Sunday, February 28, 2016

Jaulah J-GEGAR 16 Medan Ikatan Ukhuwah Anak-Anak Johor.


Kaherah, 15 FEBRUARI 2016– Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir sesi 2015/2016 telah mengadakan Jaulah Sinai bagi ikhwah dan Jaulah Dumyat bagi akhawat di bawah program mega Johorean Grand Gathering (J-GEGAR’16) dengan bertemakan “Together We Are An Ocean”,
Objektif  program ini dilaksanakan adalah untuk memperkasakan tautan ukhuwah Islamiah antara anak-anak Johor daripada pengajian Islam mahupun sains kesihatan. Dan menyemarakkan slogan “Setia Bersamamu BKPJM”. Di samping itu dapat memanfaatkan masa dengan aktiviti yang berfaedah serta dapat mengambil pengajaran dan ibrah dari sirah Nabi Musa.
Jaulah ini mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada seluruh anak Johor yang berada di Mesir. Seramai 38 orang peserta ikhwah yang menyertai jaulah ke Sinai dan 48 orang peserta akhawat, turut disertai 4 pasangan mutazawwijin ke Dumyat.
Rombongan ke Sinai dan Dumyat bertolak seawal jam 3.00 pagi seusai melaksanakan qiamulail dan Solat Sunat Musafir. Perjalanan ke Dumyat mengambil masa lebih kurang 5 jam untuk sampai ke destinasi dan  selamat tiba pada jam 8.00 pagi. Pelbagai aktiviti menarik telah disusun oleh eksekutif pengisian sepanjang program di Dumyat untuk semua peserta. Program jaulah Dumyat ini diakhiri dengan sedikit ucapan penutup dari Ketua Hewi, Ustazah Nurizzah Sofea binti Ismail, dan penyampaian hadiah bagi pemenang dalam acara sukaneka yang telah diadakan di pantai gadidah..
Perjalanan ke Sinai pula mengambil masa hampir separuh hari dan terus menuju ke Kubu Israel melalui terowong Ahmad Hamdi dan kemudian menuju ke Uyun Musa. Banyak  tempat bersejarah yang dapat dilawati antaranya  Maqam Nabi Harun, Pancaran Lembu Samiri serta Wadi Arbain, sebuah lembah pertemuan 40 orang Nabi, dan beberapa lagi tempat-tempat bersejarah yang berdekatan.
Perjalanan  diteruskan ke Dahab. Pelbagai aktiviti dapat dilakukan di sini, antaranya bermain ‘snorkling’, menaiki ‘ATV’ dan  lain-lain. Aktiviti terakhir sebelum rombongan bertolak pulang ke Kaherah ialah menaiki “Glass boat” yang mana dapat melihat keindahan alam semula jadi di Teluk Aqabah.
Alhamdulillah, dengan izinNya perjalanan jaulah ini berjalan dengan lancar. Pihak pelaksana program Johorean Grand Gathering merakamkan jutaan terima kasih kepada para peserta yang menyertai jaulah pada kali ini. Semoga objektif, misi dan visi yang digariskan dapat tercapai dan mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah S.W.T


                                                              "Together We Are An Ocean"


::Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan::
::Kebajikan dan Perpaduan::

Saturday, February 27, 2016

J-GEGAR 16 merapatkan kesatuan anak-anak Johor dibawah wadah BKPJM




KAHERAH, 15 Februari 2016 -  Saban tahun Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor Di Mesir (BKPJM) menganjurkan program mega iaitu hari keluarga dan pada tahun ini dinamakan sebagai "Johorean Grand Gathering 2016" (J-GEGAR'16) program ini  telah berlangsung selama enam hari.

       Objektif program ini dibuat bertujuan untuk  mamperkasakan tautan ukhuwah islamiah di kalangan anak-anak Johor di samping menyemarakkan slogan “SETIA BERSAMAMU BKPJM” dan melahirkan anak-anak Johor yang seimbang daripada segi jasmani,rohani,dan intelektual. Program yang berlangsung selama enam hari ini disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya jaulah tiga hari ke Sinai untuk mahasiswa dan jaulah sehari ke Dumyat untuk mahasiswi serta acara  Sportdays.

       Acara yang dipertandingkan sepanjang program J-GEGAR Sportdays ialah futsal (Piala JDT), ping-pong dan PES ’16 bagi ikhwah, manakala bola jaring,explorace dan sukaneka bagi akhawat pada 20 dan 22 februari 2016.Penyertaan bagi acara futsal ialah 12 kumpulan dan bagi acara bola jaring pula ialah 4 kumpulan. Program ini telah memberikan impak yang positif daripada semua anak-anak Johor di perlembahan Nil dengan menyertai kesemua acara tersebut.

       Program J-GEGAR '16 diakhiri dengan majlis malam penutup yang telah diadakan di Dewan Asrama Pelajar Johor Rabaah pada 22 Februari 2016. Penolong  Pegawai Atase Pendidikan Negeri Johor di Mesir,Ustaz Adam bin Ibrahim telah merasmikan majlis penutup program. Seterusnya majlis ini dimeriahkan lagi dengan cabutan bertuah dan penyampaian hadiah untuk para pemenang serta sedikit persembahan khas  nasyid dan sajak daripada wakil anak Johor sendiri. Juadah istimewa juga disediakan pada akhir majlis.
.
      Akhirnya, besarlah harapan BKPJM dan seluruh eksekutif pelaksana agar program  hari keluarga pada tahun ini lebih bermakna dan sekaligus dapat mengeratkan kembali tautan ukhuwah antara anak-anak Johor di bawah wadah kesatuan BKPJM dan harapan daripada Pengarah J-GEGAR ’16 ustaz Fathurrahman bin Mohd Saleh supaya teruslah menyokong dan mendokong  Badan Kebajikan Pelajar Johor Di Mesir kerana BKPJM adalah wadah kesatuan anak Johor di Mesir ini.

''Together We Are An Ocean"

::Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan::
:: Keilmuan Memangkin Kesatuan Islam ::
::Kebajikan dan Kesatuan::




Saturday, February 13, 2016

Hukum Bermain Alat Muzik Bertali


HUKUM BERMAIN ALAT MUZIK BERTALI

Islam tidak menghalang untuk umatnya berhibur, akan tetapi setiap hiburan perlu bersandar dengan Islam atau tidak lari dari hukum Islam. Perlu diingatkan bahawa asal sesuatu hukum adalah harus. Namun, ia boleh berubah menjadi haram atau hukum selainya bergantung kepada waqi'e dan dalil yang menyokongnya.

Bermain alat muzik adalah diharuskan bagi golongan yang pertengahan (orang yang tidak dikuasai rasa cinta asyik yang mendalam terhadap Allah dan tidak juga dikuasai oleh hawa nafsu yang memuncak). Hal ini kerana, bagi orang yang terlalu asyik dengan Allah, bermain alat muzik adalah baik untuknya manakala bagi orang yang mudah terpengaruh dengan desakan hawa nafsu dan melalaikan, bermain alat muzik adalah haram untuknya.

Namun demikian, jika bermain alat muzik dijadikan sebagai kebiasaan sehingga banyak waktunya dihabiskan untuk itu, maka dia tergolong dalam kalangan orang bodoh yang kesaksian mereka tidak boleh diguna pakai.

Mengenai hukum penggunaan gitar dalam Islam, Imam Al-Ghazali menganggap bahawa alat muzik yang dipetik dengan tali (autar) adalah sebahagian daripada punca pengharamannya. Beliau beranggapan sedemikian kerana berasaskan kepada kenyataan bahawa ada dalil syarak yang telah melarangnya.

Hujah yang telah beliau kemukakan adalah :

Syarak tidak mengharamkannya (alat-alat muzik tersebut) kerana zat alat itu sendiri. Sebabnya ialah, jika ia diharamkan kerana keseronokan yang ada padanya, nescaya semua benda lain yang menjadikan manusia merasa seronok juga tidak boleh.

Ianya seperti hukum pengharaman arak. Oleh kerana pada ketika itu(zaman nabi s.a.w) orang ramai pada mulanya sudah begitu ketagih dan sukar untuk membuang tabiat tersebut, mereka terpaksa memecahkan tong-tong arak dan sebagainya. Justeru, setiap apa yang menjadikan peminum arak itu ketagih dan cenderung kepada melakukan dosa maka ianya juga diharamkan terhadap alat muzik bertali (autar).

Pengharaman alat muzik bertali(autar) ini adalah diambil daripada hukum pengharaman arak. Kerana perbuatan minum arak adalah gerbang dan muqaddimah ke arah maksiat keji.

Oleh itu, alat muzik autar  ini diharamkan ekoran daripada pengharaman arak dengan 3 sebab:

Muzik tersebut merangsang orang yang mendengar untuk meminum arak. Dan dengan meminum arak itu pula, perasaan seronok mendengar alat muzik itu tadi akan menjadi lebih memuncak.
Bagi seseorang yang baru berhenti minum arak pula, mendengar alat muzik ini akan menggamit ingatannya kepada sejarah silam iaitu tentang tempat dan pesta minumnya dulu. Ingatan ini akan membangkitkan rasa rindunya dan seterusnya akan membawanya semula ke tabiat lama.
Berhimpun dan berkumpul mendengarnya adalah menjadi adat kebiasaan golongan fasik. Sepertimana yang kita sedia maklum, Kita dilarang menyerupai golongan fasik. Ini kerana, “ Sesiapa yang menyerupai sesuatu puak atau golongan yang negatif, maka dia akan dianggap sebahagian daripada golongan tersebut.”

Setelah Imam Al-Ghazali membuat huraian tersebut, beliau kemudian menyatakan:
Dengan ini jelaslah bahawa sebab pengharamannya bukanlah kerana ia sesuatu yang baik dan menyeronokkan. Sebaliknya, kesimpulan yang diperolehi melalui sumber syarak membuktikan bahawa semua perkara yang baik adalah halal kecuali jika ia membawa kerosakan kepada manusia.
Bersesuaian dengan firman Allah,

“ Katakanlah (wahai Muhammad): Siapakah yang (berani ) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?” (Al-A’raf:32)

Natijahnya. Segala apa yang telah diterangkan diatas merupakan hujah yang telah dikemukakan oleh Imam Al-Ghazali bagi menjelaskan sebab beliau mengharamkan penggunaan alat muzik yang bertali.
Sekian. Sedikit perkongsian mengenai isu alat muzik di dalam Islam. Jika ada sebarang kesalahan harap dapat diperbetulkan. Wallahua’lam.

RUJUKAN:

NYANYIAN DAN MUZIK MENURUT PERSPEKTIF AL-QURAN DAN AS-SUNNAH, DR. YUSUF AL-QARDAWI.

Disediakan oleh :

Unit Tafaqquh dan Thaqafah (TnT),
Unit Pengetahuan dan Bimbingan BKPJM 15/16

Kalam Pimpinan | Unit Pengetahuan dan Bimbingan BKPJM 15/16


[ Kalam Pimpinan ]

“ Sesi pengkuliahan bagi semestar ke-2 bermula pada 13 Februari 2016 ini, maka saya menyeru kepada seluruh mahasiswa/wi Johor yang berada di Mesir untuk lebih bersungguh-sungguh dan melazimi mengikuti sesi pengkuliahan fasa 2 di Universiti Al-Azhar.

Saya mengharapkan agar seluruh mahasiswa/wi Johor dapat memberi tumpuan sepenuhnya serta menjaga adab dan akhlak sepanjang sesi pengkuliahan dijalankan supaya mendapat keberkatan dan keredhaan dari Allah.

Akhirnya, semoga ilmu yang diperolehi akan memberi manfaat untuk diri, masyarakat dan ummah di Malaysia kelak. Wallahu a’lam.. ” 

Muhammad Syakir Bin Sahimi
Unit Pengetahuan dan Bimbingan BKPJM 15/16

.:: Memurnikan Pemikiran Melstarikan Kesatuan ::.
.:: Keilmuan Memangkin Kesatuan Islam ::.
.:: Kebajikan dan Perpaduan ::.

Monday, February 1, 2016

Perspektif Islam Dalam Mempertahankan Hak



PERSPEKTIF ISLAM DALAM MEMPERTAHANKAN HAK

Dalam Islam kita perlu menjaga dan mempertahankan hak, harta dan maruah kita apabila ada orang yang cuba mempertikaikan atau menafikan. Harta dan Maruah adalah dua dari lima perkara keutamaan dalam penjagaan syariah Islam. Tidak hairanlah jika kita perhatikan tujuan daripada setiap syariah Islam terdapat padanya konsep menjaga maslahah individu serta  menghilangkan kemudharatan ke atas mereka. Namun apabila hak individu ataupun kumpulan telah dicerobohi maka disitu menjadi tanggunjawab dan kewajipan bagi kita untuk bertindak dan mempertahankan hak kita.

APAKAH ITU PENCEROBOHAN?

Menurut perspektif Islam, penceroboh adalah seseorang yang menyerang Muslim atau seorang zimmi dengan tujuan mencederakan atau memudaratkan, sama ada pada tubuh, maruah dan harta.  (Dr. Mustafa al-Bugha, Ali as-Syirbaji, al-Fiqh al-Manhaj).
Fiman Allah S.W.T. yang bermaksud: ‘’Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya,dalam pada itu sesiapa yang memaafkan(kejahatan orang) dan berbuat baik(kepadanya),maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan dibei balasan sebaik-baiknya).Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.(Asy Syura: ayat 40)
Allah benci orang yang zalim iaitu mereka yang melakukan kejahatan yang melampau kepada manusia,dan mereka melakukan perbuatan tersebut kepada manusia berlawanan dengan apa yang Allah perintahkan. (Tafsir Tobari)
APAKAH HUKUM MEMPERTAHANKAN DIRI?

Dan di dalam islam, bertindak balas atau mempertahankan diri terhadap kejahatan yang dilakukan adalah perlu dengan kadar kesesuaian, dan ianya salah jika membalasnya secara berlebihan.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud : “Dan(jika kamu hendak membalas maka)balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan bersama dengannya”. (Ghafir: Ayat 40)

Dan Firman Allah lagi ada menyebut “Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu”(Al Baqarah : 194)  

Ia adalah berbeza mengikut keadaan. Ada kalanya wajib dan ada kalanya harus, mengikut keadaan tertentu serta syarat-syarat tertentu.

Hukum mempertahankan diri dan membalas serangan penceroboh diharuskan adalah kerana darurat (perkara yang tidak dapat dielakkan). Dan kaedah Feqh ada menyatakan bahawa darurat hendaklah ditentukan dengan kadarnya yang setimpal (tidak lebih).

Dan Firman Allah S.W.T yang bermaksud “Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan),maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu”. (An Nahl : Ayat 126)

DALIL MEMEPERTAHANKAN DIRI

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud : "Oleh itu, sesiapa yang melakukan pencerobohan (penganiayaan) terhadap kamu, maka balaslah pencerobohannya itu secara seimbang (adil / sesuai) dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu, dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah, sesungguhnya Allah beserta dengan orang-orang yang bertaqwa". (Surah Al-Baqarah, ayat 194).

Sabda Rasulullah S.A.W: “Bantulah saudaramu yang zalim atau dizalimi”. Para sahabat bertanya, “Ini kami membantunya kerana dizalimi, bagaimana pula membantu orang yang zalim?”. Jawab Baginda S.A.W, “Kamu ambil kekuasaannya (sekat dan halang kezalimannya).  (Sahih Bukhari)

KESIMPULAN

Fitrah manusia yang normal menginginkan kehidupan yang aman tenteram dan sejahtera. Setiap orang tidak suka diri, keluarga mahupun hartanya diganggu-gugat atau diceroboh. Islam datang bagi memastikan setiap individu dari segenap sesuatu mendapapat hak masing-masing dengan adil dan saksama.

Firman Allah “ Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang -orang yang berlaku zalim. Iaitu orang-orang yang melampaui batas dan yang memulakan kezaliman’’. (Asy Syura:Ayat 40)


Disediakan oleh,

Unit Thaqafah dan Tafaquh,
Unit Pengetahuan dan Bimbingan,
Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) 2015/2016


MAKLUMAN | Pemindahan Semula Barang Badan Kebajikan Pelajar - Pelajar Johor di Mesir



[Kenyataan Rasmi YDP]
MAKLUMAN PEMINDAHAN SEMULA BARANG BADAN KEBAJIKAN PELAJAR-PELAJAR JOHOR DI MESIR (BKPJM)

Assalamualaikum wbt.

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين.

Berikutan peristiwa yang berlaku selepas perpindahan barang dan aset BKPJM ke Pejabat Rasmi BKPJM di Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin (APJ8) bagi mengembalikan semula hak BKPJM di APJ8, telah terdapat campur tangan pihak ketiga iaitu pihak keselamatan Mesir. Maka setelah bermesyuarat bersama AJKT BKPJM, saya selaku Yang DiPertua BKPJM sesi 2015/2016 bersetuju untuk akur sementara waktu dengan tindakan terus beroperasi di pejabat tersebut setelah mendapat ancaman keselamatan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab terbabit. Oleh itu, BKPJM memaklumkan kepada semua ahli bahawa BKPJM akan kembalikan semula barang dan aset BKPJM ke Asrama Pelajar Johor Rabaah butiran seperti berikut :

Tarikh : 1 Februari 2016
Hari : Isnin
Waktu : 9.00 pagi

Namun suka untuk ditegaskan bahawa, BKPJM akan sentiasa berusaha bagi mendapatkan kembali hak dan terus mempertahankan hak Pejabat Rasmi BKPJM di Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin.

Pegawai Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) juga menasihatkan agar akur dengan beberapa tindakan berkenaan isu pejabat BKPJM ini bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar. BKPJM sentiasa komited untuk terus bekerjasama dan sentiasa menyalurkan maklumat kepada pegawai MAIJ. BKPJM juga mengambil pandangan ini sebagai satu langkah dalam mendapatkan semula hak pejabat BKPJM. Tuntasnya, BKPJM akan terus dan sentiasa optimis dalam mempertahankan hak Pejabat Rasmi BKPJM di Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin.

Terima kasih kepada semua penyokong dan pendokong yang sentiasa menjadi tulang belakang dalam mempertahankan wadah anak Johor ini walau di dalam pelbagai ancaman. 

Diharapkan agar semua dapat terus bermunajat dan berdoa agar ALLAH s.w.t. memudahkan segala pengurusan serta meneruskan wasilah perjuangan ini.

Semoga ALLAH SWT terus memelihara kesatuan BKPJM ini sebagai badan yang berkebajikan dan menjaga perpaduan serta mengharapkan segala sokongan dan dokongan daripada semua. Sekian, terima kasih.

Muhammad Ariff Bin Haron
Yang DiPertua,
Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir sesi 2015/2016
Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan
Keilmuan Memangkin Kesatuan Islam
Kebajikan dan Perpaduan

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...