Friday, March 6, 2020

TINTA PIMPINAN : ILMU DAN AMAL ASAS PEMBENTUKAN GENERASI ULAMA AMILIN


[ ILMU DAN AMAL ASAS PEMBENTUKAN GENERASI ULAMA AMILIN ]

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين، وبه نستعين على أمور الدنيا والدين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد.

Gelaran penuntut ilmu adalah satu gelaran yang istimewa buat insan-insan yang terpilih oleh Allah SWT untuk terus-menerus menggali ilmu-ilmu Allah SWT di atas muka bumi ini bertujuan untuk mengenal agama Islam yang sebenar mengikut acuan al-Quran dan as-Sunnah.

Justeru itu, bagi seorang yang bergelar penuntut ilmu terutamanya mahasiswa/wi Islam yang menuntut di tempat pengajian terulung iaitu Universiti Al-Azhar asy-Syariff ini, tidak boleh sama sekali memisahkan dua aspek penting dalam kehidupan iaitu menuntut ilmu dan mengamalkan ilmu.

Firman Allah SWT:

 يَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَٰتٖۚ

“Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat.” (Surah al-Mujadalah : 11)

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Allah SWT mengangkat dan memuliakan golongan yang mempunyai ilmu pengetahuan. Ada juga hadis yang menyebut tentang kelebihan orang yang berilmu berbanding orang yang beribadah :

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: فَقِيهٌ وَاحِدٌ أَشَدُّ عَلَى الشَّيطَانِ مِنْ أَلْفِ عَابِدٍ
(أخرجه الترمذي وابن ماجه)

“Daripada Ibnu Abbas RA berkata: “Telah bersabda Rasulullah SAW: “Seorang yang alim itu lebih kuat pengaruhnya atas syaitan daripada seribu abid.” (HR Timidzi dan Ibnu Majah)

Dalam perjalanan mencari ilmu, wajib ke atas setiap penuntut ilmu juga untuk mencari ilmu yang bermanfaat. Imam al-Ghazali rahimahullah menyebut dalam kitabnya ‘Bidayah al-Hidayah’ bahawa ada beberapa ciri ilmu yang bermanfaat, antaranya:

1) Menambahkan ketakutan kepada Allah SWT.

2) Menambahkan mengenali aib diri sendiri.

3) Mengurangkan kecintaan pada dunia.

4) Menambahkan kecintaan pada akhirat.

Dan banyak lagi ciri-ciri lain yang tidak dapat disebutkan di sini. Maka ciri-ciri inilah yang menjadi natijah bahawa seseorang itu dikurniakan ilmu yang bermanfaat.

Adapun ilmu itu sangat berkait dengan amal. Ilmu dan amal tidak boleh dipisahkan sepertimana yang diungkapkan oleh Imam al-Ghazali rahimahullah dalam ‘Ayyuha al-Walad’ :

العِلْمُ بِلَا عَمَلٍ جُنُونٌ وَالْعَمَلُ بِغَيرِ عِلْمٍ لَا يَكُونُ

“Ilmu tanpa amal adalah gila dan amal tanpa ilmu adalah sia-sia.”

Imam al-Ghazali rahimahullah juga ada memberikan perumpamaan bahawa jika seorang lelaki yang membaca 1000 masalah ilmu dan mengajarkannya lalu tidak beramal dengannya maka tidak menghasilkan faedah melainkan dengan beramal.

Begitu juga dengan konsep amal, jika beramal tanpa ilmu maka amalannya kemungkinan tidak diterima sepertimana yang disebutkan oleh Imam Ibnu Ruslan rahimahullah dalam ‘Matan az-Zubad’:

فَكُلُّ مَنْ بِغَيرِ عِلْمٍ يُعْمَلُ * أَعْمَالُهُ مَرْدُودَةٌ لَا تُقْبَلُ

“Maka setiap orang yang beramal tanpa ilmu * Amalannya tertolak lagi tidak diterima.”

Maka kedua-dua konsep ini perlu digabungkan kerana boleh menjadi satu fasad (kerosakan) jika menceraikan kedua-duanya. Imam Burhanuddin az-Zarnuji rahimahullah menyebut dalam kitabnya ‘Ta’lim al-Muta‘allim’ :

فَسَادٌ كَبِيرٌ عَالِمٌ مُتَهَتِّكُ * وَأَكْبَرُ مِنْهُ جَاهِلٌ مُتَنَسِّكُ

هُمَا فِتْنَةّ فِي الْعَالَمِينَ عَظِيمَةٌ * لِمَنْ بِهِمَا فِي دِينِهِ يَتَمَسَّكُ

“Kerosakan yang besar itu adalah orang alim yang tidak beramal * Dan terlebih besar daripadanya orang jahil (tanpa ilmu) yang berbuat amalannya

Keduanya itu fitnah yang besar di dunia * Bagi mereka yang berpegang pada agamanya dengan keduanya”

Justeru itu, melalui ilmu yang benar-benar dibina secara kukuh dalam diri itu mampu melahirkan seorang ulama’ dan ditambah pula dengan amal Islami maka akhirnya menatijahkan seorang ulama’ amilin

Adapun sifat yang paling utama perlu ada dalam diri seorang ulama ialah sifat takut kepada Allah kerana melalui sifat ini akan melahirkan seorang ulama’ amilin yang melaksanakan segala perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan Allah SWT sepertimana firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَخۡشَى ٱللَّهَ مِنۡ عِبَادِهِ ٱلۡعُلَمَٰٓؤُاْۗ

“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di kalangan hamba-hambaNya ialah orang-orang yang berilmu (ulama’).” (Surah Fatir : 28)

Pembentukan ulama’ amilin ini menjadi tunjang dan tunggak utama dalam memimpin masyarakat dan negara ke arah pelaksanaan syariat Islam yang syumul (sempurna). Ianya bertepatan dengan kalam Saidina Umar al-Khattab RA:

تَفَقَّهُوا قَبْلَ أَنْ تُسَوَّدُوا

“Dalamilah ilmu agama sebelum kamu menjadi pemimpin.”

Tanggungjawab menjadi pemimpin atau pun khalifah di atas muka bumi adalah salah satu daripada tujuan penciptaan makhluk di atas muka bumi ini sepertimana firman Allah SWT:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ 

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.” (Surah al-Baqarah : 30)

Generasi ulama’ amilin yang memahami tentang syariat Islam ini sangat penting dalam pemerintahan negara Islam sepertimana yang disebut oleh Imam al-Ghazali rahimahullah dalam kitabnya ‘al-Iqtisad fi al-I’tiqad’ :

الدِّينُ والسُّلطَانُ تَوءَمَانِ، وَلِهَذَا قِيلَ : الدِّينُ أُسٌّ وَالسُّلطَانُ حَارِسٌ، وَمَا لَا أُسٌّ لَهُ فَمَهدُومٌ، وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ.

“Agama dan pemerintahan itu seperti dua anak kembar, dan kerana ini juga dikatakan: Agama itu asas (dasar) dan pemerintahan itu ialah penjaganya, dan barang yang tiada asas itu akan runtuh dan barang yang tiada penjaga itu akan lenyap.”

Agama dan pemerintahan ini sangat berkait rapat dan tidak boleh dipisahkan sama sekali. Syeikh Abdul Qodir al-Mandili rahimahullah juga ada menyebut dalam kitabnya ‘Islam, Agama dan Kedaulatan’ :

“Islam itu bercampur agama dengan kedaulatan (kekuasaan), dan bercampur gaul (sebati) kedaulatan dengan agama, hingga tiada dapat (tidak boleh) diceraikan antara keduanya, dan hingga jadilah kedaulatan pada Islam itu agama, dan jadi agama di dalam Islam itu ia kedaulatan.”

Akhir sekali, jadikanlah majlis ilmu dan amal ijtimaie yang dibawa oleh wadah kesatuan BKPJM ini sebagai satu wasilah untuk membentuk dan mentarbiyah diri ke arah pembentukan generasi ulama’ amilin yang akan menegakkan kebenaran Islam dan bukan yang sebaliknya sepertimana yang disebutkan oleh Imam Muhammad Zahid al-Kauthari rahimahullah:

السَّاكِتُ عَنِ الحَقِّ شَيطَانُ أَخرَسُ

“Orang yang diam daripada menyokong kebenaran maka ia adalah syaitan yang bisu.”

Semoga Allah SWT memilih kita semua di kalangan pejuang-pejuang Islam yang ikhlas dan istiqamah mempertahankan kebenaran Islam daripada musuh-musuh Islam.

والله أعلم بالصواب

Akhukum Fillah,
Muhammad Harith bin Osman,
Unit Kebajikan dan Kemanusiaan,
BKPJM sesi 2019/2020.

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...