Saturday, May 15, 2021

[ VAKSIN SEBAGAI USAHA MERAWAT PENYAKIT BERJANGKIT ]

 



VAKSIN SEBAGAI USAHA MERAWAT PENYAKIT BERJANGKIT

 

اللهم اكشف عنا البلاء والوباء والبرص والجنون والجذام ومن سيئ الأسقام

 

Berkurun lamanya, ahli perubatan mengadakan bahawa vaksin adalah suatu cecair yang mengandungi antigen bagi melawan penyakit tertentu. Ia bertujuan untuk meningkatkan daya imunisasi badan agar mempunyai kekuatan dan ketahanan untuk melawan penyakit berjangkit.

 

Tidak dinafikan bahawa penyakit itu sememangnya datang daripada Allah, namun tidak dilupakan di dalam Islam ada konsep usaha.  Vaksin merupakan salah satu usaha untuk mencegah penyakit yang menular dalam badan kita. Ini  tidak lari daripada konsep Islam kerana Islam memang menyarankan kita menghindari perkara yang membinasakan diri termasuk penyakit.

 

Terdapat 2 situasi yang diajar di dalam Islam:

    1. Jika belum terkena penyakit, kita disaran untuk mencegah dan berusaha untuk menghindarkan diri.

    2. Apabila sudah terkena penyakit, Islam mengajar kita cara untuk mendapatkan rawatan dan mestilah perkara yang tidak melanggar syarak.

 

Antara usaha menghindarkan diri daripada sebarang bentuk penyakit adalah dengan menggunakan vaksin yang tidak bercanggah dengan Islam.

 

Nabi Muhammad SAW bersabda :

لَا يُورِدَنَّ مُمَرَّضٌ عَلَى مُصَحٍ

Maksud : Jangan didekatkan yang sakit dengan yang sihat. (HR Al-Imam Buhari)

 

Hadis ini menunjukkan penyakit berjangkit ini sememangnya ada, ia berjangkit bukan kerana ianya sendiri, tetapi adalah kerana izin daripada Allah.

 

Nabi Muhammad SAW bersabda lagi :

 لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ فَإِذَا أُصِيْبَ دَوَاءُ الدَاءِ بَرَأَ بِإِذْنِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ

Bermaksud : Setiap penyakit mempunyai penawar, apabila penawar menepati penyakit tersebut, nescaya akan sembuh dengan izin Allah. (HR Al-Imam Muslim)

 

Ini menunjukkan tidak semua vaksin boleh diambil. Hal ini kita dapat simpulkan pada 3 perkara :

  1. Sekiranya ia diperbuat daripada bahan halal dan tidak memudaratkn badan, maka ianya boleh diambil.
  2. Sekiranya vaksin itu diperbuat daripada sumber yang halal tetapi boleh memudaratkan : tidak boleh digunakan.
  3. Jika ia diperbuat daripada bahan najis pada asalnya tetapi telah dirawat dengan bahan kimia atau  telah dicampur dengan bahan-bahan lain yang menukarkan daripada namanya ke ciri bahan yang diharuskan penggunaannya, maka inilah yang dipanggil sebagai proses istihalah (proses perubahan kepada halal) serta mempunyai kesan-kesan yang bermanfaat : Vaksin kategori ini tidak syak lagi diharuskan penggunaannya kerana proses istihalah yang berlaku telah mengubah nama dan sifatnya justeru menjadikan hukumnya juga berubah, maka ia adalah boleh untuk digunakan.

 

Dalam situasi yang berlaku sekarang yang melibatkan seluruh dunia dan bukan di Malaysia sahaja maka kepentingan yang paling utama adalah untuk melindungi diri daripada penyakit yang berbahaya, iaitu virus Covid-19.

 

Pada 24 November 2020 yang lalu, Malaysia telah mengumumkan untuk mengambil bekalan vaksin yang telah menjalani ujian-ujian klinikal untuk menentukan tahap keselamatan dan keberkesanan vaksin yang sedang dibangunkan. Jika terdapat kesan sampingan yang teruk, maka vaksin itu tidak akan digunakan di Malaysia dan hasil kajian tersebut, Malaysia telah membawa masuk beberapa jenis vaksin antaranya BioNTech (Jerman), Novavax Protein Subunit (US), Sinovac Inactivated (China) dan banyak lagi.


Akhir kalam, jelaslah disini bahawa vaksin harus diambil bagi menangani sesuatu penyakit. Suatu kewajiban apabila bertembung maslahah dan mafsadah, maka hendaklah kita mentahqiqkan yang lebih baik antara dua kebaikan dan menolak yang lebih jahat daripada dua kejahatan. Justeru, apabila didapati adanya sebahagian ubat-ubatan yang mempunyai sedikit kesan, maka ia dimaafkan sekiranya mengandungi maslahah yang lebih banyak.

 

Kaedah menyebut:

الحاجة العامة تنزل منزلة الضرورة الخاصة

Maksudnya : Hajat yang umum setara dengan kedudukan darurat yang khusus.

 

Rujukan :

1. Hadis

2. Ceramah umum berkaitan vaksin.

3. Soalan Lazim Mengenai Vaksin Dan Imunisasi, Kementerian Kesihatan Malaysia & JAKIM.

4. https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/1163-bayan-linnas-siri-59-vaksin-sudut-pandang-dari-neraca-fiqh-maqasid-syariah


No comments:

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...