Saturday, May 22, 2021

[ PALESTIN | ISU MALAR SEGAR UMAT ISLAM ]

 


[ PALESTIN : ISU MALAR SEGAR UMAT ISLAM ]

 

Palestin merupakan negara yang sangat bermakna di hati umat Islam. Hal yang demikian kerana di sana ada Masjid al-Aqsa yang merupakan masjid ketiga paling diberkati selepas Masjid al-Haram di Mekah dan Masjid an-Nabawi di Madinah.

 

Selain itu, Masjid al-Aqsa juga disebut dalam al-Qur’an.

 

Firman Allah SWT :

 

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ ءَايَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

 

Maksudnya : Maha suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang diberkati sekelilingnya untuk Kami perlihatkan tanda-tanda kekuasaan Kami, bahwasanya Dia itu Maha Mendengar dan Maha Melihat“.

 

Palestin atau al-Quds telah menjadi rebutan 3 agama yakni Islam, Kristian dan Yahudi berkurun lamanya. Perkara demikian yang berlaku kerana Palestin mempunyai kedudukan yang istimewa dalam agama masing-masing.

 

Secara rasminya, Palestin hilang dari tangan umat Islam ketika termeterainya perjanjian Sykes-Picot 1916 yang penuh dengan tipu muslihat. Sebuah perjanjian yang akhirnya membawa kepada pembahagian tanah umat Islam di tangan pihak kuffar.

 

Selepas jatuhnya Palestin ke tangan musuh, sentiasa ada gerakan yang dilancarkan oleh umat Islam untuk merampas kembali tanah Palestin. Antaranya, Perang Enam Hari pada tahun 1967, Perang Yom Kippur 1973 dan gerakan Intifadah yang berlaku sebanyak 3 kali.

 

Siri-siri mempertahankan maruah umat Islam tidak terhenti setakat itu sahaja. Bahkan, masih diteruskan sehingga hari ini.

 

Namun jika diperhatikan, mengapa Palestin masih lagi menjadi isu yang tidak pernah selesai hingga ke hari ini? Pasti ada sebab yang menjadi tunjang kepada kegagalan dalam merealisasikan cita-cita yang tertinggi ini.

 

Ada beberapa sebab yang dianggap munasabah mengapa Palestin masih gagal dimiliki hingga hari ini.

 

1. Kesatuan umat Islam

 

Kesatuan merupakan perkara yang masih rapuh dalam kalangan umat Islam. Lihat sahajalah ketika isu ini dibentangkan. Masih ada golongan yang saling menyalahkan antara satu sama lain kerana berbeza ideologi dan pegangan. Belum lagi dikira dari latar belakang yang berbeza. Sehingga, isu menghantar bantuan ke Palestin masih lagi ramai yang mendabik dada merekalah yang paling banyak menggembleng tenaga.

 

2. Kesedaran yang hilang

 

Agama merupakan tunjang dalam kehidupan manusia. Tanpa agama, manusia ibarat pesawat tanpa radar. Kesedaran umat Islam untuk beragama semakin lama semakin pudar. Ini ditambah dengan budaya Hedonisme yang membarah dalam diri umat Islam. Semakin lama, pemuda yang jiwanya segar untuk Islam semakin pupus. Perkara ini jika tidak dicegah, maka al-Quds akan semakin kabur dari pandangan mata.

 

3. Mentaliti yang lemah

 

Setelah kejatuhan Khilafah, negara yang majoritinya umat Islam telah didoktrin oleh barat sebagai satu bangsa yang lemah. Umat Islam didoktrin agar tidak pandai berdikari. Segalanya perlu dicatur oleh barat dan yang menjadi bidaknya ialah umat Islam. Maulana Abu Hasan Ali an-Nadwi di dalam kitabnya, “Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam” mengatakan :

 

“Begitu lemahnya umat Islam, sehingga pen yang digunakan untuk menandatangani perjanjian pembahagian tanah umat Islam pun dicipta oleh Barat”.

 

Setelah kita melihat dan meninjau isu ini secara rencam, apakah solusi yang boleh digunakan untuk memastikan cita-cita menakluk al-Quds dari tangan kuffar kekal relevan?

 

1. Konsisten mendukung aspirasi Palestin

 

Palestin akan terus kekal menjadi “kekasih” di hati umat Islam. Sewajarnya isu berkaitan Palestin terus dinaikkan agar negara ini tidak luput dari kacamata umat Islam. Kesedaran berkempen perlu diteruskan agar semangat mencintai warisan para Anbiya’ ini terus relevan.

 

2. Menyumbang kepada Palestin

 

Palestin bukanlah negara yang kaya raya seperti negara Arab yang lain. Justeru, sumbangan dari umat Islam khususnya Malaysia perlu terus kekal dijalankan. Pastikan sumbangan yang dihulurkan dikirim kepada NGO-NGO yang bertauliah dan diakui keabsahannya.

 

3. Menjauhi anasir perpecahan

 

Perpecahan merupakan satu perkara yang tidak dapat dielakkan. Bahkan, ketika Rasulullah SAW memanjatkan tiga doa kepada Allah SWT, satu darinya tidak dimakbulkan iaitu agar umatnya tidak berpecah. Namun, demi al-Quds yang tercinta, segala latar belakang dan fahaman haruslah diletak tepi seketika agar fokus terhadap isu dapat diletakkan. Umat Islam harus berganding bahu bersatu tenaga dan membantu antara satu sama lain dari segala sudut.

4. Kembali kepada Allah

 

Di fasa akhir zaman ini, manusia sudah terlalu jauh dari Allah SWT. Keadaan ini menyebabkan murka Allah lebih dekat berbanding rahmat-Nya. Manusia seharusnya kembali kepada Allah dengan sebenar-benar kembali. Melaksanakan tuntutan-Nya dan meninggalkan segala larangan. Manusia sewajarnya membentuk diri dengan peribadi seorang mukmin yang sejati. Segala kelengkapan sebagai seorang yang beriman mestilah telah sedia. Jika seorang Islam itu jarang mendirikan solat, maka solatnya harus didirikan. Begitu juga dengan kewajipan yang lain.

 

Firman Allah SWT :

 

فَفِرُّوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ ۖ إِنِّى لَكُم مِّنْهُ نَذِيرٌ مُّبِينٌ

 

Maksudnya : “Maka segeralah kembali kepada (mentaati) Allah. Sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata dari Allah untukmu.

Kesimpulannya, Palestin akan terus menjadi isu malar segar umat Islam. Seandainya kemerdekaan yang dituju Palestin 100 tahun lagi, maka selama itu jugalah usaha kita tidak akan terhenti. Persediaan menuju ke arah tersebut haruslah dibina sedari kecil. Jika seorang ibu melahirkan anak, sejak itulah harus dilentur anaknya mengenai bumi suci umat Islam ini. Sama-samalah kita menghayati Kalam Saidina Abu Bakar RA :

 

أينقص الدين و أنا حي ..

 

Maksud : “Adakah akan mundur agama ini, sedangkan aku masih hidup”..

 

Wallahu-A’lam.

 

Disediakan oleh:  Amirul Ashraf bin Sulaiman

No comments:

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...