada jari-jari kelingking? Maka tiada suatu pun yang terdahulu dan yang terkemudian daripadanya. Demikianlah Allah SWT, tiada sesuatu yang terdahulu dan terkemudian daripada-Nya.

Dahari: Tinggal satu soalan lagi daripada aku. Apakah pekerjaan Allah SWT sekarang?

Abu Hanifah: Sesungguhnya kita sepatutnya yang menjawap berada di atas mimbar dan yang bertanya duduk di bawah. Sekiranya engkau sanggup bertukar tempat maka barulah aku akan menjawap soalan engkau.

(Selepas bertukar tempat, maka Dahari bertanya soalan dari bawah dan Abu Hanifah menjawapnya dari atas mimbar) 

"Pekerjaan Allah SWT sekarang ialah menjatuhkan yang batil seperti engkau dan menaikkan yang hak seperti aku!" (Maka patahlah hujah Dahari).. Wallahu a'alam..

======================================

*Cerita ini adalah apa yang saya dapat melalui khutbah Jumaat di Masjid Abdeen pada tarikh 26 April 2013. Sebagai perkongsian bersama, dan semoga ianya bermanfaat kepada kita selaku abna'ul harakah, lebih lagi fatrah PRU13 dan imtihan yang bakal menjelang tidak lama lagi. :)

!! أن الإسلام سينتصر قريباً في الأرض ~



Yang HAK tetap akan jadi HAK, dan yang BATIL pasti akan tewas walau bagaimana sekalipun kebatilan tersebut dipertahankan !!
"Kefahaman Melahirkan Gerakan Memangkin Kesatuan"

Muhammad Amin bin Sailan @ Sazali,
Timbalan Yang DiPertua (Lajnah Perancang)
Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir
sesi 2012/2013.

Monday, December 14, 2015

Biografi Syeikh Ramadhan Al-Buthi


Umat Islam telah kehilangan ulama terbaik masa kini Al'alim Al`Allamah Asy Syaikh Said Ramadlan Al Buthi rahimahullahuta'ala ketika beliau mengisi Ta’lim di Masjid Al Iman di Kota Damsyiq, Syria, selepas maghrib Khamis, 21 Mac 2013. Beliau Syaikh Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buthi adalah salah seorang tokoh ulama dunia yang menjadi sumber rujukan masalah-masalah keagamaan.
Siapakah tokoh ulama kontemporer yang begitu alim ini? Sa’id Ramadhan Al-Buthi lahir pada tahun 1929 di Desa Jilka, Pulau Buthan (Ibn Umar), sebuah kampung yang terletak di bagian utara perbatasan antara Turki dan Iraq. Beliau  berasal dari suku Kurdi, yang hidup dalam tekanan kekuasaan Arab Iraq selama berabad-abad.
Bersama ayahnya, Syaikh Mula Ramadhan, dan anggota keluarganya yang lain, Al-Buthi berhijrah ke Damsyiq pada ketika umurnya memasuki empat tahun. Ayahnya merupakan figure yang amat dikaguminya.

Dari Damsyiq ke Kaherah 

Sa’id Ramadhan Al-Buthi muda menyelesaikan pendidikan menengahnya di Institut At-Tawjih Al-Islami di Damsyiq. Kemudian pada tahun 1953 ia meninggalkan Damsyiq untuk menuju Mesir demi melanjutkan studinya di Universiti Al-Azhar. Dalam tempoh dua tahun, beliau berhasil menyelesaikan pendidikan sarjana S1 di bidang syari’ah. Pada tahun berikutnya di Universiti yang sama, ia mengambil kuliah di Fakulti Bahasa Arab hingga lulus dalam waktu yang cukup singkat dengan sangat memuaskan dan mendapat izin mengajar bahasa Arab.

Kemahiran Al-Buthi dalam bahasa Arab tak diragukan. Sekalipun bahasa ini adalah bahasa ibu orang- orang Arab seperti dirinya, sebagaimana bahasa-bahasa terkemuka dalam khazanah peradaban dunia, ada orang-orang yang memang dikenal kepakarannya dalam bidang bahasa, dan Al-Buthi adalah salah satunya yang menguasai bahasa ibunya tersebut. Di samping itu, kecenderungan kepada bahasa dan budaya membuatnya senang untuk menekuni bahasa selain bahasa Arab, seperti bahasa Turki, Kurdi, bahkan bahasa Inggeris.

Lulusnya dari Al-Azhar, Al-Buthi kembali ke Damsyiq. Ia diminta untuk membantu mengajar di Fakulti Syari’ah pada tahun 1960, hingga berturut-turut menduduki jabatan pentadbiran, bermula dari pengajar tetap, menjadi wakil dekan, hingga menjadi dekan di fakulti tersebut pada tahun 1960.
Lantaran keluasan pengetahuannya, beliau diberi kepercayaan untuk memimpin sebuah lembaga penyelidikan theologi dan agama-agama di Universiti yang berpusat di Timur Tengah itu.
Tak lama kemudian, Al-Buthi dipilih pimpinan rektorat kampusnya untuk melanjutkan program doktoral bidang usul syari’ah di Al-Azhar hingga lulus dan berhak mendapatkan gelaran doktor di bidang ilmu- ilmu syari’ah.

Pandangan Ilmiah al-Buthi  

Beliau adalah seorang ulama Ahlussunnah Waljama'ah, bermadzhab Syafi'i dalam bidang Fiqh dan bermanhaj Asy'ari dalam bidang Tauhid, beliau juga sangat gigih meluruskan pelbagai kesesatan dan ajaran sesat. Hal ini dapat dilihat dari kitab-kitab beliau dalam meluruskan kesesatan Salafi Wahabi, diantaranya adalah kitab  السلفية مرحلة زمنية مباركة لا مذهب إسلامي dan  اللامذهبية أخطر بدعة تهدد الشريعة الإسلامية

Wafat al-Buthi  

Walaupun di usia yang semakin senja, Syaikh Al-Buthi masih tetap menulis, samada melalui websitenya yang sendiri mahupun beberapa media massa dan elektronik lainnya. Betapa besar harapan umat ini, khususnya kalangan Ahlussunnah wal Jama’ah, menanti karya-karyanya yang lain terlahir, untuk memenuhi dahaga ilmu yang tak pernah habis-habisnya
Umat Islam telah kehilangan ulama terbaik masa kini Al'alim Al`Allamah Asy Syaikh Said Ramadlan Al Buthi rahimahullahuta'ala ketika beliau mengisi Ta’lim di Masjid Al Iman di Kota Damsyiq, Syria, selepas maghrib Khamis, 21 Mac 2013. Beliau wafat pada usia 84 tahun, dan disolatkan pada 23 Mac 2013 di Masjid Umayyah oleh ribuan Jemaah Iran, Lebanon, dan Jordan. Beliau dimakamkan disamping makam Sultan Salahuddin al Ayyubi. Wafat beliau adalah duka bagi seluruh kaum muslimin.
  

Disediakan oleh : Unit Dakwah dan Tarbiah BKPJM 2014/2015 

Perang AJNADAIN




Peperangan ini berlaku pada 27 Jamadil Awal  13 Hijrah bersamaan 3 Julai 634 Masihi yang berlaku berhampiran bandar Ramallah seterusnya membuka jalan untuk pembukaan bumi Palestin. Nama Ajnadain ialah suatu di Timur iaitu Jerusalem (Al-Quds). Peperangan ini berlaku di akhir pemerintahan khilafah Abu Bakar as-Siddiq dan awal pemerintahan Umar al-Khattab. Peperangan ini berlaku di antara tentera Islam yang dipimpin oleh Amru bin Al-`Asr, Abu `Ubaidah bin Al-Jarrah, dan Syarahbil bin Hasanah dengan tentera Rom yang diketuai oleh Atrabun.

Putera mahkota Constantine, putera kepada Kaisar (raja) Herkules masih menguasai Kaisaria dan terus mengumpul kekuatan untuk melawan tentera Islam. Dia meminta bantuan ketenteraan dari pulau Cyprus, semenanjung Greek, dan lain-lain tempat untuk mempertahankan Palestin dan kota suci Jerusalem dari jatuh ke tangan kaum Muslimin. Sementara di pihak Islam, Abu Ubaidah bin Jarrah telah mengarahkan Amru bin Al-Asr  bersama 9000 orang untuk membebaskan Palestin dari cengkaman Rom. Apabila mendengar perkhabaran bahawa pasukan tentera kaum Muslimin telah mara dari Damsyik ke arah Selatan, Putera Constantine melantik Panglima Atrabun sebagai panglima perang bagi mengepalai angkatan tentera Rom yang jumlahnya dianggarkan seramai 70 000 orang.

Dia berpendapat untuk mencapai kemenangan, pasukan tentera Rom yang berada di merata tempat mesti disatukan di bawah satu kepimpinan di samping memecahkan kekuatan Islam. Untuk itu, Atrabun menempatkan sebuah batalion di Ramallah dan sebuah batalion lagi yang ditempatkan di Aila, Baitul Maqdis. Ini bertujuan untuk memecahkan kekuatan tentera Islam dan untuk menampung bantuan yang datang dari pihak luar. Sedangkan  Atrabun sendiri mengetuai pasukan utama untuk menyekat kemaraan tentera Muslimin.

Maka, tercetuslah pertempuran antara tentera Islam yang dipimpin oleh Panglima Amru bin Al-Asr’ dengan tentera Rom dengan sangat sengit di serata tempat iaitu Afulla, Ain Harat, Jenin, Arraba, dan Burqa. Setelah beberapa benteng pertahanannya jatuh, Panglima Atrabun bersama anggota tenteranya bertahan di Nablus tetapi berjaya ditembusi juga oleh tentera Islam. Akhirnya mereka terpaksa berundur dan bertahan di  benteng kota Ajnadain yang terkenal dengan kekukuhan temboknya yang mana tidak dapat ditembusi oleh tentera Islam.  Ini kerana benteng kota Ajnadain memang sangat kukuh dan dilengkapi dengan kemudahan serta bekalan yang cukup. Panglima Atrabun mengharapkan agar tenteranya yang ditempatkan di Ramallah dan Aila akan dapat berbuat sesuatu ke atas tentera Islam agar usaha membebaskan kota tersebut gagal.


Panglima Amru bin al-Asr’ tidak mudah terperangkap dengan taktik licik Atrabun itu. Beliau mahu tentera Rom yang diletakkan di Ramallah dan Aila tidak dapat memberikan manfaat yang besar kepada tentera Rom yang terkepung di dalam kota Ajnadain tersebut. Oleh itu, beliau membentuk dua batalion untuk dihantar ke Ramallah dan Aila. Batalion ke Ramallah dipimpin oleh Abu Ayub al-Maliki dan batalion dihantar ke Aila dipimpin oleh Alqamah bin Hakim dan Masruq al-Akki. Manakala, panglima Amru bin al-Asr’ sendiri dengan tentera utamanya mengepung kota benteng Ajnadain dengan ketatnya.

Tentera Rom yang ditempatkan di Ramallah dan Aila tidak dapat berbuat apa-apa disebabkan mereka telah diawasi tentera Islam yang dihantar oleh panglima Amru bin al-Asr’. Sambil melancarkan serangan, panglima Amru bin al-Asr’ menghantar surat kepada khalifah Umar bin Khattab memberitahu akan taktik licik Atrabun dan memohon bala tentera bantuan. Khlaifah Umar tersenyum apabila membaca surat panglima Amru bin al-Asr’ seolah-olah beliau mempunyai firasat bahawa taktik Atrabun itu bakal dikalahkan oleh panglima Arab.
“Kita akan melempar Atrabun Rom dengan Atrabun Arab. Kita lihat apa yang akan kita lihat.”  Kata khalifah Umar bin Khattab kepada orang-orang disekitarnya.

Khalifah Umar bin Khattab segera menghantar tentera ke Utara untuk membantu panglima Amru bin al-Asr’ yang sedang mengepung kota Ajnadain. Setiap kali  bantuan ketenteraan sampai, beliau akan membahagikan kepada tiga briged. Satu briged dihantar ke Ramallah, satu briged dihantar ke Aila dan satu briged lagi diserapkan ke dalam batalion tentera yang sedang mengepung kota Ajnadain. Pengepungan yang berlangsung sekian lama dengan serangan yang menggunakan busur panah, alat-alat pembentur dinding dan lain-lain tidak Berjaya menembusi kota tersebut. Dinding kota itu terlalu kukuh untuk ditembusi. Setiap lontaran api yang dilancarkan oleh tentera Islam ke dalam benteng selalu dapat dipadamkan oleh pihak musuh. 





Musim dingin tahun itu semakin dekat padahal pengepungan belum menampakkan apa-apa hasil. Ketika panglima Amru sedang berfikir mencari idea, beberapa orang tentera Rom keluar dari benteng dengan menjulang bendera putih sebagai tanda perutusan mencari jalan damai. Perutusan itu bertemu dengan panglima Amru bin al-Asr’ untuk menyerahkan surat dari panglima Atrabun yang kandungannya meminta agar tentera Islam kembali ke tanah Arab. Kata Atrabun, usaha pasukan Islam mengepung dengan pasukan yang kecil itu, akan sia-sia sahaja dan kota Ajnadain tidak akan jatuh. Apalagi dengan musim dingin yang semakin dekat.

Panglima Amru bin al-Asr’ mendapat idea untuk membalas perutusan Atrabun itu dengan tujuan untuk memerhatikan keadaan benteng dari  dalam. Bagi mengetahui situasi tersebut dengan mata kepalanya sendiri, panglima Amru bin al-Asr nekad untuk menyamar sebagai perutusan menjumpai panglima Atrabun agar dibenarkan masuk ke dalam benteng. Beliau melantik seorang tenteranya menjadi ketua perutusan sedang beliau sendiri menjadi anggota tenteranya. Tindakan ini tentu sangat nekad dan penuh risiko kerana sekiranya Atrabun tahu, sudah tentu nyawanya akan terancam. Dengan menjulang bendera putih, perutusan tentera Islam dibenarkan masuk ke dalam benteng dan berjumpa dengan panglima Atrabun di balai penghadapan. Mereka mengajukan tiga tawaran kepada pihak Rom di Ajnadain iaitu memeluk Islam, menyerahkan kota secara damai dengan kewajipan membayar ‘jizyah’ bagi yang tidak mahu masuk Islam, atau melanjutkan peperangan dengan segala risiko.

Mendengar tuntutan itu Panglima Atrabun tertawa besar dan memperli tentera Islam dengan berbagai perkataan yang menyakitkan hati. Hal ini telah membuat perutusan tentera Islam menyelar balas dan berlangsunglah sesi pertikaman lidah sesama mereka. Panglima Atrabun terus mencemuh utusan tentera Islam dengan penghinaan yang melampau. Panglima Amru bin al-Asr’ yang berlagak sebagai seorang anggota delegasi biasa tiba-tiba tidak dapat mengawal diri lalu tampil ke hadapan. Dengan yakin dan berani, beliau membalas cemuhan Atrabun dengan perkataan dan hujah yang bernas. Hal ini telah menyebabkan Atrabun terpinga-pinga dan curiga ke atas orang yang sedang dihadapinya itu.

“Ini pasti Amru bin al-Asr’ atau orang yang dapat dijadikan pegangan olehnya. Tidak ada bencana yang lebih besar ke atas kaum itu melainkan aku membunuh lelaki ini.” Kata Atrabun kepada dirinya sendiri.

Dengan perkataan lain jikalau lelaki yang dicurigainya itu dibunuh, tentera Islam pasti akan ditimpa bencana besar. Sebaliknya kalau tidak, tentera Rom yang akan dilanda malapetaka. Tidak ada jalan yang lebih baik bagi Atrabun kecuali memanfaatkan peluang keemasan itu untuk membunuh si pemimpin Arab tersebut agar kota Ajnadain terselamat dari taktik perangnya.






Ya, dia mesti dihapuskan sekarang juga.” Begitulah bisik Atrabun kepada dirinya sendiri.

Lalu, Atrabun memanggil seorang pengawalnya dan menceritakan sesuatu kepadanya secara rahsia.

Pergilah engkau ke tempat si Fulan dan tunggu di sana. Apabila orang lelaki itu lalu di situ, engkau bunuhlah dia.” Kata Atrabun kepada pengawalnya.

Dengan firasatnya yang tajam, panglima Amru bin al-Asr’ dapat membaca apa yang direncanakan oleh Atrabun dan merasa dirinya berada dalam keadaan yang sangat berbahaya. Sebagai politikus Arab yang ulung, Amru tidak kehabisan akal dan beliau menemukan helah untuk melepaskan dirinya dari maut di dalam benteng musuh.

Wahai Panglima Atrabun, Engkau sudah mendengar apa yang aku sampaikan dan aku telah pun mendengar tentang pendirian engkau. Sebenarnya aku hanyalah seorang dari sepuluh orang yang diutuskan oleh Umar bin Khatab supaya berunding berkenaan masalah yang kita hadapi. Oleh kerana itu, sekarang aku akan pulang terlebih dahulu dan akan kembali membawa utusan yang lain. Kalau mereka sependapat denganku, aku akan kembalikan mereka ke tempatnya semula dan aku bertanggungjawab kepada engkau.”

Panglima Atrabun termakan dengan helah panglima Amru bin al-Asr’ itu. Dia mulai sangsi dan tidak yakin bahawa orang yang dihadapinya itu adalah Amru.

“Kalau begitu, pergilah engkau kepada teman-teman engkau dan bawa mereka ke sini.” Kata panglima Atrabun kepada panglima Amru bin al-Asr’.

Lalu, panglima Amru bin al-Asr’ segera keluar dari ‘kandang harimau’ tersebut kembali ke markasnya dan tidak datang-datang lagi.

Panglima Amru yang selamat dari dibunuh oleh panglima Atrabun terus pergi ke tengah-tengah tenteranya dan tidak kembali lagi ke dalam kota Ajnadain tersebut. Apa yang beliau ucapkan pada Atrabun hanyalah helah belaka yang dibolehkan di dalam peperangan. Akhirnya panglima Atrabun pun tahu bahawa sangkaannya adalah betul. Oang yang datang kepadanya memang panglima Amru bin al-Asr’, musuh utamanya. Atrabun merasa benar-benar tertipu.

“Orang itu telah menipuku. Inilah manusia yang paling cerdik. Apa boleh buat, kini musuh yang paling dikehendakinya itu telah berada di tengah-tengah pasukan tenteranya, tidak mungkin lagi dapat ditangkap untuk dibunuh. Siapa yang berani menangkap singa di tengah-tengah serigala yang ramai?” Kata Atrabun meyatakan penyesalannya kepada tenteranya.

Apabila khalifah Umar bin Khattab mendengar taktik jitu panglima Amru bin al-Asr’ itu, beliau berkata :

“ Amru telah mengalahkannya. Dia memang hebat.”

Hasil daripada tindakan nekad dan kecerdikannya itu, panglima Amru bin al-Asr’ kini telah mengetahui keadaan di dalam kota Ajnadain. Beliau telah mengetahui di mana letaknya kekuatan dan kelemahan benteng musuh. Kerana selama beliau berada di dalam benteng, kedua-dua matanya tidak henti-henti melihat ke setiap penjuru dengan teliti. Beliau berunding dengan orang-orang kanan dan para tenteranya yang lain. Diberitahunya segala apa yang telah dilihatnya sendiri dan tempat-tempat strategik pada bahagian dalam yang mudah untuk diserang dari luar. Dengan berpegang pada pengamatan Panglima Amru dan juga pendapat beliau, para pimpinan tentera Islam tidak nampak jalan lain yang lebih berjaya kecuali mengadakan serangan secara besar-besaran.

Tentera Islam yang gagah berani itu pun terus melancarkan serangan yang hebat dan bertali arus ke atas sasaran yang telah dikenalpasti. Regu-regu penerobos dan pemusnah Islam bergerak ke arah berbagai pintu gerbang yang telah ditentukan sesuai dengan pengamatan panglima Amru bin al-Asr’ sendiri. Pasukan tentera pemanah sentiasa bersiap sedia melindungi pasukan pemusnah dinding benteng yang bekerja keras untuk meruntuhkannya. Setiap kali pasukan Rom menjulurkan kepalanya untuk menyerang pasukan Islam yang mara hampir dengan benteng, anak panah tentera pemanah Islam, telah menembusi wajah, mata dan kepala mereka. Akhirnya, tentera Islam berjaya membuka pintu gerbang kota yang dikawal ketat itu. Bagaikan banjir besar, tentera Islam menerobos masuk ke dalam kota membuatkan tentera Rom kelam kabut. Apalagi apabila semua pintu gerbang telah dibuka dan dinding berjaya dibolosi, bertambah sengitlah pertempuran di antara kedua-dua pihak. Bumi Ajnadain bertukar menjadi merah oleh pancutan darah askar-askar yang ditetak pedang atau ditembusi tombak dan panah.

Dalam peperangan Ajnadain, antara yang menyertainya adalah seorang Muslimah yang sangat berani iaitu Khaulah binti Azwar. Beliau merupakan salah seorang daripada tentera berkuda Islam serta begitu berani merempuh barisan ketumbukan tentera Rom. Keberaniannya ini sewajarnya menjadi contoh kepada para muslimah pada zaman sekarang. Ketika matahari hampir terbenam, tentera Rom sudah kelihatan sangat tenat dan nyaris hancur musnah sama sekali. Panglima Atrabun dapat membaca bahawa tenteranya tidak ada harapan untuk menang atau dapat bertahan. Oleh kerana itulah sebelum matahari terbenam, Atrabun menarik sisa-sisa tenteranya dari medan pertempuran untuk mengelak dari hancur sama sekali. Mereka lari lintang-pukang bersama Atrabun untuk menyelamatkan diri dan menuju ke Jerusalem. Tentera Islam sengaja memberi kesempatan kepada sisa-sisa pasukan Rom itu melarikan diri kerana di kemudian hari akan dimusnahkan juga. Dengan demikian akhirnya kota Ajnadain yang terkenal kukuh itu jatuh ke tangan kaum Muslimin.

Faedah yang dapat diambil :
1.      Setiap muslim wajib menyeru orang kepada Islam.
2.        Berusaha bersungguh-sungguh dengan seluruh tenaga dalam peperangan dan gerak kerja islam.
3.      Tindakan berani  Amru Al-Asr  seperti  singa di tengah-tengah serigala yang banyak dalam menghadapi musuh.
4.      Menggunakan helah atau berselindung untuk melemahkan musuh.
5.      Mengatur strategi dengan baik dalam apa jua keadaan.  


 Disediakan oleh,
Unit Dakwah dan Tarbiyah BKPJM 12/13

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...