Saturday, December 19, 2020

[ TEKS | UCAPTAMA YDP BKPJM 20/21 ]

UCAPTAMA YANG DI-PERTUA

BADAN KEBAJIKAN PELAJAR-PELAJAR JOHOR DI MESIR 2020/2021


بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الْحَمْدُ لله رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَبِهِ نَسْتَعِيْنُ عَلَى أُمُوْرِ الدُّنْيَا وَالدِّيْنِ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ الْمُرْسَلِيْنَ، نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صلى الله عليه وسلم وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلىَ يَوْمِ الدِّيْنِ، وَبَعْد:

Yang dihormati Ketua HEWI Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir sesi 2020/2021 Ustazah Nur Syuadah binti Mohd Salleh, yang dikasihi sahabat barisan kepimpinan Ahli Jawatankuasa Tadbir dan Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) BKPJM sesi 2020/2021, barisan ahli lembaga penasihat, aktivis penggerak unit-unit BKPJM, adik-beradik BKPJM yang saling menguatkan, serta sidang penonton yang dirahmati Allah s.w.t sekalian.

Pertama dan selamanya marilah kita bersama-sama mengucapkan lafaz الحمد لله serta memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kita ke hadrat Allah swt kerana dengan limpah kasih sayangnya, kita diberi kesempatan dan keizinan pada hari ini untuk bersama-sama menyaksikan dan mendengarkan Siaran Langsung Ucaptama Yang di-Pertua Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir sesi 2020/2021. Sesungguhnya, kehadiran kita pada malam ini adalah penting kerana melalui siaran langsung ini, kami akan membentangkan hala tuju dan pembawaan BKPJM bagi sesi 2020/2021. 

Sidang penonton yang dikasihi Allah swt sekalian,

BKPJM merupakan salah satunya persatuan Islam yang telah ditubuhkan dalam kalangan anak Johor di Mesir pada tahun 1970. Pada mulanya, ia diberi nama Tabung Derma Pelajar Islam Johor (TDPIJ). Pada tanggal 12 November 1982, Tabung Derma Pelajar Islam Johor (TDPIJ) digantikan dengan nama Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM). Maka, bermulalah lakaran sejarah BKPJM apabila Allahyarham Al-Fadhil Ustaz Abdul Salam bin Abd Rahman dipilih sebagai Yang di-Pertua pertama BKPJM bagi sesi pentadbiran pada tahun 1982. Dengan wadah ini jugalah, BKPJM bergerak dengan agenda kesatuan dalam menyatukan anak-anak Johor yang berada di Mesir sejak berdekad lamanya.

Sidang penonton yang dikasihi Allah swt sekalian,

Pada tahun ini, Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir sesi 2020/2021 telah bersetuju untuk mengangkat tema pembawaan BKPJM yang berbunyi,

KEISLAMAN DIPERKUKUH, KEBAJIKAN TERLAKSANA

Bagi merealisasikan visi “KEISLAMAN DIPERKUKUH, KEBAJIKAN TERLAKSANA” ini, BKPJM telah meletakkan sebanyak 3 subtopik tema pembawaan sebagai misi utama untuk dilaksanakan oleh pimpinan dan seluruh ahli BKPJM. 3 misi tersebut ialah:

1. Memaksimumkan agenda kebajikan dalam kalangan anak Johor di Mesir.
2. Mengemaskini dan memperluaskan peranan Tabung Dana Ehsan BKPJM (TDEB).
3. Menerapkan budaya ilmu, dakwah dan tarbiah dalam menempuh norma baharu.

Kesemua subtopik ini saling berkait dan perlulah dijayakan secara bersama bagi menjayakan tema pembawaan BKPJM. 

Huraian bagi 3 subtopik adalah seperti berikut:

……………………………………………………………..........................................................................

Subtopik pertama:

Memaksimumkan agenda kebajikan dalam kalangan anak Johor di Mesir.


Kebajikan merupakan perkara asas yang diambil berat oleh Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir sejak awal penubuhannya. Pelbagai aktiviti kebajikan telah dilaksanakan oleh BKPJM. Antaranya ialah; 

  1. Memberi sumbangan kebajikan kepada ahli yang kurang berkemampuan.
  2. Menyediakan perkhidmatan mushrif kepada mahasiswi yang memerlukan keluar pada waktu malam.
  3. Menyediakan Mushrif Kesihatan dengan kerjasama PERUBATAN.
  4. Mengadakan kelas tutorial dan program persediaan sebelum peperiksaan.


Ini bertepatan dengan firman Allah swt:


…وتَعَاوَنُوا عَلَى البِرِّ وَالتَّقوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الإِثمِ وَ العُدوَن وَاتَّقُوا الله إِنَّ الله شَدِيدُ العِقَاب

"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam melakukan kebaikan dan bertakwa, dan janganlah pula bertolong-tolongan dalam melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahnya)”.      

(Surah Al-Mai’dah : 2)


Sidang penonton yang dirahmati Allah swt sekalian,

Antara tindakan yang dirancang oleh BKPJM bagi Memaksimumkan agenda kebajikan dalam kalangan anak Johor di Mesir ialah dengan meneruskan penyerahan sumbangan COVID-19. Bertepatan Mesyuarat Agung Tahunan BKPJM kali ke 38 yang telah dilaksanakan pada November lalu, ahli mesyuarat sebulat suara agar BKPJM memperuntukkan sebanyak EGP 10, 000 untuk sumbangan COVID-19 bagi membantu anak Johor di Mesir.

Selain itu, di bawah Unit Pengetahuan dan Bimbingan BKPJM juga akan berusaha dalam membantu permasalahan anak Johor berkaitan akademik dan kuliah. Ini bertujuan untuk memastikan peratusan kecemerlangan anak Johor terus meningkat.

Di bawah Lajnah Perumahan BKPJM juga akan bekerjasama bersama Pegawai Atase Pendidikan Negeri Johor bagi penambahbaikan Asrama Pelajar Johor. Ini bertujuan untuk memberi keselesaan khususnya kepada penduduk Asrama Pelajar Johor dan umumnya kepada anak-anak Johor di Mesir.

Dalam permasalahan akhawat keluar malam tanpa musyrif. Pada sesi kali ini, Unit Keselamatan di bawah Unit Sambutan dan Rehlah BKPJM akan memperkasakan sistem musyrif dengan membuat jadual mushrif mengikut zon, melantik mas’ul dan mas’ulah musyrif di setiap zon dan sebagainya.

Dari sudut perpaduan pula, pemerkasaan hubungan luar akan diambil berat bagi mengeratkan lagi hubungan BKPJM bersama pihak berwajib supaya dapat melicinkan lagi gerak kerja bersama. Di samping itu juga, BKPJM juga akan bekerjasama bersama semua Badan Kebajikan Anak Negeri dan PERUBATAN dalam melestarikan agenda kebajikan dan perpaduan. 

Aktiviti ziarah ke rumah anak-anak Johor di Mesir juga akan dipertingkatkan. Di samping memperkukuhkan lagi tautan ukhuwah, kita juga dapat menjalankan aktiviti dakwah kepada anak-anak Johor di Mesir.

……………………………………………………………..........................................................................

Subtopik kedua:

Mengemaskini dan memperluaskan peranan Tabung Dana Ehsan BKPJM (TDEB).


Sidang penonton yang dimuliakan Allah swt sekalian,


Tabung Dana Ehsan BKPJM atau singkatannya TDEB merupakan inisiatif generasi terdahulu bagi menjaga kebajikan anak Johor di Mesir khususnya dari sudut kewangan.


Dilancarkan pada 6 Mei 2010 oleh Yang di-Pertua ketika itu Ustaz Basir bin Mohamed dan diuruskan oleh Unit Kebajikan dan Tabung Derma BKPJM. Kini ia masih diuruskan di bawah Unit Kebajikan dan Kemanusiaan BKPJM.


Firman Allah swt dalam Surah Saba' ayat 39 :


قُلْ إِنَّ رَبِّى يَبْسُطُ ٱلرِّزْقَ لِمَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦ وَيَقْدِرُ لَهُۥ ۚ وَمَآ أَنفَقْتُم مِّن شَىْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُۥ ۖ وَهُوَ خَيْرُ ٱلرَّٰزِقِينَ


Katakanlah: "Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi (siapa yang dikehendaki-Nya)". Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.


Justeru itu, bagi memperluaskan lagi peranan TDEB, BKPJM telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan Jawatankuasa TDEB bagi memastikan perjalanan TDEB berjalan dengan teratur. Di samping itu, Unit Kebajikan dan Kemanusiaan BKPJM akan berusaha memberi penerangan berkenaan TDEB melalui infografik dan pelbagai medium lagi kepada semua anak Johor, supaya mereka mendapat kefahaman berkaitan TDEB, seterusnya melatih ahli mempunyai sifat suka memberi, serta dapat membantu dan meringankan beban ahli yang kurang berkemampuan.


………………………………………………………………......................................................................


Subtopik ketiga:

Menerapkan budaya ilmu, dakwah dan tarbiah dalam menempuh norma baharu.


Sidang penonton yang dimuliakan Allah swt sekalian,

Islam mengajar kita bahawa ilmu dan amal perlu bergerak seiring. Sekiranya kedua-dua itu tidak digerakkan bersama, maka agenda dakwah akan terbantut dan tidak dapat dilaksanakan dengan baik. 

Walaupun keadaan pada ketika ini berlainan disebabkan berlakunya pandemik COVID-19, ia bukan menjadi penghalang kepada kita untuk terus menerapkan budaya ilmu dan menggerakkan agenda dakwah sesama kita. 

Justeru itu, BKPJM juga sentiasa melatih dan menerapkan kepada ahlinya agar beramal dengan apa yang mereka peroleh di dalam kelas-kelas pengajian dan gerak kerja berpersatuan melalui medium yang baharu. 

Firman Allah s.w.t

وَعَدَ اللهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا وَعَمِلُوا الصَّلِحَتِ لَهُم مَغفِرَةٌ وَأَجرٌ عَظِيم

“Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh keampunan dan pahala yang besar”.

(Surah al-Maidah : 9)

Antara tindakan yang telah disusun BKPJM bagi menjayakan subtopik ini ialah, meneruskan Kelas Tafaqquh secara siaran langsung yang dikelolai oleh Madrasah Imam As-Sanusi. Kelas Tutorial juga akan diadakan bagi membantu anak Johor dalam menjawab soalan peperiksaan.

Selain itu, penguatkuasaan Jabatan Hisbah dan Unit Bait Muslim juga merupakan pemfokusan pada sesi kali ini agar masalah-masalah Hisbah dapat diselesaikan dan menjamin keselamatan anak-anak Johor di Mesir. 

Dari sudut tarbiah, perjalanan Muzakarah Berkelompok akan dipertingkatkan dan dipergiatkan pelaksanaannya melalui medium baharu. Pemantapan barisan fasilitator juga akan dititikberatkan melalui program Ijtima Fasilitator, liqo-liqo fasilitator dan perbincangan-perbincangan permasalahan dan ilmiah bagi memastikan Muzakarah Berkelompok yang dijalankan mencapai hadaf dan tujuan bagi meribat hati anggotanya. Teknikal dan pendekatan pelaksanaan Muzakarah Berkelompok yang berkesan akan terus dikaji dan dilaksanakan sesuai dengan keadaan semasa anak-anak Johor di Mesir.

Selain itu juga, di bawah Unit Dakwah dan Tarbiah akan memperkasakan biah solehah dalam kalangan ahli dan anak-anak johor dengan menyusun beberapa aktiviti dan program yang berbentuk kerohanian seperti mengadakan Ihya Jumuah, Tazkirah Subuh, Ribat Tarbawi dan sebagainya. 

Sidang penonton yang dimuliakan Allah swt sekalian,

Firman Allah SWT: 

وَأَلَّفَ بَينَ قُلوبِهِم ۚ لَو أَنفَقتَ ما فِي الأَرضِ جَميعًا ما أَلَّفتَ بَينَ قُلوبِهِم وَلٰكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَينَهُم ۚ إِنَّهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

“Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” 

(Surah Al-Anfaal: 63)

Sesungguhnya pembawaan ini tidak dapat dilaksanakan melainkan dengan adanya dokongan dan dorongan daripada ahli bagi merealisasikannya. Oleh itu, kami di peringkat pimpinan BKPJM menyeru kepada semua ahli BKPJM dan seluruh anak Johor di Mesir agar sama-sama menjayakan pembawaan BKPJM yang telah saya nyatakan sebentar tadi.

Marilah kita bersama-sama bermunajat dan mendoakan kelangsungan BKPJM agar terus utuh serta mendoakan supaya wabak COVID-19 ini diangkat oleh Allah swt.

أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم وبالله التوفيق والهداية السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

“Kebajikan dan Perpaduan”

#BKPJMKeluargaKita

"Keislaman Diperkukuh, Kebajikan Terlaksana"

 

No comments:

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...