Tuesday, March 26, 2019


[ WANITA YANG DIRINDUI SYURGA ]

  Fahamilah seseorang wanita itu melalui Al-Quran, kerana wanita itu terlalu istimewa di mata Tuhan.

  Menurut pandangan Islam, bilamana diteliti dalam setiap ayat indah Kalamullah, pasti banyak didapati hukum-hakam yang ditujukan buat kaum Hawa khususnya, bukanlah kerana terzahirnya kekurangan mahupun kelemahan, akan tetapi inilah tanda-tanda betapa besarnya kasih sayang Allah buat hambanya yang bernama wanita.

  Sudah menjadi Sunnatullah bagi anak Adam apabila diberikan kepada mereka berbagai kenikmatan yang mereka cintai dan indah di pandangan mereka dengannya di dunia  sebagaimana dalam firman Allah Ta'ala:

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَٰتِ مِنَ ٱلنِّسَآءِ وَٱلْبَنِينَ وَٱلْقَنَٰطِيرِ ٱلْمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلْفِضَّةِ وَٱلْخَيْلِ ٱلْمُسَوَّمَةِ وَٱلْأَنْعَٰمِ وَٱلْحَرْثِ ذَٰلِكَ مَتَٰعُ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَٱللَّهُ عِندَهُۥ حُسْنُ ٱلْمَـَٔاب

maksudnya,“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu:wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak, dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (Syurga).”
(QS. Ali Imran:14)

  Berdasarkan ayat Allah Ta'ala, maka jelas kita lihat bahawa Allah mendahulukan wanita sebelum yang lainnya, indah setiap aturan kalam Allah yang cuba disampaikan melalui Kitabullahil Aziz, menunjukkan isyarat bahawa wanita solehah secara umumnya adalah suatu bentuk wasilah kepada sesebuah ketenangan juga sebaik-baik perhiasan di dunia ini.

  Akhlak persis Rasulullah SAW menjadi salah satu sifat yang perlu dicontohi umat masa kini, kerana prinsip Baginda telah menetapkan wanita adalah sesuatu yang paling beliau hormati dan sayangi, jauh sekali dari menyakiti kerana hakikat seseorang wanita itu mempunyai hikmah tersendiri dalam memainkan peranan penting dalam menggerakkan bahtera Islam.


  Bukalah kembali sirah-sirah terdahulu yang terkait rapat dengan semangat perjuangan srikandi Islam yang jauh lebih mencabar ujiannya jikalau ingin dibandingkan dengan ujian wanita hari ini. Antaranya, kisah seorang wanita yang menjadi dambaan syurga iaitu Asiah binti Muhazim, isteri Firaun. Keimanan Asiah diuji sewaktu berhadapan dengan seorang suami yang jauh mengingkari perintah dan arahan Allah SWT. Beliau diuji dengan pelbagai seksaan daripada suaminya, harta dan nyawa menjadi taruhan bila berdepan dengan pelbagai ujian yang dahsyat menggugat keimanan. Asiah tetap teguh dengan pendiriannya selaku seorang hamba dan menyerahkan dirinya hanyalah kepada Allah.

  Kisah Asiah ini bukanlah hanya untuk wanita beriman, akan tetapi lebih mendasar, daripada itu untuk kita lebih memahami betapa pentingnya hidup bertunjangkan ketakwaan dan keimanan. Mahkota seseorang wanita itu letaknya pada jiwa dan hidupnya yang bertuhankan yang maha Esa semata-mata.

  Akhir kalam, khususnya buat para wanita, yakinlah Allah itu sentiasa ada dan sentiasa punya cara tersendiri untuk mendidik dan mentarbiah wanita dengan melalui wasilah yang berbungkuskan ujian dahsyat diluar, akan tetapi hikmah yang besar bakal tersingkap bilamana seseorang wanita itu benar-benar memandang setiap satu ujian Allah dengan pandangan cinta dan kasihNya. Maka kerana  itu, wanita yang dirindui syurga bukanlah dilihat dari paras rupa, harta mahupun pangkat yang tinggi, akan tetapi berdasarkan baiknya segumpal darah yang bernama hati, penuh ketenangan disaat ujian menimpa. Maka, milikilah hati dan akhlak yang bertunjangkan syariat Islam demi membentuk generasi yang kian mendatang.

  Teruskan menjadi wanita yang gigih memberi manfaat buat agama kerana itulah wanita yang dijanjikan syurga.

Wallahualam.

Izzatul Mardhiah binti Huslizan,
Kuliah Syariah Islamiah,
Setiausaha Hal Ehwal Wanita Islam BKPJM 18/19.

Monday, March 4, 2019

Baitul Muslim - Ke Arah Membina Rumah Tangga Islami


Baitul Muslim - Ke Arah Membina Rumah Tangga Islami

Memperbaiki diri sendiri dan menyeru orang lain kepada Allah, merupakan dua kewajipan asas atas jalan dakwah wajib kepada setiap muslim lelaki dan wanita.

Di samping dua kewajipan itu timbul lagi satu kewajipan yang tidak kurang pentingnya. Iaitu menegakkan rumahtangga muslim.Kita sangat memerlukan rumahtangga muslim yang menjadi contoh sebagai tiang yang kuat  dalam pembangunan masyarakat Islam. Usrah muslim, mempunyai peranan yang penting  dalam kekuatan dan perpaduan masyarakat ataupun perpecahan dan kemusnahannya. Rumahtangga itu adalah merupakan pangkuan atau sarang bagi tunas-tunas baharu yang dididik dan dibentuk semasa pembentukan dan persediaan.

Hadis Rasulullah S.A.W. berkenaan dengan pembangunan rumahtangga, tidak dapat dibicarakan hanya dengan satu makalah atau dua makalah sahaja akan tetapi perlulah kita merujuk kepada kitab-kitab dan karangan-karangan yang telah mengupas perkara penting itu. Cukuplah di sini kita menerangkan sepintas lalu serba sedikit mengenainya supaya kita mendapat faedah daripadanya.

A: Pemilihan :
Saudara muslim dan saudari muslimah yang mahu memperbaiki diri dan menyeru orang lain kepada Allah, wajiblah  atas keduanya, masing-masing memilih pasangannya. Putera Islam mencari puteri Islam untuk menjadi isterinya yang solehah. Puteri Islam mencari putera Islam untuk menjadikan suaminya yang soleh, sebagai kongsi hidup suami isteri.

Dari awal-awal lagi hendaklah mereka ini membangunkan keluarga muslim yang diasaskan  atas dasar takwa. Seorang lelaki muslim yang sejati wajib mencari wanita muslimah yang sejati dan memilih yang beragama, yang memahami tugas dan risalahnya  dalam hidup ini, menjadikan pasangan hidupnya sebaik-baik penolong atas jalan dakwah, sentiasa mengingatkannya apabila dia lupa sentiasa memberi perangsang dan tidak menghalanginya, memelihara dirinya ketika waktu berseorangan sekalipun bagaimana lamanya dan mendidik serta membentuk anak-anaknya menurut Islam yang sebenar-benarnya.

Demikian juga wanita muslimah yang sejati, tidak wajar dan tidak patut menerima sebarang jejaka untuk menjadi pasangan hidupnya kecuali seorang muslim yang sejati yang menjadi pendukung dakwah Islam, iaitu seorang penganut aqidah yang sahih yang bertakwa kepada Allah. Si isterinya pula dapat menolongnya untuk taat setia kepada Allah dan mencapai keredhaan Allah. Dengan cara yang demikian, kita telah berjaya membangunkan sebuah keluarga Islam yang akan menjadi markaz dakwah dan jihad Islam.

Rasulullah S.A.W. telah mengarahkan kita kepada yang demikian dengan sabda Baginda :
“ Wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana tarafnya, keturunannya dan pangkatnya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengambil wanita yang beragama supaya kamu berbahagia ”.

B: Beriltizam dengan batas-batas Islam :
Kita mahukan supaya hukum-hukum Islam dan adab-adabnya mampu mengawal dan menguasai setiap tahap dan peringkat pembangunan rumahtangga muslim. Sama ada dari peringkat pinangan, akad nikah, mempersiapkan rumahtangga sepasang suami isteri, masa pengantin baharu atau berbulan madu mestilah jauh daripada segala adat lapuk, pusaka usang jahiliah yang rosak.

Sama ada jahiliah lama atau baru, yang bertentangan dengan syariat Allah Ta’ala ataupun yang menjadi rintangan di jalan perkahwinan yang kadang-kadang menghalang langsung untuk terlaksananya perkahwinan. Mengapakah tidak di laksanakan akad nikah itu di masjid?

 Dalam udara yang bersih dan luas yang jauh dari segala sikap menunjuk-nunjuk dan adat-adat buruk? Berbelanja berlebih-lebihan dan boros yang bertentangan dengan syariat Islam? Cadangan itu adalah wajar.
Akad nikah di dalam masjid tidak digemari oleh manusia sebagaimana dulu mereka tidak menggemari fesyen pakaian Islam. Tetapi jika kita bersungguh-sungguh mendesak dan bertegas untuk melangsungkan juga akad nikah itu di dalam masjid, lama kelamaan ia akan menjadi perkara yang disukai oleh manusia dan akan menjadi perkara biasa. Sebagaimana fesyen pakaian Islam menjadi perkara lumrah dan disukai oleh manusia. Sesungguhnya itulah pertentangan di antara kemuliaan dan kehinaan.
Sekiranya kita berpegang teguh dengan kemuliaan dan adab-adab Islam, kita akan berjaya menegakkan dan menanamkan keperibadian Islam yang kita cita-citakan ke atas manusia.

C: Kebahagiaan rumahtangga yang dicita-citakan :
Apabila telah selesai pemilihan yang berasaskan agama telah sempurnalah langkah-langkah yang menuju ke alam perkahwinan sesuai dengan ajaran Islam.Mulalah kita membangunkan rumahtangga muslim atas asas yang teguh yang akan merealisasikan kemantapan, ketenangan dan kebahagiaan yang sejati yang selama ini dicari-cari oleh beberapa banyak keluarga pada zaman ini. Kebahagiaan itu bukan dari luar diri, tidak pula dapat dicari dengan harta, tempat kediaman, pakaian dan dengan segala perhiasan rumahtangga.
Tetapi kebahagiaan itu diperolehi dari dalam diri sendiri, dari perasaan takwa kepada Allah, kerana Allah  yang mengurniakan kebahagiaan, yang memberi mawaddah dan rahmah cinta dan kasih saying  antara suami isteri.
Benarlah Allah Yang Maha Agung yang telah berfirman :
“ Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikannya di antaramu rasa kasih dan sayang.” (Ar-Rum: 21)

Kita tidak memandang kebahagiaan itu di dalam harta yang banyak, akan tetapi orang yang bertakwa itulah orang yang berbahagia.

D: Perkahwinan itu Ibadat :

Risalah dan tugas kita dalam hidup ini ialah beribadat kepada Allah Ta’ala. Jadi kita mestilah berusaha menjadikan segala urusan hidup kita sebagai ibadat kepada Allah Ta’ala. Kita jadikan segenap kehidupan hidup sebagai alat untuk kita mentaqarrubkan diri kepada Allah. Kita pergunakan hidup kita dengan segala kemudahan yang ada untuk menolong kita beribadat kepada Allah.

Amal dan nikah kahwin dan mendidik anak-anak dan lain-lain lagi yang merangkumi segala kegiatan hidup kita semuanya itu merupakan ibadat kepada Allah, untuk menghampirkan diri kepada Allah, selagi dibuat kerana mengharap keredaan Allah dan menjauhi apa yang dimurkai Allah.

Oleh itu, lelaki dan wanita Islam, mestilah memandang urusan perkahwinan mereka sebagai ibadah mereka kepada Allah apabila diurus menurut hukum Allah. Kedua-dua pihak mengharap keredaan dan ganjaran Allah. Oleh kerana itu, kedua belah pihak mestilah mengetahui ajaran-ajaran dan adab-adab Islam, hak-hak dan kewajipan suami isteri rumahtangga dan keluarga, bersungguh-sungguh melaksanakan tugas masing-masing dan beriltizam dengan adab-adab tersebut. Bertolong-tolongan ke arah kebaikan, menuju takwa dan ke arah taat kepada Allah  dalam pergaulan mereka. Saling menghargai, hormat-menghormati dan berkasih sayang  antara keduanya. Semuanya mesti diatur menurut syariat Islam.


Benarlah Rasulullah S.A.W tatkala bersabda yang bermaksud :
” Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada lelaki yang bangun di tengah malam lalu dia sembahyang dan membangunkan isterinya, maka sekiranya enggan juga bangun untuk bersembahyang, dia merenjiskan air ke mukanya. Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada wanita yang bangun di tengah malam lalu bersembahyang dan membangunkan suaminya. Maka jika dia enggan, dia merenjiskan air ke mukanya.”
(Riwayat Abu Daud dengan Isnad yang sahih)

E: Perkahwinan itu saling percaya mempercayai :

Apabila telah wujud suasana saling percaya mempercayai, cinta mencintai, antara suami isteri, lahirlah kebahagiaan dan kepuasan jiwa dalam rumahtangga mereka. Rumahtangga mereka menjadi rumahtangga muslim yang bahagia dalam kebahagiaan yang sejati selagi ianya diatur menurut peraturan syariat Islam. Hapuslah segala prasangka hilanglah segala keraguan. Tiada ada lagi kata mengata, tuduh menuduh dan kepura-puraan.

Kebahagiaan yang sedemikian rupa tidak akan wujud kecuali di bawah naungan takwa kepada Allah dan mencintai Allah pada waktu terang-terangan dan rahsia, pada waktu ghaib dan waktu syahadah. Lantaran itu tenteramlah jiwa suami dan ia berpuas hati kepada isterinya dan yakinlah ia bahawa isterinya hanyalah untuk dirinya sendiri sahaja, yang memelihara diri walaupun beberapa lamanya ia terpisah dari isterinya. Demikian juga sikap isterinya terhadap suaminya dibaluti dengan sepenuh kepercayaan itu. Dalam suasana bahagia yang demikian, syaitan dari bangsa jin dan manusia tidak mempunyai jalan untuk mengganggu dan menggoda keduanya.

F: Perkahwinan sebagai syarikat yang dipimpin oleh suami :

Apabila kehidupan rumahtangga suami isteri dibangunkan atas dasar kerjasama, atas syura’, tolong- menolong, cinta mencintai, bawah pimpinan suami sebagai pihak yang bertanggungjawab, yang mempunyai kata dan kuasa pemutus. Inilah yang mendorong dan menolong melahirkan kemantapan, keteguhan, kerukunan dan kebahagiaan rumahtangga dan keluarga yang selama ini diimpikan dan diidamkan oleh manusia di seluruh dunia. Jika masih terdapat kepincangan dalam pertimbangan ini, maka tidak akan wujud satu kemantapan dan kebahagiaan.

Benarlah Allah Ta’ala dalam firman-Nya :
“ Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang ma’aruf akan tetapi para suami, mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya”. (Al-Baqarah : 228)

” Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka”. (An-Nissa’: 34)

Lantaran itu sempurnalah pentadbiran urusan rumahtangga dan pertimbangannya dalam suasana penuh kerjasama, tanggungjawab dan syura dalam batas-batas ajaran Islam.

Tidak lagi wujud keborosan dan kebakhilan kerana semuanya berada dalam udara Qana’ah (berpuas hati dengan apa yang ada), reda dan yakin bahawa dunia ini bukanlah negara Janatunna’im. Lihatlah rumahtangga Rasulullah S.A.W. kadang-kadang berlalu sebulan demi sebulan, pernah dapurnya tidak berasap kerana tidak ada bahan makanan yang dapat dimasak. Walaupun demikian susahnya, rumahtangga Rasulullah S.A.W.  tetap menjadi rumahtangga yang paling bahagia yang tiada tolok bandingnya hingga hari ini.

G: Perkahwinan adalah tanggungjawab dan amanah :

Suami isteri mestilah menyedari dan merasai bahawa mereka memikul amanah dan tanggungjawab. Tiap-tiap orang dari kamu adalah pemimpin, dan tiap-tiap pemimpin bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Maka hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dalam perkara yang dipertanggungjawabkan dan diamanahkan kepada kamu. Benarlah Allah berfirman :
“ Hai orang-orang yang beriman peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu”. (At Tahrim : 6)
Rasulullah S.A.W bersabda :
“ Orang yang paling baik dalam kalangan kamu adalah yang paling baik kepada ahlinya dan akulah yang paling baik dalam kalangan kamu terhadap ahlinya ”.

Kita sentiasa memerlukan pertimbangan yang waras demi pemeliharaan itu, sebagai contoh, kita kebiasaanya memberi perhatian yang berlebihan apabila salah seorang dari anggota keluarga kita jatuh sakit. Tetapi perhatian yang sewajarnya tidak diberikan terhadap salah seorang anggota keluarga yang mencuaikan hak Allah ataupun menyalahi ajaran Islam padahal itulah yang paling utama diperhatikan dan diubati.

H: Rumahtangga muslim merupakan risalah :
Sebagaimana kita menghendaki bentuk yang benar dan hidup bagi Islam dari seorang muslim yang benar aqidahnya, yang benar ibadatnya, yang benar akhlaknya, yang benar sikap dan yang benar segala tindak tanduk dan perkataannya, demikian juga kita menghendaki rumahtangga muslim itu supaya menjadi pusat perlaksanaan segenap ajaran Islam dalam hidup berkeluarga dengan perlaksanaan yang selamat sejahtera dan teliti.

Kita ingin melihat suami muslim yang memikul tanggungjawabnya terhadap rumahtangganya menurut ketentuan Islam. Kita mahu melihat bapa muslim yang memelihara anak-anaknya dengan adab-adab Islam, memberi kefahaman Islam yang sejati kepada mereka dan mengawasi mereka dari segala peringkat hidup mereka. Kita hendak melihat isteri yang muslimah yang menjadikan rumahtangga sebagai taman sari yang memuaskan dan menggembirakan suaminya.
Dalamnya terdapat hiburan dan keberkatan jauh dari kepayahan dan penat lelah perjuangan dan menolong suaminya mentaati Allah Ta’ala. Alangkah indah dan hebatnya kata-kata yang diucapkan oleh seorang isteri kepada suaminya tatkala dia keluar dari rumahnya waktu pagi:
” Bertaqwalah kepada Allah dalam urusan kami dan janganlah kekanda memberi kami makanan kecuali yang halal dan baik-baik sahaja”.

Kita ingin melihat dalam rumahtangga muslim ini, ibu muslim yang memelihara anak-anaknya dan membentuk mereka menurut bentuk Islam kerana dialah yang sentiasa berdamping dengan mereka. Inilah risalah, amanah dan tugas para wanita dan isteri yang paling penting yang selama ini cuba dihapuskan oleh musuh-musuh kemanusiaan. Mereka cuba menyelewengkan fakta-fakta ini dari para isteri dengan berbagai-bagai pembohongan dan penipuan dengan tujuan untuk merobohkan bangunan masyarakat.
Kita ingin melihat dalam rumahtangga muslim itu, putera puteri Islam yang sejati yang memperhambakan diri mereka kepada Tuhan. Mereka taat setia kepada Allah, berbuat baik dan berjasa kepada ibu bapa. Mereka bergaul dengan sahabat-sahabat mereka menurut adab-adab Islam dan tidak lahir dari mulut mereka sepatah perkataan dan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan Islam.

Kita mengingini rumahtangga muslim yang memelihara hubungan silaturahim, yang sentiasa mengambil berat urusan kerabat dan menyempurnakan hak-hak mereka. Kita hendak melihat rumahtangga dan keluarga muslim menjadi satu bentuk yang ulung di mana Islam telah terpahat kukuh  dalam diri mereka.

Kita ingin melihat dari rumahtangga muslim itu satu bentuk yang unik sebagaimana yang telah digariskan oleh Islam tentang berbuat baik  dalam bermuamalah dengan jiran. Mereka menyempurnakan hak jiran sebagaimana peranan Rasulullah S.A.W.
Kita menghendaki rumahtangga muslim yang melahirkan contoh teladan yang baik dalam segala jurusan hidupnya. Dengan fesyen pakaiannya yang Islami, makanan yang halal, minuman yang halal, akhlak yang mulia, sikapnya yang Islami, gaya yang Islami dalam segala adat dan tradisi ketika waktu suka dan duka mereka menjauhi segala unsur-unsur jahiliah, adat-adat dan tradisi jahiliah yang diimport dari luar.

Kita tidak mahu melihat dari golongan Sahib Ad-dakwah yang menyeru manusia kepada Allah, yang berjalan atas jalan dakwah melakukan sebarang kecuaian atau kelalaian dalam melahirkan serta membina anggota-anggota keluarganya dengan ajaran Islam dalam sebarang jurusan hidup keluarganya. Sesungguhnya orang yang lemah dalam memimpin rumahtangganya, tidak akan mampu memimpin orang lain apatah lagi rumahtangga orang lain.

I: Rumahtangga muslim sebagai markaz memancarnya cahaya :

Rumahtangga muslim yang sejati menurut tabiat dan logiknya mesti menjadi markaz dakwah Islam. Setiap anggota keluarga yang akil baligh wajib menjadi sahibud-dakwah, pendukung dakwah, menyeru rumahtangga dan keluarga sekitarnya kepada Allah dengan penuh kesabaran,  hikmah dan nasihat yang baik.

Isteri yang solehah berkemampuan menarik hati jiran-jiran dengan dakwah kepada Allah. Kehadiran mereka merubah majlis-majlis yang dikuasai oleh umpat mengumpat dan sia-sia menjadi majlis-majlis ilmu dan pelajaran dan ke arah memahami urusan agama.

Bidang dakwah Islamiah sangat memerlukan saudari muslimat yang menyeru manusia kepada Allah, supaya memainkan peranannya dalam kalangan puteri bangsanya. Sesungguhnya wanita hari ini, kecuali yang telah mendapat taufik Allah, telah dijadikan boneka oleh musuh-musuh Islam untuk meruntuhkan dirinya dan memusnahkan manusia. Tetapi kita hendaklah menjadikannya sebagai wanita yang solehah yang turut bersama kita untuk memperbaiki yang rosak dan membangunkan yang ma’aruf dan merobohkan yang mungkar dan menghapuskan yang batil menyokong kemuliaan dan memerangi kehinaan.
Kita menghendaki rumahtangga muslim itu sebagai rumah cahaya yang memberi hidayah dan petunjuk kepada orang-orang yang bingung dan sesat sekitarnya. la menghapuskan, memusnahkan segala kegelapan sekelilingnya dan menyinari jalannya untuk dilalui oleh mereka. Maka dengan bertambahnya rumah-rumah muslim seperti ini akan sambung menyambunglah daerah-daerah dan bercahaya dan bercantum antara satu sama lain sehingga mampu menyinari masyarakat.

Maka dengan demikian keperibadian Islam berkemampuan menyinari masyarakat dan memimpinnya bawah naungan Islam. Lantaran itu kemuliaan mudah dikembang-biakkan dan kejahatan mudah dihapuskan. Baharulah mudah dibentuk dasar dan asas keimanan, yang bersih yang mantap sebagai asas bangunan Islam dan pemerintahan Islam dan seterusnya Al-Khilafah al- Islamiah alamiah.
Untuk itu, saudara saudari putera puteri Islam harus dan patut bersungguh-sungguh dan bersegera membangunkan rumahtangga muslim yang mithali yang menjadi model Islam yang sejati untuk menjadi contoh teladan kepada generasi baharu. Ini adalah satu langkah yang penting dan asasi  jalan dakwah Islam. Mohonlah pertolongan dari Allah supaya Allah mudahkan dan jangan menyusahkan.

Thursday, February 28, 2019

MAJLIS PENUTUP SONATA '19 - PENDEDAHAN PERANCANGAN MUSUH ISLAM



MAJLIS PENUTUP SONATA '19 - PENDEDAHAN PERANCANGAN MUSUH ISLAM

OLEH : MUHAMMAD HARITH BIN OSMAN
SETIAUSAHA SNOW SPORTS AND SPIRITUAL ADVENTURES (SONATA‘19)

KAHERAH,19 FEBRUARI 2019 -Berlangsungnya Majlis Perasmian Penutup SONATA‘19 dan Ngeteh Jauhari yang bertempat di Asrama Pelajar Johor Raba‘ah bermula selepas solat asar secara berjemaah.

   Majlis bermula dengan  Ngeteh Jauhari yang  membawakan tajuk “Sykes-Picot and Deal Of Century” yang disampaikan oleh Dr Fathul Izzudin bin Kungi Kuaya selaku Naib Presiden 1 PERUBATAN.


  Majlis Perasmian Penutup SONATA‘19 telah dirasmikan oleh Ustaz Ahmad Helmi Subahan selaku Penasihat Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) serta berlangsungnya penyampaian hadiah bagi perlawanan sukan dan acara yang diadakan sepanjang SONATA '19.

  Majlis diserikan lagi dengan persembahan pentomen, kumpulan nasyid Al-Wadi, tayangan video. Majlis diakhiri dengan solat Isyak secara berjemaah, jamuan makan malam dan sesi penggambaran. Majlis tersebut berjalan dengan lancar dengan jayanya.


Wednesday, February 27, 2019

SUKAN & MALAM KESENIAN - BADAN SIHAT, BAKAT TERSERLAH

SUKAN & MALAM KESENIAN - BADAN SIHAT, BAKAT TERSERLAH


OLEH : MUHAMMAD HARITH BIN OSMAN
SETIAUSAHA SNOW SPORTS AND SPIRITUAL ADVENTURES (SONATA‘19)

KAHERAH,12 FEBRUARI 2019 - Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir telah menganjurkan sebuah program yang diberi nama Snow Sports and Spiritual Adventures atau nama pendeknya SONATA '19 dan dimulakan dengan acara kesenian pada 12 Februari dan Malam Dang Anum pada 13 Februari 2019 bagi peringkat akhawat.

Program ini telah diadakan di Asrama Pelajar Johor Rabaah dan antara acara kesenian yang dipertandingkan ialah pertandingan pantun, kalimatul kirasy, gubahan hantaran, busana muslimah dan master chef manakala pada Malam Dang Anum telah diserikan dengan persembahan kumpulan nasyid As-Sohwah, dikir barat dan zapin.


Pada 16  Februari 2019 pula telah diadakan perlawanan sukan Futsal bagi peringkat ikhwah atau pun disebut sebagai Piala YDP yang berlangsung di Court Zahra' Hayyu Asyir. Bermulanya perlawanan tersebut dengan majlis perasmian yang dirasmikan oleh Ustaz Norhalim bin Lokman selaku Yang di-Pertua BKPJM.

Pada 17 Februari 2019  bertempat di Court Nadi Salab Zahra’, Hayyu ‘Asyir telah berlangsungnya perlawanan sukan bola tampar. Perlawanan tersebut tamat dan diakhiri dengan sesi pengambaraan. Seluruh Eksekutif pelaksana dan ahli BKPJM berharap agar program seperti ini dapat diteruskan pada tahun yang akan datang.





Tuesday, February 26, 2019

JAULAH SINAI & DAHAB - MENGEMBARA SERTA MENGHAYATI IBRAH


JAULAH SINAI & DAHAB - MENGEMBARA  SERTA MENGHAYATI IBRAH

OLEH : NURULHUDA BINTI MOHAMAD NIZAM
SETIAUSAHA SNOW SPORTS AND SPIRITUAL ADVENTURES (SONATA‘19)

KAHERAH, 12 FEBRUARI 2019 - Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir telah berjaya menganjurkan satu jaulah ke Semenanjung Sinai dan Dahab pada 12 sehingga 14 Februari 2019 seramai 46 ikhwah bagi jaulah ikhwah manakala 16 sehingga 18 Februari 2019 seramai 39 akhawat bagi jaulah akhawat. Jaulah ini diberi nama Snow Sports and Spiritual Adventurebatau nama singkatannya SONATA ’19. Jaulah ini telah bermula seawal jam 3 pagi.


Destinasi pertama ialah Kubu Israel atau Kubu Barlief. Kemudian destinasi seterusnya ialah ‘Uyun Musa yang terdapat 12 telaga yang digali oleh 12 puak daripada kalangan Bani Israel dan peserta juga mendaki Wadi Arbaien tempat terpancarnya 12 mata air. Para peserta juga telah melawati Jabal Nabi Musa yang berada di (St. Catherine) dan maqam Nabi Soleh A.S.

Aktiviti jaulah diteruskan lagi dengan pendakian ke gunung Sinai pada jam 11 malam. Ianya juga dikenali dengan nama Tur Sina yang merupakan tempat Nabi Musa A.S. bermunajat kepada Allah SWT selama 40 hari dan menerima wahyu. Pendakian bagi peringkat akhawat diberi nikmat turunnya salji pada hari tersebut.

Pada jam 6.30 pagi, para peserta mulai turun dari puncak gunung dan tiba di bawah sekitar jam 9.30 pagi bagi meneruskan perjalanan melalui kawasan kesan lembu Samiri dan Maqam Nabi Harun A.S.

Destinasi jaulah di Dahab diisi pula dengan permainan All-Terrain Vehicle (ATV) serta aktiviti Snorkeling dan Cycling. Para peserta berpeluang juga untuk menaiki glassboat di Pantai Dahab untuk melihat hidupan di dasar laut.

Pada hari terakhir, peserta tiba di Kaherah pada jam 12 pagi. Para peserta berharap ukhwah ini terus terpelihara sehingga ke akhir hayat. Sedikit ucapan yang disampaikan oleh peserta jaulah iaitu Amirul Ashraf bin Sulaiman dengan dengan ucapan “SONATA ’19 terbaik”.




Tuesday, January 22, 2019

[ MAHASISWA BERTHAQAFAH PENERUS GENERASI NUBUWWAH ]



 Mahasiswa merupakan satu kelompok yang membawa harapan umat dan aset bagi masyarakat. Mahasiswa juga merupakan penggerak utama kepada jatuh bangunnya dalam sesebuah negara. Di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, mahasiswa didefinisikan sebagai penuntut di universiti. Namun secara realiti, peranan mahasiswa melampaui definisi tersebut. Mahasiswa merupakan obor dan nadi perjuangan junjungan baginda Rasulullah S.A.W dan para Sahabat. Namun, tanpa thaqafah dan pengetahuan yang mapan, makna tersirat bagi mahasiswa tidak membawa apa-apa erti bagi seorang penuntut di universiti. 

Firman Allah S.W.T :


يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا۟ فِى ٱلْمَجَٰلِسِ فَٱفْسَحُوا۟ يَفْسَحِ ٱللَّهُ لَكُمْ ۖ وَإِذَا قِيلَ ٱنشُزُوا۟ فَٱنشُزُوا۟ يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ دَرَجَٰتٍ ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ  

Maksudnya : “ Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan”


 Seorang mahasiswa yang luar biasa tidak akan terlahir dari rahim yang pemikirannya hanya tercorak di bilik kuliah sahaja. Mahasiswa yang luar biasa merupakan seorang manusia yang pemikirannya jauh kehadapan melangkaui zaman. Corak pemikiran ini hanya mampu diacu dengan thaqafah yang jitu dan kualiti pembacaan yang bermutu. Mahasiswa seperti ini haruslah mempunyai semangat yang tinggi untuk menjulang keizzahan ilmu demi meneruskan perjuangan junjungan baginda Nabi Muhammad S.A.W. Untuk mencapai ke peringkat tersebut bukan satu perkara yang mudah, kerana banyak perkara yang perlu dikorbankan sama ada masa, tenaga dan harta. Namun, bagi seorang mahasiswa yang luar biasa, perkara tersebut tiada ertinya berbanding menjadi pewaris kepada gerak kerja Rasulullah S.A.W. Pepatah menyebut “nak seribu daya, taknak seribu dalih”.

 Dalam mengejar maksud sebenar mahasiswa, beberapa pra-syarat perlu dipatuhi sebelum bermulanya ekspedisi seorang mahasiswa yang berthaqafah. Antaranya, niat yang ikhlas dan kefahaman yang baik. Dua aspek ini merupakan elemen yang penting dalam pembentukan seorang mahasiswa yang berthaqafah. Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya I’lam Al-Muwaqi’in menyebutkan ada 2 nikmat yang terbesar selepas nikmat Iman dan Islam. Yang pertama Husnu al-Qasd (niat yang baik) dan yang kedua Husnu al-Fahm (kefahaman yang baik). Jika dua aspek ini gagal dipatuhi dengan elok, maka akan lahirlah mereka yang gemar bermain dengan ilmu tetapi ilmunya tidak pernah menatijahkan perkara yang baik bagi dirinya mahupun orang lain. 

 Setelah kedua aspek tersebut berjaya mendarah daging dalam diri mahasiswa, langkah diteruskan lagi dengan pembinaan thaqafah yang luas dalam diri. Antara nikmat terbesar yang wujud khususnya bagi mahasiswa di Mesir ialah bumi ini kaya dengan majlis ilmu. Terdapat ratusan majlis ilmu yang terhidang di hadapan mata dan hanya perlu dipilih sahaja. Majlis ilmu yang disajikan oleh para ulama’ di bumi Mesir ini sentiasa berkembang bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan. Seorang mahasiswa yang berthaqafah mestilah memperuntukkan sebahagian dari waktu hariannya untuk menghadiri majlis ilmu bagi menambah pengetahuannya dalam bidang yang diceburi. Satu lagi kenikmatan yang mampu dikecapi oleh mahasiswa di Mesir ini ialah majlis ilmu juga disediakan oleh peringkat pimpinan di setiap rumah negeri. Satu inovasi yang terlahir dari buah fikiran pimpinan yang terdahulu dengan menubuhkan Madrasah Al-Imam Abdullah Ibn Mubarak ( MAAIM ) yang menjemput para ulama’ yang berkredibilti tinggi untuk mencurahkan ilmu kepada mahasiswa di Perlembahan Nil ini. Maka, tiada lagi alasan bagi seorang mahasiswa untuk tidak menghadiri majlis ilmu. 

 Selain itu, mahasiswa yang berthaqafah sewajibnya menjadikan buku dan kitab sebagai rakan karib mereka. Pepatah Arab menyebut, “Sebaik-baik teman duduk setiap masa adalah buku”. Mahasiswa yang berthaqafah perlu bergelumang dengan bahan bacaan dengan kerap agar thaqafah yang baru sentiasa bertambah. Bahan bacaan pertama yang wajib dibaca dan dikupas isinya oleh setiap mahasiswa tidak lain dan tidak bukan ialah Al-Quran. Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi di dalam kitabnya Thaqafah Ad-Dai’yah menyebut, “ Antara kewajipan bagi seorang hafiz dan bukan hafiz ialah sentiasa berterusan membaca Kitabullah dengan penuh khusyu’ dan tadabbur. Membaca sambil membuka pintu hati, menerangkan dada untuk menerima kebenaran, menyediakan akal untuk cahaya pengetahuan dan cahaya kebenaran”. Setelah Al-Quran sudah menjadi sebahagian dari teman hidup, maka seorang mahasiswa perlu menambah lagi dengan bahan bacaan yang lain. Antara bahan bacaan yang baik bagi seorang mahasiswa ialah bahan bacaan yang berbentuk fikrah kerana secara tidak langsung mampu membentuk pemikiran yang baik. Selain itu, bahan bacaan berbentuk spiritual juga amat baik kerana genre sebegini mampu menjadi penyegar di kala hati sedang kelelahan.



  Seterusnya, setelah menghadiri majlis ilmu dan menambah pengetahuan dengan bahan bacaan, mahasiswa berthaqafah wajib mengamalkan segala yang terisi di dada dengan praktikal. Pelbagai medium yang tersedia untuk mencurahkan segala yang diketahui antaranya menjadi pembimbing dalam kelas tutor, menerima jemputan sebagai pengisi, menjadi kolumnis dalam majalah kampus, menjadi panel mahupun moderator dalam forum mahasiswa dan lain-lain. Proses sebegini mampu membentuk malakah pengetahuan seorang mahasiswa. Jika pengetahuan tersebut dibiar begitu sahaja, dikhuatiri akan hilang beransur-ansur sebelum sempat dimanfaatkan. Medan sebegini perlu dimanfaatkan sebaiknya sebelum turun ke medan yang lebih mencabar. Perlu diketahui berpencak di medan mahasiswa sangat berbeza dengan medan awam. Jika tidak diasah secara baik, nescaya ketumpulan dari dakwah yang dibawa akan terhasil dan akan merugikan.

  Akhirul kalam, moga dengan sedikit perkongsian ini mampu meniupkan sedikit semangat untuk bersama-sama menjadi seorang mahasiswa yang mampu menjadi ejen perubah masyarakat. Perlu diketahui bahawa ilmu dan amal perlu bergerak seiring laksana dua perahu yang bergerak di atas sungai yang sama. Imam Ghazali menyebut, “Ilmu tanpa amal itu gila, dan amal tanpa ilmu tidak membawa apa-apa”. Bergeraklah di atas bumi Allah dengan reda-Nya. Teruskan menjadi hamba.

Wallahualam.

Amirul Ashraf bin Sulaiman,
Kuliah Usuluddin,
Ketua Unit Pengetahuan dan Bimbingan BKPJM 18/19.

Sunday, December 23, 2018

MENJADI HAMBA KEPADA ALLAH BUKAN KEPADA PEPERIKSAAN


   Peperiksaan merupakan sebuah penilaian yang dilaksanakan untuk mengetahui tahap penguasaan atau pemahaman pelajar di sesebuah institusi pengajian, baik di peringkat persekolahan mahupun di universiti, dengan tertakluk kepada gred yang ditetapkan oleh jabatan pendidikan sesebuah negara terhadap setiap tingkatan penguasaan.  Justeru itu, semestinya semua pelajar menginginkan keputusan yang terbaik dalam setiap peperiksaan yang diduduki mereka.

 Namun, ada segelintir pelajar yang berpendapat bahawa peperiksaan adalah segala-galanya dalam menentukan hala tuju dan baik-buruk kehidupan mereka di masa hadapan, sehinggakan acapkali terlupa tujuan utama kehidupan iaitu untuk menggapai keredhaan-Nya.  Lantas, kita perlu sentiasa beringat dan kembali kepada fitrah seorang hamba iaitu menjadi hamba kepada Allah bukannya kepada peperiksaan yang hanya merupakan penetapan manusia semata-mata.

  Ramai manusia mencari kedudukan di sisi manusia, dengan menginginkan keputusan yang cemerlang.  Akan tetapi, berapa ramai yang beringat untuk menjadi hamba yang cemerlang di dunia dan di akhirat sana. Malah, ilmu yang bermanfaat bukan hanya bertujuan untuk cita-cita, akan tetapi untuk mengecapi sebuah makna. Dengan ilmu yang bermakna dan sikap yang ikhlas, kita dapat mendidik diri kita untuk melakukan amal islami dan menyumbang kepada agama Allah. Apabila belajar sesuatu ilmu hanya untuk mengejar cita-cita, pastinya ia merugikan masa kerana tujuan hidup bukan untuk bekerja dan mendapat pangkat tinggi semata-mata.  Akan tetapi, untuk menegakkan amar makruf nahi munkar  (Menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran) di samping menjadi hamba Allah yang bertaqwa.  Bertepatan dengan firman Allah SWT:

 وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإِنسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونِ
Surah Adz-Zariyat, ayat 56

Maknanya: "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia kecuali untuk mereka menyembah-Ku "

  Ramai manusia mampu menghafal ilmu, tetapi tidak ramai yang mampu mengamalkan ilmu-ilmunya.  Hal ini kerana, hakikat ilmu itu bukan apa yang dihafal tetapi apa yang diamalkan. Secebis kata yang daripada Imam As-Syafie:

"Apabila kamu tidak tahan penatnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kejahilan"

"العلم نور، ونور الله لا يهدى لعاصي"

" Ilmu itu cahaya dan cahaya Allah tidak akan memasuki hati orang yang bermaksiat."


Oleh: Ustazah Nurhazirah binti Abdul Manan
Unit Sambutan dan Rehlah HEWI BKPJM 18/19

.::Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan::.
.::Kesyumulan Islam Tunjang Kesatuan Ummah::.
.:Memacu Profesionalisme Mahasiswi::.
.::Kebajikan dan Perpaduan::.

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...