Saturday, October 29, 2016

KEPIMPINAN DALAM ISLAM



Pemimpin dan kepimpinan merupakan persoalan seharian dalam kehidupan bermasyarakat. Kemajuan dan kemunduran masyarakat, salah satunya juga boleh dipengaruhi oleh para pemimpinnya. Justeru itu, tidak mustahillah sekiranya kita banyak mendapati teori tentang pemimpin dan kepimpinan mula berkembang dan banyak diperbahaskan.
Islam meletakkan persoalan pemimpin dan kepimpinan sebagai salah satu persoalan pokok dalam ajarannya. Beberapa pedoman dan panduan telah digariskan untuk melahirkan pemimpin yang diredhai oleh  Allah SWT yang membawa kepada kemaslahatan serta menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat kelak.
Sejarah islam membuktikan betapa pentingnya tampuk kepimpinan bermula dari para nabi dan rasul terdahulu yang telah memimpin kaum mereka, seperti mana hadis Rasulullah s.a.w telah bersabda mafhumnya:
“Sesungguhnya kaum-kaum terdahulu telah diurus tadbir oleh nabi-nabi mereka

Nabi SAW juga menyebutkan bahawa setiap daripada kita merupakan pemimpin dan seorang pemimpin mempunyai amanah berat yang pasti akan dipersoal dan dipertanggungjawabkan oleh mereka di hari akhirat kelak, maksudnya:
“ Setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan dipertanggungjawabkan mengenai orang yang dipimpin”
(Muttafaqunalaihi)

Oleh yang demikian,kita mestilah mengetahui ciri-ciri, adab-adab serta akhlak seorang pemimpin mengikut acuan Islam.Antaranya ialah seorang pemimpin seharusnya mempunyai ciri-ciri kepimpinan Islam iaitu sentiasa mempunyai rasa tanggungjawab dalam memegang sebuah amanah dan lantikan,  mampu dalam mentadbir dan mengurus orang yang dipimpin serta berlaku adil dan ikhlas dalam menjalankan tanggungjawab.

Dr Mustafa Masyhur di dalam karangannya yang bertajuk “Jalan dakwah antara Qiadah dan Jundiyah” ada menyebutkan bahawasanya seorang pemimpin Islam mestilah mengambil Rasulullah Saw sebagai contoh tauladan yang paling utama dalam segenap hal mengenai pimpinan dari sekecil-kecil perkara hatta perkara yang paling besar.
Diantara adab-adab dan akhlak yang seharusnya lazim wujud di kalangan pemimpin ialah pemimpin mestilah mengenal ahlinya dan pandai bergaul agar hadirnya sifat mahabbah antara pemimpin dan ahli. Seorang pemimpin juga mestilah mengetahui kemampuan ahli sebelum diberikan tugasan dan amanah kepada mereka kerana dengan mengenal pasti kemampuan akan mendatangkan sifat istiqamah dan melicinkan gerak kerja. Selain itu, seorang pemimpin mestilah mempunyai kesungguhan dalam membentuk ahli dari sudut kerohanian dan tarbiyah, agar dapat melahirkan ahli yang faham dalam melaksanakan tugas ikhlas semata-mata kerana Allah, dan dapat mendengar serta taat dengan segala arahan pemimpin yang telah diberikan.
Di samping itu, pemimpin juga mestilah mempunyai sifat dan akhlak selaku seorang pimpinan agar memperoleh pertolongan dan bantuan daripada Allah sepanjang ia memegang sebuah amanah. Pertama pemimpin mestilah ikhlas semata-mata kerana Allah, kerana dengan ikhlas akan melahirkan rasa tunduk semata-mata kerana Allah, dan tidak mengharapkan habuan di dunia. Kedua, seseorang pemimpin mestilah mempunyai sifat lemah lembut dan berprinsip dalam diri, kerana Allah SWT telah menyebutkan dalam surah Al-Imran ayat 159 yang bermaksud:
“ Maka disebabka nrahmat dari Allah, kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berkasa rhati, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkan mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu”.

Seterusnya pemimpin mestilah mempunyai azam yang tinggi dan berserah kepada Allah, seperti mana firman Allah SWT dalam surah Al- Imran ayat 159:
“Sekiranya kamu telah berazam dalam keputusan tersebut, maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertawakal”

Secara tuntasnya, berdasarkan ciri-ciri, akhlak serta adab dalam kepimpinan Islam di atas maka seharusnya bagi diri kita selaku hamba yang bergelar pemimpin walau dalam kehidupan kita sendiri untuk sentiasa berusaha memperbaiki diri serta berusaha mencontohi keperibadian Rasulullah S.A.W agar dapat membentuk kesatuan Islam dalam bermasyarakat dan bersama-sama dalam meraih keredhaan Allah SWT. Bergeraklah dalam sebuah kesatuan kerana ianya sangat disukaioleh Allah SWT berdasarkan firmanNYA:
“Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh”
(Surah As-Soff:4)

WaAllahuA’lam.

Disediakan Oleh: Ustaz Muhammad Ariff Bin Haron
( Mantan YDP BKPJM Sesi 2015/2016 )


No comments:

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...