Saturday, May 22, 2021

[ PALESTIN | ISU MALAR SEGAR UMAT ISLAM ]

 


[ PALESTIN : ISU MALAR SEGAR UMAT ISLAM ]

 

Palestin merupakan negara yang sangat bermakna di hati umat Islam. Hal yang demikian kerana di sana ada Masjid al-Aqsa yang merupakan masjid ketiga paling diberkati selepas Masjid al-Haram di Mekah dan Masjid an-Nabawi di Madinah.

 

Selain itu, Masjid al-Aqsa juga disebut dalam al-Qur’an.

 

Firman Allah SWT :

 

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ ءَايَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

 

Maksudnya : Maha suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang diberkati sekelilingnya untuk Kami perlihatkan tanda-tanda kekuasaan Kami, bahwasanya Dia itu Maha Mendengar dan Maha Melihat“.

 

Palestin atau al-Quds telah menjadi rebutan 3 agama yakni Islam, Kristian dan Yahudi berkurun lamanya. Perkara demikian yang berlaku kerana Palestin mempunyai kedudukan yang istimewa dalam agama masing-masing.

 

Secara rasminya, Palestin hilang dari tangan umat Islam ketika termeterainya perjanjian Sykes-Picot 1916 yang penuh dengan tipu muslihat. Sebuah perjanjian yang akhirnya membawa kepada pembahagian tanah umat Islam di tangan pihak kuffar.

 

Selepas jatuhnya Palestin ke tangan musuh, sentiasa ada gerakan yang dilancarkan oleh umat Islam untuk merampas kembali tanah Palestin. Antaranya, Perang Enam Hari pada tahun 1967, Perang Yom Kippur 1973 dan gerakan Intifadah yang berlaku sebanyak 3 kali.

 

Siri-siri mempertahankan maruah umat Islam tidak terhenti setakat itu sahaja. Bahkan, masih diteruskan sehingga hari ini.

 

Namun jika diperhatikan, mengapa Palestin masih lagi menjadi isu yang tidak pernah selesai hingga ke hari ini? Pasti ada sebab yang menjadi tunjang kepada kegagalan dalam merealisasikan cita-cita yang tertinggi ini.

 

Ada beberapa sebab yang dianggap munasabah mengapa Palestin masih gagal dimiliki hingga hari ini.

 

1. Kesatuan umat Islam

 

Kesatuan merupakan perkara yang masih rapuh dalam kalangan umat Islam. Lihat sahajalah ketika isu ini dibentangkan. Masih ada golongan yang saling menyalahkan antara satu sama lain kerana berbeza ideologi dan pegangan. Belum lagi dikira dari latar belakang yang berbeza. Sehingga, isu menghantar bantuan ke Palestin masih lagi ramai yang mendabik dada merekalah yang paling banyak menggembleng tenaga.

 

2. Kesedaran yang hilang

 

Agama merupakan tunjang dalam kehidupan manusia. Tanpa agama, manusia ibarat pesawat tanpa radar. Kesedaran umat Islam untuk beragama semakin lama semakin pudar. Ini ditambah dengan budaya Hedonisme yang membarah dalam diri umat Islam. Semakin lama, pemuda yang jiwanya segar untuk Islam semakin pupus. Perkara ini jika tidak dicegah, maka al-Quds akan semakin kabur dari pandangan mata.

 

3. Mentaliti yang lemah

 

Setelah kejatuhan Khilafah, negara yang majoritinya umat Islam telah didoktrin oleh barat sebagai satu bangsa yang lemah. Umat Islam didoktrin agar tidak pandai berdikari. Segalanya perlu dicatur oleh barat dan yang menjadi bidaknya ialah umat Islam. Maulana Abu Hasan Ali an-Nadwi di dalam kitabnya, “Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam” mengatakan :

 

“Begitu lemahnya umat Islam, sehingga pen yang digunakan untuk menandatangani perjanjian pembahagian tanah umat Islam pun dicipta oleh Barat”.

 

Setelah kita melihat dan meninjau isu ini secara rencam, apakah solusi yang boleh digunakan untuk memastikan cita-cita menakluk al-Quds dari tangan kuffar kekal relevan?

 

1. Konsisten mendukung aspirasi Palestin

 

Palestin akan terus kekal menjadi “kekasih” di hati umat Islam. Sewajarnya isu berkaitan Palestin terus dinaikkan agar negara ini tidak luput dari kacamata umat Islam. Kesedaran berkempen perlu diteruskan agar semangat mencintai warisan para Anbiya’ ini terus relevan.

 

2. Menyumbang kepada Palestin

 

Palestin bukanlah negara yang kaya raya seperti negara Arab yang lain. Justeru, sumbangan dari umat Islam khususnya Malaysia perlu terus kekal dijalankan. Pastikan sumbangan yang dihulurkan dikirim kepada NGO-NGO yang bertauliah dan diakui keabsahannya.

 

3. Menjauhi anasir perpecahan

 

Perpecahan merupakan satu perkara yang tidak dapat dielakkan. Bahkan, ketika Rasulullah SAW memanjatkan tiga doa kepada Allah SWT, satu darinya tidak dimakbulkan iaitu agar umatnya tidak berpecah. Namun, demi al-Quds yang tercinta, segala latar belakang dan fahaman haruslah diletak tepi seketika agar fokus terhadap isu dapat diletakkan. Umat Islam harus berganding bahu bersatu tenaga dan membantu antara satu sama lain dari segala sudut.

4. Kembali kepada Allah

 

Di fasa akhir zaman ini, manusia sudah terlalu jauh dari Allah SWT. Keadaan ini menyebabkan murka Allah lebih dekat berbanding rahmat-Nya. Manusia seharusnya kembali kepada Allah dengan sebenar-benar kembali. Melaksanakan tuntutan-Nya dan meninggalkan segala larangan. Manusia sewajarnya membentuk diri dengan peribadi seorang mukmin yang sejati. Segala kelengkapan sebagai seorang yang beriman mestilah telah sedia. Jika seorang Islam itu jarang mendirikan solat, maka solatnya harus didirikan. Begitu juga dengan kewajipan yang lain.

 

Firman Allah SWT :

 

فَفِرُّوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ ۖ إِنِّى لَكُم مِّنْهُ نَذِيرٌ مُّبِينٌ

 

Maksudnya : “Maka segeralah kembali kepada (mentaati) Allah. Sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata dari Allah untukmu.

Kesimpulannya, Palestin akan terus menjadi isu malar segar umat Islam. Seandainya kemerdekaan yang dituju Palestin 100 tahun lagi, maka selama itu jugalah usaha kita tidak akan terhenti. Persediaan menuju ke arah tersebut haruslah dibina sedari kecil. Jika seorang ibu melahirkan anak, sejak itulah harus dilentur anaknya mengenai bumi suci umat Islam ini. Sama-samalah kita menghayati Kalam Saidina Abu Bakar RA :

 

أينقص الدين و أنا حي ..

 

Maksud : “Adakah akan mundur agama ini, sedangkan aku masih hidup”..

 

Wallahu-A’lam.

 

Disediakan oleh:  Amirul Ashraf bin Sulaiman

Saturday, May 15, 2021

[ VAKSIN SEBAGAI USAHA MERAWAT PENYAKIT BERJANGKIT ]

 



VAKSIN SEBAGAI USAHA MERAWAT PENYAKIT BERJANGKIT

 

اللهم اكشف عنا البلاء والوباء والبرص والجنون والجذام ومن سيئ الأسقام

 

Berkurun lamanya, ahli perubatan mengadakan bahawa vaksin adalah suatu cecair yang mengandungi antigen bagi melawan penyakit tertentu. Ia bertujuan untuk meningkatkan daya imunisasi badan agar mempunyai kekuatan dan ketahanan untuk melawan penyakit berjangkit.

 

Tidak dinafikan bahawa penyakit itu sememangnya datang daripada Allah, namun tidak dilupakan di dalam Islam ada konsep usaha.  Vaksin merupakan salah satu usaha untuk mencegah penyakit yang menular dalam badan kita. Ini  tidak lari daripada konsep Islam kerana Islam memang menyarankan kita menghindari perkara yang membinasakan diri termasuk penyakit.

 

Terdapat 2 situasi yang diajar di dalam Islam:

    1. Jika belum terkena penyakit, kita disaran untuk mencegah dan berusaha untuk menghindarkan diri.

    2. Apabila sudah terkena penyakit, Islam mengajar kita cara untuk mendapatkan rawatan dan mestilah perkara yang tidak melanggar syarak.

 

Antara usaha menghindarkan diri daripada sebarang bentuk penyakit adalah dengan menggunakan vaksin yang tidak bercanggah dengan Islam.

 

Nabi Muhammad SAW bersabda :

لَا يُورِدَنَّ مُمَرَّضٌ عَلَى مُصَحٍ

Maksud : Jangan didekatkan yang sakit dengan yang sihat. (HR Al-Imam Buhari)

 

Hadis ini menunjukkan penyakit berjangkit ini sememangnya ada, ia berjangkit bukan kerana ianya sendiri, tetapi adalah kerana izin daripada Allah.

 

Nabi Muhammad SAW bersabda lagi :

 لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ فَإِذَا أُصِيْبَ دَوَاءُ الدَاءِ بَرَأَ بِإِذْنِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ

Bermaksud : Setiap penyakit mempunyai penawar, apabila penawar menepati penyakit tersebut, nescaya akan sembuh dengan izin Allah. (HR Al-Imam Muslim)

 

Ini menunjukkan tidak semua vaksin boleh diambil. Hal ini kita dapat simpulkan pada 3 perkara :

  1. Sekiranya ia diperbuat daripada bahan halal dan tidak memudaratkn badan, maka ianya boleh diambil.
  2. Sekiranya vaksin itu diperbuat daripada sumber yang halal tetapi boleh memudaratkan : tidak boleh digunakan.
  3. Jika ia diperbuat daripada bahan najis pada asalnya tetapi telah dirawat dengan bahan kimia atau  telah dicampur dengan bahan-bahan lain yang menukarkan daripada namanya ke ciri bahan yang diharuskan penggunaannya, maka inilah yang dipanggil sebagai proses istihalah (proses perubahan kepada halal) serta mempunyai kesan-kesan yang bermanfaat : Vaksin kategori ini tidak syak lagi diharuskan penggunaannya kerana proses istihalah yang berlaku telah mengubah nama dan sifatnya justeru menjadikan hukumnya juga berubah, maka ia adalah boleh untuk digunakan.

 

Dalam situasi yang berlaku sekarang yang melibatkan seluruh dunia dan bukan di Malaysia sahaja maka kepentingan yang paling utama adalah untuk melindungi diri daripada penyakit yang berbahaya, iaitu virus Covid-19.

 

Pada 24 November 2020 yang lalu, Malaysia telah mengumumkan untuk mengambil bekalan vaksin yang telah menjalani ujian-ujian klinikal untuk menentukan tahap keselamatan dan keberkesanan vaksin yang sedang dibangunkan. Jika terdapat kesan sampingan yang teruk, maka vaksin itu tidak akan digunakan di Malaysia dan hasil kajian tersebut, Malaysia telah membawa masuk beberapa jenis vaksin antaranya BioNTech (Jerman), Novavax Protein Subunit (US), Sinovac Inactivated (China) dan banyak lagi.


Akhir kalam, jelaslah disini bahawa vaksin harus diambil bagi menangani sesuatu penyakit. Suatu kewajiban apabila bertembung maslahah dan mafsadah, maka hendaklah kita mentahqiqkan yang lebih baik antara dua kebaikan dan menolak yang lebih jahat daripada dua kejahatan. Justeru, apabila didapati adanya sebahagian ubat-ubatan yang mempunyai sedikit kesan, maka ia dimaafkan sekiranya mengandungi maslahah yang lebih banyak.

 

Kaedah menyebut:

الحاجة العامة تنزل منزلة الضرورة الخاصة

Maksudnya : Hajat yang umum setara dengan kedudukan darurat yang khusus.

 

Rujukan :

1. Hadis

2. Ceramah umum berkaitan vaksin.

3. Soalan Lazim Mengenai Vaksin Dan Imunisasi, Kementerian Kesihatan Malaysia & JAKIM.

4. https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/1163-bayan-linnas-siri-59-vaksin-sudut-pandang-dari-neraca-fiqh-maqasid-syariah


Sunday, May 2, 2021

MAKLUMAN MUHASABAH DAN CADANGAN SEPARUH PENGGAL BKPJM 20/21

 



Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

 

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

 

Segala puji bagi Allah S.W.T tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan baginda Nabi Muhammad S.A.W penghulu segala nabi, serta ahli keluarga baginda, sahabat-sahabatnya dan kepada siapa sahaja yang mengikutinya sehingga hari pembalasan.

 

عَنْ شَدَّادِ بْنِ أَوْسٍعَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ الْمَوْتِ وَالْعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى اللَّهِ

 

Dari Syaddaad bin Aus dari Nabi s.a.w. bersabda:

"Orang yang bijak adalah orang yang bermuhasabah tentang dirinya (sebelum dihisab pada akhirat kelak) dan beramal untuk kehidupan sesudah mati. Sedangkan orang yang lemah adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan terhadap Allah."

 

Hadis Riwayat Imam at Tirmizi

 

Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir yang telah ditubuhkan sejak tahun 1970 sentiasa cakna dengan permasalahan yang berlaku dalam kalangan anak-anak Johor di Mesir. Barisan Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) dan Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam (AJK HEWI) sesi 2020/ 2021 telah berusaha menjalankan gerak kerja mengikut skop kerja yang telah diamanahkan selama 5 bulan ini.

 

Demi meningkatkan mutu kerja pimpinan, BKPJM berhasrat membuka ruang kepada semua ahli untuk menyampaikan pendapat terhadap gerak kerja pimpinan selama 5 bulan ini.

 

Muhasabah dan Cadangan Separuh Penggal ini akan dilaksanakan bermula pada 6 Mei 2021 sehingga 8 Mei 2021.

 

Oleh itu, saya menyeru kepada semua ahli untuk kita bersama-sama membuat penilaian terhadap gerak kerja pimpinan, bukan kerana untuk mencari kekurangan pimpinan, tetapi ingin membantu pimpinan meningkatkan kualiti gerak kerja mereka. Semoga dengan kerjasama yang baik daripada ahli, kita dapat melahirkan BKPJM yang lebih bersifat kompeten pada masa akan datang.

 

MOHAMMAD IZZUDDIN BIN HUSLIZAN

SETIAUSAHA AGUNG BKPJM 2020/ 2021


Saturday, May 1, 2021

KESAN PUASA TERHADAP PSIKOLOGI DAN TUBUH BADAN

 


بسم الله الرحمن الرحيم، الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن تبعه ونصره ومن والاه.

ربنا زدنا علما وارزقنا فهما وحكما. أما بعد.

 

قال تعالى: ((يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ))

 

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! diwajibkan keatas kamu berpuasa sepertimana yang telah diwajibkan keatas umat-umat terdahulu sebelum daripada kamu, moga-moga kamu bertaqwa.” [ Surah al-Baqarah: 183 ]

 

Pensyariatan berpuasa di bulan Ramadan keatas umat islam, membuka benak fikiran dan minda umat manusia bahawa ianya bukanlah suatu amalan yang sia-sia. Bagi umat islam, setiap ketetapan daripada Allah SWT itu pasti ada hikmah disebaliknya. Begitulah juga dengan ibadah puasa.

 

Perkara ini juga disedari oleh para sahabat Nabi SAW, buktinya sahabat Nabi SAW, yang bernama al-Harith bin Kaladah r.a. (wafat 635 M) pernah berkata:

 

المعدة بيت الداء، والحمية رأس الدواء

 

Maksudnya: “Perut adalah tempat berkumpulnya penyakit. Berdiet adalah ibu segala penawar.”

 

Puasa di bulan Ramadan merupakan satu fasa pemulihan yang mana Allah SWT ciptakan khusus buat umat Islam, demi untuk memastikan perut atau sistem penghadaman berada dalam keadaan sihat serta jauh daripada penyakit. Setelah selama 11 bulan kita mengisi perut dengan makanan dan air, yang mana mengandungi bahan-bahan yang tidak sihat dan berisiko mengundang penyakit.

 

Malah, lebih memburukkan keadaan lagi, bilamana ada segelintir daripada kita yang mengambil dengan kuantiti yang berlebihan yang mana akan mengakibatkan komposisi perut menjadi tidak stabil. Maka, dengan berpuasa, kita dapat mengembalikan kestabilan komposisi perut. Selain, merehatkan sistem penghadaman yang selama ini tidak pernah berhenti bekerja, menerima dan memproses makanan bagi membekalkan tenaga kepada kita.

 

Adapun, kesan berpuasa terhadap psikologi dan tubuh badan ini telah lama dikaji oleh sarjana Islam dan bukan Islam. Buktinya, pada tahun 1994, Kongres Antarabangsa berhubung Kesihatan dan Puasa telah diadakan di Casablanca, Maghribi. Sebanyak 50 kertas kerja dibentangkan dan semuanya bersetuju amalan berpuasa di bulan Ramadan sama sekali tidak memudaratkan. Malahan, lebih mengejutkan lagi, amalan ini mampu mencegah dan menyembuhkan pelbagai penyakit.

 

Kesan Puasa Terhadap Psikologi dan Tubuh Badan:

 

1. Dari aspek psikologi, manusia terdiri daripada empat komponen utama iaitu fizikal, emosi, kognitif (proses pembelajaran) dan spiritual (rohani). Jika kita perhatikan, sebenarnya ibadah puasa akan melatih fizikal, emosi, kognitif dan spiritual dalam melakukan transformasi ke arah amal kebaikan yang dituntut oleh Islam. Secara tidak langsung, mendidik umat Islam supaya menghayati konsep Hablun Min Allah (menjaga hubungan dengan Allah SWT) dan Hablun Minannas (menjaga hubungan sesama manusia). Kesannya, puasa akan mendidik jiwa insan untuk memperbanyakkan sedekah yang mampu menyucikan jiwa daripada sifat mazmumah dalam masa yang sama menerap sifat rendah diri terhadap orang lain.

 

2. Dari sudut lain, puasa dapat memberi ketenangan dan kedamaian kepada minda. Perkara ini dipercayai terjadi disebabkan kandungan paras gula dalam darah yang stabil. Berpuasa juga akan meningkatkan keupayaan memori, Dr. Alan Cott, seorang pakar perubatan Amerika Syarikat telah melakukan penyelidikan psikologi yang mana membuktikan bahawa puasa mempengaruhi tahap kecerdasan seseorang.

 

Ujian tersebut dilakukan terhadap sekumpulan yang rajin berpuasa dan tidak berpuasa. Hasilnya, orang berpuasa memperoleh skor markah yang lebih tinggi berbanding mereka yang tidak berpuasa. Hal ini kerana, ketika perut dan usus melakukan proses pencernaan, otak tidak dapat dapat berfungsi dengan baik dan pengaliran darah hanya tertumpu kepada proses penghadaman makanan. Sebab itulah, bilamana keadaan kita kenyang, otak kita akan mulai lemah untuk berfikir, tubuh mula rasa mengantuk dan malas. Berbeza keadaan ketika berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu hanya kepada otak. Natijahnya, otak dapat berfungsi dengan baik dan tubuh badan dapat melaksanakan aktiviti yang melibatkan mental dan fizikal dengan sempurna.

 

3. Menurut kajian yang dilakukan oleh pakar perubatan Amerika Syarikat iaitu Dr. Bernarr Macfadden (1868-1955), beliau menyatakan bahawa amalan puasa dapat menghilangkan dan menyembuhkan racun yang ada dalam tubuh badan. Physical Culture daripada Ensiklopedia, Macfadden berkata:

 

“Berpuasa adalah bentuk rawatan paling berkesan untuk mengatasi pathologic (penyakit fizikal dan mental) yang berpunca daripada kebiasaan penggunaan racun. Berpuasa memberi peluang kepada badan untuk menyesuaikan semula kepada keadaan normal dan juga menyingkirkan segera racun-racun yang berada di dalam sistem. Lagi pula, Drug Fiend (orang yang obses dengan penggunaan dadah) kebiasaannya tiada selera makan dan dengan berpuasa akan membaik-pulih semula keadaan Alimentary Canal (terusan makanan) kepada normal dalam masa yang singkat. Malah, minda akan bersih dan mendapat kekuatan. Ia juga menyedari bahawa dirinya akan mendapat kekuatan moral dan kuat keazaman untuk melawan tabiatnya.”

 

Kenyataan beliau dipetik daripada Encyclopedia of Physical Culture. Beliau juga, bersama-sama Dr. Felix Oswald (1845-1960) menerbitkan buku berkaitan puasa iaitu “Fasting Hydropathy Exercise”.

 

4. Di samping itu, ibadah puasa juga mampu menyihatkan tubuh badan dan mencegah penyakit. Hal ini dibuktikan oleh seorang professor dari Rusia yang bernama Professor Yuri Serge Nikolaev (1905-1998). Beliau merupakan pengarah Fasting Treatment Unit of Moscow Psychiatric Institute. Beliau berkata:

 

“Setiap orang perlu berpuasa selama empat minggu dalam setahun untuk terus kekal sihat sepanjang hayatnya.”

 

Tidak terhenti disitu, ibadah puasa juga mampu mencegah dan merawat penyakit. Perkara ini dibuktikan oleh Dr. Soliman pengkaji terkemuka dari Universiti Hospital di Amman, Jordan. Beliau membuat penyelidikan mengenai puasa Ramadan dari aspek kesihatan dan beliau telah melakukan uji kaji terhadap 42 lelaki dan 26 wanita Islam yang sedang berpuasa.

 

Hasil kajiannya mendapati bahawa puasa memberi kesan positif terhadap metabolisma tubuh badan dan mencegah daripada serangan pelbagai penyakit khususnya gejala lebihan gula dan lemak. Turut juga membuat kajian yang sama, Dr. F Azizi bersama rakannya dari Universiti Sains Perubatan Tehran, Iran dan hasil ujiannya sama sepertimana yang ditemui oleh Dr. Soliman.

 

Maka, tepatlah apa yang dikatakan oleh Aleix Carrel (1873-1944), penerima anugerah nobel perubatan dan fisiologi pada tahun 1912, beliau menyatakan dalam bukunya “Man The Unknown”:

 

“Banyaknya bahan makanan akan menghentikan sebuah fungsi yang memainkan peranan penting dalam kelangsungan manusia. Fungsi tersebut adalah fungsi adaptasi tehadap makanan yang sedikit. Oleh itu, manusia perlu mencari masa untuk berpuasa.”

 

Tambah beliau lagi: “Penyakit yang paling banyak disembuhkan dengan puasa ialah gangguan pencernaan. Puasa boleh memberi kesan positif terhadap sistem pencernaan. Begitu juga puasa boleh memberi kesan positif kepada darah, dan penyakit tulang seperti penyakit otot atau radang sendi seperti rhematik (rheumatic).”

 

Justeru, tidak dinafikan amalan berpuasa merupakan satu kaedah alternatif dalam mencegah penyakit hatta bapa ilmu perubatan moden, Ibnu Sina sendiri menjadikan puasa sebagai salah satu kaedah dalam merawat penyakit tertentu dengan meminta pesakit tersebut berpuasa selama tiga minggu.

 

5. Kesan-kesan positif amalan berpuasa tidak terhenti sampai disitu sahaja, bahkan lebih lagi. Antara kesan puasa yang sangat terkait rapat dengan situasi kita pada hari ini yang dilanda wabak Covid-19 ialah amalan berpuasa dapat meningkatkan sistem imuniti tubuh badan manusia dalam melawan penyakit dan virus. Sabda Nabi SAW:

 

الصيام جنة

 

Maksudnya: “Puasa itu adalah perisai.” (Hadis Riwayat Bukhari)

 

Dr. Abdul Jawwad as-Sowi, pakar perubatan Arab Saudi, beliau mengaitkan hadis ini dengan hikmah berpuasa secara saintifik yang mampu meningkatkan imuniti tubuh badan secara semula jadi. Malah, terdapat juga kajian yang dibuat oleh Universiti of Southern California pada 2014 menyatakan bahawa berpuasa selama beberapa jam sehari akan meningkatkan sistem imuniti tubuh badan manusia dengan penghasilan sel-sel hematopoietic stem cells (stem hematopoietik). Professor Valter Longo, Pakar Sains Biologi mengulas kajian ini dengan mengatakan:

 

"Apabila anda kelaparan, sistem ini berusaha menjimatkan tenaga, dan salah satu perkara yang dapat dilakukannya untuk menjimatkan tenaga adalah mengitar semula banyak sel imun yang tidak diperlukan, terutama yang mungkin rosak"

 

Jelaslah disini bahawa amalan berpuasa memainkan peranan penting dalam meningkatkan sistem imuniti tubuh badan manusia. Selain dengan memperbanyakkan amalan ibadah yang berbentuk kerohanian ketika berpuasa, akan memberikan ketenangan jiwa dan membantu sistem imuniti badan lebih aktif dalam melawan penyakit dan virus.

 

Kesimpulannya, pensyariatan puasa ini merupakan satu anugerah daripada Allah SWT kepada umat Islam. Lebih menguntungkan lagi, mereka yang menjalani ibadah ini dengan penuh keimanan dan pengharapan sepertimana sabda Nabi SAW:

 

من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

 

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Sebenarnya, terdapat banyak lagi kesan-kesan positif amalan berpuasa dari aspek kesihatan, emosi dan psikologi. Nabi Muhammad SAW sendiri telah menyebut:

 

صوموا تصحوا

 

Maksudnya: “Berpuasalah, nascaya kamu akan sihat.” (Hadis riwayat Tabrani)

 

Semoga di bulan yang mulia ini, kita dapat menghayati ibadah puasa dengan penuh keikhlasan dan pengharapan kepada Allah SWT. Lebih-lebih lagi, sekarang ini kita berada dalam situasi tersebarnya wabak Covid-19. Mungkin dengan asbab tersebarnya wabak ini, Allah SWT ingin memberi peluang kepada kita supaya bermusabah terhadap dosa-dosa yang lalu. Bersamalah kita memperbaiki diri kearah kebaikan dan sentiasa menyebarkan manfaat kepada umat manusia tanpa mengira kaum, bangsa dan warna kulit. Moga-moga kita beroleh reda-Nya. Selamat berpuasa dan selamat kembali kepada fitrah.

 

هذا وبالله التوفيق والهداية، وآخر دعوانا أن الحمدلله رب العالمين سبحانك اللهم بحمدك، أشهد أن لا إله إلا  أنت، وأستغفرك وأتوب إليك. وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم.

 

 Disediakan oleh: Wan Naseerul Nazhan bin Wan Razali

 

Rujukan:

 

1) Al-Quran dan terjemahan.

 

2) Muhammad b. Ismail al-Bukhari (256 H), Sohih Bukhari.

 

3) Muslim b. Al-Hajjaj (261 H), Sohih Muslim.

 

4) Akmal Haji Kamaruddin, Bacalah Wahai Teman (3), Faedah Puasa Antara Syariat dan Sains.

 

https://m.facebook.com/154446448068883/photos/a.235333239980203/1475223249324523/?type=3&source=57&__tn__=EH-R

 

5) Nazlinda binti Ismail, Kelebihan Berpuasa Dari Sudut Psikologi.

 

https://docs.jpa.gov.my/docs/pelbagai/Artikel/2014/KELEBIHAN_BERPUASA_DARI_SUDUT_PSIKOLOGI.pdf

 

6) Jabatan Mufti Kedah, Hikmah Puasa Dari Segi Kesihatan.

 

https://mufti.kedah.gov.my/index.php/10-tinta-ilmiah/8-hikmah-puasa-dari-segi-kesihatan

 

7) Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Pakar Akui Kelebihan Puasa Kepada Jasad Manusia.

 

https://harakahdaily.net/index.php/2021/04/21/pakar-akui-kelebihan-puasa-kepada-jasad-manusia/

 

Wednesday, April 7, 2021

[ COVID-19, SESUATU YANG SANGAT ANEH SEDANG BERLAKU SEKARANG INI ]








[ COVID-19, SESUATU YANG SANGAT ANEH SEDANG BERLAKU SEKARANG INI ]

بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله رب العالمين وبه نستعين على أمور الدنيا والدين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سبيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

Kajian ini membicarakan tentang impak positif daripada wabak COVID-19 yang mengubah sudut pandang dunia barat terhadap cara hidup Islam. Semakin besar ujian yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita, pastilah semakin besar pula hikmah di sebaliknya.

Situasi ini sebenarnya menjadikan dunia ini lebih cenderung kepada cara hidup orang-orang Islam dan anda tidak perlu memandang jauh untuk melihat bagaimana ianya terjadi.

Penutupan Pub, Kasino dan Kelab Malam

Manusia di seluruh dunia meluangkan lebih banyak masa bersama ahli keluarga mereka. Pub, kasino (pusat perjudian) dan kelab-kelab malam kini ditutup secara rasmi. Malahan alkohol telah diharamkan di sesetengah negara.

Pada 20 Mac 2020, Perdana Menteri UK, Boris Johnson berkata, “Cafe, pub, bar dan restoran mesti ditutup mulai malam ini (Jumaat), kecuali untuk makanan yang dibungkus pulang, bagi mengatasi coronavirus”.

Semua kelab malam, teater, panggung wayang, gym dan pusat-pusat hiburan diarahkan supaya ditutup secepat mungkin. Pengumuman ini mengikut tindakan yang sama diambil di negara-negara lain, termasuklah Ireland, di mana pub-pub dan bar diarahkan supaya ditutup mulai hari Ahad yang lalu (15 Mac 2020). Kerajaan memberi amaran kepada pub-pub yang ingkar bahawa undang-undang darurat boleh digunakan ke atas mereka ketika ini.

Menurut Ketua Pegawai Perubatan Scotland, Dr Catherine Calderwood, “Pub adalah sebuah persekitaran yang tertutup… terdapat permukaan meja dan kaunter yang tidak selalunya dibersihkan setiap masa, oleh itu pub sebenarnya tempat di mana jika terdapat seseorang dengan simtom-simtom ringan sekalipun, ianya boleh merebak”.

Penjualan alkohol telah diharamkan di Nuuk, ibu negara Greenland untuk mengurangkan keganasan terhadap kanak-kanak ketika tempoh berkurung. Selepas sekolah-sekolah ditutup mulai hari Isnin, 23 Mac 2020, berlakulah peningkatan kes keganasan tersebut. Oleh itu, pengharaman ini dikuatkuasakan mulai Sabtu minggu itu sehingga Rabu, 15 April 2020. Botol arak yang dikongsi oleh sekumpulan orang yang minum bersama turut membawa kepada penularan COVID-19. Negara lain yang mengharamkan jualan alkohol termasuklah Thailand, Grenada, Colombia, Mexico, Botswana, Zimbabwe dan Afrika Selatan. Firman Allah SWT: 

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا

“Mereka bertanya kepadamu tentang arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.” [ Surah al-Baqarah : 219 ]

Kebersihan Diri

Orang ramai kini membersihkan diri dengan lebih kerap. Pada awalnya, sebuah culaan di UK telah menyingkap hakikat yang mengejutkan bahawa kurang daripada 40% guru-guru mengatakan mereka tidak memiliki paip air panas, sabun, tisu atau hand sanitiser untuk para pelajar mencuci tangan mereka di sekolah. 

Menyedari hakikat ini, mereka mula mendidik setiap lapisan masyarakat supaya lebih menitik beratkan kebersihan diri. Media berperanan menjalankan kempen dan menunjukkan kaedah yang terbaik untuk mencuci muka, tangan dan rambut sendiri. Terdapat juga sekolah rendah yang mengadakan pertandingan bagi menarik minat kanak-kanak supaya mengamalkan teknik mencuci tangan yang betul.

Malahan kini jam tangan pintar Google boleh mengingatkan pemakainya supaya mencuci tangan dengan lebih kerap. Lihatlah bagaimana wabak ini menjadikan kita lebih kreatif dalam menjaga kebersihan.

Budaya Bersalaman

Secara tiba-tiba masyarakat dunia boleh menerima budaya tidak bersalaman apabila bertemu dengan orang lain (perkara ini agak menarik kerana orang-orang Islam telah lama bersusah payah menjelaskan mengapa kita tidak bersalaman dengan orang yang berlainan jantina). Sabda Nabi SAW:

لأن يطعن في رأس أحدكم بمخيط من حديد خير له من أن يمس امرأة لا تحل له

“Dicucuk pada kepala salah seorang kamu dengan jarum daripada besi adalah lebih baik baginya daripada menyentuh perempuan yang tidak halal baginya.” [ HR at-Tabrani ]

COVID-19 yang kian lama merebak ini telah menimbulkan kerisauan di Amerika Syarikat mengenai pupusnya budaya bersalaman. Penasihat saintifik Presiden Trump merangkap Pengarah Institut Alergi dan Penyakit-penyakit Berjangkit Kebangsaan, Dr Anthony Fauci mengajak supaya budaya bersalaman ini diharamkan terus, “Ianya bukan sahaja baik untuk mengelakkan coronavirus, tetapi mungkin akan mengurangkan kes-kes wabak secara dramatik di negara ini”.

Nampaknya budaya bersalaman akan diganti dengan isyarat tangan di hati yang diperkenalkan untuk diplomasi antarabangsa oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dalam lawatan beliau ke Eropah baru-baru ini.

Kesedaran Beragama

Dalam ramai-ramai manusia, Presiden Amerika Syarikat yang mengumumkan Hari Berdoa Peringkat Kebangsaan. Orang ramai juga mulai menghalakan harapan mereka kepada sebuah Kuasa Yang Maha Tinggi.

Presiden Donald Trump telah mengumumkan Hari Berdoa Peringkat Kebangsaan pada hari Ahad, 15 Mac 2020, sejurus selepas pengumuman darurat akibat coronavirus di Amerika Syarikat. Untuk sambutan hari tersebut secara tahunan pula telah ditetapkan pada tarikh 7 Mei setiap tahun.

Kata beliau, “Di Amerika kita menyambut keimanan. Kita meraikan agama. Kita angkat suara kita dalam berdoa dan kita naikkan pandangan kita melihat keagungan Tuhan.

Pada hari Rabu, 15 April 2020, lebih 50,000 orang di United Kingdom pula telah menandatangani petisyen yang menuntut Perdana Menteri UK, Boris Johnson supaya mengadakan Hari Berdoa Peringkat Kebangsaan bagi mengatasi coronavirus yang telah pun meragut lebih 12,000 nyawa.

Begitulah keadaan manusia saat ditimpa ujian yang mengancam nyawa mereka. Firman Allah SWT: 

وَجَاءَهُمُ الْمَوْجُ مِن كُلِّ مَكَانٍ وَظَنُّوا أَنَّهُمْ أُحِيطَ بِهِمْ ۙ دَعَوُا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ لَئِنْ أَنجَيْتَنَا مِنْ هَٰذِهِ لَنَكُونَنَّ مِنَ الشَّاكِرِينَ (22) فَلَمَّا أَنجَاهُمْ إِذَا هُمْ يَبْغُونَ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ...إلخ
 ۗ
“…dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata (sambil merayu dengan berkata): Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur. Kemudian bila sahaja Allah selamatkan mereka, mereka dengan serta-merta merebakkan perbuatan derhaka di bumi dengan tidak ada sebarang alasan yang benar…” [ Surah Yunus : 22 – 23 ] ”

Kita pula selaku umat Islam seharusnya lebih lagi meletakkan pergantungan kepada Allah SWT. Amalkanlah zikir-zikir siang dan malam yang diajarkan oleh Nabi SAW serta solat hajat & bacaan qunut nazilah.

Sekian,

هذا وبالله التوفيق,
والله أعلم بالصواب. 

Disediakan oleh: Ahmad Khalilurrahman bin Fadilah

Rujukan:

1) Al-Quran dan terjemahan.

2) Sulaiman ibn Ahmad at-Tabrani (360 H). Al-Mu’jam al-Kabir. Maktabah Ibn Taimiyyah: Kaherah, Mesir.

3) OnePath Network Something really strange is happening right now http://onepathnetwork.com/something-really-strangeis-happening-right-now

4) BBC News UK pubs and restaurants told to shut in virus fight https://www.bbc.com/news/uk-51981653

5) ABC News Coronavirus crackdown to force mass closures of pubs, clubs, churches and indoor sporting venues https://mobile.abc.net.au/news/2020-03-22/majorcoronavirus-crackdown-to-close-churches-pubsclubs/12079610

6) The Guardian
Alcohol sales banned in Greenland capital during lockdown https://www.theguardian.com/world/2020/mar/29/alc ohol-sales-banned-in-greenland-capital-during-lockdown 

7) Covid-19 reveals the alarming truth that many children can’t wash their hands at school 
https://www.theguardian.com/education/2020/mar/17 /covid-19-reveals-the-alarming-truth-that-many-children-cant-wash-their-hands-at-sc

8) Fox News Trump declares Sunday a National Day of Prayer amid coronavirus crisis https://www.foxnews.com/politics/trump-sundaynational-day-of-pray

9) Christian Today Over 50,000 people sign petition calling for National Day of Prayer over coronavirus https://www.christiantoday.com/article/over.50000.pe ople.sign.petition.calling.for.national.day.of.prayer.over.coronavirus/134683.html

Sunday, March 21, 2021

KENYATAAN RASMI PENGARAH SURUHANJAYA PILIHAN RAYA BKPJM 2020


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
الحمدللّه ربّ العالمين وبه نستعين على أمور الدنيا والدين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد
وعلى آله وصحبه أجمعين. أما بعد.. 


 
Firman Allah S.W.T:
 

(وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمۡ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَیَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِی ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِینَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَیُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِینَهُمُ ٱلَّذِی ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَیُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنࣰاۚ یَعۡبُدُونَنِی لَا یُشۡرِكُونَ بِی شَیۡـࣰٔاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَ ٰ⁠لِكَ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ)
 

"Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka."

[Surah An-Nur : 55]

 

Saya Muhammad Azfar bin Jamali selaku individu yang telah diamanahkan sebagai Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir 2020 (SPR BKPJM) yang akan menguruskan proses pemilihan pimpinan BKPJM bagi sesi 2020/2021 bersama pegawai-pegawai SPR BKPJM yang dilantik.




Pada tahun ini, bilik gerakan SPR BKPJM akan dibuka di Dewan Asrama Pelajar Johor Rabaah (APJ 4) untuk pencalonan seorang Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) BKPJM sesi 2020/2021. Proses penamaan calon akan diadakan pada 24 dan 25 Mac 2021, manakala hari bantahan calon pula adalah pada 27 Mac 2021.



Pencalonan dibuka bagi memilih :

 SEORANG AJKT (Borang B),

Sekiranya pencalonan melebihi kuota yang ditetapkan, maka pilihan raya akan dijalankan.


Sebarang maklumat lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa.


 

Sekian sahaja daripada saya. Terima kasih.

Siiru a'la barakatillah.

 

"BERSIH, TELUS & AMANAH"

 

Yang Menjalankan Amanah,

MUHAMMAD AZFAR BIN JAMALI
Pengarah SPR BKPJM 2020. 

Saturday, March 20, 2021

KENYATAAN RASMI YANG DI-PERTUA BKPJM 20/21


Assalamulaikum wbt

بسم الله الرحمن الرحيم

 

Segala puji bagi Allah s.w.t tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan baginda Nabi Muhammad s.a.w penghulu segala nabi, serta ahli keluarga baginda, sahabat-sahabatnya dan kepada siapa sahaja yang mengikutinya sehingga hari pembalasan.


Dukacita dimaklumkan bahawa seorang Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) BKPJM iaitu Ustaz Khairul Naim bin Nasarullah telah membuat permohonan perletakan jawatan selaku Timbalan Setiausaha Agung (Lajnah Penerangan dan Penerbitan) BKPJM 20/21 atas faktor yang tidak dapat dielakkan. 


Oleh yang demikian, akan berlaku kekosongan kerusi bagi jawatan Timbalan Setiausaha Agung (Lajnah Penerangan dan Penerbitan) BKPJM 20/21.


Berdasarkan Undang-undang Tubuh Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir pada Bab ke-5 (Struktur Pentadbiran), Fasal 20 (Tugas-tugas Umum Ahli Jawatankuasa Tadbir Badan), Ceraian B, Item 13 berkaitan perlucutan atau hilang kelayakan selaku AJKT :


"Jika berlaku perlucutan AJKT atau hilang kelayakan, calon yang mendapat undi tertinggi di dalam pilihanraya yang telah dijalankan terlantik dengan sendirinya sebagai AJKT."


Oleh kerana pada pilihan raya yang lepas kesemua calon menang tanpa bertanding, maka dengan ini, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya BKPJM akan membuka semula pencalonan baru bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut.


Sehubungan dengan itu, barisan Ahli Jawatankuasa Tadbir BKPJM sesi 2020/2021 telah bersepakat untuk melantik Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya BKPJM.


Berikut merupakan nama Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya BKPJM:

Muhammad Azfar bin Jamali

No ahli: 2631


Oleh itu, kami di peringkat pimpinan BKPJM mengharapkan pilihan raya yang akan diadakan ini berjalan dengan lancar dan jayanya. Marilah sama-sama kita bermunajat dan memohon kepada Allah s.w.t agar menjaga kesatuan yang telah lama terbina ini.  


Terima kasih.



Ahmad Faiz Rafiuddin bin Kamaludin

Yang di-Pertua,

Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir 20/21.

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...