Wednesday, October 21, 2020

TINTA MAHASISWA : KEWAJIPAN MENTAATI PIMPINAN - IBRAH DARIPADA PERANG UHUD


KEWAJIPAN MENTAATI PIMPINAN : IBRAH DARI PERANG UHUD

Dalam sesebuah organisasi, pemimpin dan pengikut merupakan gabungan elemen yang penting dalam merealisasikan maksud organisasi. Kewajipan mentaati pimpinan selagi tidak bertentangan dengan syarak telah disebutkan di dalam nas al-Qur’an dan Hadis Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT : 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَٰزَعْتُمْ فِى شَىْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْءَاخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا 

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. [Surah an-Nisaa' : 59]

Sabda Rasulullah SAW :

‎عَلى المَرْءِ المُسْلِم السَّمْعُ والطَّاعَةُ فِيما أَحَبَّ وكِرَهَ، إِلاَّ أنْ يُؤْمَرَ بِمَعْصِيَةٍ فَإذا أُمِر بِمعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلا طاعَةَ .

Maksudnya : Wajib atas setiap Muslim untuk mendengar serta mentaati, baik dalam hal yang ia senangi dan yang ia benci, kecuali jika ia diperintah untuk sesuatu kemaksiatan. Maka apabila ia diperintah (oleh penguasa pemerintahan) dengan sesuatu kemaksiatan, maka tidak boleh ia mendengarkan perintahnya itu dan tidak boleh pula mentaatinya. [Muttafaqun Alaih]

Perang Uhud merakamkan sejarah yang wajar diambil ibrah bagi setiap umat Islam. Terdapat perselisihan mengenai tarikh perang Uhud yang sebenar. Sebahagian pakar sirah mengatakan Perang Uhud berlaku pada hari Sabtu, 15 Syawal, tahun ke-3 Hijrah. Salah satu sebab berlakunya perang Uhud kerana musyrikin Quraisy ingin menuntut bela kekalahan mereka pada perang Badar sekaligus meneruskan siri peperangan mereka menentang risalah yang dibawa junjungan baginda Rasulullah SAW. 

Antara kepentingan yang ingin digariskan dalam Perang Uhud adalah :

1. Kuantiti bukan syarat utama kemenangan

Di dalam perang Uhud menyaksikan kaum musyrikin bersiap sedia dengan angkatan yang lebih besar setelah kalah di perang Badar. Kali ini tentera Musyrikin dengan kekuatan sebanyak 3000 berbanding tentera Islam sebanyak 1000 orang. 

Walaupun tentera Islam mempunyai 1000 orang, namun terdapat 300 orang yang berpaling tadah kerana termakan dengan hasutan Abdullah bin Ubai yang memomokkan mengenai kekuatan lawan. Lalu tinggallah 700 tentera Islam yang masih setia memegang panji Islam.

2. Mentaati pimpinan dalam pelbagai situasi

Satu kisah yang sangat masyhur ketika perang yang disangka sudah tamat. Kaum musyrikin menggunakan helah untuk membantai tentera Islam. Rasulullah SAW sudah mengingatkan agar para pemanah tidak turun dari bukit pemanah selagi tidak mendapat arahan dari baginda. 

Namun, kerana alpa akan arahan dari Rasulullah SAW, pasukan pemanah turun dari bukit untuk mendapatkan ghanimah. Lalu, helah yang berjaya dari kaum musyrikin menyebabkan bukit tersebut dapat ditawan, lalu terjadinya pembantaian terhadap tentera Islam.

Peristiwa ini juga menyaksikan jasad Rasulullah SAW cedera teruk sehingga darah dari dahinya menitik ke hingga ke kaki dan patahnya gigi baginda.


3. Syura asas kepimpinan Islam

Sebelum bergerak ke medan perang, Rasulullah SAW mengadakan sebuah mesyuarat atau disebut syura dalam kalangan para sahabat. Antara inti mesyuarat tersebut ialah untuk membahaskan mengenai strategi peperangan. 

Antara strategi peperangan ialah sama ada untuk bertahan di Madinah atau keluar menghadapi musuh. Hasil dari mesyuarat, Rasulullah SAW dan para sahabat bersetuju untuk keluar menghadapi musuh. 

Walaupun ada sebahagian yang tidak bersetuju, namun tetap mentaati keputusan mesyuarat yang telah diputuskan. Antara hikmah yang boleh didapati dari kisah ini, kewajipan untuk kita menghormati keputusan mesyuarat walaupun tidak sama dengan apa yang kita harapkan. Walaupun tentera Islam kalah dalam dalam peperangan ini, para sahabat tidak mempersoalkan hasil mesyuarat yang telah disepakati di peringkat atasan, sebaliknya terus teguh menjunjung risalah Islam.

Firman Allah SWT :

‎وَٱلَّذِينَ ٱسْتَجَابُوا۟ لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ وَمِمَّا رَزَقْنَٰهُمْ يُنفِقُونَ

Maksudnya : Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya. [Surah ash-Shura : 38]

Kesimpulannya, sebagai seorang yang menggabungkan diri dalam sebuah kesatuan. Pastinya berlaku perselisihan faham antara ahli dan pimpinan. Namun, janganlah sesekali mengkhianati keputusan yang telah diputuskan di peringkat pimpinan dan memisahkan diri dari kesatuan hanya kerana berbeza buah fikiran dan pendapat. Sebaliknya, teruslah meletakkan thiqah pada pimpinan dan terus mendukung kesatuan agar kesatuan tersebut terus terpelihara.

Sabda Rasulullah SAW :

‎اَلْجَمَاعَةُ رَحْمَةٌ وَ الْفُرْقَةُ عَذَابٌ

Maksudnya : Kesatuan itu satu rahmat dan perpecahan itu azab.

Wallahualam.

No comments:

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...