Thursday, May 11, 2017

HUKUM BACAAN YASIN 3 KALI PADA MALAM NISFU SYA’BAN



Bila tibanya pada bulan sya’ban terdapat padanya satu malam yang mulia, ia disebut sebagai malam Nisfu Sya’ban. Sebagaimana kita ketahui bila tibanya malam Nisfu Sya’ban terdapat amalan-amalan yang menjadi kebiasaan dikalangan umat Islam. Antaranya, amalan pembacaan surah Yasin 3 kali pada malam Nisfu Sya’ban yang akan disebutkan berkaitan beberapa Ijtihad Para Ulama’ berkaitan amalan tersebut.

 Antara dasar pengambilan hukum yang mafhumnya:”Diantara keistimewaan surah yasin, sebagaimana menurut para ulama’, adalah dibaca pada malam Nisfu Sya’ban sebanyak 3 kali. Yang pertama dengan niat meminta dipanjangkan umur, kedua niat terhindar dari bala bencana, dan ketiga niat agar tidak bergantung kepada orang lain”.
(Fathu al-malik al-majid, 19)

Adapun amalan yang sering dilakukan para ulama’ pada malam Nisfu Sya’ban  adalah membaca surah yasin sebanyak 3 kali yang dilakukan setelah selesai solat sunat ba’diah maghrib dengan niat-niat berikut:

1)NIAT YANG PERTAMA
-Niat supaya dipanjangkan Umur di dalam ketaatan ibadah serta dikuatkan Iman dengan berkat surah yasin

2)NIAT YANG KEDUA
-Niat supaya dipelihara diri dari segala kebinasaan dan penyakit, serta dikabulkan segala hajat dengan berkat surah yasin.

3)NIAT YANG KETIGA
-Niat supaya diberikan Husnul Khotimah dengan berkat surah yasin

Surah Yasin boleh dibaca sesuai dengan tujuannya dan tidak ada para ulamak yang mengharamkan dari segi pengamalannya sebagai mengambil manfaat dari pembacaan Al-quran sebagai sumber rujukan Umat Islam keseluruhannya. Semoga perkongsian yang sedikit ini dapat membuka mata kita dalam menilai sesuatu amalan yang menjadi adat di dalam masyarakat islam. Marilah sama-sama kita meningkatkan amal dalam kehidupan seharian kita sebagai syafaat yang menjadi penimbang berat di akhirat kelak. Wallahu A’lam

‘Memurnikan Pemikiran , Melestarikan kesatuan’

Disediakan Oleh:
Muhammad Syakir Bin Sahimi

Unit Dakwah Dan Tarbiah BKPJM sesi 2016 2017

Monday, April 24, 2017

ISRA’ MIKRAJ DAN MARHALAH PEMBENTUKAN IMAN


OLEH : MUHAMMAD SYAFFARIN BIN ZAINAL
KETUA PAKAR,UNIT PENGETAHUAN DAN BIMBINGAN BKPJM 2016/2017

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya(Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al Haram(Makkah) ke MasjidAl- Aqsa(Palestin), yang telah Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda(Kekuasaan dan Kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
(SURAH AL-ISRA’ : 1)

                Menjadi kelaziman kepada umat islam seluruh dunia, apabila tiba bulan Rejab mereka menyambut peristiwa Isra' dan Mikraj. Ia diadakan bagi memperingati kembali sirah Nabi S.A.W yang kian hilang dalam ingatan dan buku planner tahunan umat islam. Walaupun para Sahabat berkhilaf pandangan berkenaan tarikh secara tepat berlakunya peristiwa tersebut. Tetapi berlakunya peristiwa ini tidak dapat dinafikan lagi, kerana disana terdapat nas-nas yang thabit daripada al-quran dan hadis-hadis sahih  mutawatir yang diriwayatkan oleh ramai Sahabat.
                Faktor berlakunya perbezaan pandangan dalam kalangan para Sahabat berkenaan ketepatan tarikh Isra' dan Mikraj adalah kerana, ketika peristiwa tersebut berlaku kehidupan umat islam dalam keadaan yang penuh cabaran, tekanan dan penindasan yang dilakukan oleh kaum musyrikin Mekah. Dan ini menyebabkan para Sahabat tidak berkesempatan untuk mencatat tarikh peristiwa tersebut berlaku secara tepat.
                Peristiwa ini bukan sahaja menjadi cabaran besar buat Rasulullah, bahkan ia juga menjadi cabaran besar buat umat islam. Kerana terdapat dalam kalangan umat islam sendiri, tidak percaya dengan ketulenan peristiwa tersebut. Ini dikuatkan lagi dengan Firman Allah :
وَمَا جَعَلْنَا الرُّؤْيَا الَّتِي أَرَيْنَاكَ إِلا فِتْنَةً لِلنَّاسِ
Dan tiadalah Kami jadikan pandangan(pada malam Mikraj) yeng telah Kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia
                Ada yang murtad dalam kalangan manusia apabila dinyatakan kepada mereka tentang peristiwa Isra  dan Mikraj ini. Ini menjadi cabaran besar buat Rasulullah untuk meyakinkan kaum arab berkenaan ketulenan Isra dan Mikraj, dan ia juga merupakan penghormatan yang terlalu tinggi jika dibandingkan dengan Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul terdahulu. Ia mempaparkan kepada kita tingginya kemuliaan Rasulullah sehingga Baginda dijemput berjumpa terus kepada Allah.
                Allah menjadikan peristiwa ini banyak pengajaran kepada umat islam dan seluruh manusia. Peristiwa ini berlaku adalah kerana Allah ingin mengundang Baginda untuk menjadi tetamu-Nya. Menjemput Baginda untuk melihat kerajaan yang besar yang tiada tanding dan bandingnya dengan kerajaan yang ada di bumi.Adapun kerajaan manusia apabila melayan dan menyambut tetamu, mereka akan melayan tetamu tersebut di dalam bilik khas, dan diperlihatkan segala apa yang mereka lakukan, samada perancangan, projek atau  program bagi memperlihatkan kepada tetamu tersebut bahawa kerajaan yang berada dibawah pimpinan mereka utuh dan kukuh kekuasaanya. 
                Adapun pada malam Isra' dan Mikraj, Baginda telah dibawa ke alam yang luas, yang luar daripada ukuran akal dan kemampuan ilmu manusia. Baginda dibawa ke alam langit dan bumi, alam dunia dan alam barzakh, alam nyata dan alam akhirat. Ditayangkan kepada Baginda tentang perihal manusia bermula dari zaman nabi Adam sehingga manusia yang terakhir. Dari sebaik-baik makhluk sehingga sejahat-jahat makhluk. Perjalanan yang jauh ini, tidak mampu diukur dengan ilmu manusia sehingga ke hari ini.Allah telah memperjalankan Baginda SAW bermula dari Mekah ke Baitul Maqdis pada zaman tiada alatan canggih dan teknologi moden. Kemudian Baginda naik ke langit seraya ke Sidratul Muntaha mengatasi lapisan langit yang ketujuh. Sedangkan sehingga ke hari ini, para ahli sains angkasa lepas masih belum mampu untuk mengesan kesemua cakerawala dan bintang-bintang yang berada di lapisan langit yang pertama. SubhanAllah!
Firman Allah :
وَلَقَدْ زَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا بِمَصَابِيحَ وَجَعَلْنَاهَا رُجُومًا لِلشَّيَاطِينِ وَأَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابَ السَّعِيرِ
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap syaitan-syaitan, dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.
                Ahli Astronomi menyatakan masih terdapat bintang-bintang yang tidak mampu mereka kesan kerana jaraknya memakan masa trilion tahun perjalanan cahaya.Tempoh jarak perjalanan cahaya sesaat ini adalah bersamaan 300,000 kilometer atau 186,000 batu. Akan tetapi peristiwa Isra' dan Mikraj, ianya disempurnakan dengan mengambil masa 1 malam sahaja yang mempunyai jarak jauh yang tidak terkira. Sedangkan ketika itu roket dan pesawat angkasa lepas masih belum dicipta.
                Peristiwa ini ingin menyatakan kepada kita, bahawa adanya alam yang jauh lebih besar berbanding bumi ini. Ia juga menerangkan kepada kita bahawa bumi yang kita diami ini, jauh lebih kecil seperti butiran debu di tengah padang pasir.
                Rasulullah dijemput menjadi tetamu, ketika Baginda dalam fasa-fasa tekanan setelah dilantik menjadi rasul. Baginda bukan sahaja menjadi rasul khusus untuk kaum arab, tetapi baginda dilantik untuk menjadi rasul untuk semua manusia. Yang mana ini sangat berbeza dengan rasul-rasul terdahulu. Mereka diutuskan hanya untuk umat tertentu,negeri tertentu dan zaman yang tertentu seperti Nabi Hud diutuskan hanya untuk kaum Ad, Nabi Soleh kaumnya Tsamud, Nabi Yahya kaumnya Bani Israel dan lain-lain.Firman Allah :
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ
Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau(wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.
                Rasullah diutuskan untuk seluruh alam, Baginda telah dilantik dibumi yang kering kontang, yang tiada hasil bumi, tiada sumber asas ekonomi,tiada infrastruktur pembangunan dan tiada kekuatan pembela dan pengundi. Jika didalam istilah politik ia dikira sebagai "Hilang wang deposit" kerana gagal memperoleh undi atau sokongan 12.5% daripada jumlah keseluruhan penduduk mekah. Bagaimana Baginda dilantik ditempat yang sedemikian rupa?.Ditengah-tengah bangsa yang buta huruf, yang tiada asas tamadun. Bagaimana Baginda ingin memimpin seluruh dunia? Sedangkan ketika itu, Rom dan Parsi telah ada tamadun yang tersendiri. Ahli kitab dan ahli falsafah Greek dan Yunani yang jauh terkehadapan dari sudut ilmu. Bagaimana Baginda ingin memimpin mereka padahal di awal proses marhalah dakwah, Baginda telah mendapat tentangan hebat oleh masyarakat arab sendiri?.
Arab jahiliyah yang terkenal dengan sifat ganas dan keras. Baginda diutuskan didalam kelompok mereka. Bagaimana Baginda ingin sampaikan risalah dan mesej islam ke seluruh dunia, kalau ini merupakan permulaan episod dakwah Baginda ?.Namun demikian, Rasulullah menunjukkan sikap seorang rasul yang berjiwa besar. Kehebatan akhlak peribadi ditunjukkan di awal peringkat perjuangan Baginda. Seperti yang dinyatakan dalam sepotong hadis Baginda bersabda :
إِنَّمَا بُعِثْتُ لاُتَمِّمَ مَكَارِمَ الاَخْلَاقِ
“Sesungguhnya aku diutus, adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.
                Dan secara kesimpulannya, ingin dijelaskan kepada kita bahawa Isra dan Mikraj bukan sahaja menjadi satu peristiwa besar yang hanya perlu diingati di bulan Rejab sahaja. Tetapi apakah mesej utama yang kita peroleh daripada peristiwa tersebut ?. Rasulullah memulakan proses dakwah baginda dengan tekanan dan penindasan. Seterusnya Allah menjemput Baginda menjadi tetamu-Nya, bagi membentuk semula semangat dakwah dalam diri Rasulullah setelah diasak dengan masyaqah  di segenap penjuru. Dan ia juga ingin menerangkan kepada kita bahawa terdapat kerajaan yang jauh lebih hebat daripada kerajaan manusia. Peristiwa ini juga sebenarnya menguji iman kita, dan menimbulkan persoalan dalam hati munafiq tentang ketulenan Isra' dan Mkiraj.Wallahu A’lam.
“ KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN “

“ MEMBENTUK GENERASI MITHALI “

Thursday, April 20, 2017

101 MAHASISWA/WI BARU TAJAAN MAINJ SELAMAT TIBA DI MESIR



OLEH : MUHAMMAD ZAHID MOHAMAD NOR
SETIAUSAHA URUS SETIA MAHASISWA BARU (USMB) 2017

KAHERAH, 20 April 2017 - Urus Setia Sambutan Mahasiswa/wi Baru (USMB) Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir pada tahun ini telah menyambut ketibaan mahasiswa baru pada 15 dan 16 April yang lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah. Jumlah besar mahasiswa/wi yang tiba pada tahun ini ialah seramai 101 orang berbeza dengan bilangan tahun-tahun sebelum ini. Mereka telah diterbangkan dengan dua sesi penerbangan berasingan iaitu pada 15 April seramai 30 orang manakala pada 16 April seramai 71 orang. Semua mahasiswa/wi yang bakal menyambung pengajian dalam Fakulti Pengajian Islam di Universiti Al-Azhar ini adalah dibawah seliaan pengurusan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Kedatangan mahasiswa/wi ini telah diiringi sendiri oleh pegawai-pegawai MAINJ yang diketuai oleh YB Dato' Haji Hashim bin Yahya selaku Ahli Majlis Agama Islam Negeri Johor. Ketibaan mereka serta rombongan delegasi MAINJ telah disambut mesra oleh Ustaz Adam bin Ibrahim selaku Pegawai Atase Pendidikan Negeri Johor di Mesir. YDP dan Ketua Hewi BKPJM serta beberapa pimpinan dan ahli jawatankuasa pelaksana USMB BKPJM turut sama menyambut ketibaan mereka sekitar jam 5.00 petang waktu tempatan. Seterusnya mereka telah dibawa ke Asrama Pelajar Johor Rabaah dan disana para aktivis BKPJM dan anak-anak Johor di Mesir telah turut bersama turun padang membantu mengangkat bagasi dan beg para mahasiswa/wi baru ke bilik penempatan masing- masing.

Para mahasiswa/wi ini juga dimaklumkan akan menduduki Imtihan Qobul pada akhir April ini bagi menentukan peringkat mustawa markaz bahasa sebelum memasuki pengajian tahun 1 fakulti pengajian Islam, Universiti Al-Azhar. Semoga mereka beroleh kejayaan yang cemerlang dan akan bersungguh- sungguh dalam menuntut ilmu di bumi Mesir yang barakah ini. - al-Jauhar.

“ KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN “

“ MEMBENTUK GENERASI MITHALI “

Tuesday, April 18, 2017

SISWI GATHERING 2.0 : MERIBAT UKHUWAH KEKELUARGAAN



OLEH : NORDIYANA BINTI MOHD AKHIR
SETIAUSAHA JABATAN FASILITATOR,UNIT DAKWAH DAN TARBIAH BKPJM 16/17

KAHERAH, 9 April 2017 - Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir di bawah Jabatan Fasilitator, Unit Dakwah dan Tarbiah HEWI BKPJM dengan kerjasama Lajnah Kebudayaan, Keseniaan dan Sukan HEWI BKPJM 2016/2017 telah mengadakan program usrah gabungan bagi semua peringkat mahasiswi Johor di bumi Mesir yang bertempat di Asrama Pelajar Johor Rabaah (APJ4).

Antara aktiviti menarik yang telah diadakan ialah : J-Robik, Siapa Dia, Bowling Air, Grow Your Mind dan tazkirah maghrib bertajuk 'Pemuda Ashabul Kahfi' yang telah disampaikan oleh wakil naqibat iaitu Ustazah Siti Fatimah Binti Saidan serta persembahan nasyid oleh Soutul Jauharah.

Objektif program ini diadakan adalah untuk menjayakan usrah gabungan setiap peringkat dan membina tautan ukhwah sesama anak Johor serta menambahkan thaqafah sesama ahli. Semoga program ini dapat memberikan kefahaman Islamiah sekaligus mengukuhkan ikatan ukhuwah Islamiah dalam kalangan mahasiswi Johor.

“ KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN “

“ MEMBENTUK GENERASI MITHALI “

Saturday, April 15, 2017

SUMBANGAN TABUNG ANAK MELAKA : SIMBOL KEBERSAMAAN BKAN


SABTU, 15 April 2017 - Penyerahan hasil kutipan sumbangan Tabung Anak Melaka di dalam program Kongres Badan Kebajikan Anak Negeri pada baru-baru ini telah diserahkan kepada pihak Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM).
Sumbangan tersebut telah diserahkan oleh wakil Yang DiPertua Badan Kebajikan Anak Negeri, Ustaz Muhammad Syazwan Faiz bin Shahrom, Yang DiPertua Majlis Kebajikan Keluarga Kedah (MKKK) kepada Ustaz Muhammad Anuar bin Abdullah, Yang DiPertua Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM). Penyerahan telah diadakan pada 8 April 2017 yang lalu bertempat di Rumah Melaka Sementara, Hayyu Sabie dengan hasil kutipan sebanyak LE 14,700.
Sehubungan dengan itu, seluruh Badan Kebajikan Anak Negeri mendoakan agar segala urusan dipermudahkan. Moga-moga dengan sumbangan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM).

" MUAFAKAT ASAS KEJAYAAN "
" KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN "
" MEMBENTUK GENERASI MITHALI "

MESIR:BERLIAN DI SEBALIK DEBUAN


OLEH : AHMAD HELMI BIN SUBHAN
TIMBALAN YANG DIPERTUA(LAJNAH PERHUBUNGAN LUAR)BKPJM 2016/2017

Kota seribu menara, satu gambaran yang hanya dimiliki oleh Bumi Mesir.Sebuah negara yang didiami masyarakat arab. Ardul kinanah ini dikenali sebagai tempat tumpuan dunia daripada pelbagai sektor. Di samping tumpuan perlancongan, bumi ini juga telah menjadi tumpuan bagi seluruh dunia dari sektor keilmuan iaitu al-Azhar, sebuah institusi gergasi ilmu islam.
                     
Al-Azhar yang telah dimulai dengan sebuah masjid yang diimarahkan dengan majlis-majlis ilmu sekitar tahun 970 - 972 masihi dan kini telah berkembang kepada sebuah universiti. Pusat tumpuan ilmu ini telah melahirkan ramai tokoh ilmuwan yang telah bertebaran seluruh dunia bagi mencurahkan khidmat ilmunya demi masyarakat yang memerlukan.

Medan ilmu di bumi Mesir tidak hanya tertumpu di masjid dan universiti sahaja, malah ia turut berkembang ke seluruh negara. Mesir ini juga dikenali oleh masyarakat melayu dengan ringkasan “ 3J ”:Jami’ (Masjid), Jami’ah (Universiti) dan Jam’iyah (Persatuan).3J ini merupakan perkembangan yang berlaku hasil dari sektor keilmuan al-Azhar.

Pertama, Jami’ yang dikenali sebagai pusat-pusat talaqi dan pengajian di luar kuliah. Pengajian-pengajian talaqi ini seringkali dibudayakan oleh masyarakat-masyarakat Malaysia di Mesir. Pengajian yang wujud daripada ulama’ Mesir yang giat mengajar di masjid-masjid, rumah, perpustakaan dan sebagainya. Ilmu yang diberikan merupakan ilmu-ilmu yang menjadi rujukan disekeliling kita, dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara.

Kedua, Jami’ah pula merupakan institusi pengajian yang wajib bagi setiap penuntut di Mesir. Tidak hanya pengajian islam malah pengajian sains kesihatan juga turut ditawarkan di pusat ilmu dunia ini. Pengajian di Jami’ah ini lebih menumpukan tentang perkara-perkara yang berkait rapat dengan ilmu-ilmu asas bagi seorang mahasiswa. Bermulalah daripada pengajian turathi sehingga pengajian kontemporari dapat diperoleh daripada tokoh-tokoh ilmuwan al-Azhar.

Ketiga, Jam’iyah juga tidak boleh ditinggalkan oleh masyarakat Malaysia di Mesir. Hal ini kerana Jam’iyah merupakan satu medan bagi seorang penuntut ilmu untuk mempraktikkan segala ilmu yang diperoleh dari Jami’ dan Jami’ah. Jam’iyah ini menyediakan ruang bagi seluruh mahasiswa yang berkebolehan untuk berkongsi apa-apa jua perkara dari bidang keagamaan dan juga profesional. Ilmu-ilmu kemahiran yang kita tidak peroleh dari Jami’ dan Jami’ah akan dapat kita peroleh dari Jam’iyah.

Untuk akhirnya, “ 3J ” ini tidak boleh digerakkan dengan hanya salah satu sahaja akan tetapi ia perlu digerakkan seiring. Ini kerana asas bagi sebuah ilmu itu adalah untuk diamalkan. Sufyan bin ‘Uyainah mengatakan : “Orang berilmu yang rosak (kerana tidak beramal dengan ilmunya) akan menyerupai orang Yahudi.” (Majmu’ al-Fatawa, 16/567).

Mesir, sebuah bumi yang penuh dengan debuan pasir akan tetapi di sebalik debuan pasir tersebut terselitnya berlian-berlian yang sangat bernilai untuk kita ambil dan itulah Jami’, Jami’ah dan Jam’iyah. Demikianlah “ 3J ” ini merupakan perkara yang perlu dititikberatkan oleh seluruh mahasiswa. Wallahu‘alam.

" KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN "
" MEMBENTUK GENERASI MITHALI "

Sunday, April 9, 2017

ROMBONGAN PERTUBUHAN AL-KHAIRIAH MERSING MEMERIAHKAN IQ ‘17


Oleh : Wartawan BKPJM

RABAAH, 21 MAC 2017 – Pihak BKPJM begitu bertuah apabila program IQ ’17 yang dianjurkan pada tahun ini turut menerima kehadiran rombongan Pertubuhan al-Khairiah, Mersing. Rombongan seramai 6 orang ini yang hadir ke Mesir dengan tujuan mencari penempatan bagi pelajar lepasan Maahad Tahfiz Al-Khairiah Mersing (MTAM) ini berpeluang untuk melihat sendiri secara dekat akan aktiviti-aktiviti pelajar di Mesir.

Dalam majlis penutup IQ ’17 ini juga, wakil daripada pihak MTAM iaitu Ustaz Ariff Bin Abdul Kadir telah diberi peluang untuk memberi nasihat kepada mahasiswa/wi Johor di Mesir. Pihak MTAM sendiri dilihat begitu teruja dan sangat menyokong akan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh BKPJM di Mesir. – al-Jauhar.

" KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN "
" MEMBENTUK GENERASI MITHALI "

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...