Thursday, February 28, 2019

MAJLIS PENUTUP SONATA '19 - PENDEDAHAN PERANCANGAN MUSUH ISLAM



MAJLIS PENUTUP SONATA '19 - PENDEDAHAN PERANCANGAN MUSUH ISLAM

OLEH : MUHAMMAD HARITH BIN OSMAN
SETIAUSAHA SNOW SPORTS AND SPIRITUAL ADVENTURES (SONATA‘19)

KAHERAH,19 FEBRUARI 2019 -Berlangsungnya Majlis Perasmian Penutup SONATA‘19 dan Ngeteh Jauhari yang bertempat di Asrama Pelajar Johor Raba‘ah bermula selepas solat asar secara berjemaah.

   Majlis bermula dengan  Ngeteh Jauhari yang  membawakan tajuk “Sykes-Picot and Deal Of Century” yang disampaikan oleh Dr Fathul Izzudin bin Kungi Kuaya selaku Naib Presiden 1 PERUBATAN.


  Majlis Perasmian Penutup SONATA‘19 telah dirasmikan oleh Ustaz Ahmad Helmi Subahan selaku Penasihat Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) serta berlangsungnya penyampaian hadiah bagi perlawanan sukan dan acara yang diadakan sepanjang SONATA '19.

  Majlis diserikan lagi dengan persembahan pentomen, kumpulan nasyid Al-Wadi, tayangan video. Majlis diakhiri dengan solat Isyak secara berjemaah, jamuan makan malam dan sesi penggambaran. Majlis tersebut berjalan dengan lancar dengan jayanya.


Wednesday, February 27, 2019

SUKAN & MALAM KESENIAN - BADAN SIHAT, BAKAT TERSERLAH

SUKAN & MALAM KESENIAN - BADAN SIHAT, BAKAT TERSERLAH


OLEH : MUHAMMAD HARITH BIN OSMAN
SETIAUSAHA SNOW SPORTS AND SPIRITUAL ADVENTURES (SONATA‘19)

KAHERAH,12 FEBRUARI 2019 - Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir telah menganjurkan sebuah program yang diberi nama Snow Sports and Spiritual Adventures atau nama pendeknya SONATA '19 dan dimulakan dengan acara kesenian pada 12 Februari dan Malam Dang Anum pada 13 Februari 2019 bagi peringkat akhawat.

Program ini telah diadakan di Asrama Pelajar Johor Rabaah dan antara acara kesenian yang dipertandingkan ialah pertandingan pantun, kalimatul kirasy, gubahan hantaran, busana muslimah dan master chef manakala pada Malam Dang Anum telah diserikan dengan persembahan kumpulan nasyid As-Sohwah, dikir barat dan zapin.


Pada 16  Februari 2019 pula telah diadakan perlawanan sukan Futsal bagi peringkat ikhwah atau pun disebut sebagai Piala YDP yang berlangsung di Court Zahra' Hayyu Asyir. Bermulanya perlawanan tersebut dengan majlis perasmian yang dirasmikan oleh Ustaz Norhalim bin Lokman selaku Yang di-Pertua BKPJM.

Pada 17 Februari 2019  bertempat di Court Nadi Salab Zahra’, Hayyu ‘Asyir telah berlangsungnya perlawanan sukan bola tampar. Perlawanan tersebut tamat dan diakhiri dengan sesi pengambaraan. Seluruh Eksekutif pelaksana dan ahli BKPJM berharap agar program seperti ini dapat diteruskan pada tahun yang akan datang.





Tuesday, February 26, 2019

JAULAH SINAI & DAHAB - MENGEMBARA SERTA MENGHAYATI IBRAH


JAULAH SINAI & DAHAB - MENGEMBARA  SERTA MENGHAYATI IBRAH

OLEH : NURULHUDA BINTI MOHAMAD NIZAM
SETIAUSAHA SNOW SPORTS AND SPIRITUAL ADVENTURES (SONATA‘19)

KAHERAH, 12 FEBRUARI 2019 - Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir telah berjaya menganjurkan satu jaulah ke Semenanjung Sinai dan Dahab pada 12 sehingga 14 Februari 2019 seramai 46 ikhwah bagi jaulah ikhwah manakala 16 sehingga 18 Februari 2019 seramai 39 akhawat bagi jaulah akhawat. Jaulah ini diberi nama Snow Sports and Spiritual Adventurebatau nama singkatannya SONATA ’19. Jaulah ini telah bermula seawal jam 3 pagi.


Destinasi pertama ialah Kubu Israel atau Kubu Barlief. Kemudian destinasi seterusnya ialah ‘Uyun Musa yang terdapat 12 telaga yang digali oleh 12 puak daripada kalangan Bani Israel dan peserta juga mendaki Wadi Arbaien tempat terpancarnya 12 mata air. Para peserta juga telah melawati Jabal Nabi Musa yang berada di (St. Catherine) dan maqam Nabi Soleh A.S.

Aktiviti jaulah diteruskan lagi dengan pendakian ke gunung Sinai pada jam 11 malam. Ianya juga dikenali dengan nama Tur Sina yang merupakan tempat Nabi Musa A.S. bermunajat kepada Allah SWT selama 40 hari dan menerima wahyu. Pendakian bagi peringkat akhawat diberi nikmat turunnya salji pada hari tersebut.

Pada jam 6.30 pagi, para peserta mulai turun dari puncak gunung dan tiba di bawah sekitar jam 9.30 pagi bagi meneruskan perjalanan melalui kawasan kesan lembu Samiri dan Maqam Nabi Harun A.S.

Destinasi jaulah di Dahab diisi pula dengan permainan All-Terrain Vehicle (ATV) serta aktiviti Snorkeling dan Cycling. Para peserta berpeluang juga untuk menaiki glassboat di Pantai Dahab untuk melihat hidupan di dasar laut.

Pada hari terakhir, peserta tiba di Kaherah pada jam 12 pagi. Para peserta berharap ukhwah ini terus terpelihara sehingga ke akhir hayat. Sedikit ucapan yang disampaikan oleh peserta jaulah iaitu Amirul Ashraf bin Sulaiman dengan dengan ucapan “SONATA ’19 terbaik”.




Tuesday, January 22, 2019

[ MAHASISWA BERTHAQAFAH PENERUS GENERASI NUBUWWAH ]



 Mahasiswa merupakan satu kelompok yang membawa harapan umat dan aset bagi masyarakat. Mahasiswa juga merupakan penggerak utama kepada jatuh bangunnya dalam sesebuah negara. Di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, mahasiswa didefinisikan sebagai penuntut di universiti. Namun secara realiti, peranan mahasiswa melampaui definisi tersebut. Mahasiswa merupakan obor dan nadi perjuangan junjungan baginda Rasulullah S.A.W dan para Sahabat. Namun, tanpa thaqafah dan pengetahuan yang mapan, makna tersirat bagi mahasiswa tidak membawa apa-apa erti bagi seorang penuntut di universiti. 

Firman Allah S.W.T :


يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا۟ فِى ٱلْمَجَٰلِسِ فَٱفْسَحُوا۟ يَفْسَحِ ٱللَّهُ لَكُمْ ۖ وَإِذَا قِيلَ ٱنشُزُوا۟ فَٱنشُزُوا۟ يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ دَرَجَٰتٍ ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ  

Maksudnya : “ Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan”


 Seorang mahasiswa yang luar biasa tidak akan terlahir dari rahim yang pemikirannya hanya tercorak di bilik kuliah sahaja. Mahasiswa yang luar biasa merupakan seorang manusia yang pemikirannya jauh kehadapan melangkaui zaman. Corak pemikiran ini hanya mampu diacu dengan thaqafah yang jitu dan kualiti pembacaan yang bermutu. Mahasiswa seperti ini haruslah mempunyai semangat yang tinggi untuk menjulang keizzahan ilmu demi meneruskan perjuangan junjungan baginda Nabi Muhammad S.A.W. Untuk mencapai ke peringkat tersebut bukan satu perkara yang mudah, kerana banyak perkara yang perlu dikorbankan sama ada masa, tenaga dan harta. Namun, bagi seorang mahasiswa yang luar biasa, perkara tersebut tiada ertinya berbanding menjadi pewaris kepada gerak kerja Rasulullah S.A.W. Pepatah menyebut “nak seribu daya, taknak seribu dalih”.

 Dalam mengejar maksud sebenar mahasiswa, beberapa pra-syarat perlu dipatuhi sebelum bermulanya ekspedisi seorang mahasiswa yang berthaqafah. Antaranya, niat yang ikhlas dan kefahaman yang baik. Dua aspek ini merupakan elemen yang penting dalam pembentukan seorang mahasiswa yang berthaqafah. Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya I’lam Al-Muwaqi’in menyebutkan ada 2 nikmat yang terbesar selepas nikmat Iman dan Islam. Yang pertama Husnu al-Qasd (niat yang baik) dan yang kedua Husnu al-Fahm (kefahaman yang baik). Jika dua aspek ini gagal dipatuhi dengan elok, maka akan lahirlah mereka yang gemar bermain dengan ilmu tetapi ilmunya tidak pernah menatijahkan perkara yang baik bagi dirinya mahupun orang lain. 

 Setelah kedua aspek tersebut berjaya mendarah daging dalam diri mahasiswa, langkah diteruskan lagi dengan pembinaan thaqafah yang luas dalam diri. Antara nikmat terbesar yang wujud khususnya bagi mahasiswa di Mesir ialah bumi ini kaya dengan majlis ilmu. Terdapat ratusan majlis ilmu yang terhidang di hadapan mata dan hanya perlu dipilih sahaja. Majlis ilmu yang disajikan oleh para ulama’ di bumi Mesir ini sentiasa berkembang bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan. Seorang mahasiswa yang berthaqafah mestilah memperuntukkan sebahagian dari waktu hariannya untuk menghadiri majlis ilmu bagi menambah pengetahuannya dalam bidang yang diceburi. Satu lagi kenikmatan yang mampu dikecapi oleh mahasiswa di Mesir ini ialah majlis ilmu juga disediakan oleh peringkat pimpinan di setiap rumah negeri. Satu inovasi yang terlahir dari buah fikiran pimpinan yang terdahulu dengan menubuhkan Madrasah Al-Imam Abdullah Ibn Mubarak ( MAAIM ) yang menjemput para ulama’ yang berkredibilti tinggi untuk mencurahkan ilmu kepada mahasiswa di Perlembahan Nil ini. Maka, tiada lagi alasan bagi seorang mahasiswa untuk tidak menghadiri majlis ilmu. 

 Selain itu, mahasiswa yang berthaqafah sewajibnya menjadikan buku dan kitab sebagai rakan karib mereka. Pepatah Arab menyebut, “Sebaik-baik teman duduk setiap masa adalah buku”. Mahasiswa yang berthaqafah perlu bergelumang dengan bahan bacaan dengan kerap agar thaqafah yang baru sentiasa bertambah. Bahan bacaan pertama yang wajib dibaca dan dikupas isinya oleh setiap mahasiswa tidak lain dan tidak bukan ialah Al-Quran. Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi di dalam kitabnya Thaqafah Ad-Dai’yah menyebut, “ Antara kewajipan bagi seorang hafiz dan bukan hafiz ialah sentiasa berterusan membaca Kitabullah dengan penuh khusyu’ dan tadabbur. Membaca sambil membuka pintu hati, menerangkan dada untuk menerima kebenaran, menyediakan akal untuk cahaya pengetahuan dan cahaya kebenaran”. Setelah Al-Quran sudah menjadi sebahagian dari teman hidup, maka seorang mahasiswa perlu menambah lagi dengan bahan bacaan yang lain. Antara bahan bacaan yang baik bagi seorang mahasiswa ialah bahan bacaan yang berbentuk fikrah kerana secara tidak langsung mampu membentuk pemikiran yang baik. Selain itu, bahan bacaan berbentuk spiritual juga amat baik kerana genre sebegini mampu menjadi penyegar di kala hati sedang kelelahan.



  Seterusnya, setelah menghadiri majlis ilmu dan menambah pengetahuan dengan bahan bacaan, mahasiswa berthaqafah wajib mengamalkan segala yang terisi di dada dengan praktikal. Pelbagai medium yang tersedia untuk mencurahkan segala yang diketahui antaranya menjadi pembimbing dalam kelas tutor, menerima jemputan sebagai pengisi, menjadi kolumnis dalam majalah kampus, menjadi panel mahupun moderator dalam forum mahasiswa dan lain-lain. Proses sebegini mampu membentuk malakah pengetahuan seorang mahasiswa. Jika pengetahuan tersebut dibiar begitu sahaja, dikhuatiri akan hilang beransur-ansur sebelum sempat dimanfaatkan. Medan sebegini perlu dimanfaatkan sebaiknya sebelum turun ke medan yang lebih mencabar. Perlu diketahui berpencak di medan mahasiswa sangat berbeza dengan medan awam. Jika tidak diasah secara baik, nescaya ketumpulan dari dakwah yang dibawa akan terhasil dan akan merugikan.

  Akhirul kalam, moga dengan sedikit perkongsian ini mampu meniupkan sedikit semangat untuk bersama-sama menjadi seorang mahasiswa yang mampu menjadi ejen perubah masyarakat. Perlu diketahui bahawa ilmu dan amal perlu bergerak seiring laksana dua perahu yang bergerak di atas sungai yang sama. Imam Ghazali menyebut, “Ilmu tanpa amal itu gila, dan amal tanpa ilmu tidak membawa apa-apa”. Bergeraklah di atas bumi Allah dengan reda-Nya. Teruskan menjadi hamba.

Wallahualam.

Amirul Ashraf bin Sulaiman,
Kuliah Usuluddin,
Ketua Unit Pengetahuan dan Bimbingan BKPJM 18/19.

Sunday, December 23, 2018

MENJADI HAMBA KEPADA ALLAH BUKAN KEPADA PEPERIKSAAN


   Peperiksaan merupakan sebuah penilaian yang dilaksanakan untuk mengetahui tahap penguasaan atau pemahaman pelajar di sesebuah institusi pengajian, baik di peringkat persekolahan mahupun di universiti, dengan tertakluk kepada gred yang ditetapkan oleh jabatan pendidikan sesebuah negara terhadap setiap tingkatan penguasaan.  Justeru itu, semestinya semua pelajar menginginkan keputusan yang terbaik dalam setiap peperiksaan yang diduduki mereka.

 Namun, ada segelintir pelajar yang berpendapat bahawa peperiksaan adalah segala-galanya dalam menentukan hala tuju dan baik-buruk kehidupan mereka di masa hadapan, sehinggakan acapkali terlupa tujuan utama kehidupan iaitu untuk menggapai keredhaan-Nya.  Lantas, kita perlu sentiasa beringat dan kembali kepada fitrah seorang hamba iaitu menjadi hamba kepada Allah bukannya kepada peperiksaan yang hanya merupakan penetapan manusia semata-mata.

  Ramai manusia mencari kedudukan di sisi manusia, dengan menginginkan keputusan yang cemerlang.  Akan tetapi, berapa ramai yang beringat untuk menjadi hamba yang cemerlang di dunia dan di akhirat sana. Malah, ilmu yang bermanfaat bukan hanya bertujuan untuk cita-cita, akan tetapi untuk mengecapi sebuah makna. Dengan ilmu yang bermakna dan sikap yang ikhlas, kita dapat mendidik diri kita untuk melakukan amal islami dan menyumbang kepada agama Allah. Apabila belajar sesuatu ilmu hanya untuk mengejar cita-cita, pastinya ia merugikan masa kerana tujuan hidup bukan untuk bekerja dan mendapat pangkat tinggi semata-mata.  Akan tetapi, untuk menegakkan amar makruf nahi munkar  (Menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran) di samping menjadi hamba Allah yang bertaqwa.  Bertepatan dengan firman Allah SWT:

 وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإِنسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونِ
Surah Adz-Zariyat, ayat 56

Maknanya: "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia kecuali untuk mereka menyembah-Ku "

  Ramai manusia mampu menghafal ilmu, tetapi tidak ramai yang mampu mengamalkan ilmu-ilmunya.  Hal ini kerana, hakikat ilmu itu bukan apa yang dihafal tetapi apa yang diamalkan. Secebis kata yang daripada Imam As-Syafie:

"Apabila kamu tidak tahan penatnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kejahilan"

"العلم نور، ونور الله لا يهدى لعاصي"

" Ilmu itu cahaya dan cahaya Allah tidak akan memasuki hati orang yang bermaksiat."


Oleh: Ustazah Nurhazirah binti Abdul Manan
Unit Sambutan dan Rehlah HEWI BKPJM 18/19

.::Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan::.
.::Kesyumulan Islam Tunjang Kesatuan Ummah::.
.:Memacu Profesionalisme Mahasiswi::.
.::Kebajikan dan Perpaduan::.

Wednesday, December 12, 2018

BEKALAN PENDAKWAH AZHARI


DISEDIAKAN OLEH : FATIN FARHANAH BINTI MOHD KHAIR
SETIAUSAHA PROFESIONAL AZHARI (PRO AZHARI) 2019

KAHERAH, 8 DISEMBER 2018 – Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) 18/19 telah menganjurkan sebuah seminar yang berlangsung di Dewan Asrama Pelajar Johor, Hayyu Thamin.

Seminar yang diberi nama Profesional Azhari atau singkatannya Pro Azhari ini dilaksanakan bertujuan membentuk kefahaman Islam yang sebenar dan melengkapkan mahasiswa dan mahasiswi dengan kemahiran softskill serta thaqafah kontemporari.

Pengisi bagi setiap slot terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang tersebut. Pengisi yang pertama ialah Ustaz Abdullah Hussin, Aktivis Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir (KPKM) . Beliau menerangkan bahawa syahadah ialah pintu masuk kepada Islam dan makna syahadah ialah hadir dan ilmu. 

Slot seterusnya disampaikan oleh Ustaz Ahmad Lutfi bin Subahan selaku Setiausaha Agung BKPJM 18/19 dan beliau menekankan keberkesanan sesuatu mesyuarat dijalankan dan membincangkan berkaitan pengendalian mesyuarat dan peranan ahli mesyuarat serta adab-adab bermesyuarat. Pengisi berharap agar peserta dapat mempraktikkan ilmu yang telah diperoleh sebaiknya.

Slot yang terakhir ialah Perubatan Islam dan Gangguan Jin Serta Rawatannya yang disampaikan oleh Ustaz Halim Zakaria bin Yusuf, Aktivis Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) Beliau turut berkongsi tentang amalan-amalan untuk melindungi diri daripada jin dan makhluk halus.

Antara kalam Pengarah Pro Azhari, Ustaz Muhammad Yahya bin Samsul,  beliau mengatakan bahawa “Pro Azhari adalah satu program tarbiah, dan tarbiah membentuk individu secara syumuliah". BKPJM berharap agar program ini memberi manfaat yang besar kepada peserta dan dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Sunday, December 9, 2018

KESYUMULAN ISLAM DIREALISASIKAN DALAM SEBUAH JEMAAH


KESYUMULAN ISLAM DIREALISASIKAN DALAM SEBUAH JEMAAH

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Segala Puji bagi Allah SWT Tuhan Sekalian Alam. Selawat dan Salam atas Junjungan Besar Baginda Nabi Muhammad SAW.

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT atas segala nikmat dan kasih sayang yang telah Allah berikan kepada kita terutamanya nikmat yang besar iaitu nikmat Iman dan Islam.

Suka saya menukilkan satu karya penulisan berdasarkan tema dan pembawaan BKPJM bagi sesi yang baru ini iaitu sesi 2018/2019. Semoga pimpinan BKPJM dapat merealisasikan tema dan pembawaan ini kepada seluruh anak Johor di Mesir.

Firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

hai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. (Surah Al-Baqarah : 208)

Allah SWT menyebut perkataan beriman disitu kerana mereka diberi tanggungjawab untuk membawa Islam dan disusuli taklif (perintah dan kewajipan).

Kewajipan yang dimaksudkan disini ialah masuk ke dalam agama Islam itu secara keseluruhannya kerana kalimah "" ادخلوا  disitu membawa kepada "فعل الأمر".

Ulama menyebut bahawa "  " السلم  itu adalah agama Islam itu sendiri kerana ianya adalah agama perdamaian yang menyeru kepada kedamaian dan membawa kesejahteraan kepada manusia.

Maksud pada ayat ادخلوا في السلم كافة ""  ialah masuk lah ke dalam agama Islam itu secara menyeluruh dengan makna betul-betul sebati dengan ajaran Islam yang sebenar dan tidak mengambil sebahagian pun daripada ajaran Islam itu sendiri.

Jadi bagi sesiapa yang membawa satu pendekatan atau gambaran yang berlainan dan bertentangan daripada Islam maka ianya tidak membawa kepada ajaran Islam yang sebenar.

Allah SWT menyebut perkataan " الشيطان " disitu ialah kerana mereka adalah musuh ketat dan makhluk yang berusaha untuk memalingkan manusia dalam bentuk apa cara sekalipun.

Disebut dalam kitab "خواطر قرانية" karangan Amru Khalid bahawa diantara penyebab hadirnya ayat ini kerana ayat-ayat sebelumnya menjelaskan tentang sebahagian daripada Islam iaitu dari sudut beribadat, hukum waris, peperangan, aturan haji dan infaq.

Maka ayat ini hadir untuk memberitahu bahawa agar umat Islam mengambil Islam secara keseluruhannya dan juga memperingatkan tidak mengambil Islam dengan sebahagian sahaja.

Islam ini adalah agama yang menyeluruh dan Islam tidak sama dengan agama lain yang mengambil sebahagian sahaja dalam agamanya. Islam ini mengikut syariat iaitu merangkumi ibadat, munakahat, muamalat dan jenayat.

Sekecil-kecil perkara seperti memakai selipar bermula kaki kanan pun ada dalam Islam apatah lagi sebesar-besar perkara seperti pentadbiran Islam. Maka ini yang menunjukkan bahawa Islam bukan agama yang lemah bahkan agama yang syumul.

Habib Rizieq Syihab  اللهحفظه  ada menyebut bahawa “Islam ini bukan seperti makanan hidangan (boleh dipilih-pilih) tetapi Islam perlu masuk sepenuhnya. Agama Islam ini adalah aturan Allah dimana kita perlu buat apa yang Allah perintahkan dan kita perlu tinggal apa yang Allah larang.”

Penghayatan dan pengamalan segala syariat dalam Islam itu tidak boleh tidak perlu direalisasikan melalui wasilah sebuah jemaah atau kesatuan yang utuh lagi bersungguh-sungguh untuk mengamalkan Islam itu secara menyeluruh.

Firman Allah SWT :

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai. (Sura Ali-Imran : 103)

Ayat di atas menerangkan kepada kita bahawa kita perlu berpegang teguh dengan agama Allah keseluruhannya. Ini menunjukkan bahawa umat Islam perlu bersatu dan menjadikan Islam itu sebagai asas dan panduan utama bagi seluruh gerak kerja dalam kehidupan kerana Islam adalah satu-satunya agama yang diiktiraf oleh Allah SWT.

Suka saya untuk memetik satu kalam daripada Saidina Umar Al-Khattab R.A :

”لا الإسلام إلا بالجماعة، لا الجماعة إلا بالقيادة، لا القيادة إلا بالطاعة“

“Tidak akan kuat Islam melainkan dengan Jemaah, Tidak akan kuat Jemaah melainkan dengan Kepimpinan, Tidak akan kuat Kepimpinan melainkan dengan Taat”

Berdasarkan kalam hikmah tersebut, kita dapat memahami bahawa kekuatan Islam itu akan hadir apabila semua bersatu padu dalam satu jemaah. Dan kekuatan jemaah itu akan hadir apabila wujudnya sifat taat dan wala' seorang ahli kepada kepimpinan dalam sebuah jemaah.

Kekuatan dalam menyeru manusia dan umat kepada ajaran Islam yang sebenar ialah tidak mencukupi jika dilakukan secara berseorangan tanpa jemaah tetapi perlu bergerak bersama jemaah supaya dapat saling membantu dan saling melengkapi antara satu sama lain.

Ulama' ada menyebut dalam satu kaedah yang berbunyi :

”للوسائل حكم للمقاصد“

“Hukum bagi wasilah sama dengan tujuannya”

Kaedah ini bersesuaian dengan pelaksanaan gerak kerja Islam secara syumul. Jadi bagi mencapai tujuan kesyumulan Islam itu adalah tidak boleh tidak perlu dilaksanakan dengan wasilah sebuah jemaah yang kuat dan kukuh atas dasar Islam.

Akhir kalam, saya memetik satu kalam hikmah mulia daripada Sulthonul Ulama' Al-Allamah Al-Arif Billah Al-Habib Salim bin Abdullah Asy-Syatiri  الله رحمه  iaitu :

”مجالس الخير تجعلك الخير ولو أنت من الأشرار
ومجالس الشر  تجعلك الشر ولو أنت من الأخيار“

“Perkumpulan yang baik akan menjadikan kamu baik meskipun kamu adalah orang yang buruk dan perkumpulan yang buruk akan menjadikan kamu buruk meskipun kamu adalah orang yang baik”.

Kalam ini memberitahu tentang perihal fadhilat berada dalam sebuah jemaah. Ianya menunjukkan bahawa dengan berada dalam sebuah jemaah yang baik mampu mengislah dan mentarbiyah diri kita ke arah yang lebih baik.

Maka marilah kita sama-sama sebagai mahasiswa Johor yang berada di bumi Mesir ini untuk bersama-sama berada dalam bahtera BKPJM sebagai wasilah untuk mencapai tujuan kita yang sebenar iaitu merealisasikan kesyumulan Islam demi kesejahteraan dan kebajikan bagi seluruh anak-anak Johor di Mesir.

Wallahu'alam.
Muhammad Harith Osman
21 November 2018.

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...