PENGHAYATAN DI SEBALIK AIDILADHA
Hari Raya Aidiladha merupakan salah satu
daripada dua hari raya yang diraikan oleh seluruh umat Islam di dunia ini. Ia terkandung di dalam hadis (terjemahan)
yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas r.a., yang
bermaksud: "Rasulullah S.A.W datang ke Madinah, sedangkan mereka
sedang sibuk bergembira selama dua hari. Maka Rasulullah S.A.W bertanya: Hari
apakah yang dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua
hari pada zaman jahiliah : Kemudian Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya
Allah SWT telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari
itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha." (Diriwayatkan Imam Abu Daud
dan an-Nasai daripada Anas).
Setelah kita semua meraikan hari raya
Aidilfitri sebelum ini pada bulan Syawal, terdapat hari raya Aidiladha pada
bulan Zulhijjah dan ia dikenali dengan nama Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji. Ia sangat sinonim dengan aktiviti umat Islam
yang akan melaksanakan ibadah korban iaitu menyembelih binatang korban pada
hari tasyrik bermula 10,11,12 dan 13 Zulhijjah. Ia bertujuan tidak lain tidak
bukan adalah untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT semata-mata.
Kepentingan hari raya ini juga bagi
memperingati kisah yang memberikan banyak pengajaran kepada semua. Kisah yang
dimaksudkan adalah kisah Nabi Ibrahim a.s. dalam menerima perintah Allah untuk
menyembelih Nabi Ismail a.s. yang merupakan anaknya daripada isteri keduanya
iaitu Siti Hajar.
Kisah Nabi Ibrahim a.s. yang sekian lama
menunggu hadirnya cahaya mata telah Allah SWT kabulkan. Ujian dalam menunggu kehadiran zuriatnya itu,
telah dilepasi dengan keimanan, kesabaran dan keredaan yang sangat tulus. Setelah Allah mengurniakan mereka zuriat
bernama Ismail, Nabi Ibrahim a.s. diuji lagi tahap kesabarannya dengan perintah
Allah melalui mimpi yang menyuruhnya menyembelih anaknya. Kita semua boleh
mengikuti kisah ini di dalam al-Quran bermula ayat 100 sehingga 100 daripada
Surah as-Saffat.
[100] ” Wahai Tuhanku! Kurniakanlah
kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!”
[101] Lalu Kami berikan kepadanya berita
yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar.
[102] Maka ketika anaknya itu sampai (ke
peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi
Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi
bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya
menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah,
ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.
[103] Setelah keduanya berserah bulat-bulat
(menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan
meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim –
dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami),
[104] Serta Kami menyerunya: “Wahai
Ibrahim!
[105] “Engkau telah menyempurnakan maksud
mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang
yang berusaha mengerjakan kebaikan.
[106] Sesungguhnya perintah ini adalah satu
ujian yang nyata;
[107] Dan Kami tebus anaknya itu dengan
seekor binatang sembelihan yang besar;
[108] Dan Kami kekalkan baginya (nama yang
harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:
[109] “Salam sejahtera kepada Nabi
Ibrahim!”.
[110] Demikianlah Kami membalas orang-orang
yang berusaha mengerjakan kebaikan.
[111] Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari
hamba-hamba Kami yang beriman.
Di saat Nabi Ibrahim a.s. menjunjung taat
akan perintah Allah SWT semasa menyembelih anaknya Nabi ismail a.s., kuasa
Allah SWT menggantikan sembelihan Nabi Ibrahim a.s. kepada seekor binatang yang
disebut kibas. Dalam masa yang sama,
Nabi Ismail tidak jadi untuk disembelih.
Betapa hebatnya tahap kesabaran Nabi Ibrahim a.s. sebagai seorang bapa
yang amat menyayangi anaknya dengan mengorbankan perasaan demi melaksanakan
perintah Allah SWT. Hal ini disebabkan oleh Nabi Ibrahim a.s. selaku hamba
kepada Tuhannya sanggup melakukan apa sahaja yang diperintahkan Allah SWT
mengatasi segala keinginan dirinya. Tidak
dapat kita bayangkan perasaan seorang bapa yang
sekian lama menunggu akan hadirnya seorang zuriat dan membesar dengan
baik lalu mesti mengorbankannya demi sebuah perintah. Namun Nabi Ibrahim a.s. tetap menjalankan
perintah Allah SWT dengan baik dan sempurna.
Kisah ini merupakan simbolik kepada
keikhlasan sebuah hati dalam mengorbankan apa jua yang menjadi kesayangan
kerana tahap sayang dan cinta kepada yang Maha Esa melebihi segala-galanya.
Pada hari raya Aidiladha, kita semua dapat
lihat ramai umat Islam yang menyembelih
binatang korban (dinamakan dengan al-an'am di dalam bahasa arab) yang terdiri
daripada unta, lembu, kerbau, kambing dan kambing
biri-biri. Setelah disembelih, daging binatang korban akan diagih-agihkan
mengikut bahagian-bahagiannya. Ia
mengandungi hikmah buat umat Islam seluruhnya kerana banyak amalan soleh yang
dilaksanakan pada hari raya tersebut termasuklah amalan bersedekah dan menggembirakan
umat Islam yang lain.Firman Allah SWT yang bermaksud: “Daging dan
darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada
Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan
taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu
supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan
sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada
orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.”(QS.
Alhajj :37)
Umat Islam yang melaksanakan ibadah korban
ini menjemput kecintaan Allah SWT. Berdasarkan sebuah hadis (terjemahan) yang
telah diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Al-Hakim yang bermaksud:
"Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang
lebih disukai Allah daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa
korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan
kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi
Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu
dengan hati yang bersih." Kita juga dapat menghayati akan ibadah ini
sebagai tanda taqwa daripada hati.
ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللهِ
فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ
“Demikianlah (perintah Allah). Dan barang
siapa mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya hal itu timbul dari
ketakwaan hati,”
(QS. Al-Hajj: 32)
Sungguh, al-Quran membawa petunjuk cahaya
ilahi bagi sesiapa yang benar-benar mentadabburinya. Betapa banyak pengajaran
yang dapat kita hayati daripada kesolehan serta kesabaran Nabi Ibrahim a.s. dan
anaknya Nabi Ismail a.s.
Selaku hamba Allah di muka bumi ini, kita
sepatutnya mencontohi sifat-sifat para rasul dan anbiya’ dalam menjalani
kehidupan kita. Lebih-lebih lagi, Nabi
Ibrahim merupakan antara nabi yang digelar sebagai ululazmi iaitu nabi dan
rasul yang mempunyai tahap kesabarannya yang sangat tinggi terhadap ujian-ujian
yang diberikan oleh Allah SWT.
Hikmah-hikmah yang boleh kita kutip disebalik
hari raya Aidiladha adalah bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat kehidupan,
membuktikan cinta kepada Allah mengatasi cinta kepada keinginan diri, bersabar
dalam mentaati perintah Allah, menyambung silaturrahim, bersedekah kepada fakir
dan miskin dan memuliakan tetamu yang hadir. Ini semua merupakan tanda
kesyukuran terhadap nikmat-nikmat yang dikurniakan Allah SWT. Selain itu, dapat membenarkan firman Allah di
dalam al-Quran yang menyatakan bahawa binatang-binatang sembelihan ini
merupakan ciptaan Allah yang menjadi manfaat kepada manusia Firman Allah SWT
yang bermaksud “Dan Dia telah menciptakan binatang ternak untuk kamu; padanya
ada (bulu) yang menghangatkan dan berbagai-bagai manfaat, dan sebahagiannya
kamu makan," (QS An-Nahl : 5).
Akhir sekali, semoga kita dapat mengutip
hikmah-hikmah dalam kisah ini sebagai cahaya dalam menerangi jalan kehidupan
kita yang terdapat pelbagai ranjau dan liku-likunya. Lumrah kehidupan, medan
ujian adalah di dunia yang sementara dan rehat selamanya hanyalah di syurga
yang kekal abadi.Sekian, Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment