Sunday, September 22, 2019

SEHARI MITT BERSAMA AZHARI

SEHARI MITT BERSAMA AZHARI



PASIR GUDANG, 3 SEPTEMBER 2019 - Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) 18/19 telah menganjurkan sebuah program motivasi bertempat di Maahad Islami At-Tarbiah wa At-Tahfiz (MITT), Pasir Gudang.

Program motivasi yang diberi nama Hari Bersama Mahasiswa Al-Azhar 2019 atau singkatannya HIMMAH ’19 ini dilaksanakan bertujuan menarik minat pelajar-pelajar STAM dan SPM untuk melanjutkan pelajaran di Mesir. Di samping memupuk kesedaran agama yang lebih mendalam, pelajar-pelajar juga didedahkan serba sedikit  berkenaan kehidupan di Mesir.

Pengisi setiap slot terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam perbincangan itu. Pengisian yang pertama disampaikan oleh Ustazah Sanisah binti Morney, mantan Ketua HEWI BKPJM sesi 17/18. Beliau memberi motivasi berkaitan perancangan belajar yang bijak dan cemerlang di alam mahasiswa. Beliau juga menjelaskan adab dan perkara yang sepatutnya dilakukan oleh seorang pelajar bagi mengekalkan momentum dalam suasana pembelajarannya.




Slot seterusnya diisi oleh Ustaz Mohd Ridzuan bin Nazri, mantan YDP BKMIP, beliau membicarakan perihal kesedaran diri dan tanggungjawab. Kejayaan yang dicapai adalah hasil usaha luar biasa yang dilakukan. Beliau mengingatkan para peserta bahawa tiada siapa yang dapat membantu diri ini berjaya kecuali diri sendiri.






Slot terakhir disampaikan dalam bentuk forum yang diuruskan oleh moderator Ustaz Muhd Syakir bin Sahimi dan disampaikan oleh barisan panel Ustaz Ahmad Helmi bin Subahan serta Ustaz Ainuddin bin Abu Jamil. Slot ini membicarakan asal usul Universiti Al-Azhar, sistem kuliah dan suasana kehidupan masyarakat Mesir. Sedikit sebanyak ia Berjaya membuka minda dan menanam semangat baru kepada pelajar-pelajar untuk meneruskan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi khususnya di  Mesir.

Tuesday, September 10, 2019

KENYATAAN RASMI SURUHANJAYA PILIHAN RAYA




             السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه


الحمدللّه ربّ العالمين والصّلاة والسّلام على أشرف الأنبياء والمرسلين و على أله وصحبه أجمعين.

أما بعد.

Firman Allah Ta'ala  :

(وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ 

اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ)                                                                                              

[Surat at-Taubah :71]

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Saya Syed Mohamad Aslam Husaini bin Syed Bahrim selaku individu yang telah diamanahkan sebagai Pengarah Suruhanjaya Pilihanraya Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir 2019 (SPR BKPJM) bagi menguruskan proses pemilihan kepimpinan BKPJM bagi sesi 2019/2020 bersama pegawai-pegawai SPR BKPJM yang dilantik.

Untuk makluman semua, pihak SPR BKPJM akan membuka bilik gerakan SPR BKPJM yang bertempat di dewan Asrama Pelajar Johor Rabaah (APJ 4) untuk pencalonan Yang di-Pertua (YDP) & Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) serta pencalonan Ketua Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) & AJK HEWI bagi kepimpinan BKPJM sesi 2019/2020. Sesi pencalonan akan dibuka bermula pada 16 - 18 September 2019, manakala sesi bantahan calon pula akan dibuka pada 19 September 2019.

Pencalonan dibuka bagi memilih :

SEORANG Yang di-Pertua (Borang A),
8 ORANG AJKT (Borang B),
SEORANG Ketua HEWI (Borang C) dan
7 ORANG AJK HEWI (Borang D).

Sekiranya pencalonan melebihi kuota yang ditetapkan, maka pilihan raya akan dijalankan.

Sebarang maklumat lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Sekian sahaja daripada saya. Terima kasih, Siiru a'la barakatillah.

"BERSIH, TELUS, AMANAH"

Yang Menjalankan Amanah,

Syed Mohamad Aslam Husaini bin Syed Bahrim,
Pengarah SPR BKPJM 2019.

Monday, August 19, 2019

PENGHAYATAN DI SEBALIK AIDILADHA


                                         
                                        PENGHAYATAN DI SEBALIK AIDILADHA

Hari Raya Aidiladha merupakan salah satu daripada dua hari raya yang diraikan oleh seluruh umat Islam di dunia ini.  Ia terkandung di dalam hadis (terjemahan) yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas r.a., yang bermaksud: "Rasulullah S.A.W datang ke Madinah, sedangkan mereka sedang sibuk bergembira selama dua hari. Maka Rasulullah S.A.W bertanya: Hari apakah yang dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman jahiliah : Kemudian Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha." (Diriwayatkan Imam Abu Daud dan an-Nasai daripada Anas).

Setelah kita semua meraikan hari raya Aidilfitri sebelum ini pada bulan Syawal, terdapat hari raya Aidiladha pada bulan Zulhijjah dan ia dikenali dengan nama Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji.  Ia sangat sinonim dengan aktiviti umat Islam yang akan melaksanakan ibadah korban iaitu menyembelih binatang korban pada hari tasyrik bermula 10,11,12 dan 13 Zulhijjah. Ia bertujuan tidak lain tidak bukan adalah untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT semata-mata.

Kepentingan hari raya ini juga bagi memperingati kisah yang memberikan banyak pengajaran kepada semua. Kisah yang dimaksudkan adalah kisah Nabi Ibrahim a.s. dalam menerima perintah Allah untuk menyembelih Nabi Ismail a.s. yang merupakan anaknya daripada isteri keduanya iaitu Siti Hajar. 

Kisah Nabi Ibrahim a.s. yang sekian lama menunggu hadirnya cahaya mata telah Allah SWT kabulkan.  Ujian dalam menunggu kehadiran zuriatnya itu, telah dilepasi dengan keimanan, kesabaran dan keredaan yang sangat tulus.  Setelah Allah mengurniakan mereka zuriat bernama Ismail, Nabi Ibrahim a.s. diuji lagi tahap kesabarannya dengan perintah Allah melalui mimpi yang menyuruhnya menyembelih anaknya. Kita semua boleh mengikuti kisah ini di dalam al-Quran bermula ayat 100 sehingga 100 daripada Surah as-Saffat.

[100] ” Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!”

[101] Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar.

[102] Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.

[103] Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami),

[104] Serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim!

[105] “Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

[106] Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata;

[107] Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;

[108] Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:

[109] “Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!”.

[110] Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

[111] Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.

Di saat Nabi Ibrahim a.s. menjunjung taat akan perintah Allah SWT semasa menyembelih anaknya Nabi ismail a.s., kuasa Allah SWT menggantikan sembelihan Nabi Ibrahim a.s. kepada seekor binatang yang disebut kibas.  Dalam masa yang sama, Nabi Ismail tidak jadi untuk disembelih.  Betapa hebatnya tahap kesabaran Nabi Ibrahim a.s. sebagai seorang bapa yang amat menyayangi anaknya dengan mengorbankan perasaan demi melaksanakan perintah Allah SWT. Hal ini disebabkan oleh Nabi Ibrahim a.s. selaku hamba kepada Tuhannya sanggup melakukan apa sahaja yang diperintahkan Allah SWT mengatasi segala keinginan dirinya.  Tidak dapat kita bayangkan perasaan seorang bapa yang  sekian lama menunggu akan hadirnya seorang zuriat dan membesar dengan baik lalu mesti mengorbankannya demi sebuah perintah.  Namun Nabi Ibrahim a.s. tetap menjalankan perintah Allah SWT dengan baik dan sempurna.

Kisah ini merupakan simbolik kepada keikhlasan sebuah hati dalam mengorbankan apa jua yang menjadi kesayangan kerana tahap sayang dan cinta kepada yang Maha Esa melebihi segala-galanya.

Pada hari raya Aidiladha, kita semua dapat lihat ramai  umat Islam yang menyembelih binatang korban (dinamakan dengan al-an'am di dalam bahasa arab) yang terdiri daripada unta, lembu, kerbau, kambing dan kambing biri-biri. Setelah disembelih, daging binatang korban akan diagih-agihkan mengikut bahagian-bahagiannya.  Ia mengandungi hikmah buat umat Islam seluruhnya kerana banyak amalan soleh yang dilaksanakan pada hari raya tersebut termasuklah amalan bersedekah dan menggembirakan umat Islam yang lain.Firman Allah SWT yang bermaksud: “Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.”(QS. Alhajj :37
Umat Islam yang melaksanakan ibadah korban ini menjemput kecintaan Allah SWT. Berdasarkan sebuah hadis (terjemahan) yang telah diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Al-Hakim yang bermaksud: "Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai Allah daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih." Kita juga dapat menghayati akan ibadah ini sebagai tanda taqwa daripada hati.

ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ

Demikianlah (perintah Allah). Dan barang siapa mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya hal itu timbul dari ketakwaan hati,”
(QS. Al-Hajj: 32)

Sungguh, al-Quran membawa petunjuk cahaya ilahi bagi sesiapa yang benar-benar mentadabburinya. Betapa banyak pengajaran yang dapat kita hayati daripada kesolehan serta kesabaran Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s.

Selaku hamba Allah di muka bumi ini, kita sepatutnya mencontohi sifat-sifat para rasul dan anbiya’ dalam menjalani kehidupan kita.  Lebih-lebih lagi, Nabi Ibrahim merupakan antara nabi yang digelar sebagai ululazmi iaitu nabi dan rasul yang mempunyai tahap kesabarannya yang sangat tinggi terhadap ujian-ujian yang diberikan oleh Allah  SWT.

Hikmah-hikmah yang boleh kita kutip disebalik hari raya Aidiladha adalah bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat kehidupan, membuktikan cinta kepada Allah mengatasi cinta kepada keinginan diri, bersabar dalam mentaati perintah Allah, menyambung silaturrahim, bersedekah kepada fakir dan miskin dan memuliakan tetamu yang hadir. Ini semua merupakan tanda kesyukuran terhadap nikmat-nikmat yang dikurniakan Allah SWT.  Selain itu, dapat membenarkan firman Allah di dalam al-Quran yang menyatakan bahawa binatang-binatang sembelihan ini merupakan ciptaan Allah yang menjadi manfaat kepada manusia Firman Allah SWT yang bermaksud “Dan Dia telah menciptakan binatang ternak untuk kamu; padanya ada (bulu) yang menghangatkan dan berbagai-bagai manfaat, dan sebahagiannya kamu makan," (QS An-Nahl : 5).

Akhir sekali, semoga kita dapat mengutip hikmah-hikmah dalam kisah ini sebagai cahaya dalam menerangi jalan kehidupan kita yang terdapat pelbagai ranjau dan liku-likunya. Lumrah kehidupan, medan ujian adalah di dunia yang sementara dan rehat selamanya hanyalah di syurga yang kekal abadi.Sekian, Wallahu'alam.

Sunday, May 19, 2019

KONSEP RAHMATAN LIL ALAMIN


KONSEP RAHMATAN LIL ALAMIN
[ رحمةً للعالمين ]


Konsep rahmatan lil alamin merupakan kefahaman bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai pembawa risalah Islam yang merupakan rahmat bagi sekalian alam. Firman Allah SWT :

وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا رَحۡمَةٗ لِّلۡعَٰلَمِينَ

 “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”
[ Surah Al-Anbiya’ : 107 ]

Kebelakangan ini di Malaysia masih hangat dibincangkan mengenai konsep rahmatan lil alamin. Pelbagai forum, perbincangan, ceramah dan penerangan di televisyen, radio dan media-media sosial yang mengulas mengenai konsep ini. Konsep ini perlu difahami secara jelas kerana kita bimbang sekiranya ianya dilaungkan dengan tujuan yang menyimpang daripada kefahaman Islam yang sebenar.


Bagaimana Memahami Apa-apa Perkara Berkaitan Islam?

Pertama-tamanya, apabila berlaku perselisihan pendapat dalam apa-apa perkara sekalipun, sebagai umat Islam, kita perlu mengembalikannya kepada kefahaman al-Quran dan Sunnah. Firman Allah SWT,

... فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا

“… kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya”
[ Surah An-Nisa’ : 59 ]

Dalam memahami sumber wahyu pula kita perlu merujuk kepada pendapat para alim ulama yang menafsirkan ayat-ayat al-Quran mengikut kaedah Bahasa Arab serta konteks suasana dan zaman turunnya ayat tersebut supaya kefahaman kita selari dengan kefahaman Nabi SAW dan para sahabat RA. Ini adalah sangat penting supaya kita dapat menjaga ketulenan sumber kefahaman agama kita sendiri daripada penyelewengan orang-orang yang mempunyai agenda dan kepentingan peribadi.


Maksud Nabi Muhammad SAW Sebagai Rahmatan Lil Alamin

Menurut tafsiran sebahagian ulama’, pengutusan Nabi SAW dan syariat Islam merupakan rahmat bagi sekalian alam (termasuk manusia, jin, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya) di dunia dan akhirat. Ini kerana ajaran Islam yang merangkumi seluruh aspek kehidupan turut mengatur garis panduan yang lengkap untuk manusia mengharungi hidup di dunia dan bersedia menghadapi hari akhirat.

Islam sebagai rahmat kepada:

1.      Orang-orang yang beriman
·      Berbahagia di dunia dan akhirat (mendapat jaminan syurga) apabila percaya dan mematuhi seluruh ajaran Islam serta menjauhi segala larangan Allah.

2.      Orang-orang kafir (bukan Islam)
·       Terselamat daripada azab dan bala (seperti ummat terdahulu) yang menghapuskan mereka daripada muka bumi.
[ Mereka tetap dijanjikan kerugian di dunia dan akhirat dengan menolak ajaran Islam ]

3.      Makhluk-makhluk lain
·       Terpelihara daripada kebinasaan akibat tangan-tangan manusia yang tamak terhadap kesenangan duniawi (sekiranya mereka mentadbir dunia menurut ajaran Islam).


Penyalahgunaan Konsep Rahmatan Lil Alamin

Antaranya;
  1. Tidak perlu menyampaikan ajaran Islam kerana menganggap semua agama adalah sama dan ajaran Islam boleh memecah belahkan masyarakat.
  2. Tidak boleh membenci, memusuhi apatah lagi memerangi sesiapapun termasuk orang-orang kafir yang memerangi Islam itu sendiri.
  3. Membiarkan maksiat berleluasa dan tidak menegah kemungkaran yang dianggap hak peribadi untuk memilih jalan hidup masing-masing.
  4. Sesiapa sahaja boleh mencari kebebasan mengikut hawa nafsu tanpa batasan dan tidak diganggu (seperti kempen LGBT).
  5. Mengiktiraf dan mengizinkan program maksiat (seperti pesta arak) walaupun kepada masyarakat bukan Islam di negara yang majoriti penduduknya Islam.


´ Bagaimana mereka menyalahgunakan konsep rahmatan lil alamin?

Mereka mendakwa bahawa Islam memberikan kebebasan mutlak kepada manusia dengan berdalilkan Surah al-Anbiya’: 107. Sedangkan ayat seterusnya daripada surah tersebut secara jelas meyatakan perintah berdakwah dan ancaman kepada mereka yang menolak seruan Islam. Firman Allah SWT,

قُلۡ إِنَّمَا يُوحَىٰٓ إِلَيَّ أَنَّمَآ إِلَٰهُكُمۡ إِلَٰهٞ وَٰحِدٞۖ فَهَلۡ أَنتُم مُّسۡلِمُونَ ١٠٨ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَقُلۡ ءَاذَنتُكُمۡ عَلَىٰ سَوَآءٖۖ وَإِنۡ أَدۡرِيٓ أَقَرِيبٌ أَم بَعِيدٞ مَّا تُوعَدُونَ

“Katakanlah: Sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku (mengenai ketuhanan ialah) bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang bersifat Esa, maka adakah kamu mahu menurut apa yang diwahyukan kepadaku?”
“Sekiranya mereka berpaling ingkar maka katakanlah: Aku telah memberitahu kepada kamu (apa yang diwahyukan kepadaku) dengan keterangan yang jelas untuk kita bersama dan aku tidak mengetahui samada (balasan buruk) yang dijanjikan kerana keingkaran kamu itu, sudah dekat atau masih jauh.”
[ Surah Al-Anbiya’ : 108 – 109 ]



KESIMPULAN

Islam sememangnya agama yang membawa rahmat kepada sekalian alam. Kebebasan sebenar bukanlah bersifat mutlak, tetapi ianya mempunyai batasan supaya hak-hak orang lain turut terpelihara. Penafsiran yang hanya mengikut hawa nafsu pula akan menjurus kepada pemikiran liberal yang cuba menyesatkan umat Islam dengan falsafah Barat yang mengagungkan akal semata-mata. Kembalilah kepada kefahaman Islam yang sebenar dengan bimbingan para ulama’. Semoga kita dikurniakan hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT.


والله أعلم بالصواب

Rujukan:
Tafsir al-Munir (Jilid 9, halaman 156 – 159) karangan Dr Wahbah az-Zuhayli.

Disediakan oleh;
Ahmad Khalilurrahman bin Fadilah
6 Mei 2019
1 Ramadhan 1440H

Tuesday, April 16, 2019

IJTIMA’ FIKRI MEMBENTUK GENERASI BERTHAQAFAH.


DISEDIAKAN OLEH: NADIAH BT MOHD KHAIRUDDIN (SETIAUSAHA IJTIMA’ FIKRI 2019)

RABAAH, 16 MAC 2019 – Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir telah menganjurkan sebuah program berthaqafah yang diberi nama Ijtima’ Fikri atau nama singkatannya IQ’19 yang berlangsung selama tiga hari pada 16, 17, 18 Mac 2019 di Dewan Kutub Sittah Asrama Pelajar Johor, Rabaah.

Program ini telah mendapat sambutan yang hangat daripada kalangan anak-anak Johor dan juga negeri lain. Penyertaan dianggarkan lebih daripada 100 orang pelajar. 

Majlis dimulai dengan bacaan Asmaul Husna kemudian nyanyian lagu Negeri Johor serta lagu rasmi BKPJM dan bacaan Al-Quran oleh Ustaz Ahmad Adib bin Khairul. Majlis diteruskan dengan ucapan Pengarah IQ’19, Ustaz Amirul Ashraf bin Sulaiman, ucapan Yang di-Pertua Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) 18/19, Ustaz Norhalim bin Lokman dan dirasmikan oleh Ustaz Adam bin Ibrahim selaku Pegawai Atase Negeri Johor. Majlis diserikan lagi dengan gimik perasmian IQ’19.

‘Generasi Muthaqqaful Fikri Membentuk Ulama’ Amilin’ menjadi tema program pada edisi kali ini. Sejajar dengan tema kali ini, BKPJM membawakan tajuk isu-isu semasa seperti isu vaksinisasi, ideologi dan sebagainya untuk para peserta agar dapat memahami isu yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.

Tirai penutupan program IQ’19 disempurnakan dengan ucapan YDP BKPJM sesi 2018/2019, serta ucapan penutupan oleh Pengarah IQ’19. Seterusnya penyampaian hadiah bagi peserta IQ’19  terbaik ikhwah iaitu Ustaz Ahmad Farid bin Mohd Amli dan di sebelah akhawat iaitu Ustazah Nurfirzanah Izzati bt Redzuan. Program diakhiri dengan tayangan video, solat isyak secara berjemaah serta jamuan. Program tersebut berjalan dengan lancar.

Monday, April 8, 2019

Islamphobia Caturan Musuh Islam



ISLAMOPHOBIA CATURAN MUSUH ISLAM

 وَلَنْ تَرْضَىٰ عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ

"Dan sesungguhnya orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti millah (agama) mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah Itulah petunjuk (yang benar)". dan Sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, Maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu."
(Surah al-Baqarah:120)

Definisi “phobia” atau “fobia” dalam kamus dewan bahasa ialah ketakutan atau kebencian yang keterlaluan. Jadi secara langsung, Islamophobia bermaksud ketakutan dan kebencian yang sangat kuat serta mendalam terhadap Islam. Dalam erti yang lebih luas, Islamophobia juga menjadi sinonim dari 'anti-Islam', iaitu segala sikap atau tindakan yang menunjukkan ketidaksukaan terhadap agama Islam.

Islamophobia sering berhubungan dengan ketakutan yang tidak wajar akan simbol-simbol agama, seperti hijab yang kerap diertikan sebagai antifeministik dan antiliberal. Begitu juga halnya dengan kesalahan persepsi sebahagian masyarakat mengenai lelaki yang memelihara janggut yang sering dikaitkan dengan teroris.

Jika ditelusuri akar sejarahnya, beragam bentuk Islamofobia sebenarnya telah muncul bermula dari dakwah Islam oleh Nabi Muhammad SAW di Kota Makkah pada abad ketujuh. Pada waktu itu, permusuhan terhadap Islam muncul di tengah-tengah masyarakat Arab dalam kalangan saudara sebangsa Rasulullah sendiri. Selama 610-622 Masehi, Nabi Muhammad S.A.W. dan kaum Muslimin menghadapi ujian yang hebat dari kelompok kafir Makkah. Masyarakat Arab jahiliyah ketika itu melakukan penentangan terhadap dakwah risalah yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. Sejumlah tokoh Quraisy, seperti Abu Jahal dan Abu Lahab aktif memprovokasi orang-orang Makkah untuk melakukan tindakan kekerasan terhadap Nabi dan para pengikutnya.

Seterusnya dibangkitkan dan diteruskan semula  oleh pemimpin utama Tatar, Hulagu Khan yang mendoktrin bahawa sesiapa yang giat menyebut soal jihad perjuangan melawan penjajah maka mereka adalah penganas. Begitu juga presiden Turki, Mustafa Kamal Atartuk menyemarakkan semangat Islamophobia dan nasionalisme dalam kalangan umat Islam dan penganut agama lain. Barat diterajui Amerika Syarikat juga menyuarakan kaedah yang sama. Memandulkan jati diri serta membiuskan sensitiviti umat Islam dengan kempen Islamophobia menyebabkan umat Islam merasa inferior dan sentiasa menganggap Islam berada di kandang bersalah.

Kempen Islamophobia dijalankan oleh golongan liberalis tajaan Barat. Aksi-aksi keganasan yang sebenarnya dicipta oleh Barat perlu bagi mereka sebagai bukti kukuh bahawa Islam dan gerakannya perlu dihapuskan. Peristiwa 11 September merupakan satu titik besar kepada ppropaganda Islamophobia seluruh dunia. War on Terorism ialah kempen yang dimulakan oleh Amerika Syarikat ketika zaman Presiden AS, George W. Bush yang merupakan presiden AS yang keras terhadap Islam.

Propanganda Islamophobia ciptaan Barat ini bukan sahaja telah berjaya meracuni fikiran agama lain yang melahirkan golongan antiIslam tetapi juga telah berjaya meracuni pemikiran dalam kalangan umat Islam. Disebabkan itu tidak menghairankan munculnya golongan Islam liberal yang kononnya ingin membawa unsur kebebasan dalam agama agar Islam tidak terlihat mundur sehingga mengenepikan syariat dari Allah SWT sedangkan matlamat tidak menghalalkan cara. Antara kompenan yang telah berjaya meresapi ke dalam fkiran umat Islam dan secara umumnya kepada penganut lain terutama anti Islam melalui propaganda Islamophobia ialah :

1. Barat ialah simbol kemajuan. Islam adalah kemunduran.

2. Menanamkan ketakutan dunia dengan Islam dengan mengambarkan Islam ganas,ekstremis.dan menyokong keganasan.

3. Islam dilihat sebagai blog monolitik,statik dan tidak berkembang.

4. Islam dilihat terpisah dari orang lain dan tiada nilai persamaan dengan budaya-budaya lain.

5. Kritikan Muslim terhadap Barat ditolak mentah.

6. Permusuhan anti Muslim dilihat sebagai biasa.


Jajahan Media Sosial dan Media Cetak Tanpa Sedar.

 Antara salah satu faktor kuat propaganda Islamophobia ialah telah berjaya ialah melalui jaringan media sosial dan media cetak. Inilah salah satu taktik dan strategik musuh Islam dalam menghapuskan Islam secara senyap. Media merupakan alat senjata yang mmpunyai pengaruh besar dalam membentuk membentuk persepsi masyarakat. Hari ini kita melihat keberjayaan tipu daya yang telah dimainkan oleh pihak musuh dengan meningkatnya kebencian terhadap Islam. Antaranya ia dizahirkan melalui kartun iaitu penghinaan terhadap Rasulullah S.A.W. Selain itu, mereka menyemarakkan semangat Islamophobia melalui filem-filem yang penayangannya mengandungi unsur penghinaan terhadap Rasulullah S.A.W dan Islam seperti  filem “ Innocence of Muslim”. Manakala melalui media cetak pula terdapat ruangan khas dalam majalah penulisan yang memburukkan Islam contohnya majalah ‘Insight’. Peristiwa-peristiwa keganasan dan pembunuhan yang telah dirancang oleh mereka sendiri dikaitkan dengan kumpulan Islam radikal yang dicipta oleh mereka seperti ISIS, agen-agen CIA, Israel tersebar dengan cepat dan meluas melalui kedua media ini seperti pembunuhan 120 orang di Paris, serangan bom di London yang berlaku pada 7 Julai 2005, peristiwa 11 September  di Amerika Syarikat dan lain-lain sehingga menyebabkan umat Islam yang lain terkena tempias. Di samping itu, mereka juga  tidak segan silu menganjurkan  kempen Anti Islam yang telah  mereka wujudkan entiti dan istilah Islamik untuk takut dengan Islam untuk dijalankan secara terang-terangan  antaranya larangan membina masjid di Switzerland dan larangan pemakaian hijab di Kanada serta Kempen protes dengan membakar al-Quran.


Cabaran Islamophobia, Tauhid Ubat Keyakinan Umat Islam cabaran Islamophobia bukan sahaja boleh menyerang penganut agama lain tetapi juga umat Islam sendiri. Racun utama berpunca daripada keraguan terhadap Islam sebagai sistem kehidupan. Selain itu, sebahagian umat Islam menjadikan thaghut sebagai sembahan. Memilih untuk menyokong kebatilan dan rela berdiam diri ketika berdepan kejahilan. Oleh itu sebaik-baiknya perlu kembali bertaubat kepada Allah SWT sepertimana Allah SWT telah berfirman :

وَالَّذِينَ اجْتَنَبُوا الطَّاغُوتَ أَنْ يَعْبُدُوهَا وَأَنَابُوا إِلَى اللَّهِ لَهُمُ الْبُشْرَى فَبَشِّرْ عِبَادِي

Dan orang-orang yang menjauhi thaghut iaitu tidak menyembahnya dan kembali kepada Allah, bagi mereka berita gembira oleh sebab itu sampaikanlah berita itu kepada hamba-hamba-Ku.
(Surah Az-Zumar :17)

Kita boleh menelusuri sejarah terdahulu  daripada pemimpin Islam sendiri yang membangkitkan semangat Islamophobia iaitu antaranya Mustafa Kamal Atartuk di Turki dan diterima oleh orang lain. Solusi bagi penyakit Islamophobia dalam kalangan umat Islam sendiri perlu dikembalikan semula kepada diri dengan menguatkan tauhid (keimanan) kepada Allah S.W.T dan kembali menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai sebaik-baik panduan.

Apa Peranan Kita?

Kesimpulannya, kita selaku umat Islam perlu berperanan mematahkan agenda musuh Islam dengan menjalankan perang saraf secara media dan memanfaatkan segala kelebihan yang dimiliki oleh diri untuk menjadi agen penerang dalam menyebarkan Islam serta menghapuskan pemikiran Islamophobia dalam kalangan umat Islam dan penganut agama yang lain. Selain itu, umat Islam sendiri perlu menunjukkan  tauladan terbaik dengan berusaha melaksanakan perintah dan larangan Allah S.W.T dan menunjukkan keperibadian yang baik kerana umat Islam ialah cerminan agama Islam. Sifat keperibadian umat Islam yang baik sekaligus dapat mematahkan pemikiran golongan anti Islam bahawa Islam ialah agama yang melaksanakan agama secara radikal dan kasar. Kita boleh mengambil tauladan melalui sifat kemaafan  yang telah ditunjukkan oleh keluarga tembakan secara rambang di New Zealand yang baru-baru ini berlaku telah berjaya membuka mata manusia di seluruh pelusuk dunia bahawa agama Islam bukan agama yang bersifat radikal dan Islam agama yang mngajar nilai kemaafan dan perdamaian. Senjata musuh Islam sendiri memakan diri mereka kerana agenda memburukkan Islam tidak berjaya kerana Allah SWT sebaik-baik mematahkan perancangan jahat mereka sebagaimana firmanNya:

 وَمَكَرُوا۟ وَمَكَرَ ٱللَّهُ وَٱللَّهُ خَيْرُ ٱلْمَٰكِرِينَ

"Dan mereka merancang (tipu daya), Allah juga merancang (membalas tipu daya), dan Allah sebaik-baik perancang (membalas tipu daya)." (Surah Ali `Imran : ayat 54)

Selain itu, diri kita sepatutnya tidak menjadi penyokong pertama dalam menjayakan agenda musuh dengan terpengaruh pembawaan dari Barat sehingga mengadaikan prinsip dan dasar Islam. Umat Islam juga perlu diberi pendedahan dan memperkayakan diri dengan ilmu dan thaqafah berkaitan serangan musuh melalui serangan ideologi dan pemikiran dalam memadamkan cahaya Islam. Secara tuntasnya, Umat Islam perlu menanamkan diri dengan aqidah dan pemahaman Islam yang kuat kerana hanya kembali kepada agama Islam yang sempurna dapat membawa manusia menuju keredaanNYA dan agama Islam merupakan sebaik-baik agama. Firman Allah S.W.T :

صِبْغَةَ اللَّهِ ۖ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً ۖ وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ

Sibghah Allah. Dan siapakah yang lebih baik sibghahnya dari pada Allah? Dan hanya kepadaNalah kami menyembah.
(Surah al-Baqarah:138)

Wallahu A’lam

Tuesday, March 26, 2019


[ WANITA YANG DIRINDUI SYURGA ]

  Fahamilah seseorang wanita itu melalui Al-Quran, kerana wanita itu terlalu istimewa di mata Tuhan.

  Menurut pandangan Islam, bilamana diteliti dalam setiap ayat indah Kalamullah, pasti banyak didapati hukum-hakam yang ditujukan buat kaum Hawa khususnya, bukanlah kerana terzahirnya kekurangan mahupun kelemahan, akan tetapi inilah tanda-tanda betapa besarnya kasih sayang Allah buat hambanya yang bernama wanita.

  Sudah menjadi Sunnatullah bagi anak Adam apabila diberikan kepada mereka berbagai kenikmatan yang mereka cintai dan indah di pandangan mereka dengannya di dunia  sebagaimana dalam firman Allah Ta'ala:

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَٰتِ مِنَ ٱلنِّسَآءِ وَٱلْبَنِينَ وَٱلْقَنَٰطِيرِ ٱلْمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلْفِضَّةِ وَٱلْخَيْلِ ٱلْمُسَوَّمَةِ وَٱلْأَنْعَٰمِ وَٱلْحَرْثِ ذَٰلِكَ مَتَٰعُ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَٱللَّهُ عِندَهُۥ حُسْنُ ٱلْمَـَٔاب

maksudnya,“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu:wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak, dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (Syurga).”
(QS. Ali Imran:14)

  Berdasarkan ayat Allah Ta'ala, maka jelas kita lihat bahawa Allah mendahulukan wanita sebelum yang lainnya, indah setiap aturan kalam Allah yang cuba disampaikan melalui Kitabullahil Aziz, menunjukkan isyarat bahawa wanita solehah secara umumnya adalah suatu bentuk wasilah kepada sesebuah ketenangan juga sebaik-baik perhiasan di dunia ini.

  Akhlak persis Rasulullah SAW menjadi salah satu sifat yang perlu dicontohi umat masa kini, kerana prinsip Baginda telah menetapkan wanita adalah sesuatu yang paling beliau hormati dan sayangi, jauh sekali dari menyakiti kerana hakikat seseorang wanita itu mempunyai hikmah tersendiri dalam memainkan peranan penting dalam menggerakkan bahtera Islam.


  Bukalah kembali sirah-sirah terdahulu yang terkait rapat dengan semangat perjuangan srikandi Islam yang jauh lebih mencabar ujiannya jikalau ingin dibandingkan dengan ujian wanita hari ini. Antaranya, kisah seorang wanita yang menjadi dambaan syurga iaitu Asiah binti Muhazim, isteri Firaun. Keimanan Asiah diuji sewaktu berhadapan dengan seorang suami yang jauh mengingkari perintah dan arahan Allah SWT. Beliau diuji dengan pelbagai seksaan daripada suaminya, harta dan nyawa menjadi taruhan bila berdepan dengan pelbagai ujian yang dahsyat menggugat keimanan. Asiah tetap teguh dengan pendiriannya selaku seorang hamba dan menyerahkan dirinya hanyalah kepada Allah.

  Kisah Asiah ini bukanlah hanya untuk wanita beriman, akan tetapi lebih mendasar, daripada itu untuk kita lebih memahami betapa pentingnya hidup bertunjangkan ketakwaan dan keimanan. Mahkota seseorang wanita itu letaknya pada jiwa dan hidupnya yang bertuhankan yang maha Esa semata-mata.

  Akhir kalam, khususnya buat para wanita, yakinlah Allah itu sentiasa ada dan sentiasa punya cara tersendiri untuk mendidik dan mentarbiah wanita dengan melalui wasilah yang berbungkuskan ujian dahsyat diluar, akan tetapi hikmah yang besar bakal tersingkap bilamana seseorang wanita itu benar-benar memandang setiap satu ujian Allah dengan pandangan cinta dan kasihNya. Maka kerana  itu, wanita yang dirindui syurga bukanlah dilihat dari paras rupa, harta mahupun pangkat yang tinggi, akan tetapi berdasarkan baiknya segumpal darah yang bernama hati, penuh ketenangan disaat ujian menimpa. Maka, milikilah hati dan akhlak yang bertunjangkan syariat Islam demi membentuk generasi yang kian mendatang.

  Teruskan menjadi wanita yang gigih memberi manfaat buat agama kerana itulah wanita yang dijanjikan syurga.

Wallahualam.

Izzatul Mardhiah binti Huslizan,
Kuliah Syariah Islamiah,
Setiausaha Hal Ehwal Wanita Islam BKPJM 18/19.

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...