DISEDIAKAN OLEH:
USTAZAH NUR BAIDURI BINTI MOHD ZAMRI
UNIT DAKWAH DAN TARBIAH
HEWI BKPJM 2017/ 2018
Allah S.W.T berfirman:
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي
عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌۖ أُجِيبُ دَعۡوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِۖ
فَلۡيَسۡتَجِيبُواْ لِي وَلۡيُؤۡمِنُواْ بِي لَعَلَّهُمۡ يَرۡشُدُونَ
Terjemahan: Dan apabila
hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku
adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon
kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan
hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.
(Surah al-Baqarah: 186)
Menyebut tentang kenal
dan cinta kepada Allah S.W.T, adakah kita menyedari bagaimana Allah S.W.T menginginkan
kita untuk mengenaliNya? Jika kita tidak pernah merasai kesakitan, mungkinkah
kita akan mengenal Allah sebagai Maha Penyembuh?
Jika kita tidak pernah
merasai kesedihan, mungkinkah kita akan mengenal Allah S.W.T sebagai Maha
Pengasih? Jika kita tidak pernah melakukan kesilapan, mungkinkah kita akan mengenal
Allah S.W.T sebagai Maha Pengampun?
Jika kita tidak pernah ditimpa
masalah, mungkinkah kita akan mengenali Allah S.W.T sebagai Maha Mengetahui?
Jika kita tidak pernah merasai kesusahan, mungkinkah kita akan meyakini bahawa
Allah S.W.T akan datang menyelamatkan?
Jika kita diberikan
segala-galanya, mungkinkah kita akan mengenal erti bersyukur kepada Allah S.W.T?
Jika Allah S.W.T tidak pernah memperbaiki kita, mungkinkah kita akan menyedari
bahawa Allah S.W.T menyayangi hamba-hambaNya?
Ujian Allah S.W.T untuk kebaikan manusia. |
Kerana itulah kita
digelar hamba. Hamba kepada Tuhan yang Maha Esa. Bukan kuli, bukan majikan dan
bukan pekerja. Hamba tiada apa-apa melainkan menerima rahmat, perlindungan dan
kasih sayang daripadaNya.
Wahai sahabatku,
Cinta itu buta. Apabila
sudah bercinta, yang susah akan menjadi senang, yang jauh akan menjadi dekat,
yang letih akan menjadi kuat, yang sakit akan menjadi sihat. Namun begitu, benarkah
kita juga begitu apabila berhadapan dengan tuntutan agama?
Atau adakah ibadat yang
senang menjadi susah, yang dekat menjadi jauh, yang kuat menjadi letih, yang
sihat menjadi sakit? Daripada sini terkandung sebuah penilaian, marilah kita
muhasabah bersama.
Firman
Allah S.W.T:
ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ
وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ
٢
Terjemahan: Dialah yang
telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan
keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha
Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);
(Surah al-Mulk: 2)
Setiap hamba akan membawa amalannya di hadapan Allah S.W.T. Para syuhada
akan gembira dengan darah syuhada mereka. Para dermawan akan gembira dengan
dermanya, para pejuang akan gembira dengan perjuangannya. Wahai sahabatku,
apakah yang mengembirakanmu nanti di hadapan Allah S.W.T?
Dunia tempat sementara, akhirat kekal selamanya. |
Apabila kita berbicara
soal amalan, sedarkah kita bahawa dunia tempat kita beramal, manakala akhirat
tempat menerima balasan akan segala hal yang telah diamanahkan? Apabila
seseorang itu menarik nafas terakhirnya di dunia, tamatlah segala peluang untuk
menyelesaikan segala amanah dan tamatlah masa untuk bertaubat. Putuslah segala
peluang dan harapan. Bekal kita hanya apa yang telah diusahakan semasa hidup di
dunia.
Wahai
sahabatku,
Apabila permasalahan
sewaktu hidup kita diambil tahu, apatah lagi permasalahan sewaktu mati, sudah
pasti perlu lebih lagi. Mesti diambil tahu kerana selepas mati nanti, ada fasal
syurga dan neraka. Masa hadapan yang sebenar ialah akhirat. Jika kita tidak
ingin menggadaikan masa hadapan, hendaklah sentiasa fikir tentang akhirat.
Amatlah tidak tepat jika menyebut tentang masa hadapan, akan tetapi dalam masa
yang sama menggadaikan kepentingan akhirat.
Keinginan hati yang
tidak pernah habis adalah peluang untuk meraih taqwa yang sebenar-sebenarnya
jika didasari dengan cinta dan tujuan yang jelas semata-mata untuk mencari reda
Allah S.W.T. Juga diraih dengan menggenggam syariat Islam malah membawanya di
atas muka bumi Yang Maha Pencipta.
Dengan cinta yang tulus
dan ikhlas kepada Allah S.W.T, akan terpandulah hati. Jiwa-jiwa di sekeliling yang
kering dahagakan kasih sayang kian hidup subur bersama benih-benih yang menyatukan.
Itu namanya cinta yang membawa bahagia, bahagia kerana keikhlasan.
Wahai sahabatku,
Permainan hidup yang
dicipta manusia ‘mendidik’ kita untuk mengejar kehendak hawa nafsu, mengutamakan
pangkat dan kekayaan serta keseronokan. Permainan ini umpama lautan yang amat dalam.
Lautan yang gelap dan tiada hala tujuan. Tanpa bantuan yang secukupnya, nescaya
manusia sesat di dalam kegelapan itu.
Lantaran itu, Allah telah menyediakan sebuah bahtera untuk manusia
supaya tidak tenggelam dalam lautan yang sementara dalam mengharungi ujian Allah
yang diterima. Taqwa adalah kapalnya manakala iman menjadi nakhodanya. Kapal
melindungi kita daripada malapetaka umpama taqwa melindungi kita daripada bergelumang
leka. Nakhoda membelah lautan mencari jalan umpama iman menjadi penyuluh
kebenaran.
Hidup ini umpama berlayar di lautan. |
Firman
Allah S.W.T:
فَلَا تُطِعِ ٱلۡمُكَذِّبِينَ
٨
Terjemahan: Oleh itu
(berpegang teguhlah pada ajaran Islam yang sedang engkau amalkan dan) janganlah
engkau menurut kemahuan orang-orang yang mendustakan (agama Allah).
(Surah al-Qalam: 8)
Maka, ketika orang
beriman mula memikirkan bahawa selepas kehidupan ada kematian dan selepas
kematian ada kehidupan serta balasan ganjarannya di akhirat kelak, terbitlah
keinsafan untuk kekal bersabar melaksanakan perintah Allah S.W.T. Tersemailah
benihan tabah dalam beramal selagi usia dikandung badan. Mereka kekal akan istiqamah
di jalan dakwah ini, sehinggalah kematian yang pasti datang menjemput ke alam
abadi.
No comments:
Post a Comment