OLEH : MUHAMMAD SYAFFARIN BIN ZAINAL
KETUA PAKAR,UNIT PENGETAHUAN DAN BIMBINGAN
BKPJM 2016/2017
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلا مِنَ
الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ
لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Maha
Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya(Muhammad) pada malam hari dari
Masjid Al Haram(Makkah) ke MasjidAl- Aqsa(Palestin), yang telah Kami berkati
sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda(Kekuasaan dan Kebesaran)
Kami. Sesungguhnya Allah jualah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
(SURAH
AL-ISRA’ : 1)
Menjadi kelaziman kepada umat islam seluruh dunia,
apabila tiba bulan Rejab mereka menyambut peristiwa Isra' dan Mikraj. Ia
diadakan bagi memperingati kembali sirah Nabi S.A.W yang kian hilang dalam
ingatan dan buku planner tahunan umat islam. Walaupun para Sahabat
berkhilaf pandangan berkenaan tarikh secara tepat berlakunya peristiwa tersebut.
Tetapi berlakunya peristiwa ini tidak dapat dinafikan lagi, kerana disana
terdapat nas-nas yang thabit daripada al-quran dan hadis-hadis sahih mutawatir yang diriwayatkan oleh ramai Sahabat.
Faktor berlakunya perbezaan pandangan dalam kalangan
para Sahabat berkenaan ketepatan tarikh Isra' dan Mikraj adalah kerana, ketika
peristiwa tersebut berlaku kehidupan umat islam dalam keadaan yang penuh
cabaran, tekanan dan penindasan yang dilakukan oleh kaum musyrikin Mekah. Dan
ini menyebabkan para Sahabat tidak berkesempatan untuk mencatat tarikh peristiwa
tersebut berlaku secara tepat.
Peristiwa ini bukan sahaja menjadi cabaran besar buat
Rasulullah, bahkan ia juga menjadi cabaran besar buat umat islam. Kerana
terdapat dalam kalangan umat islam sendiri, tidak percaya dengan ketulenan
peristiwa tersebut. Ini dikuatkan lagi dengan Firman Allah :
وَمَا جَعَلْنَا الرُّؤْيَا الَّتِي
أَرَيْنَاكَ إِلا فِتْنَةً لِلنَّاسِ
Dan tiadalah Kami jadikan pandangan(pada
malam Mikraj) yeng telah Kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian
bagi manusia
Ada
yang murtad dalam kalangan manusia apabila dinyatakan kepada mereka tentang
peristiwa Isra dan Mikraj ini. Ini
menjadi cabaran besar buat Rasulullah untuk meyakinkan kaum arab berkenaan
ketulenan Isra dan Mikraj, dan ia juga merupakan penghormatan yang terlalu tinggi
jika dibandingkan dengan Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul terdahulu. Ia mempaparkan
kepada kita tingginya kemuliaan Rasulullah sehingga Baginda dijemput berjumpa
terus kepada Allah.
Allah
menjadikan peristiwa ini banyak pengajaran kepada umat islam dan seluruh
manusia. Peristiwa ini berlaku adalah kerana Allah ingin mengundang Baginda
untuk menjadi tetamu-Nya. Menjemput Baginda untuk melihat kerajaan yang besar
yang tiada tanding dan bandingnya dengan kerajaan yang ada di bumi.Adapun
kerajaan manusia apabila melayan dan menyambut tetamu, mereka akan melayan
tetamu tersebut di dalam bilik khas, dan diperlihatkan segala apa yang mereka
lakukan, samada perancangan, projek atau
program bagi memperlihatkan kepada tetamu tersebut bahawa kerajaan yang
berada dibawah pimpinan mereka utuh dan kukuh kekuasaanya.
Adapun
pada malam Isra' dan Mikraj, Baginda telah dibawa ke alam yang luas, yang luar
daripada ukuran akal dan kemampuan ilmu manusia. Baginda dibawa ke alam langit
dan bumi, alam dunia dan alam barzakh, alam nyata dan alam akhirat. Ditayangkan
kepada Baginda tentang perihal manusia bermula dari zaman nabi Adam sehingga
manusia yang terakhir. Dari sebaik-baik makhluk sehingga sejahat-jahat makhluk.
Perjalanan yang jauh ini, tidak mampu diukur dengan ilmu manusia sehingga ke hari
ini.Allah telah memperjalankan Baginda SAW bermula dari Mekah ke Baitul Maqdis pada
zaman tiada alatan canggih dan teknologi moden. Kemudian Baginda naik ke langit
seraya ke Sidratul Muntaha mengatasi lapisan langit yang ketujuh. Sedangkan
sehingga ke hari ini, para ahli sains angkasa lepas masih belum mampu untuk
mengesan kesemua cakerawala dan bintang-bintang yang berada di lapisan langit
yang pertama. SubhanAllah!
Firman Allah :
وَلَقَدْ زَيَّنَّا السَّمَاءَ
الدُّنْيَا بِمَصَابِيحَ وَجَعَلْنَاهَا رُجُومًا لِلشَّيَاطِينِ وَأَعْتَدْنَا
لَهُمْ عَذَابَ السَّعِيرِ
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi
langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami
jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap syaitan-syaitan, dan Kami
sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.
Ahli
Astronomi menyatakan masih terdapat bintang-bintang yang tidak mampu mereka
kesan kerana jaraknya memakan masa trilion tahun perjalanan cahaya.Tempoh jarak
perjalanan cahaya sesaat ini adalah bersamaan 300,000 kilometer atau 186,000
batu. Akan tetapi peristiwa Isra' dan Mikraj, ianya disempurnakan dengan mengambil
masa 1 malam sahaja yang mempunyai jarak jauh yang tidak terkira. Sedangkan
ketika itu roket dan pesawat angkasa lepas masih belum dicipta.
Peristiwa
ini ingin menyatakan kepada kita, bahawa adanya alam yang jauh lebih besar
berbanding bumi ini. Ia juga menerangkan kepada kita bahawa bumi yang kita
diami ini, jauh lebih kecil seperti butiran debu di tengah padang pasir.
Rasulullah
dijemput menjadi tetamu, ketika Baginda dalam fasa-fasa tekanan setelah
dilantik menjadi rasul. Baginda bukan sahaja menjadi rasul khusus untuk kaum
arab, tetapi baginda dilantik untuk menjadi rasul untuk semua manusia. Yang
mana ini sangat berbeza dengan rasul-rasul terdahulu. Mereka diutuskan hanya
untuk umat tertentu,negeri tertentu dan zaman yang tertentu seperti Nabi Hud
diutuskan hanya untuk kaum Ad, Nabi Soleh kaumnya Tsamud, Nabi Yahya kaumnya
Bani Israel dan lain-lain.Firman Allah :
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلا رَحْمَةً
لِلْعَالَمِينَ
Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau(wahai
Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.
Rasullah diutuskan untuk seluruh
alam, Baginda telah dilantik dibumi yang kering kontang, yang tiada hasil bumi,
tiada sumber asas ekonomi,tiada infrastruktur pembangunan dan tiada kekuatan
pembela dan pengundi. Jika didalam istilah politik ia dikira sebagai
"Hilang wang deposit" kerana gagal memperoleh undi atau sokongan
12.5% daripada jumlah keseluruhan penduduk mekah. Bagaimana Baginda dilantik
ditempat yang sedemikian rupa?.Ditengah-tengah bangsa yang buta huruf, yang
tiada asas tamadun. Bagaimana Baginda ingin memimpin seluruh dunia? Sedangkan
ketika itu, Rom dan Parsi telah ada tamadun yang tersendiri. Ahli kitab dan
ahli falsafah Greek dan Yunani yang jauh terkehadapan dari sudut ilmu.
Bagaimana Baginda ingin memimpin mereka padahal di awal proses marhalah dakwah,
Baginda telah mendapat tentangan hebat oleh masyarakat arab sendiri?.
Arab jahiliyah yang terkenal
dengan sifat ganas dan keras. Baginda diutuskan didalam kelompok mereka.
Bagaimana Baginda ingin sampaikan risalah dan mesej islam ke seluruh dunia,
kalau ini merupakan permulaan episod dakwah Baginda ?.Namun demikian,
Rasulullah menunjukkan sikap seorang rasul yang berjiwa besar. Kehebatan akhlak
peribadi ditunjukkan di awal peringkat perjuangan Baginda. Seperti yang
dinyatakan dalam sepotong hadis Baginda bersabda :
إِنَّمَا بُعِثْتُ لاُتَمِّمَ
مَكَارِمَ الاَخْلَاقِ
“Sesungguhnya aku diutus, adalah untuk
menyempurnakan akhlak yang mulia”.
Dan
secara kesimpulannya, ingin dijelaskan kepada kita bahawa Isra dan Mikraj bukan
sahaja menjadi satu peristiwa besar yang hanya perlu diingati di bulan Rejab
sahaja. Tetapi apakah mesej utama yang kita peroleh daripada peristiwa tersebut
?. Rasulullah memulakan proses dakwah baginda dengan tekanan dan penindasan.
Seterusnya Allah menjemput Baginda menjadi tetamu-Nya, bagi membentuk semula
semangat dakwah dalam diri Rasulullah setelah diasak dengan masyaqah di segenap penjuru. Dan ia juga ingin
menerangkan kepada kita bahawa terdapat kerajaan yang jauh lebih hebat daripada
kerajaan manusia. Peristiwa ini juga sebenarnya menguji iman kita, dan
menimbulkan persoalan dalam hati munafiq tentang ketulenan Isra' dan Mkiraj.Wallahu
A’lam.
“ KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN “
“ MEMBENTUK GENERASI MITHALI “
No comments:
Post a Comment