Monday, August 19, 2019

PENGHAYATAN DI SEBALIK AIDILADHA


                                         
                                        PENGHAYATAN DI SEBALIK AIDILADHA

Hari Raya Aidiladha merupakan salah satu daripada dua hari raya yang diraikan oleh seluruh umat Islam di dunia ini.  Ia terkandung di dalam hadis (terjemahan) yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas r.a., yang bermaksud: "Rasulullah S.A.W datang ke Madinah, sedangkan mereka sedang sibuk bergembira selama dua hari. Maka Rasulullah S.A.W bertanya: Hari apakah yang dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman jahiliah : Kemudian Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha." (Diriwayatkan Imam Abu Daud dan an-Nasai daripada Anas).

Setelah kita semua meraikan hari raya Aidilfitri sebelum ini pada bulan Syawal, terdapat hari raya Aidiladha pada bulan Zulhijjah dan ia dikenali dengan nama Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji.  Ia sangat sinonim dengan aktiviti umat Islam yang akan melaksanakan ibadah korban iaitu menyembelih binatang korban pada hari tasyrik bermula 10,11,12 dan 13 Zulhijjah. Ia bertujuan tidak lain tidak bukan adalah untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT semata-mata.

Kepentingan hari raya ini juga bagi memperingati kisah yang memberikan banyak pengajaran kepada semua. Kisah yang dimaksudkan adalah kisah Nabi Ibrahim a.s. dalam menerima perintah Allah untuk menyembelih Nabi Ismail a.s. yang merupakan anaknya daripada isteri keduanya iaitu Siti Hajar. 

Kisah Nabi Ibrahim a.s. yang sekian lama menunggu hadirnya cahaya mata telah Allah SWT kabulkan.  Ujian dalam menunggu kehadiran zuriatnya itu, telah dilepasi dengan keimanan, kesabaran dan keredaan yang sangat tulus.  Setelah Allah mengurniakan mereka zuriat bernama Ismail, Nabi Ibrahim a.s. diuji lagi tahap kesabarannya dengan perintah Allah melalui mimpi yang menyuruhnya menyembelih anaknya. Kita semua boleh mengikuti kisah ini di dalam al-Quran bermula ayat 100 sehingga 100 daripada Surah as-Saffat.

[100] ” Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!”

[101] Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar.

[102] Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.

[103] Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami),

[104] Serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim!

[105] “Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

[106] Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata;

[107] Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;

[108] Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:

[109] “Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!”.

[110] Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

[111] Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.

Di saat Nabi Ibrahim a.s. menjunjung taat akan perintah Allah SWT semasa menyembelih anaknya Nabi ismail a.s., kuasa Allah SWT menggantikan sembelihan Nabi Ibrahim a.s. kepada seekor binatang yang disebut kibas.  Dalam masa yang sama, Nabi Ismail tidak jadi untuk disembelih.  Betapa hebatnya tahap kesabaran Nabi Ibrahim a.s. sebagai seorang bapa yang amat menyayangi anaknya dengan mengorbankan perasaan demi melaksanakan perintah Allah SWT. Hal ini disebabkan oleh Nabi Ibrahim a.s. selaku hamba kepada Tuhannya sanggup melakukan apa sahaja yang diperintahkan Allah SWT mengatasi segala keinginan dirinya.  Tidak dapat kita bayangkan perasaan seorang bapa yang  sekian lama menunggu akan hadirnya seorang zuriat dan membesar dengan baik lalu mesti mengorbankannya demi sebuah perintah.  Namun Nabi Ibrahim a.s. tetap menjalankan perintah Allah SWT dengan baik dan sempurna.

Kisah ini merupakan simbolik kepada keikhlasan sebuah hati dalam mengorbankan apa jua yang menjadi kesayangan kerana tahap sayang dan cinta kepada yang Maha Esa melebihi segala-galanya.

Pada hari raya Aidiladha, kita semua dapat lihat ramai  umat Islam yang menyembelih binatang korban (dinamakan dengan al-an'am di dalam bahasa arab) yang terdiri daripada unta, lembu, kerbau, kambing dan kambing biri-biri. Setelah disembelih, daging binatang korban akan diagih-agihkan mengikut bahagian-bahagiannya.  Ia mengandungi hikmah buat umat Islam seluruhnya kerana banyak amalan soleh yang dilaksanakan pada hari raya tersebut termasuklah amalan bersedekah dan menggembirakan umat Islam yang lain.Firman Allah SWT yang bermaksud: “Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.”(QS. Alhajj :37
Umat Islam yang melaksanakan ibadah korban ini menjemput kecintaan Allah SWT. Berdasarkan sebuah hadis (terjemahan) yang telah diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Al-Hakim yang bermaksud: "Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai Allah daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih." Kita juga dapat menghayati akan ibadah ini sebagai tanda taqwa daripada hati.

ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ

Demikianlah (perintah Allah). Dan barang siapa mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya hal itu timbul dari ketakwaan hati,”
(QS. Al-Hajj: 32)

Sungguh, al-Quran membawa petunjuk cahaya ilahi bagi sesiapa yang benar-benar mentadabburinya. Betapa banyak pengajaran yang dapat kita hayati daripada kesolehan serta kesabaran Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s.

Selaku hamba Allah di muka bumi ini, kita sepatutnya mencontohi sifat-sifat para rasul dan anbiya’ dalam menjalani kehidupan kita.  Lebih-lebih lagi, Nabi Ibrahim merupakan antara nabi yang digelar sebagai ululazmi iaitu nabi dan rasul yang mempunyai tahap kesabarannya yang sangat tinggi terhadap ujian-ujian yang diberikan oleh Allah  SWT.

Hikmah-hikmah yang boleh kita kutip disebalik hari raya Aidiladha adalah bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat kehidupan, membuktikan cinta kepada Allah mengatasi cinta kepada keinginan diri, bersabar dalam mentaati perintah Allah, menyambung silaturrahim, bersedekah kepada fakir dan miskin dan memuliakan tetamu yang hadir. Ini semua merupakan tanda kesyukuran terhadap nikmat-nikmat yang dikurniakan Allah SWT.  Selain itu, dapat membenarkan firman Allah di dalam al-Quran yang menyatakan bahawa binatang-binatang sembelihan ini merupakan ciptaan Allah yang menjadi manfaat kepada manusia Firman Allah SWT yang bermaksud “Dan Dia telah menciptakan binatang ternak untuk kamu; padanya ada (bulu) yang menghangatkan dan berbagai-bagai manfaat, dan sebahagiannya kamu makan," (QS An-Nahl : 5).

Akhir sekali, semoga kita dapat mengutip hikmah-hikmah dalam kisah ini sebagai cahaya dalam menerangi jalan kehidupan kita yang terdapat pelbagai ranjau dan liku-likunya. Lumrah kehidupan, medan ujian adalah di dunia yang sementara dan rehat selamanya hanyalah di syurga yang kekal abadi.Sekian, Wallahu'alam.

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...