Wednesday, October 21, 2020

TINTA MAHASISWA : KEWAJIPAN MENTAATI PIMPINAN - IBRAH DARIPADA PERANG UHUD


KEWAJIPAN MENTAATI PIMPINAN : IBRAH DARI PERANG UHUD

Dalam sesebuah organisasi, pemimpin dan pengikut merupakan gabungan elemen yang penting dalam merealisasikan maksud organisasi. Kewajipan mentaati pimpinan selagi tidak bertentangan dengan syarak telah disebutkan di dalam nas al-Qur’an dan Hadis Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT : 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَٰزَعْتُمْ فِى شَىْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْءَاخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا 

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. [Surah an-Nisaa' : 59]

Sabda Rasulullah SAW :

‎عَلى المَرْءِ المُسْلِم السَّمْعُ والطَّاعَةُ فِيما أَحَبَّ وكِرَهَ، إِلاَّ أنْ يُؤْمَرَ بِمَعْصِيَةٍ فَإذا أُمِر بِمعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلا طاعَةَ .

Maksudnya : Wajib atas setiap Muslim untuk mendengar serta mentaati, baik dalam hal yang ia senangi dan yang ia benci, kecuali jika ia diperintah untuk sesuatu kemaksiatan. Maka apabila ia diperintah (oleh penguasa pemerintahan) dengan sesuatu kemaksiatan, maka tidak boleh ia mendengarkan perintahnya itu dan tidak boleh pula mentaatinya. [Muttafaqun Alaih]

Perang Uhud merakamkan sejarah yang wajar diambil ibrah bagi setiap umat Islam. Terdapat perselisihan mengenai tarikh perang Uhud yang sebenar. Sebahagian pakar sirah mengatakan Perang Uhud berlaku pada hari Sabtu, 15 Syawal, tahun ke-3 Hijrah. Salah satu sebab berlakunya perang Uhud kerana musyrikin Quraisy ingin menuntut bela kekalahan mereka pada perang Badar sekaligus meneruskan siri peperangan mereka menentang risalah yang dibawa junjungan baginda Rasulullah SAW. 

Antara kepentingan yang ingin digariskan dalam Perang Uhud adalah :

1. Kuantiti bukan syarat utama kemenangan

Di dalam perang Uhud menyaksikan kaum musyrikin bersiap sedia dengan angkatan yang lebih besar setelah kalah di perang Badar. Kali ini tentera Musyrikin dengan kekuatan sebanyak 3000 berbanding tentera Islam sebanyak 1000 orang. 

Walaupun tentera Islam mempunyai 1000 orang, namun terdapat 300 orang yang berpaling tadah kerana termakan dengan hasutan Abdullah bin Ubai yang memomokkan mengenai kekuatan lawan. Lalu tinggallah 700 tentera Islam yang masih setia memegang panji Islam.

2. Mentaati pimpinan dalam pelbagai situasi

Satu kisah yang sangat masyhur ketika perang yang disangka sudah tamat. Kaum musyrikin menggunakan helah untuk membantai tentera Islam. Rasulullah SAW sudah mengingatkan agar para pemanah tidak turun dari bukit pemanah selagi tidak mendapat arahan dari baginda. 

Namun, kerana alpa akan arahan dari Rasulullah SAW, pasukan pemanah turun dari bukit untuk mendapatkan ghanimah. Lalu, helah yang berjaya dari kaum musyrikin menyebabkan bukit tersebut dapat ditawan, lalu terjadinya pembantaian terhadap tentera Islam.

Peristiwa ini juga menyaksikan jasad Rasulullah SAW cedera teruk sehingga darah dari dahinya menitik ke hingga ke kaki dan patahnya gigi baginda.


3. Syura asas kepimpinan Islam

Sebelum bergerak ke medan perang, Rasulullah SAW mengadakan sebuah mesyuarat atau disebut syura dalam kalangan para sahabat. Antara inti mesyuarat tersebut ialah untuk membahaskan mengenai strategi peperangan. 

Antara strategi peperangan ialah sama ada untuk bertahan di Madinah atau keluar menghadapi musuh. Hasil dari mesyuarat, Rasulullah SAW dan para sahabat bersetuju untuk keluar menghadapi musuh. 

Walaupun ada sebahagian yang tidak bersetuju, namun tetap mentaati keputusan mesyuarat yang telah diputuskan. Antara hikmah yang boleh didapati dari kisah ini, kewajipan untuk kita menghormati keputusan mesyuarat walaupun tidak sama dengan apa yang kita harapkan. Walaupun tentera Islam kalah dalam dalam peperangan ini, para sahabat tidak mempersoalkan hasil mesyuarat yang telah disepakati di peringkat atasan, sebaliknya terus teguh menjunjung risalah Islam.

Firman Allah SWT :

‎وَٱلَّذِينَ ٱسْتَجَابُوا۟ لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ وَمِمَّا رَزَقْنَٰهُمْ يُنفِقُونَ

Maksudnya : Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya. [Surah ash-Shura : 38]

Kesimpulannya, sebagai seorang yang menggabungkan diri dalam sebuah kesatuan. Pastinya berlaku perselisihan faham antara ahli dan pimpinan. Namun, janganlah sesekali mengkhianati keputusan yang telah diputuskan di peringkat pimpinan dan memisahkan diri dari kesatuan hanya kerana berbeza buah fikiran dan pendapat. Sebaliknya, teruslah meletakkan thiqah pada pimpinan dan terus mendukung kesatuan agar kesatuan tersebut terus terpelihara.

Sabda Rasulullah SAW :

‎اَلْجَمَاعَةُ رَحْمَةٌ وَ الْفُرْقَةُ عَذَابٌ

Maksudnya : Kesatuan itu satu rahmat dan perpecahan itu azab.

Wallahualam.

Saturday, October 17, 2020

KENYATAAN RASMI SURUHANJAYA PILIHANRAYA BKPJM 2020




السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

الحمدللّه ربّ العالمين وبه نستعين على أمور الدنيا والدين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد

وعلى آله وصحبه أجمعين. أما بعد.. 


 

Firman Allah S.W.T:

 

(وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمۡ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَیَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِی ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِینَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَیُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِینَهُمُ ٱلَّذِی ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَیُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنࣰاۚ یَعۡبُدُونَنِی لَا یُشۡرِكُونَ بِی شَیۡـࣰٔاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَ ٰلِكَ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ)

 

"Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka."

[Surah An-Nur : 55]

 

Saya Ahmad Khalilurrahman bin Fadilah selaku individu yang telah diamanahkan sebagai Pengarah Suruhanjaya Pilihanraya Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir 2020 (SPR BKPJM) yang akan menguruskan proses pemilihan pimpinan BKPJM bagi sesi 2020/2021 bersama pegawai-pegawai SPR BKPJM yang dilantik.


Pada tahun ini, bilik gerakan SPR BKPJM akan dibuka di Dewan Asrama Pelajar Johor Rabaah (APJ 4) untuk pencalonan Yang di-Pertua (YDP) & Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) serta pencalonan Ketua Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) & AJK HEWI bagi kepimpinan BKPJM sesi 2020/2021. Proses penamaan calon akan bermula dari 22, 24 dan 25 Oktober 2020, manakala hari bantahan calon pula adalah pada 26 Oktober 2020.


Pencalonandibuka bagi memilih :

SEORANG Yang di-Pertua (Borang A),

8 ORANG AJKT (Borang B),

SEORANG Ketua HEWI (Borang C) dan

7 ORANG AJK HEWI (Borang D).

 

Sekiranya pencalonan melebihi kuota yang ditetapkan, maka pilihan raya akan dijalankan.

Sebarang maklumat lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa.

 

Sekian sahaja daripada saya. Terima kasih.

Siiru a'la barakatillah.

 

"BERSIH, TELUS & AMANAH"

 

Yang Menjalankan Amanah,

Ahmad Khalilurrahman bin Fadilah,

Pengarah SPR BKPJM 2020.


Saturday, October 3, 2020

TINTA PIMPINAN : UKHUWAH ISLAMIAH MAHABBAH ANTARA MUSLIM


UKHUWAH ISLAMIAH: MAHABBAH ANTARA MUSLIM

Ukhuwah Islamiah merupakan satu aspek yang penting dalam kehidupan seorang muslim. Melalui ukhuwah akan lahirnya rasa mahabbah sesama muslim. Bahkan Rasulullah SAW meletakkan bahawa di antara kayu ukur bagi iman seseorang muslim itu terletak pada kecintaannya terhadap saudara muslimnya yang lain.

Seperti yang telah disabdakan Rasulullah SAW di dalam hadisnya:
عَنْ أَبِيْ حَمْزَةَ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ خَادِمِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم قَالَ : (لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ ِلأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ) [رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ وَمُسْلِم]
Dari Abu Hamzah, Anas bin Mâlik Radhiyallahu ‘anhu, dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam, beliau bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang di antara kalian hingga ia mencintai untuk saudaranya segala apa yang ia cintai untuk dirinya sendiri berupa kebaikan.” [HR al-Bukhari dan Muslim]

Sebagai mahasiswa Islam di bumi Anbiya' amatlah perlu bagi kita menjaga ukhuwah sesama kita, kerana dengan terjalinnya ukhuwah sesama kita akan memperkukuhkan lagi kesatuan Islam itu sendiri. Hari ini keadaan umat Islam sendiri berada dalam keadaan yang lemah, bukanlah kerana sikitnya bilangan akan tetapi kerana goyahnya hubungan kesatuan di antara Islam sendiri. 

Jika diteliti sejarah Islam, kita akan dapati bagaimana tentera Badar yang jumlahnya lebih sedikit bebanding jumlah musuh yang ramai, berjaya mengalahkan kaum Musyrikin yang jumlahnya lebih ramai. Bahkan juga Islam pernah menguasai 2/3 daripada dunia suatu ketika dahulu. Sejarah ini tidak akan tercatat melainkan dengan izin Allah SWT dan kukuhnya kesatuan umat Islam pada ketika itu.

Bagi mahasiswa Islam di Mesir Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) merupakan keluarga kedua ketika mana berada di jalan Allah untuk menuntut ilmu ditambah pula bilamana berjauhan dengan ibu bapa. Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) merupakan wadah kesatuan anak Johor yang telah menaungi anak-anak Johor di Mesir sejak tahun 1970 lagi. Antara aspek penting yang ditekankan dalam program-program anjuran BKPJM dan BKAN adalah ukhuwah, kerana ini permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar lagi iaitu membawa kefahaman Islam di Tanah Air.

Semoga kesatuan ini terus berlayar menaungi anak-anak Melayu di perlembahan Nil dan terus berada dalam rahmat Allah SWT.

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...