(Unit Pengetahuan dan Bimbingan HEWI
BKPJM 2016/2017)
Wanita merupakan ciptaan terindah Allah SWT yang mempunyai
kedudukan mulia dalam Islam.Jika kita soroti sejarah lampau sebelum Rasulullah
SAW diutuskan,kita akan dapati banyak kelakuan masyarakat jahiliah yang
menunjukkan kerosakan yang nyata telah berlaku.
Dengan kedatangan Islam yang membawa sinar cahaya keterangan,
mengeluarkan mereka daripada kegelapan melalui wahyu yang diturunkan kepada
Rasulullah SAW iaitu ketika baginda SAW di dalam gua
Hira’ di Mekah. Wahyu pertama yang
diturunkan adalah ayat 1-5 daripada Surah Al-‘Alaq.Allah telah berfirman yang
bermaksud:
Bacalah!Dengan
nama TuhanMU yang menciptakan.Membuat manusia dari segumpal darah.Bacalah!Dan
tuhanmu ialah yang paling
mulia.Mengajarkan dengan qalam.Hal-hal yang tidak diketahui oleh manusia.
Ini
menunjukkan betapa masyarakat ketika itu muncul sebagai masyarakat yang
berilmu.
Semangat yang kuat daripada masyarakat
ketika itu, membuatkan mereka berlumba-lumba untuk mempelajari ilmu pengetahuan
dengan membaca dan menulis.Tidak ketinggalan, kaum wanita turut memberi saingan
yang sihat terhadap kaum lelaki ketika itu.Kedudukan mereka diangkat dalam Islam,
yang mana kaum wanita tidak pernah dikecualikan untuk turut serta
mempertingkatkan taraf keilmuan.
Bermula di Mekah, mereka berpeluang
menuntut ilmu pengetahuan.Siti Khadijah RA yang merupakan isteri Rasulullah
SAW adalah seseorang yang dipilih Allah SWT sebagai anak murid pertama baginda
SAW, yang menjadi lampu hijau kepada kaum wanita seluruhnya untuk menimba ilmu
seoptimum yang mungkin seperti yang dikecapi oleh kaum lelaki.
Setelah penghijrahan Rasulullah SAW
ke Madinah, dunia keilmuan dan kebebasan para wanita dalam menuntut ilmu
terbuka luas seiring dengan kaum lelaki tanpa ada diskriminasi.Ketika di Madinah, wanita-wanita Ansar
berkumpul di sebuah rumah dan Rasulullah SAW menghantar Saidina Umar RA untuk
mengajar mereka.Rasulullah SAW meletakkan tanggungjawab kepada ibubapa agar
memastikan anak-anak mereka menuntut ilmu dan menyarankan kepada orang-orang
lelaki menuntut ilmu agar dapat mengajarkan ilmu yang dipelajari kepada isteri
dan anak-anaknya.Kesungguhan Rasulullah SAW memberi impak besar yang telah
membawa perubahan yang baik kepada mereka.
Sejurus dengan itu, telah muncul
tokoh sarjana yang hebat di kalangan wanita seperti Saidatina Aisyah RA,
Safiyyah RA, Ummu Salamah RA dan lain-lain. Ini menunjukkan wanita menjadi
bijak dan dihormati dalam masyarakat.
Martabat wanita diangkat nilainya, tidak lagi seperti wanita-wanita sebelum
kedatangan Islam.
AISYAH
RA IKON MUSLIMAH TERUNGGUL
Bila disebut nama yang mulia ini, ia tidak asing lagi dalam
dunia keilmuan dan sebagai rolemodel buat wanita kseluruhannya sehingga
ke zaman kini. Beliau telah mempelopori
bidang pendidikan dan telah berjaya meletakkan taraf keilmuannya setanding
dengan para sahabat RA. Aisyah RA telah
memanfaatkan kedudukannya sebagai salah seorang isteri Rasulullah SAW dengan
sebaik-baiknya.Peluang ini menjadikan
beliau seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan yang mantap.
Beliau telah
meriwayatkan sebanyak 2210 buah hadis sehingga membariskan beliau dengan 6
orang sahabat Rasulullah SAW yang merupakan ahli pakar hadis, iaitu Umar Bin
Al-Khattab, Ali Bin Abi Talib, Abdullah Bin Mas’ud, Abdullah Bin Umar, Abdullah
Bin Abbas dan Zaid Bin Thabit.Keistimewaan periwayatan hadis daripada Aisyah RA, ia merupakan
periwayatan secara langsung daripada Rasulullah SAW dan para sahabat RA.Kebanyakan hadis ini berkaitan dengan
amalan-amalan peribadi Rasulullah SAW yang mampu diketahui oleh Aisyah RA.Hal
ini menyebabkan pengiktirafan ketokohan beliau RA. Anak saudaranya, Ibnu Al-Zubair berkata:
“Demi Allah, Aisyah tidak berdusta sama sekali tentang Rasulullah SAW.”
Selepas kewafatan
Rasulullah saw, Aisyah RA menjadi rujukan utama para sahabat apabila timbul
permasalahan dan kekeliruan dalam mengetahui soal-soal hukum.Abu Musa Al-‘Ashari
pernah berkata: “Sekiranya dalam kalangan para sahabat Rasulullah SAW
menghadapi kemusykilan, maka kami akan bawa permasalahan tersebut kepada Aisyah
RA.” Aisyah RA bukan sahaja arif dalam
bidang Feqah, bahkan juga dalam bidang perubatan (Tib) dan syair.Beliau juga
pakar dalam permasalahan perwarisan harta yang memerlukan kemahiran matematik
yang tinggi. Beliau juga mempunyai kepakaran dalam bidang tafsir dan hadis.
Dengan
demikian, Aisyah RA sebagai pendidik ummah yang menjadi contoh dari segi
kehebatannya dalam menguasai bidang ilmu pengetahuan.Kehidupannya mampu
mempengaruhi pandangan masyarakat tidak kira lelaki mahupun wanita, yang mana
beliau telah membekalkan inspirasi dan kepimpinan yang mantap. Beliau seorang
yang kaya dengan budi pekerti yang tinggi, lemah lembut dan sopan santun yang
memberikan kebahagiaan kepada suamiya.Aisyah RA bukanlah seorang graduan daripada mana-mana universiti
memandangkan belum lagi wujud institusi seperti yang ada sekarang.Namun
demikian, beliau ibarat sebuah universiti yang jauh lebih hebat dan berkesan
yang diperolehi daripada mana-mana wanita hari ini di
universiti-universiti.Sifat ketaqwaan
Aisyah RA dapat dilihat daripada kehidupannya yang sederhana dan zuhud hasil
daripada didikan baginda SAW sepanjang hayatnya.
TUNTUTAN
WANITA ISLAM TERUTAMANYA DALAM MEDAN PENDIDIKAN DAN DAKWAH
Tuntasnya,sebagai wanita Islam, seeloknya kita menjadikan
tokoh-tokoh wanita Islam yang hebat seperti Aisyah RA dalam bidang
keilmuannya. Sebagai wanita, kita
perlulah sedar bahawa wanita juga berperanan besar dalam membangunkan masyarakat.Wanita boleh memberi impak besar melalui kekuatan
dan kelemahannya. Kita dapati sejarah ketika bagaimana tarikan Hawa kepada Nabi
Adam ketika mereka di syurga dan kisah Zulaikha ketika terpana dengan keindahan Nabi Yusuf a.s..Namun
demikian, di akhirnya mereka menginsafi atas apa yang telah dilakukan. Selain
itu, wanita dapat menjadi kekuatan kepada masyarakat.Antara kisah yang mempunyai pengajaran yang
bernilai adalah apabila Fatimah Al-Khattab, adik kepada Saidina Umar RA yang
menjadi asbab Umar memasuki Islam melalui bacan Al-Quran. Asiyah yang merupakan
isteri firaun, apabila ingin membela seorang bayi lelaki yang dijumpainya,
diberi keizinan oleh firaun dek kerana sayang akan isterinya.
Contoh umum yang dapat kita lihat, adalah ketika wanita-wanita
menjadi penguat bagi suami-suami mereka ketika di medan peperangan,menjadi
perawat-perawat setia kepada tentera yang tercedera, menjadi pembakar semangat
kepada suami dalam menyampaikan dakwah dan sanggup mengorbankan harta dan jiwa
demi kemenangan Islam. Semoga dengan wujudnya pelbagai contoh tauladan tokoh
srikandi Islam ini, dapatlah kita
sebagai wanita menetapkan prinsip dalam kehidupan dengan mengikuti syariat Islam
untuk mencapai keredhaan Allah SWT di dunia mahupun di akhirat.WaAllahu A’lam.
“ MEMBENTUK GENERASI MITHALI “
No comments:
Post a Comment