OLEH : NORHALIM BIN LOKMAN
KETUA UNIT EKONOMI BKPJM 2016/2017
Aidilfitri sekali lagi disambut dengan meriah oleh seluruh umat islam di seluruh dunia.
Hari kemenangan, hari kesyukuran, hari
yang istimewa ini sememangnya memberi kegembiraan buat seluruh umat
islam lebih-lebih lagi bagi mereka yang bersungguh-sungguh menghayati bulan
Ramadan dengan ibadah dan mujahadah mendidik hawa nafsu.
Sepanjang bulan Ramadan, kita diberikan peluang untuk
meningkatkan amalan dengan dilipatgandakan ganjaran pahala. Kita diberikan
peluang untuk mendapatkan keampunan daripada Allah S.W.T. malah diberikan
peluang untuk mendidik hawa nafsu melalui ibadah puasa. Ramadan menjadi
madrasah yang mentarbiah diri kita bagi mencapai matlamat utama puasa
melahirkan hamba Allah yang bertaqwa.
Setelah berlalu Ramadan, tibalah hari kemenangan umat
islam iaitu Aidilfitri. Maka seharusnya bagi umat islam menyambut Aidilfitri sebagai
tanda kesyukuran di atas nikmat-nikmat ini. Nikmat
bertemu Ramadan dengan segala kelebihannya, juga nikmat diberikan kesihatan dan
kekuatan untuk menyempurnakan perintah berpuasa sehingga sempurna.
Namun kebahagiaan dalam meraikan kemenangan ini bukanlah
bermakna kita berlepas diri daripada melakukan ibadah dan bebas untuk
berfoya-foya sehingga melanggar batasan syariat. Bahkan Aidilfitri merupakan
natijah daripada tarbiah sepanjang bulan Ramadan?. Adakah kita mampu untuk istiqamah dengan
amalan-amalan yang kita lakukan sepanjang Ramadan. Adakah kita dapat terus memelihara
hawa nafsu daripada melakukan perkara yang dilarang?Atau kita hanya menjadi
hamba Ramadan yang mana berlalunya Ramadan tidak memberi kesan langsung kepada
diri kita.
Amalan-amalan sepanjang bulan Ramadan perlulah diteruskan
terutamanya amalan-amalan sunat yang dituntut seperti qiamullail, bersedekah,
iktikaf dan membaca al-Quran. Tidak dilupakan juga puasa enam hari yang sangat dituntut
oleh Rasulullah S.A.W. Sekiranya ruh Ramadan dapat kita teruskan dalam diri
kita, barulah bermakna Aidilfitri yang kita sebut sebagai hari kemenangan. Minal
a’idin wal faizin iaitu kita tergolong dalam golongan yang kembali kepada
Allah juga golongan yang berjaya.
Aidilfitri juga menjadi kesempatan bagi kita mengukuhkan
lagi hubungan silaturahim. Amalan ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan dan saling
mendoakan sangat dituntut untuk dilaksanakan bagi menjaga ukhuwah islamiah
sesama saudara.
Nikmat Aidilfitri akan
terasa lebih manis sekiranya kita mampu menghayati makna sebenar Aidilfitri itu
sendiri. Usahlah bersedih dengan ketiadaan ketupat, lemang, burasak, mercun dan
sebagainya akan tetapi berbahagialah dengan nilai-nilai ukhuwah yang kita
dapatkan ketika sama-sama bergembira menyambut hari kemenangan.
Bergembiralah kerana kita telah berjaya menjadi tetamu
Ramadan dengan keluar bersama keampunan dan ketaqwaan kepada Allah. Semoga
penghayatan kita dalam menyambut Aidilfitri dengan menjaga adab-adabnya
menjadikan ibadah kita diterima Allah dan diberikan lagi peluang untuk bertemu
dengan Ramadan yang akan datang.
“KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN”
“MEMBENTUK GENERASI MITHALI”
No comments:
Post a Comment