Sunday, December 8, 2019

TINTA MAHASISWA : WANITA DAN MEDIA MASSA


WANITA DAN MEDIA MASSA

Zaman modenisasi ini adalah zaman teknologi yang sangat memanjakan manusia dalam berbagai hal terutamanya dalam berkomunikasi. Berbagai jenis media massa yang tersedia sebagai platform komunikasi yang menghubungkan manusia dengan apa sahaja yang diingini. Jarak jauh bukan lagi menjadi masalah untuk berkomunikasi, dengan adanya teknologi-teknologi canggih seakan semuanya berada di hujung jari. Ini semua tentunya membuka seluas-luasnya ruang dan peluang kepada sesiapa saja termasuk golongan wanita untuk ikut serta dalam mengkuti isu semasa, memberikan pendapat, berkongsi rasa dan sebagainya.

Maka dengan adanya peluang seperti ini, golongan wanita memiliki kebebasan untuk berdakwah, menulis, dan mengemukakan pendapatnya melalui media-media seperti; Facebook, Twitter dan lain-lain tanpa harus keluar dari rumah. Tentunya media-media ini sangat bermanfaat di mana golongan wanita mampu untuk ikut serta dalam medan dakwah dan mampu mengemukakan pendapatnya dalam masyarakat. Namun pada sesetengah perkara, media-media ini disalahgunakan sehingga menjadi tali penghubung kepada kemaksiatan.


Allah Ta'ala berfirman dalam surah al-Ahzab, ayat 32:


(يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِنَ النِّسَاءِ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلا مَعْرُوفًا)

"Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita lain, jika kamu bertaqwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik."


Berkata Imam Qurtubi dalam tafsirnya, "Allah memerintahkan agar perkataan mereka singkat sekadar keperluan, jelas maksudnya dan tidak boleh dengan cara yang dapat menarik hati dengan berlemah lembut."

Jika Allah menjadikan hukum tersebut sebagai etika berbicara bagi isteri-isteri Nabi SAW yang dikenali sebagai Ummahatul Mukminin, tentunya hukum tersebut teraplikasi kepada semua wanita di mana mereka perlu lebih menjaga hubungan dengan lelaki yang bukan mahram walaupun hanya berkomunikasi dengan tulisan di alam media sosial seperti perbualan, berbalas komen dan sebagainya.

Hukum-hukum di atas turut teraplikasi pada perkara seperti komunikasi melalui penulisan. Jika ada keperluan yang memerlukan komunikasi antara golongan yang bukan mahram, komunikasi hendaklah disampaikan dengan singkat, jelas dan tidak melebihi kadar yang sepatutnya tanpa melembutkan kata-kata dan sebagainya. Hal ini kerana perkara-perkara kecil yang dipandang remeh inilah yang akan menyebabkan komunikasi antara keduanya berlanjutan dan membuka pintu ke arah kemaksiatan.

Namun dalam hal ini, wanita perlu bijak dalam membezakan tegas dan kasar. Hal ini kerana, terdapat golongan yang telah tersalah dalam menafsir ayat tersebut sehingga melahirkan golongan yang berfikiran perlu berkasar dalam komunikasi terhadap golongan yang bukan mahram sehingga meninggalkan adab-adab dalam komunikasi. Islam menganjurkan untuk bertegas dalam berkata-kata bagi menjaga kedua pihak dari tergelincir daripada tujuan asal komunikasi tersebut.

Selain daripada itu, media sosial turut menjadi platform kepada seluruh dunia untuk berkongsi kehidupan harian dengan memuatnaik gambar dan sebagainya. Ini menjadi sesuatu yang tidak asing lagi bagi semua peringkat umur, di mana mereka sering berkongsi gambar di laman sosial. Ini diakibatkan oleh pengaruh khayalan yang lebih kuat daripada penghayatan Islam yang sebenar.

Jika diteliti hal ini, golongan wanita antara yang paling terkesan akibat ketaajuban berkongsi sesuatu di media sosial sehingga mereka terlupa dalam hal menitikberatkan soal aurat dan perhiasan diri (tabarruj). 


Allah Ta'ala berfirman :

وَلا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ

"Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan." (Surah an-Nur : 31)


Ibnu 'Asyur menafsirkan ayat ini, "Dan ayat ini melarang seluruh yang menyebabkan seorang lelaki teringat dengan perhiasan wanita, dan menyebabkannya berhasrat kepada wanita dari segala semua yang ia dengar dan ia lihat."

Jika kita hayati dari kata-kata beliau, dapat kita simpulkan bahawa 'jika seseorang wanita itu melangkahkan kakinya dan menyebabkan seorang lelaki berhasrat kepadanya merupakan sesuatu yang dilarang, tentunya memuatnaik gambar adalah sesuatu yang tidak digalakkan.'

Pada sebahagian situasi, memuatnaik gambar wanita adalah sesuatu keperluan. Dalam hal ini, golongan wanita seharusnya mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh syariat Islam seperti berusaha menutup aurat sebaiknya dan mengelakkan daripada bergambar dengan golongan yang bukan mahram. 


Sabda Nabi Muhammad S.A.W :

مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً أَضَرَّ عَلَى الرِّجَالِ مِنْ النِّسَاءِ

"Tidaklah aku tinggalkan fitnah (cubaan) yang paling berat bagi lelaki selain fitnah wanita." (HR. Bukhari 5069, Muslim 2740)


Kesimpulannya, komunikasi media massa ini sesuatu yang memberi kebaikan dan manfaat kepada golongan wanita, namun jika peluang ini disalahgunakan tanpa merujuk kepada syariat, ia akan menyebabkan golongan wanita terjerumus ke lembah kemaksiatan dan fitnah. Bagi menjauhkan sesuatu maslahah itu akan bertukar menjadi suatu mafsadah yang lebih besar.

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...