Saturday, April 18, 2020

TINTA PIMPINAN ‎: ‏PEMUDA HARI INI PEMIMPIN AKAN DATANG ‎- شُبَّان اليوم رجال الغد

PEMUDA HARI INI PEMIMPIN DI MASA AKAN DATANG - شُبَّان اليوم رجال الغد


Dewasa ini, semakin banyak cabaran dan rintangan yang dihadapi oleh golongan pemuda yang mengakibatkan ramai dalam kalangan pemuda hari ini memandang enteng terhadap peranan mereka dalam pelbagai aspek. Baik buruknya para pemuda saat ini mencerminkan negara pada masa akan datang. Kita seharusnya sebagai generasi muda hendaklah melatih diri agar menjadi pemimpin yang boleh memimpin pada masa akan datang.

Sabda Rasullulah SAW:

( أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالْإِمَامُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى أَهْلِ بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ، وَعَبْدُ الرَّجُلِ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ، أَلَا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِه )

“Ketahuilah setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian akan diminta bertanggungjawab atas yang dipimpinnya, penguasa yang memimpin manusia dia akan diminta bertanggungjawab atas yang dipimpinnya, seorang lelaki (ketua keluarga) adalah pemimpin bagi keluarganya dan dia diminta bertanggungjawab atas yang dipimpinnya, dan seorang perempuan (isteri) adalah pemimpin terhadap keluarga rumah suaminya dan juga anak-anaknya dan dia akan diminta bertanggungjawab atas yang dipimpinnya, dan budak juga pemimpin terhadap harta tuannya dan akan diminta bertanggungjawab terhadapnya. Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin yang bertanggungjawab atas yang dipimpinnya.” (HR. Bukhari)

Merujuk Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi keempat, pemuda didefinisikan sebagai orang yang masih muda sinonim dengan belia dan remaja. International Youth Year menyebut bahawa 15 tahun hingga 24 tahun adalah lingkungan umur bagi golongan pemuda. Allah Ta'ala menyebut definisi pemuda atau as-syabab dengan jelas di dalam Surah al-Kahfi ayat 13:

( نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُمْ بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى )

Maksudnya : "Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita ini dengan benar. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk."

Rasullullah SAW bersabda: 

( لاَ تَزُولُ قَدَمُ ابْنِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عِنْدِ رَبِّهِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ خَمْسٍ: عَنْ عُمُرِهِ فِيْمَا أَفْنَاهُ، وَعَنْ شَبَابِهِ فِيْمَا أَبْلَاهُ، وَمَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيْمَا أَنْفَقَهُ، وَمَاذَا عَمِلَ فِيْمَا عَلِمَ )

“Tidak akan bergeser kaki manusia di hari kiamat dari sisi Rabbnya sehingga ditanya tentang lima hal: tentang umurnya dalam apa ia gunakan, tentang masa mudanya dalam apa ia habiskan, tentang hartanya daripada mana ia perolehi dan bagaimana ia memperbelanjakannya, dan tentang apa yang ia amalkan dari yang ia ketahui (ilmu)." (HR.Tirmidzi)

Oleh yang demikian, masa muda merupakan peluang keemasan serta nikmat yang diberikan oleh Allah Ta'ala kepada manusia. Hal ini menunjukkan bahawa masa dan pemuda sangat berkait rapat. Nikmat besar daripada Allah Ta'ala ini seharusnya dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya kerana pada akhirnya nanti akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah Ta'ala.

Allah Ta'ala berfirman dalam Surah al-Muthafifin ayat 4 hingga 6 : 

( أَلَا يَظُنُّ أُولَٰئِكَ أَنَّهُم مَّبْعُوثُونَ (4) لِيَوْمٍ عَظِيمٍ (5) يَوْمَ يَقُومُ النَّاسُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ (6) )

Maksudnya : "Tidakkah mereka itu yakin, bahawa sesungguhnya mereka akan dibangkitkan pada suatu hari yang dahsyat, iaitu hari ketika manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam.

Berkata Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah Rahimahullah bahawa "Jika dirimu tidak disibukkan dengan hal-hal yang baik, pasti akan disibukkan dengan hal-hal yang batil". Inilah kaedah kehidupan, bahawa jika kita tidak mengisi kehidupan kita dengan suatu yang positif maka waktu dan masa kita akan diisi dengan suatu yang negatif. Oleh itu, pemuda perlu dididik dan mendidik dirinya agar setiap detik nafas yang dihembus di dunia ini menjadi medan amal kebajikan baginya.

Firman Allah Ta'ala :

( وَتَعَاوَنُوۡا عَلَى الۡبِرِّ وَالتَّقۡوٰى​ وَلَا تَعَاوَنُوۡا عَلَى الۡاِثۡمِ وَالۡعُدۡوَانِ​ )

Maksudnya : "Dan tolong-menolonglah kamu dalam hal kebajikan dan ketaqwaan dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran." (Surah al-Maidah : 2)

Waspadalah bahawa pemuda yang berada di dalam naungan Islam tidak mengganggu masyarakatnya dan tidak memberi kemudaratan pada insan disekelilingnya tetapi menjaga anggota tubuhnya untuk melakukan perbuatan kebajikan serta amal soleh. Oleh itu, generasi muda adalah generasi harapan yang akan memimpin masa hadapan.

Allah Ta'ala berfirman dalam Surah an-Nisa' ayat 9: 

( وَلْيَخْشَ ٱلَّذِينَ لَوْ تَرَكُوا۟ مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعَٰفًا خَافُوا۟ عَلَيْهِمْ فَلْيَتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَلْيَقُولُوا۟ قَوْلًا سَدِيدًا )

Maksudnya : Hendaklah takut (kepada Allah) orang-orang yang sekiranya mereka meninggalkan keturunan yang lemah dibelakang (kesejahteraan)nya. Disebabkan itu, hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mereka berbicara dengan tutur kata yang benar.

Kita seharusnya merasa khuatir apabila kita menjadi generasi yang lemah. Baik lemah fizikal, lemah ilmu pengetahuan atau lemah semangat hidup dan yang paling berbahaya adalah lemah iman dan akhlak. Mengapa? Kerana perkara-perkara ini akan meracuni kehidupan masyarakat. Perlu untuk kita ingat bahawa pemuda merupakan kebangkitan suatu umat dan pemuda juga merupakan penyebab kejatuhan suatu umat.

Oleh itu, keberhasilan seorang pemuda akan tercapai apabila memiliki kesabaran dalam mengharungi medan dakwah dan yakin dengan janji Allah bahawa kemenangan dan pertolongan Allah adalah sangat dekat.

Firman Allah Ta'ala : 

( وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا۟ ۖ وَكَانُوا۟ بِـَٔايَٰتِنَا يُوقِنُونَ )

Maksudnya : "Dan Kami jadikan diantara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah kami selama mereka bersabar dan mereka meyakini ayat-ayat Kami." (Surah as-Sajdah : 24)

Akhir kalam, dunia adalah sawah ladang akhirat. Jika kita menanam kebaikan di dunia ini, maka kita akan memetik kenikmatan abadi di akhirat kelak. Tetapi, jika kita menanam keburukan di dunia, maka kita akan memetik satu penyeksaan di akhirat kelak.

Justeru itu, jadikanlah BKPJM sebagai platform untuk mendidik diri menjadi pemuda di dalam naungan lslam kerana kita adalah generasi penerus pada masa akan datang.

Sekian,

Nurul Syasya Izzaty binti Rosli,
Unit Ekonomi HEWI,
BKPJM sesi 2019/2020.

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...