Thursday, December 31, 2020

[ PERANAN ULAMA' DALAM PEMBANGUNAN NEGARA ]


PERANAN ULAMA’ DALAM PEMBANGUNAN NEGARA


Ulama’ merupakan golongan yang istimewa di sisi Allah SWT. Mereka diiktiraf oleh Nabi SAW sebagai pewaris para nabi kerana kehebatan ilmu yang ada pada diri mereka itu sebagai alat untuk menyelamatkan umat dalam memahamai ajaran Islam yang sebenar mengikut panduan al-Quran dan al-Sunnah.


Sifat Ulama’: Takut Kepada Allah SWT

Banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW yang menyebutkan tentang kelebihan dan sifat ulama’. Diantaranya ialah:

Firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَخۡشَى ٱللَّهَ مِنۡ عِبَادِهِ ٱلۡعُلَمَٰٓؤُاْۗ

Maksudnya: “Sesungguhnya yang takut kepada Allah di kalangan hamba-hambaNya ialah orang-orang yang berilmu (ulama’).” (Surah Fatir: 28)

Berdasarkan firman Allah SWT di atas, jelas menunjukkan sifat dan ciri terpenting seorang ulama’ ialah perlu ada sifat takut kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya termasuk melaksanakan gerak kerja amar ma’ruf dan nahi mungkar bagi membina sebuah negara yang harmoni dan sejahtera.

Imam al-Ghazali rahimahullah mencela terhadap ulama’ yang menjatuhkan diri daripada kefardhuan melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar dan tidak berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim dan menyukai terhadap dunia dan menuntut kemegahan. Sifat ulama’ yang dituntut ialah yang membawa risalah amar ma’ruf dan nahi mungkar. Inilah yang membezakan antara ulama’ akhirat dan ulama’ dunia atau ulama’ su’.


Tanggungjawab Ulama’ Terhadap Pemimpin

Pemerintahan dan pembangunan sebuah negara Islam ini memerlukan kepada panduan al-Quran dan al-Sunnah. Kedua-dua sumber ini hanya dapat difahami oleh ulama’. Maka sebuah kerajaan dalam negara perlu merujuk ulama’ untuk melaksanakan hukum-hakam Islam secara syumul dalam pemerintahan Islam. Imam al-Ghazali rahimahullah menyebut dalam kitabnya ‘al-Iqtisad fi al-I’tiqad’:

الدِّينُ والسُّلطَانُ تَوءَمَانِ، وَلِهَذَا قِيلَ : الدِّينُ أُسٌّ وَالسُّلطَانُ حَارِسٌ، وَمَا لَا أُسٌّ لَهُ فَمَهدُومٌ، وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ

Maksudnya: “Agama dan pemerintahan itu seperti dua anak kembar, dan kerana ini juga dikatakan: Agama itu asas (dasar) dan pemerintahan itu ialah penjaganya, dan barang yang tiada asas itu akan runtuh dan barang yang tiada penjaga itu akan lenyap.”

Agama dan pemerintahan ini sangat berkait rapat dan tidak boleh dipisahkan sama sekali. Ulama’ adalah golongan yang paling memahami hal ehwal agama sebagai rujukan buat para pemimpin dalam sebuah negara. Syeikh Abdul Qodir al-Mandili rahimahullah juga menyebut dalam kitabnya ‘Islam, Agama dan Kedaulatan’:

“Islam itu bercampur agama dengan kedaulatan (kekuasaan), dan bercampur gaul (sebati) kedaulatan dengan agama, hingga tiada dapat (tidak boleh) diceraikan antara keduanya, dan hingga jadilah kedaulatan pada Islam itu agama, dan jadi agama di dalam Islam itu ia kedaulatan.”

Pada suatu ketika dahulu, sejarah di negara Mesir telah membuktikan bahawa tentera Mesir pernah dipimpin oleh seorang raja muda yang berumur sekitar 19 tahun iaitu Saifuddin Qutuz. Beliau memimpin tentera Mesir untuk mengalahkan tentera Tatar yang zalim pada tahun 658 hijrah. Kemenangan Islam yang mereka capai itu dibantu oleh seorang ulama’ hebat merangkap penasihat raja di Mesir iaitu Sulthan al-Ulama’, al-Izz Ibnu Abd al-Salam rahimahullah. Di sini menunjukkan bahawa gandingan di antara umara’ dan ulama’ itu memberikan kekuatan yang besar buat Islam.

Selain ulama’ ini dijadikan sebagai rujukan, ulama’ juga memainkan peranan yang penting sebagai penasihat kepada pemimpin sebuah negara. Ada satu kisah menarik berkenaan ketegasan Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi rahimahullah yang mempertahankan al-Azhar terhadap kenyataan hina yang dilontarkan oleh Presiden Mesir pada ketika itu. 

Presiden Mesir pada ketika itu pernah menyatakan dalam satu ucapannya bahawa ulama’ al-Azhar ini seperti anjing atau yang merosakkan di Mesir. Justeru, Syeikh al-Sya’rawi terus membalas kenyataan dengan menghantar telegram atau telefon kepada Presiden Mesir tersebut. Beliau dengan tegas berkata: “Sesungguhnya al-Azhar tidak mengeluarkan golongan yang merosakkan atau anjing, tetapi al-Azhar mengeluarkan ulama’ yang mulia dan pendakwah yang unggul.”

Inilah antara keberanian dan sifat tanggungjwab yang ada pada diri Syeikh al-Sya’rawi sebagai seorang ulama’ di bumi Mesir. Datuk Dr. Zulkilfli Mohamad al-Bakri pernah menyebut bahawa ramai ulama’ menghormati keilmuannya, walaupun beliau (Syeikh al-Sya’rawi) sudah meninggal dunia, selepas kematiannya, seolah-olah Mesir mandul untuk melahirkan Sya’rawi yang kedua.


Ulama’ Membimbing Masyarakat

Setiap perbuatan dalam kehidupan seorang muslim itu tidak boleh lari daripada panduan ajaran Islam yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Maka ulama’ perlu memainkan peranan yang penting untuk menanamkan kefahaman Islam yang syumul kepada seluruh umat Islam daripada sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara termasuk dalam memperjuangkan sebuah negara Islam.

Ulama’ ini menjadi tempat untuk masyarakat awam memperolehi manfaat dan kebaikan melalui ilmu yang mereka ada. Kehadiran ulama’ ini dapat memberikan 1001 rahmat buat masyarakat dan negara kerana mereka diberikan oleh Allah SWT dengan harta-harta peninggalan yang telah ditinggalkan oleh Nabi SAW iaitu ilmu-ilmu yang bermanfaat. Nabi SAW pernah bersabda: 

العُلَماءُ ثَلاثَةٌ رَجُلٌ عاشَ بِعِلمِهِ وعاشَ النّاسُ بِهِ، ورَجُلٌ عاشَ النّاسُ بِهِ وأهلَكَ نَفسَهُ، ورَجُلٌ عاشَ بِعِلمِهِ ولَم يَعِش بِهِ غَيرُهُ

Maksudnya: “Ulama’ itu ada tiga jenis. Pertama orang yang alim yang hidup dengan ilmunya (yang mengamalkan ilmunya) dan masyarakat juga hidup dengan ilmunya. Kedua, orang yang alim yang masyarakat mengambil manfaat dengan ilmunya tetapi dia sendiri membinasakan dirinya (tidak mengamalkan ilmunya). Ketiga, orang alim yang hidup dengan ilmunya (mengamalkan ilmunya) tetapi orang lain tidak mengambil manfaat dengan ilmunya.” (Hadis Riwayat al-Dailami)

Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam hafizahullah menerangkan maksud hadis di atas ini ialah bahawa orang yang alim ini bermacam-macam. Yang pertama ini perumpamaannya lebih berperanan daripada yang lain. Masyarakat sangat merasakan peranannya dan dia juga mempunyai keahlian dalam memberikan layanan kepada semua lapisan masyarakat, maka kewujudannya di tengah-tengah masyarakat umpama lampu yang menyinari kawasan di sekelilingnya.  


Ulama’ Sebagai Contoh Teladan

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab: 21)

Rasullullah SAW adalah makhluk yang paling agung di atas muka bumi Allah SWT ini dan akhlak yang ada pada baginda adalah akhlak yang paling mulia dan patut dicontohi. Bertepatan dengan hadis Nabi SAW yang menyebut bahawa ulama’ adalah pewaris nabi-nabi, maka ianya sekaligus mewarisi akhlak mulia yang ada pada nabi-nabi sebagai ikutan buat masyarakat.

Pada era globalisasi ini dapat menyaksikan bahawa masyarakat hanya melihat kebenaran ilmu itu pada orang-orang yang pandai bercakap dalam bidang agama tanpa melihat pada ilmu dan akhlak yang ada pada diri mereka sedangkan ilmu itu perlu diselarikan dengan akhlak, bukan hanya percakapan kosong semata-mata. Imam al-Ghazali rahimahullah menyebut dalam ‘Minhaj al-Abidin’:

فإن لسان الحال أفصح من لسان المقال

Maksudnya: “Kerana sesungguhnya ucapan perilaku (akhlak) lebih fasih daripada ucapan kata-kata.”

Selain itu juga, ulama’ perlu menjaga penampilan dalam berpakaian kerana itu juga mencerminkan sebagai golongan yang membawa risalah Islam. Seelok-eloknya perlu berpakaian seperti agamawan sebagai mengagungkan syi’ar agama Allah SWT. Tidak sepatutnya ulama’ yang merupakan seorang da’i terikut-ikut gaya hidup mad’u di kalangan masyarakat awam. Pepatah arab ada menyebut:

حسنات الأبرار سيئات المقربين

Maksudnya: “Apa yang dianggap baik oleh orang-orang baik (abrar) dianggap satu keburukan bagi orang-orang muqarrabin (yang hampir kepada Allah SWT).”

Semoga Allah SWT memberikan kekuatan buat para ulama’ yang rabbani untuk membimbing dan memandu sebuah negara dengan melaksanakan segala syariat Islam bagi menuju sebuah negara yang harmoni dan sejahtera sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran:

بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ

Maksudnya: “Negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun.” (Surah Saba’: 15)


Rujukan:

Al-Quran al-Karim

40 Hadis Kelebihan Ilmu dan Ulama’, Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari al-Nadwi al-Maliki.

Al-Iqtisad fi al-I’tiqad, Imam Abu Hamid al-Ghazali.

Minhaj al-‘Abidin, Imam Abu Hamid al-Ghazali.

Islam: Agama dan Kedaulatan, Syeikh Abdul Qodir al-Mandili.

Al-Imam al-Ghazali wa Juhuduhu fi Harakah al-Islah wa al-Tajdid, Syeikh Dr. Ali al-Solabi.

Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi: Mawaqifnya, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.

No comments:

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...