Wednesday, April 7, 2021

[ COVID-19, SESUATU YANG SANGAT ANEH SEDANG BERLAKU SEKARANG INI ]








[ COVID-19, SESUATU YANG SANGAT ANEH SEDANG BERLAKU SEKARANG INI ]

بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله رب العالمين وبه نستعين على أمور الدنيا والدين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سبيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

Kajian ini membicarakan tentang impak positif daripada wabak COVID-19 yang mengubah sudut pandang dunia barat terhadap cara hidup Islam. Semakin besar ujian yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita, pastilah semakin besar pula hikmah di sebaliknya.

Situasi ini sebenarnya menjadikan dunia ini lebih cenderung kepada cara hidup orang-orang Islam dan anda tidak perlu memandang jauh untuk melihat bagaimana ianya terjadi.

Penutupan Pub, Kasino dan Kelab Malam

Manusia di seluruh dunia meluangkan lebih banyak masa bersama ahli keluarga mereka. Pub, kasino (pusat perjudian) dan kelab-kelab malam kini ditutup secara rasmi. Malahan alkohol telah diharamkan di sesetengah negara.

Pada 20 Mac 2020, Perdana Menteri UK, Boris Johnson berkata, “Cafe, pub, bar dan restoran mesti ditutup mulai malam ini (Jumaat), kecuali untuk makanan yang dibungkus pulang, bagi mengatasi coronavirus”.

Semua kelab malam, teater, panggung wayang, gym dan pusat-pusat hiburan diarahkan supaya ditutup secepat mungkin. Pengumuman ini mengikut tindakan yang sama diambil di negara-negara lain, termasuklah Ireland, di mana pub-pub dan bar diarahkan supaya ditutup mulai hari Ahad yang lalu (15 Mac 2020). Kerajaan memberi amaran kepada pub-pub yang ingkar bahawa undang-undang darurat boleh digunakan ke atas mereka ketika ini.

Menurut Ketua Pegawai Perubatan Scotland, Dr Catherine Calderwood, “Pub adalah sebuah persekitaran yang tertutup… terdapat permukaan meja dan kaunter yang tidak selalunya dibersihkan setiap masa, oleh itu pub sebenarnya tempat di mana jika terdapat seseorang dengan simtom-simtom ringan sekalipun, ianya boleh merebak”.

Penjualan alkohol telah diharamkan di Nuuk, ibu negara Greenland untuk mengurangkan keganasan terhadap kanak-kanak ketika tempoh berkurung. Selepas sekolah-sekolah ditutup mulai hari Isnin, 23 Mac 2020, berlakulah peningkatan kes keganasan tersebut. Oleh itu, pengharaman ini dikuatkuasakan mulai Sabtu minggu itu sehingga Rabu, 15 April 2020. Botol arak yang dikongsi oleh sekumpulan orang yang minum bersama turut membawa kepada penularan COVID-19. Negara lain yang mengharamkan jualan alkohol termasuklah Thailand, Grenada, Colombia, Mexico, Botswana, Zimbabwe dan Afrika Selatan. Firman Allah SWT: 

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا

“Mereka bertanya kepadamu tentang arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.” [ Surah al-Baqarah : 219 ]

Kebersihan Diri

Orang ramai kini membersihkan diri dengan lebih kerap. Pada awalnya, sebuah culaan di UK telah menyingkap hakikat yang mengejutkan bahawa kurang daripada 40% guru-guru mengatakan mereka tidak memiliki paip air panas, sabun, tisu atau hand sanitiser untuk para pelajar mencuci tangan mereka di sekolah. 

Menyedari hakikat ini, mereka mula mendidik setiap lapisan masyarakat supaya lebih menitik beratkan kebersihan diri. Media berperanan menjalankan kempen dan menunjukkan kaedah yang terbaik untuk mencuci muka, tangan dan rambut sendiri. Terdapat juga sekolah rendah yang mengadakan pertandingan bagi menarik minat kanak-kanak supaya mengamalkan teknik mencuci tangan yang betul.

Malahan kini jam tangan pintar Google boleh mengingatkan pemakainya supaya mencuci tangan dengan lebih kerap. Lihatlah bagaimana wabak ini menjadikan kita lebih kreatif dalam menjaga kebersihan.

Budaya Bersalaman

Secara tiba-tiba masyarakat dunia boleh menerima budaya tidak bersalaman apabila bertemu dengan orang lain (perkara ini agak menarik kerana orang-orang Islam telah lama bersusah payah menjelaskan mengapa kita tidak bersalaman dengan orang yang berlainan jantina). Sabda Nabi SAW:

لأن يطعن في رأس أحدكم بمخيط من حديد خير له من أن يمس امرأة لا تحل له

“Dicucuk pada kepala salah seorang kamu dengan jarum daripada besi adalah lebih baik baginya daripada menyentuh perempuan yang tidak halal baginya.” [ HR at-Tabrani ]

COVID-19 yang kian lama merebak ini telah menimbulkan kerisauan di Amerika Syarikat mengenai pupusnya budaya bersalaman. Penasihat saintifik Presiden Trump merangkap Pengarah Institut Alergi dan Penyakit-penyakit Berjangkit Kebangsaan, Dr Anthony Fauci mengajak supaya budaya bersalaman ini diharamkan terus, “Ianya bukan sahaja baik untuk mengelakkan coronavirus, tetapi mungkin akan mengurangkan kes-kes wabak secara dramatik di negara ini”.

Nampaknya budaya bersalaman akan diganti dengan isyarat tangan di hati yang diperkenalkan untuk diplomasi antarabangsa oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dalam lawatan beliau ke Eropah baru-baru ini.

Kesedaran Beragama

Dalam ramai-ramai manusia, Presiden Amerika Syarikat yang mengumumkan Hari Berdoa Peringkat Kebangsaan. Orang ramai juga mulai menghalakan harapan mereka kepada sebuah Kuasa Yang Maha Tinggi.

Presiden Donald Trump telah mengumumkan Hari Berdoa Peringkat Kebangsaan pada hari Ahad, 15 Mac 2020, sejurus selepas pengumuman darurat akibat coronavirus di Amerika Syarikat. Untuk sambutan hari tersebut secara tahunan pula telah ditetapkan pada tarikh 7 Mei setiap tahun.

Kata beliau, “Di Amerika kita menyambut keimanan. Kita meraikan agama. Kita angkat suara kita dalam berdoa dan kita naikkan pandangan kita melihat keagungan Tuhan.

Pada hari Rabu, 15 April 2020, lebih 50,000 orang di United Kingdom pula telah menandatangani petisyen yang menuntut Perdana Menteri UK, Boris Johnson supaya mengadakan Hari Berdoa Peringkat Kebangsaan bagi mengatasi coronavirus yang telah pun meragut lebih 12,000 nyawa.

Begitulah keadaan manusia saat ditimpa ujian yang mengancam nyawa mereka. Firman Allah SWT: 

وَجَاءَهُمُ الْمَوْجُ مِن كُلِّ مَكَانٍ وَظَنُّوا أَنَّهُمْ أُحِيطَ بِهِمْ ۙ دَعَوُا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ لَئِنْ أَنجَيْتَنَا مِنْ هَٰذِهِ لَنَكُونَنَّ مِنَ الشَّاكِرِينَ (22) فَلَمَّا أَنجَاهُمْ إِذَا هُمْ يَبْغُونَ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ...إلخ
 ۗ
“…dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata (sambil merayu dengan berkata): Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur. Kemudian bila sahaja Allah selamatkan mereka, mereka dengan serta-merta merebakkan perbuatan derhaka di bumi dengan tidak ada sebarang alasan yang benar…” [ Surah Yunus : 22 – 23 ] ”

Kita pula selaku umat Islam seharusnya lebih lagi meletakkan pergantungan kepada Allah SWT. Amalkanlah zikir-zikir siang dan malam yang diajarkan oleh Nabi SAW serta solat hajat & bacaan qunut nazilah.

Sekian,

هذا وبالله التوفيق,
والله أعلم بالصواب. 

Disediakan oleh: Ahmad Khalilurrahman bin Fadilah

Rujukan:

1) Al-Quran dan terjemahan.

2) Sulaiman ibn Ahmad at-Tabrani (360 H). Al-Mu’jam al-Kabir. Maktabah Ibn Taimiyyah: Kaherah, Mesir.

3) OnePath Network Something really strange is happening right now http://onepathnetwork.com/something-really-strangeis-happening-right-now

4) BBC News UK pubs and restaurants told to shut in virus fight https://www.bbc.com/news/uk-51981653

5) ABC News Coronavirus crackdown to force mass closures of pubs, clubs, churches and indoor sporting venues https://mobile.abc.net.au/news/2020-03-22/majorcoronavirus-crackdown-to-close-churches-pubsclubs/12079610

6) The Guardian
Alcohol sales banned in Greenland capital during lockdown https://www.theguardian.com/world/2020/mar/29/alc ohol-sales-banned-in-greenland-capital-during-lockdown 

7) Covid-19 reveals the alarming truth that many children can’t wash their hands at school 
https://www.theguardian.com/education/2020/mar/17 /covid-19-reveals-the-alarming-truth-that-many-children-cant-wash-their-hands-at-sc

8) Fox News Trump declares Sunday a National Day of Prayer amid coronavirus crisis https://www.foxnews.com/politics/trump-sundaynational-day-of-pray

9) Christian Today Over 50,000 people sign petition calling for National Day of Prayer over coronavirus https://www.christiantoday.com/article/over.50000.pe ople.sign.petition.calling.for.national.day.of.prayer.over.coronavirus/134683.html

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...