KONSEP RAHMATAN
LIL ALAMIN
[ رحمةً
للعالمين ]
Konsep rahmatan
lil alamin merupakan kefahaman bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai
pembawa risalah Islam yang merupakan rahmat bagi sekalian alam. Firman Allah
SWT :
وَمَآ
أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا رَحۡمَةٗ لِّلۡعَٰلَمِينَ
“Dan
tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi
rahmat bagi sekalian alam”
[ Surah Al-Anbiya’
: 107 ]
Kebelakangan
ini di Malaysia masih hangat dibincangkan mengenai konsep rahmatan lil
alamin. Pelbagai forum, perbincangan, ceramah dan penerangan di televisyen,
radio dan media-media sosial yang mengulas mengenai konsep ini. Konsep ini
perlu difahami secara jelas kerana kita bimbang sekiranya ianya dilaungkan
dengan tujuan yang menyimpang daripada kefahaman Islam yang sebenar.
Bagaimana
Memahami Apa-apa Perkara Berkaitan Islam?
Pertama-tamanya,
apabila berlaku perselisihan pendapat dalam apa-apa perkara sekalipun, sebagai
umat Islam, kita perlu mengembalikannya kepada kefahaman al-Quran dan Sunnah.
Firman Allah SWT,
... فَإِن
تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ
تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ
تَأۡوِيلًا
“… kemudian jika kamu berbantah-bantah
(berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya
kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman
kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan
lebih elok pula kesudahannya”
[ Surah An-Nisa’ :
59 ]
Dalam
memahami sumber wahyu pula kita perlu merujuk kepada pendapat para alim
ulama yang menafsirkan ayat-ayat al-Quran mengikut kaedah Bahasa Arab serta
konteks suasana dan zaman turunnya ayat tersebut supaya kefahaman kita selari
dengan kefahaman Nabi SAW dan para sahabat RA. Ini adalah sangat penting supaya
kita dapat menjaga ketulenan sumber kefahaman agama kita sendiri daripada penyelewengan
orang-orang yang mempunyai agenda dan kepentingan peribadi.
Maksud
Nabi Muhammad SAW Sebagai Rahmatan Lil Alamin
Menurut
tafsiran sebahagian ulama’, pengutusan Nabi SAW dan syariat Islam merupakan
rahmat bagi sekalian alam (termasuk manusia, jin, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan
sebagainya) di dunia dan akhirat. Ini kerana ajaran Islam yang merangkumi
seluruh aspek kehidupan turut mengatur garis panduan yang lengkap untuk manusia
mengharungi hidup di dunia dan bersedia menghadapi hari akhirat.
Islam
sebagai rahmat kepada:
1. Orang-orang
yang beriman
· Berbahagia
di dunia dan akhirat (mendapat jaminan syurga) apabila percaya dan mematuhi
seluruh ajaran Islam serta menjauhi segala larangan Allah.
2. Orang-orang
kafir (bukan Islam)
· Terselamat
daripada azab dan bala (seperti ummat terdahulu) yang menghapuskan mereka
daripada muka bumi.
[ Mereka tetap dijanjikan kerugian di
dunia dan akhirat dengan menolak ajaran Islam ]
3. Makhluk-makhluk
lain
· Terpelihara
daripada kebinasaan akibat tangan-tangan manusia yang tamak terhadap kesenangan
duniawi (sekiranya mereka mentadbir dunia menurut ajaran Islam).
Penyalahgunaan Konsep Rahmatan Lil Alamin
Antaranya;
- Tidak
perlu menyampaikan ajaran Islam kerana menganggap semua agama adalah sama
dan ajaran Islam boleh memecah belahkan masyarakat.
- Tidak
boleh membenci, memusuhi apatah lagi memerangi sesiapapun termasuk
orang-orang kafir yang memerangi Islam itu sendiri.
- Membiarkan
maksiat berleluasa dan tidak menegah kemungkaran yang dianggap hak
peribadi untuk memilih jalan hidup masing-masing.
- Sesiapa
sahaja boleh mencari kebebasan mengikut hawa nafsu tanpa batasan dan tidak
diganggu (seperti kempen LGBT).
- Mengiktiraf
dan mengizinkan program maksiat (seperti pesta arak) walaupun kepada
masyarakat bukan Islam di negara yang majoriti penduduknya Islam.
´ Bagaimana mereka menyalahgunakan konsep rahmatan
lil alamin?
Mereka mendakwa bahawa Islam memberikan kebebasan
mutlak kepada manusia dengan berdalilkan Surah al-Anbiya’: 107. Sedangkan ayat
seterusnya daripada surah tersebut secara jelas meyatakan perintah berdakwah
dan ancaman kepada mereka yang menolak seruan Islam. Firman Allah SWT,
قُلۡ
إِنَّمَا يُوحَىٰٓ إِلَيَّ أَنَّمَآ إِلَٰهُكُمۡ إِلَٰهٞ وَٰحِدٞۖ فَهَلۡ أَنتُم
مُّسۡلِمُونَ ١٠٨ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَقُلۡ ءَاذَنتُكُمۡ عَلَىٰ سَوَآءٖۖ وَإِنۡ
أَدۡرِيٓ أَقَرِيبٌ أَم بَعِيدٞ مَّا تُوعَدُونَ
“Katakanlah:
Sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku (mengenai ketuhanan ialah) bahawa Tuhan
kamu hanyalah Tuhan yang bersifat Esa, maka adakah kamu mahu menurut apa yang
diwahyukan kepadaku?”
“Sekiranya mereka berpaling ingkar maka katakanlah: Aku telah
memberitahu kepada kamu (apa yang diwahyukan kepadaku) dengan keterangan yang
jelas untuk kita bersama dan aku tidak mengetahui samada (balasan buruk) yang
dijanjikan kerana keingkaran kamu itu, sudah dekat atau masih jauh.”
[ Surah Al-Anbiya’ : 108 – 109 ]
KESIMPULAN
Islam sememangnya agama yang membawa rahmat kepada sekalian
alam. Kebebasan sebenar bukanlah bersifat mutlak, tetapi ianya mempunyai
batasan supaya hak-hak orang lain turut terpelihara. Penafsiran yang hanya
mengikut hawa nafsu pula akan menjurus kepada pemikiran liberal yang cuba
menyesatkan umat Islam dengan falsafah Barat yang mengagungkan akal
semata-mata. Kembalilah kepada kefahaman Islam yang sebenar dengan bimbingan
para ulama’. Semoga kita dikurniakan hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT.
والله أعلم بالصواب
Rujukan:
Tafsir al-Munir (Jilid 9, halaman 156 – 159)
karangan Dr Wahbah az-Zuhayli.
Disediakan
oleh;
Ahmad
Khalilurrahman bin Fadilah
6 Mei
2019
1
Ramadhan 1440H
No comments:
Post a Comment