Friday, March 6, 2020

TINTA PIMPINAN : ILMU DAN AMAL ASAS PEMBENTUKAN GENERASI ULAMA AMILIN


[ ILMU DAN AMAL ASAS PEMBENTUKAN GENERASI ULAMA AMILIN ]

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين، وبه نستعين على أمور الدنيا والدين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد.

Gelaran penuntut ilmu adalah satu gelaran yang istimewa buat insan-insan yang terpilih oleh Allah SWT untuk terus-menerus menggali ilmu-ilmu Allah SWT di atas muka bumi ini bertujuan untuk mengenal agama Islam yang sebenar mengikut acuan al-Quran dan as-Sunnah.

Justeru itu, bagi seorang yang bergelar penuntut ilmu terutamanya mahasiswa/wi Islam yang menuntut di tempat pengajian terulung iaitu Universiti Al-Azhar asy-Syariff ini, tidak boleh sama sekali memisahkan dua aspek penting dalam kehidupan iaitu menuntut ilmu dan mengamalkan ilmu.

Firman Allah SWT:

 يَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَٰتٖۚ

“Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat.” (Surah al-Mujadalah : 11)

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Allah SWT mengangkat dan memuliakan golongan yang mempunyai ilmu pengetahuan. Ada juga hadis yang menyebut tentang kelebihan orang yang berilmu berbanding orang yang beribadah :

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: فَقِيهٌ وَاحِدٌ أَشَدُّ عَلَى الشَّيطَانِ مِنْ أَلْفِ عَابِدٍ
(أخرجه الترمذي وابن ماجه)

“Daripada Ibnu Abbas RA berkata: “Telah bersabda Rasulullah SAW: “Seorang yang alim itu lebih kuat pengaruhnya atas syaitan daripada seribu abid.” (HR Timidzi dan Ibnu Majah)

Dalam perjalanan mencari ilmu, wajib ke atas setiap penuntut ilmu juga untuk mencari ilmu yang bermanfaat. Imam al-Ghazali rahimahullah menyebut dalam kitabnya ‘Bidayah al-Hidayah’ bahawa ada beberapa ciri ilmu yang bermanfaat, antaranya:

1) Menambahkan ketakutan kepada Allah SWT.

2) Menambahkan mengenali aib diri sendiri.

3) Mengurangkan kecintaan pada dunia.

4) Menambahkan kecintaan pada akhirat.

Dan banyak lagi ciri-ciri lain yang tidak dapat disebutkan di sini. Maka ciri-ciri inilah yang menjadi natijah bahawa seseorang itu dikurniakan ilmu yang bermanfaat.

Adapun ilmu itu sangat berkait dengan amal. Ilmu dan amal tidak boleh dipisahkan sepertimana yang diungkapkan oleh Imam al-Ghazali rahimahullah dalam ‘Ayyuha al-Walad’ :

العِلْمُ بِلَا عَمَلٍ جُنُونٌ وَالْعَمَلُ بِغَيرِ عِلْمٍ لَا يَكُونُ

“Ilmu tanpa amal adalah gila dan amal tanpa ilmu adalah sia-sia.”

Imam al-Ghazali rahimahullah juga ada memberikan perumpamaan bahawa jika seorang lelaki yang membaca 1000 masalah ilmu dan mengajarkannya lalu tidak beramal dengannya maka tidak menghasilkan faedah melainkan dengan beramal.

Begitu juga dengan konsep amal, jika beramal tanpa ilmu maka amalannya kemungkinan tidak diterima sepertimana yang disebutkan oleh Imam Ibnu Ruslan rahimahullah dalam ‘Matan az-Zubad’:

فَكُلُّ مَنْ بِغَيرِ عِلْمٍ يُعْمَلُ * أَعْمَالُهُ مَرْدُودَةٌ لَا تُقْبَلُ

“Maka setiap orang yang beramal tanpa ilmu * Amalannya tertolak lagi tidak diterima.”

Maka kedua-dua konsep ini perlu digabungkan kerana boleh menjadi satu fasad (kerosakan) jika menceraikan kedua-duanya. Imam Burhanuddin az-Zarnuji rahimahullah menyebut dalam kitabnya ‘Ta’lim al-Muta‘allim’ :

فَسَادٌ كَبِيرٌ عَالِمٌ مُتَهَتِّكُ * وَأَكْبَرُ مِنْهُ جَاهِلٌ مُتَنَسِّكُ

هُمَا فِتْنَةّ فِي الْعَالَمِينَ عَظِيمَةٌ * لِمَنْ بِهِمَا فِي دِينِهِ يَتَمَسَّكُ

“Kerosakan yang besar itu adalah orang alim yang tidak beramal * Dan terlebih besar daripadanya orang jahil (tanpa ilmu) yang berbuat amalannya

Keduanya itu fitnah yang besar di dunia * Bagi mereka yang berpegang pada agamanya dengan keduanya”

Justeru itu, melalui ilmu yang benar-benar dibina secara kukuh dalam diri itu mampu melahirkan seorang ulama’ dan ditambah pula dengan amal Islami maka akhirnya menatijahkan seorang ulama’ amilin

Adapun sifat yang paling utama perlu ada dalam diri seorang ulama ialah sifat takut kepada Allah kerana melalui sifat ini akan melahirkan seorang ulama’ amilin yang melaksanakan segala perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan Allah SWT sepertimana firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَخۡشَى ٱللَّهَ مِنۡ عِبَادِهِ ٱلۡعُلَمَٰٓؤُاْۗ

“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di kalangan hamba-hambaNya ialah orang-orang yang berilmu (ulama’).” (Surah Fatir : 28)

Pembentukan ulama’ amilin ini menjadi tunjang dan tunggak utama dalam memimpin masyarakat dan negara ke arah pelaksanaan syariat Islam yang syumul (sempurna). Ianya bertepatan dengan kalam Saidina Umar al-Khattab RA:

تَفَقَّهُوا قَبْلَ أَنْ تُسَوَّدُوا

“Dalamilah ilmu agama sebelum kamu menjadi pemimpin.”

Tanggungjawab menjadi pemimpin atau pun khalifah di atas muka bumi adalah salah satu daripada tujuan penciptaan makhluk di atas muka bumi ini sepertimana firman Allah SWT:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ 

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.” (Surah al-Baqarah : 30)

Generasi ulama’ amilin yang memahami tentang syariat Islam ini sangat penting dalam pemerintahan negara Islam sepertimana yang disebut oleh Imam al-Ghazali rahimahullah dalam kitabnya ‘al-Iqtisad fi al-I’tiqad’ :

الدِّينُ والسُّلطَانُ تَوءَمَانِ، وَلِهَذَا قِيلَ : الدِّينُ أُسٌّ وَالسُّلطَانُ حَارِسٌ، وَمَا لَا أُسٌّ لَهُ فَمَهدُومٌ، وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ.

“Agama dan pemerintahan itu seperti dua anak kembar, dan kerana ini juga dikatakan: Agama itu asas (dasar) dan pemerintahan itu ialah penjaganya, dan barang yang tiada asas itu akan runtuh dan barang yang tiada penjaga itu akan lenyap.”

Agama dan pemerintahan ini sangat berkait rapat dan tidak boleh dipisahkan sama sekali. Syeikh Abdul Qodir al-Mandili rahimahullah juga ada menyebut dalam kitabnya ‘Islam, Agama dan Kedaulatan’ :

“Islam itu bercampur agama dengan kedaulatan (kekuasaan), dan bercampur gaul (sebati) kedaulatan dengan agama, hingga tiada dapat (tidak boleh) diceraikan antara keduanya, dan hingga jadilah kedaulatan pada Islam itu agama, dan jadi agama di dalam Islam itu ia kedaulatan.”

Akhir sekali, jadikanlah majlis ilmu dan amal ijtimaie yang dibawa oleh wadah kesatuan BKPJM ini sebagai satu wasilah untuk membentuk dan mentarbiyah diri ke arah pembentukan generasi ulama’ amilin yang akan menegakkan kebenaran Islam dan bukan yang sebaliknya sepertimana yang disebutkan oleh Imam Muhammad Zahid al-Kauthari rahimahullah:

السَّاكِتُ عَنِ الحَقِّ شَيطَانُ أَخرَسُ

“Orang yang diam daripada menyokong kebenaran maka ia adalah syaitan yang bisu.”

Semoga Allah SWT memilih kita semua di kalangan pejuang-pejuang Islam yang ikhlas dan istiqamah mempertahankan kebenaran Islam daripada musuh-musuh Islam.

والله أعلم بالصواب

Akhukum Fillah,
Muhammad Harith bin Osman,
Unit Kebajikan dan Kemanusiaan,
BKPJM sesi 2019/2020.

Sunday, December 8, 2019

TINTA MAHASISWA : WANITA DAN MEDIA MASSA


WANITA DAN MEDIA MASSA

Zaman modenisasi ini adalah zaman teknologi yang sangat memanjakan manusia dalam berbagai hal terutamanya dalam berkomunikasi. Berbagai jenis media massa yang tersedia sebagai platform komunikasi yang menghubungkan manusia dengan apa sahaja yang diingini. Jarak jauh bukan lagi menjadi masalah untuk berkomunikasi, dengan adanya teknologi-teknologi canggih seakan semuanya berada di hujung jari. Ini semua tentunya membuka seluas-luasnya ruang dan peluang kepada sesiapa saja termasuk golongan wanita untuk ikut serta dalam mengkuti isu semasa, memberikan pendapat, berkongsi rasa dan sebagainya.

Maka dengan adanya peluang seperti ini, golongan wanita memiliki kebebasan untuk berdakwah, menulis, dan mengemukakan pendapatnya melalui media-media seperti; Facebook, Twitter dan lain-lain tanpa harus keluar dari rumah. Tentunya media-media ini sangat bermanfaat di mana golongan wanita mampu untuk ikut serta dalam medan dakwah dan mampu mengemukakan pendapatnya dalam masyarakat. Namun pada sesetengah perkara, media-media ini disalahgunakan sehingga menjadi tali penghubung kepada kemaksiatan.


Allah Ta'ala berfirman dalam surah al-Ahzab, ayat 32:


(يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِنَ النِّسَاءِ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلا مَعْرُوفًا)

"Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita lain, jika kamu bertaqwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik."


Berkata Imam Qurtubi dalam tafsirnya, "Allah memerintahkan agar perkataan mereka singkat sekadar keperluan, jelas maksudnya dan tidak boleh dengan cara yang dapat menarik hati dengan berlemah lembut."

Jika Allah menjadikan hukum tersebut sebagai etika berbicara bagi isteri-isteri Nabi SAW yang dikenali sebagai Ummahatul Mukminin, tentunya hukum tersebut teraplikasi kepada semua wanita di mana mereka perlu lebih menjaga hubungan dengan lelaki yang bukan mahram walaupun hanya berkomunikasi dengan tulisan di alam media sosial seperti perbualan, berbalas komen dan sebagainya.

Hukum-hukum di atas turut teraplikasi pada perkara seperti komunikasi melalui penulisan. Jika ada keperluan yang memerlukan komunikasi antara golongan yang bukan mahram, komunikasi hendaklah disampaikan dengan singkat, jelas dan tidak melebihi kadar yang sepatutnya tanpa melembutkan kata-kata dan sebagainya. Hal ini kerana perkara-perkara kecil yang dipandang remeh inilah yang akan menyebabkan komunikasi antara keduanya berlanjutan dan membuka pintu ke arah kemaksiatan.

Namun dalam hal ini, wanita perlu bijak dalam membezakan tegas dan kasar. Hal ini kerana, terdapat golongan yang telah tersalah dalam menafsir ayat tersebut sehingga melahirkan golongan yang berfikiran perlu berkasar dalam komunikasi terhadap golongan yang bukan mahram sehingga meninggalkan adab-adab dalam komunikasi. Islam menganjurkan untuk bertegas dalam berkata-kata bagi menjaga kedua pihak dari tergelincir daripada tujuan asal komunikasi tersebut.

Selain daripada itu, media sosial turut menjadi platform kepada seluruh dunia untuk berkongsi kehidupan harian dengan memuatnaik gambar dan sebagainya. Ini menjadi sesuatu yang tidak asing lagi bagi semua peringkat umur, di mana mereka sering berkongsi gambar di laman sosial. Ini diakibatkan oleh pengaruh khayalan yang lebih kuat daripada penghayatan Islam yang sebenar.

Jika diteliti hal ini, golongan wanita antara yang paling terkesan akibat ketaajuban berkongsi sesuatu di media sosial sehingga mereka terlupa dalam hal menitikberatkan soal aurat dan perhiasan diri (tabarruj). 


Allah Ta'ala berfirman :

وَلا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ

"Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan." (Surah an-Nur : 31)


Ibnu 'Asyur menafsirkan ayat ini, "Dan ayat ini melarang seluruh yang menyebabkan seorang lelaki teringat dengan perhiasan wanita, dan menyebabkannya berhasrat kepada wanita dari segala semua yang ia dengar dan ia lihat."

Jika kita hayati dari kata-kata beliau, dapat kita simpulkan bahawa 'jika seseorang wanita itu melangkahkan kakinya dan menyebabkan seorang lelaki berhasrat kepadanya merupakan sesuatu yang dilarang, tentunya memuatnaik gambar adalah sesuatu yang tidak digalakkan.'

Pada sebahagian situasi, memuatnaik gambar wanita adalah sesuatu keperluan. Dalam hal ini, golongan wanita seharusnya mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh syariat Islam seperti berusaha menutup aurat sebaiknya dan mengelakkan daripada bergambar dengan golongan yang bukan mahram. 


Sabda Nabi Muhammad S.A.W :

مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً أَضَرَّ عَلَى الرِّجَالِ مِنْ النِّسَاءِ

"Tidaklah aku tinggalkan fitnah (cubaan) yang paling berat bagi lelaki selain fitnah wanita." (HR. Bukhari 5069, Muslim 2740)


Kesimpulannya, komunikasi media massa ini sesuatu yang memberi kebaikan dan manfaat kepada golongan wanita, namun jika peluang ini disalahgunakan tanpa merujuk kepada syariat, ia akan menyebabkan golongan wanita terjerumus ke lembah kemaksiatan dan fitnah. Bagi menjauhkan sesuatu maslahah itu akan bertukar menjadi suatu mafsadah yang lebih besar.

Saturday, October 12, 2019

DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR DAN AJK HAL EHWAL WANITA (HEWI) BKPJM 2019/2020



Berikut merupakan Direktori Ahli Jawatankuasa Tadbir dan AJK Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir bagi sesi 2019/2020.

Siruu 'ala barakatillah.


Thursday, October 3, 2019

BICARA TASAWUF - MENCAPAI TAKWA ZAHIR


“BICARA TASAWUF : MENCAPAI TAKWA ZAHIR”

Dalam meniti arus kemodenan ini, berbagai-bagai cabaran dan tribulasi yang ditempuhi oleh seorang da’ie. Dapat kita lihat dalam kehidupan ini, bahawa masyarakat zaman kini amatlah kehausan dengan ilmu terutama dalam bab “Tasawuf”. Ramai yang dapat mempelajari cabang-cabang ilmu fekah dan juga ilmu aqidah, akan tetapi kurang diantara  mereka yang dapat mempraktikkan ilmu “Tasawuf” atau boleh dikenali dengan nama ilmu “Tazkiyatun Nafs”(penyucian jiwa). Ilmu “Tasawuf” sangat-sangatlah luas, dan antara cabangnya adalah ilmu yang berkenaan dengan adab dan akhlak. Masyarakat zaman kini, kurang didedahkan berkenaan ilmu “Tasawuf” walhal hukum menuntutnya adalah fardu ain. Perlulah seorang da'ie itu mengambil berat  dengan ilmu “Tasawuf” supaya dapat disampaikan kepada masyarakat kerana "الأَخْلَاق فَوْقَ الْعِلْمِ"  bermaksud : akhlak itu diatas ilmu.

Pertamanya, seseorang itu perlu mengetahui apakah tujuan dia dihidupkan di atas muka bumi ini. Di dalam Surah al-Baqarah ayat 30 , menerangkan manusia diciptakan untuk menjadi khalifah dimuka bumi. Seterusnya di dalam Surah Az-Zariyat ayat 56 menerangkan manusia diciptakan adalah untuk beribadah kepada Allah dan di dalam Surah At-Talak ayat 12 manusia diciptakan untuk mengenal Allah Ta’ala. Berkaitan dengan ketiga-tiga firman Allah Ta’ala ini , sekiranya seseorang itu benar-benar menghayati apa yang telah disebut di dalam Al-Quran, maka tanpa rasa mahu mengeluh , mereka akan melaksanakan tugas sebagai seorang hamba Allah Ta’ala. Mereka mempunyai sifat yang jelas terhadap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

Selain itu, seorang muslim itu perlu menelusuri ilmu berkaitan adab. Dalam skop membicarakan berkaitan adab ini ianya sangatlah luas dan mestilah muslim itu menuntutnya kerana pernah berkata Imam Malik kepada seorang pemuda Quraisy “Pelajarilah adab sebelum mempelajari sesuatu ilmu. Imam Ibnu Qasim iaitu salah seorang murid Imam Malik berkata “Aku telah mengabdikan kepada Imam Malik bin Anas selama 20 tahun. Selama itu, 18 tahun aku mempelajari adab(akhlak)  sedangkan sisanya  2 tahun mempelajari ilmu”. Maka disini dapat kita fahami bahawa Imam Malik sendiri sangat mementingkan adab dan akhlak. Mengapa pada hari ini ramai orang yang memandang remeh berkenaan ilmu “Tasawuf”? Malah lebih teruk lagi, ada sesetengah orang yang belajar “Tasawuf” akan tetapi tidak mempraktikkan di dalam kehidupan seharian, apatah lagi sekiranya mahu disampaikan kepada masyarat kini. Maka zaman berzaman,ilmu akhlak dan tasawuf ini seolah-olah makin pupus dan tidak diamalkan oleh remaja-remaja zaman kini.

                 Seterusnya, perlulah seseorang itu , mengetahui cara meninggalkan maksiat. Dalam kitab “Bidayatul Hidayah” menerangkan bahawa maksiat yang mesti ditinggalkan itu terbahagi kepada dua , iaitu maksiat zahir dan maksiat batin. Maksiat yang zahir bermaksud , maksiat yang dilakukan oleh ketujuh-tujuh anggota iaitu mata,telinga,lidah,perut,kemaluan,kedua tangan dan kedua kaki. Maka tidaklah seseorang itu, dapat menjaga ketujuh-tujuh anggota ini daripada melakukan maksiat kecuali sekira rajanya iaitu hati dipenuhi dengan kebaikan. Bersabda Nabi S.A.W. dalam hadis yang masyhur  dari An Nu’man bin Basyir radhiyallahu ‘anhuma, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

أَلاَ وَإِنَّ فِى الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ . أَلاَ وَهِىَ الْقَلْبُ

“Ingatlah bahwa di dalam jasad itu ada segumpal daging. Jika ia baik, maka baik pula seluruh jasad. Jika ia rusak, maka rusak pula seluruh jasad. Ketahuilah bahwa ia adalah hati (jantung)” (HR. Bukhari no. 52 dan Muslim no. 1599).



Sementara itu,maksiat yang batin pula bermaksud maksiat yang dilakukan oleh hati dan ia tidak dapat dilihat sama sekali.Seolah-olah seperti virus bahaya , sehingga sekiranya dibiarkan berlarutan ,ia akan mengakibatkan kebinasaan dan kehancuran pada diri.Diantara ibu kesemua penyakit hati ini adalah sifat hasad,riak dan ujub.Seseorang yang mempunyai sifat hasad ini , tidak akan tenang melihat orang lain mendapat sesuatu nikmat hinggakan dia bercita-cita ingin nikmat itu hilang daripada seseorang itu walaupun dia  sendiri tidak mendapat apa-apa keuntungan daripada nikmat tersebut.Maka sifat hasad ini adalah kejahatan yang luar biasa kerana Nabi S.A.W bersabda :

الحَسَدُ يَأْكُلُ الحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ" ”       
“ Maksudnya : Sifat hasad itu memakan akan pahala kebaikan seperti api memakan kayu bakar ”.

Sifat riak pula dinamakan “syirik khafi” yang memberi makna mencari penghargaan dihati manusia sehingga dapat mencapai pangkat dan kebesaran.Sifat ujub dan takabbur pula merasa bangga dengan diri sendiri dengan memandang dirinya lebih mulia daripada yang lain dan memandang orang lain lebih hina daripada dirinya.Maka samalah sifatnya seperti iblis yang berkata kepada Allah ketika tidak mahu sujud kepada Nabi Adam A.S :

أَنَا خَيْرُ مِّنْهُ خَلَقْتَنِى مِن نَّارٍ وَخَلَقْتَهُ مِن طِينٍ"

Maksudnya : Aku lebih baik daripadanya (Adam) kerana engkau menjadikan aku daripada api dan engkau menjadikannya daripada tanah.(Surah Al-A'raf : ayat 12)
Banyak lagi penyakit hati selain daripada tiga sifat ini, akan tetapi disebutkan tiga ini adalah kerana ianya merupakan ibu diantara semua penyakit hati dan menjadi keutamaan kepada seseorang itu meninggalkan ketiga-tiga sifat ini kerana inilah tiga sifat yang akan membinasakan diri seseorang.Berpandukan dengan kata-kata Imam Al-Ghazali “Maka tidak ada yang membinasakan manusia kecuali manusia”

Kesimpulannya,demi untuk mencapai “Nihayatul Hidayah”(kesudahan jalan hidayah) iaitu taqwa yang batin , perlulah seseorang itu khususnya para da'ie mencapai “Bidayatul Hidayah”(permulaan jalan hidayah) iaitu taqwa yang zahir terlebih dahulu dengan cara mendalami ilmu adab,akhlak dan tasawuf serta meninggalkan segala maksiat yang zahir mahupun batin.Taqwa itu terbahagi kepada dua , iaitu menjunjung perintah Allah dan menjauhi larangan Allah.Syurga itu tidak mungkin akan dicapai kecuali dengan taqwa dan tidak akan mendapat petunjuk seseorang itu kecuali dia mempersiapkan dirinya untuk bertakwa.


Sunday, September 22, 2019

SEHARI MITT BERSAMA AZHARI

SEHARI MITT BERSAMA AZHARI



PASIR GUDANG, 3 SEPTEMBER 2019 - Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) 18/19 telah menganjurkan sebuah program motivasi bertempat di Maahad Islami At-Tarbiah wa At-Tahfiz (MITT), Pasir Gudang.

Program motivasi yang diberi nama Hari Bersama Mahasiswa Al-Azhar 2019 atau singkatannya HIMMAH ’19 ini dilaksanakan bertujuan menarik minat pelajar-pelajar STAM dan SPM untuk melanjutkan pelajaran di Mesir. Di samping memupuk kesedaran agama yang lebih mendalam, pelajar-pelajar juga didedahkan serba sedikit  berkenaan kehidupan di Mesir.

Pengisi setiap slot terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam perbincangan itu. Pengisian yang pertama disampaikan oleh Ustazah Sanisah binti Morney, mantan Ketua HEWI BKPJM sesi 17/18. Beliau memberi motivasi berkaitan perancangan belajar yang bijak dan cemerlang di alam mahasiswa. Beliau juga menjelaskan adab dan perkara yang sepatutnya dilakukan oleh seorang pelajar bagi mengekalkan momentum dalam suasana pembelajarannya.




Slot seterusnya diisi oleh Ustaz Mohd Ridzuan bin Nazri, mantan YDP BKMIP, beliau membicarakan perihal kesedaran diri dan tanggungjawab. Kejayaan yang dicapai adalah hasil usaha luar biasa yang dilakukan. Beliau mengingatkan para peserta bahawa tiada siapa yang dapat membantu diri ini berjaya kecuali diri sendiri.






Slot terakhir disampaikan dalam bentuk forum yang diuruskan oleh moderator Ustaz Muhd Syakir bin Sahimi dan disampaikan oleh barisan panel Ustaz Ahmad Helmi bin Subahan serta Ustaz Ainuddin bin Abu Jamil. Slot ini membicarakan asal usul Universiti Al-Azhar, sistem kuliah dan suasana kehidupan masyarakat Mesir. Sedikit sebanyak ia Berjaya membuka minda dan menanam semangat baru kepada pelajar-pelajar untuk meneruskan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi khususnya di  Mesir.

Tuesday, September 10, 2019

KENYATAAN RASMI SURUHANJAYA PILIHAN RAYA




             السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه


الحمدللّه ربّ العالمين والصّلاة والسّلام على أشرف الأنبياء والمرسلين و على أله وصحبه أجمعين.

أما بعد.

Firman Allah Ta'ala  :

(وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ 

اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ)                                                                                              

[Surat at-Taubah :71]

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Saya Syed Mohamad Aslam Husaini bin Syed Bahrim selaku individu yang telah diamanahkan sebagai Pengarah Suruhanjaya Pilihanraya Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir 2019 (SPR BKPJM) bagi menguruskan proses pemilihan kepimpinan BKPJM bagi sesi 2019/2020 bersama pegawai-pegawai SPR BKPJM yang dilantik.

Untuk makluman semua, pihak SPR BKPJM akan membuka bilik gerakan SPR BKPJM yang bertempat di dewan Asrama Pelajar Johor Rabaah (APJ 4) untuk pencalonan Yang di-Pertua (YDP) & Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) serta pencalonan Ketua Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) & AJK HEWI bagi kepimpinan BKPJM sesi 2019/2020. Sesi pencalonan akan dibuka bermula pada 16 - 18 September 2019, manakala sesi bantahan calon pula akan dibuka pada 19 September 2019.

Pencalonan dibuka bagi memilih :

SEORANG Yang di-Pertua (Borang A),
8 ORANG AJKT (Borang B),
SEORANG Ketua HEWI (Borang C) dan
7 ORANG AJK HEWI (Borang D).

Sekiranya pencalonan melebihi kuota yang ditetapkan, maka pilihan raya akan dijalankan.

Sebarang maklumat lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Sekian sahaja daripada saya. Terima kasih, Siiru a'la barakatillah.

"BERSIH, TELUS, AMANAH"

Yang Menjalankan Amanah,

Syed Mohamad Aslam Husaini bin Syed Bahrim,
Pengarah SPR BKPJM 2019.

Monday, August 19, 2019

PENGHAYATAN DI SEBALIK AIDILADHA


                                         
                                        PENGHAYATAN DI SEBALIK AIDILADHA

Hari Raya Aidiladha merupakan salah satu daripada dua hari raya yang diraikan oleh seluruh umat Islam di dunia ini.  Ia terkandung di dalam hadis (terjemahan) yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas r.a., yang bermaksud: "Rasulullah S.A.W datang ke Madinah, sedangkan mereka sedang sibuk bergembira selama dua hari. Maka Rasulullah S.A.W bertanya: Hari apakah yang dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman jahiliah : Kemudian Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha." (Diriwayatkan Imam Abu Daud dan an-Nasai daripada Anas).

Setelah kita semua meraikan hari raya Aidilfitri sebelum ini pada bulan Syawal, terdapat hari raya Aidiladha pada bulan Zulhijjah dan ia dikenali dengan nama Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji.  Ia sangat sinonim dengan aktiviti umat Islam yang akan melaksanakan ibadah korban iaitu menyembelih binatang korban pada hari tasyrik bermula 10,11,12 dan 13 Zulhijjah. Ia bertujuan tidak lain tidak bukan adalah untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT semata-mata.

Kepentingan hari raya ini juga bagi memperingati kisah yang memberikan banyak pengajaran kepada semua. Kisah yang dimaksudkan adalah kisah Nabi Ibrahim a.s. dalam menerima perintah Allah untuk menyembelih Nabi Ismail a.s. yang merupakan anaknya daripada isteri keduanya iaitu Siti Hajar. 

Kisah Nabi Ibrahim a.s. yang sekian lama menunggu hadirnya cahaya mata telah Allah SWT kabulkan.  Ujian dalam menunggu kehadiran zuriatnya itu, telah dilepasi dengan keimanan, kesabaran dan keredaan yang sangat tulus.  Setelah Allah mengurniakan mereka zuriat bernama Ismail, Nabi Ibrahim a.s. diuji lagi tahap kesabarannya dengan perintah Allah melalui mimpi yang menyuruhnya menyembelih anaknya. Kita semua boleh mengikuti kisah ini di dalam al-Quran bermula ayat 100 sehingga 100 daripada Surah as-Saffat.

[100] ” Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!”

[101] Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar.

[102] Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.

[103] Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami),

[104] Serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim!

[105] “Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

[106] Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata;

[107] Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;

[108] Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:

[109] “Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!”.

[110] Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

[111] Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.

Di saat Nabi Ibrahim a.s. menjunjung taat akan perintah Allah SWT semasa menyembelih anaknya Nabi ismail a.s., kuasa Allah SWT menggantikan sembelihan Nabi Ibrahim a.s. kepada seekor binatang yang disebut kibas.  Dalam masa yang sama, Nabi Ismail tidak jadi untuk disembelih.  Betapa hebatnya tahap kesabaran Nabi Ibrahim a.s. sebagai seorang bapa yang amat menyayangi anaknya dengan mengorbankan perasaan demi melaksanakan perintah Allah SWT. Hal ini disebabkan oleh Nabi Ibrahim a.s. selaku hamba kepada Tuhannya sanggup melakukan apa sahaja yang diperintahkan Allah SWT mengatasi segala keinginan dirinya.  Tidak dapat kita bayangkan perasaan seorang bapa yang  sekian lama menunggu akan hadirnya seorang zuriat dan membesar dengan baik lalu mesti mengorbankannya demi sebuah perintah.  Namun Nabi Ibrahim a.s. tetap menjalankan perintah Allah SWT dengan baik dan sempurna.

Kisah ini merupakan simbolik kepada keikhlasan sebuah hati dalam mengorbankan apa jua yang menjadi kesayangan kerana tahap sayang dan cinta kepada yang Maha Esa melebihi segala-galanya.

Pada hari raya Aidiladha, kita semua dapat lihat ramai  umat Islam yang menyembelih binatang korban (dinamakan dengan al-an'am di dalam bahasa arab) yang terdiri daripada unta, lembu, kerbau, kambing dan kambing biri-biri. Setelah disembelih, daging binatang korban akan diagih-agihkan mengikut bahagian-bahagiannya.  Ia mengandungi hikmah buat umat Islam seluruhnya kerana banyak amalan soleh yang dilaksanakan pada hari raya tersebut termasuklah amalan bersedekah dan menggembirakan umat Islam yang lain.Firman Allah SWT yang bermaksud: “Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.”(QS. Alhajj :37
Umat Islam yang melaksanakan ibadah korban ini menjemput kecintaan Allah SWT. Berdasarkan sebuah hadis (terjemahan) yang telah diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Al-Hakim yang bermaksud: "Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai Allah daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih." Kita juga dapat menghayati akan ibadah ini sebagai tanda taqwa daripada hati.

ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ

Demikianlah (perintah Allah). Dan barang siapa mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya hal itu timbul dari ketakwaan hati,”
(QS. Al-Hajj: 32)

Sungguh, al-Quran membawa petunjuk cahaya ilahi bagi sesiapa yang benar-benar mentadabburinya. Betapa banyak pengajaran yang dapat kita hayati daripada kesolehan serta kesabaran Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s.

Selaku hamba Allah di muka bumi ini, kita sepatutnya mencontohi sifat-sifat para rasul dan anbiya’ dalam menjalani kehidupan kita.  Lebih-lebih lagi, Nabi Ibrahim merupakan antara nabi yang digelar sebagai ululazmi iaitu nabi dan rasul yang mempunyai tahap kesabarannya yang sangat tinggi terhadap ujian-ujian yang diberikan oleh Allah  SWT.

Hikmah-hikmah yang boleh kita kutip disebalik hari raya Aidiladha adalah bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat kehidupan, membuktikan cinta kepada Allah mengatasi cinta kepada keinginan diri, bersabar dalam mentaati perintah Allah, menyambung silaturrahim, bersedekah kepada fakir dan miskin dan memuliakan tetamu yang hadir. Ini semua merupakan tanda kesyukuran terhadap nikmat-nikmat yang dikurniakan Allah SWT.  Selain itu, dapat membenarkan firman Allah di dalam al-Quran yang menyatakan bahawa binatang-binatang sembelihan ini merupakan ciptaan Allah yang menjadi manfaat kepada manusia Firman Allah SWT yang bermaksud “Dan Dia telah menciptakan binatang ternak untuk kamu; padanya ada (bulu) yang menghangatkan dan berbagai-bagai manfaat, dan sebahagiannya kamu makan," (QS An-Nahl : 5).

Akhir sekali, semoga kita dapat mengutip hikmah-hikmah dalam kisah ini sebagai cahaya dalam menerangi jalan kehidupan kita yang terdapat pelbagai ranjau dan liku-likunya. Lumrah kehidupan, medan ujian adalah di dunia yang sementara dan rehat selamanya hanyalah di syurga yang kekal abadi.Sekian, Wallahu'alam.

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...