DISEDIAKAN OLEH: USTAZ MUHAMMAD
SYAKIR BIN SAHIMI
KETUA UNIT DAKWAH, UNIT DAKWAH
DAN TARBIAH BKPJM 2017/2018
Firman Allah Taala :
وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ
يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ
وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ
Maksudnya:
Dan hendaklah ada diantara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada
kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik
serta melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji). Dan mereka
yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
(Surah Ali Imran: 104)
Umat Islam kini semakin lemah kerana semakin meninggalkan ajaran
Islam dan jauh dari cara hidup muslim yang sebenar sebagaimana golongan terdahulu
yang disebut sebagai as-Sabiqun.
Golongan as-Sabiqun ialah mereka yang mengikut petunjuk
dan panduan al-Quran. Merekalah golongan yang membawa seruan dan tugas yang satu
iaitu menyeru manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah dan mencegah daripada
berlakunya perkara-perkara yang toghut (buruk) dan sesat dengan slogan amar
makruf nahi mungkar melalui medium yang pelbagai dalam masyarakat yang
berbilang.
Umat Islam kini juga
didorong dengan penyakit cintakan dunia yang melampau sehingga terlupa akan
kampung akhirat yang kekal abadi akibat jahil dengan panduan wahyu sebagai cara
hidup Islam yang bersifat syumuliah dan fleksibel.
Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan berita yang
menyedihkan dan menjatuhkan imej dan integriti mahasiswa Islam di bumi anbia’ Mesir
iaitu penganjuran program dengan dicemari dengan majlis tari menari bertemakan
Bollywood. Tidak cukup sekadar itu, turut berlaku percampuran antara lelaki dan
perempuan dalam satu majlis.
Adakah mahasiswa kini sedar mereka sedang ditimpa 'virus' hedonisme? |
Tidaklah menjadi satu kesalahan untuk berhibur kerana
Islam juga membolehkan umatnya untuk berhibur. Akan tetapi, hiburan yang dibolehkan
bukanlah hiburan yang melampaui batasan sehingga menyimpang daripada etika dan
panduan kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W
dalam hadisnya yang mulia:
تركت
فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما : كتاب الله وسنة نبيه - صلى الله عليه وسلم
Mafhumnya: Aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara
nescaya kamu tidak akan sesat selamanya sekiranya kamu berpegang kepada
kedua-duanya iaitu Kitabullah dan Sunnahku.
(Hadis Riwayat al-Hakim)
Hadis ini menjelaskan kepada kita agar sentiasa menjadikan
panduan wahyu sebagai penyelamat umat akhir zaman dengan pembawaan slogan amar
makruf nahi mungkar. Hal ini perlu diaplikasikan dalam kehidupan mahasiswa terutamanya
bagi membentuk biah (suasana)
yang baik dan harmoni dalam kehidupan bermasyarakat.
Sekiranya merujuk kepada suasana pelajar-pelajar Malaysia
di Mesir, penekanan amar makruf nahi mungkar telah diterjemahkan melalui medium
Badan Kebajikan Anak-anak Negeri (BKAN) seperti Badan Kebajikan Pelajar-pelajar
Johor di Mesir (BKPJM), Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM),
Keluarga Pelajar-pelajar Perlis (KPP) serta BKAN-BKAN lain yang menjadikan
agenda dakwah, kebajikan dan kesatuan sebagai matlamat utama persatuan. Persatuan-persatuan
ini menjadi simbolik kesatuan dalam membendung kemungkaran dan maksiat yang
semakin menular dalam kalangan mahasiswa Islam di Mesir.
Kesimpulannya, perlunya ada kesedaran yang tinggi dalam kalangan
mahasiswa supaya cakna terhadap isu di sekitar mereka. Mereka perlu sedar
bahawa agenda amar makruf nahi mungkar merupakan tuntutan yang lebih utama
dalam Islam berbanding tuntutan-tuntutan yang lain. Tuntutan ini mewajibkan
mahasiswa adalah agar sentiasa memperbaiki diri dalam segenap aspek kehidupan
mereka dan berterusan dalam menyeru yang lain kepada kebaikan dan kefahaman Islam
yang syumul.
JAUHI VIRUS HEDONISME !!!!
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment