Friday, October 8, 2021

[ MAKLUMAN | SURUHANJAYA PILIHAN RAYA 2021 ]


 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه


الحمدللّه ربّ العالمين والصّلاة والسّلام على أشرف الأنبياء والمرسلين و على أله وصحبه أجمعين.


أما بعد.


Firman Allah Ta'ala  :


(وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ)                                                                                              


[Surat at-Taubah :71]


Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.


Bagi makluman semua, ahli jawatankuasa Suruhanjaya Pilihan Raya Badan Kebajikan Pelajar- pelajar Johor di Mesir 2021 (SPR BKPJM 2021) telah membuka hari pencalonan selama tiga hari yang bermula pada hari Sabtu (2 Oktober 2021) sehingga Isnin (4 Oktober 2021).


Namun demikian, bilangan calon bagi Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) serta Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam (AJK HEWI) tidak mencukupi.

Oleh itu, pihak SPR BKPJM membuat keputusan untuk menyambung hari pencalonan.

Pihak SPR BKPJM akan membuka satu hari dalam seminggu iaitu pada hari ahad untuk pencalonan. Sekiranya ada ahli yang ingin membuat pencalonan, mereka perlu menghubungi Pengarah dan Timbalan Pengarah SPR BKPJM untuk mengadakan temujanji. Semua urusan mengisi borang akan dijalankan di Dewan Asrama Pelajar Johor Rabaah.


Sila hubungi nombor yang berikut untuk urusan pencalonan:

Syed Mohamad Aslam Husaini bin Syed Bahrim

+201128070377


Siti Mariyam binti Bujang

+20 102 532 8704

Sebarang maklumat lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa.


Sekian sahaja daripada saya. Terima kasih, Siiru a'la barakatillah.


"BERSIH, TELUS DAN AMANAH"


Yang Menjalankan Amanah,


Syed Mohamad Aslam Husaini bin Syed Bahrim,

Pengarah SPR BKPJM 2021.



Monday, September 20, 2021

[ MAKLUMAN | KENYATAAN RASMI SURUHANJAYA PILIHANRAYA BKPJM 2021 ]

 


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه



الحمدللّه ربّ العالمين والصّلاة والسّلام على أشرف الأنبياء والمرسلين و على أله وصحبه أجمعين.


أما بعد.


Firman Allah Ta'ala :


(وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ 


اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ)                                                                                              


[Surat at-Taubah :71]


Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.


Saya Syed Mohamad Aslam Husaini bin Syed Bahrim selaku individu yang telah diamanahkan sebagai Pengarah Suruhanjaya Pilihanraya Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir 2021 (SPR BKPJM) bagi menguruskan proses pemilihan kepimpinan BKPJM bagi sesi 2021/2022 bersama pegawai-pegawai SPR BKPJM yang dilantik.


Untuk makluman semua, pihak SPR BKPJM akan membuka bilik gerakan SPR BKPJM yang bertempat di dewan Asrama Pelajar Johor Rabaah (APJ 4) untuk pencalonan Yang di-Pertua (YDP) & Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) serta pencalonan Ketua Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) & AJK HEWI bagi kepimpinan BKPJM sesi 2021/2022. Sesi pencalonan akan dibuka bermula pada 2-4 Oktober 2021, manakala sesi bantahan calon pula akan dibuka pada 6 Oktober 2021.


Pencalonan dibuka bagi memilih :


SEORANG Yang di-Pertua (Borang A),

8 ORANG AJKT (Borang B),

SEORANG Ketua HEWI (Borang C) dan

7 ORANG AJK HEWI (Borang D).


Sekiranya pencalonan melebihi kuota yang ditetapkan, maka pilihan raya akan dijalankan.


Sebarang maklumat lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa.


Sekian sahaja daripada saya. Terima kasih, Siiru a'la barakatillah.


"BERSIH, TELUS, AMANAH"


Yang Menjalankan Amanah,


Syed Mohamad Aslam Husaini bin Syed Bahrim,

Pengarah SPR BKPJM 2021.


PEMAKLUMAN SURUHANJAYA PILIHAN RAYA 2021

Thursday, September 2, 2021

[ BERITA | EDARAN SYANTOH KEBAJIKAN ANAK JOHOR DI MUHAFAZAH ]


[ BERITA | EDARAN SYANTOH KEBAJIKAN ANAK JOHOR DI MUHAFAZAH ]


Kaherah, 25 Ogos 2021 - 

Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir merupakan persatuan induk bagi anak Johor di Mesir yang ditubuhkan bagi menjaga kebajikan anak Johor di Mesir. Oleh yang demikian, bagi melaksanakan tujuan badan, BKPJM di bawah Lajnah Perancang  telah mengadakan edaran syantoh kebajikan kepada anak Johor di Muhafazah pada Ogos yang lalu. Tujuan edaran ini diadakan adalah bagi membantu meringankan beban anak Johor di Muhafazah.


Pada 1-4 Ogos yang lalu, BKPJM telah membuka permohonan Syantoh Kebajikan khusus bagi anak Johor di Muhafazah. Hasil culaan tersebut, sebanyak 64 permohonan telah diperolehi.


Edaran Syantoh berlangsung selama 3 hari bermula pada 9, 11 & 15  Ogos 2021. Muhafazah yang terlibat adalah Iskandariah, Tanta, Mansourah, Shoubra dan Zagazig.


Bagi muhafazah Mansourah, peringkat BKPJM mengambil kesempatan mengadakan Majlis Ramah Mesra bersama anak Johor di Mansourah pada 11 Ogos 2021. Di dalam majlis ini turut dijemput Dr Fathi Yaqin bin Che Lokman selaku Pengerusi Perubatan Cawangan Mansurah dan Ustaz Hj Musa bin Hj Omar selaku Atase Pendidikan Negeri Johor.


Di antara barang asasi yang telah diberikan kepada anak Johor di Muhafazah :


• Minyak

• Beras

• Gula

• Mask

• Hand Sanitizer 

• Air Masak (bagi pelajar Shoubra yang menetap di Arma)


Edaran Syantoh ini merupakan hasil daripada peruntukan BKPJM dan sumbangan daripada orang ramai di Malaysia.


BKPJM juga mengucapkan terima kasih kepada PERUBATAN, mandub dan mandubah BKPJM di muhafazah atas bantuan yang telah diberikan bagi menjayakan edaran syantoh di Muhafazah.


Disediakan oleh :

• Mohamad Safwan bin Kamazelan

• Timbalan Yang di-Pertua BKPJM (Lajnah Perancang) 20/21


#KebajikandanPerpaduan

#BKPJMkeluargakita

Saturday, July 31, 2021

[ MAKLUMAN RASMI | PEMBUKAAN PERMOHONAN SYANTOH KEBAJIKAN ANAK JOHOR DI MUHAFAZAH ]


Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir merupakan satu kesatuan induk yang sentiasa mengambil cakna mengenai kebajikan anak Johor di Mesir.

Sehubungan dengan itu, saya selaku Timbalan Yang di-Pertua (Lajnah Perancang) BKPJM 20/21 dengan sukacitanya ingin memaklumkan pembukaan permohonan Syantoh Kebajikan kepada anak Johor di muhafazah.

Oleh itu, bagi anak Johor di muhafazah yang berminat untuk mendapatkan syantoh kebajikan, boleh mengisi _google form_ yang akan disertakan di laman rasmi Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir.

Tempoh permohonan bermula 1-4 Ogos 2021.


Edaran Syantoh ini dikhususkan bagi muhafazah  :

1) Iskandariah

2) Mansourah

3) Tanta

4) Zaqaziq

5) Shoubra


Untuk mengetahui maklumat lebih lanjut, pemohon boleh merujuk _wallpaper_ yang akan dikeluarkan di laman rasmi BKPJM.

Sebarang permasalahan atau pertanyaan, sila hubungi ketua Majlis Perwakilan Muhafazah (MPM) :


Ikhwah :

• Mohamad Safwan bin Kamazelan

+601156958294 (ws)

+201119772196 (call)

Akhawat :

• Nur Syuadah binti Mohd Salleh

+201127955376 (ws & call)


Semoga usaha yang telah dirancang peringkat BKPJM ini dapat menjaga kebajikan anak Johor di Mesir.


Mohamad Safwan bin Kamazelan

Timbalan Yang di-Pertua (Lajnah Perancang) BKPJM 2020/2021

Monday, July 12, 2021

[ GENDER KETIGA | SUATU TAFSIRAN YANG TERPESONG DARIPADA LANDASAN AGAMA ]

 


Gender Ketiga: Suatu Tafsiran Yang Terpesong Daripada Landasan Agama

            Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta keluarga baginda, para sahabat, serta orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari akhirat. 

            Kita telah digemparkan dengan satu isu yang dicetuskan oleh SUHAKAM ( Suruhanjaya Hak Asasi Manusia ) pada 14 Jun 2021 yang mana telah menyiarkan iklan untuk mencari penyelidik bagi kajian ‘The Research on Feasibility of Having Legislation on The Recognition of a Third Gender in Malaysia’. Perkara ini telah menimbulkan penentangan dari pelbagai pihak khususnya dalam kalangan rakyat yang beragama Islam terhadap golongan yang berusaha untuk mengiktiraf kelompok transgender tersebut. Oleh kerana itu, pelbagai pihak telah mula bersuara dan mula menimbulkan perdebatan dan perbahasan berkenaan gender ketiga tersebut.

Apa Yang Dimaksudkan Gender Ketiga?

Menurut Wikipedia, gender ketiga atau jantina ketiga adalah kelas sosial yang dikenalpasti melalui perangai, psikologi dan karakter yang dibina berlainan daripada jantina lelaki atau perempuan. Jantina ketiga juga digunakan untuk menggambarkan kategori yang wujud dalam beberapa masyarakat yang tahu lebih daripada dua jantina. Perkataan "ketiga" biasanya ditafsirkan untuk merujuk kepada sesuatu yang "lain".

Keadaan biologi menentukan sama ada seks anatomi dan kromosom seseorang itu lelaki,  perempuan atau salah satu variasi luar biasa yang boleh menimbulkan kekaburan yang dikenali sebagai intersex. Walau bagaimanapun, cara orang itu mengenal pasti dirinya sendiri atau dikenalpasti dalam masyarakat sebagai lelaki, perempuan,atau sebaliknya, secara amnya ditentukan oleh identiti jantina dan peranan jantina dalam budaya tertentu di mana dia tinggal.

Gender Ketiga Menurut Perspektif Islam

Setiap manusia yang lahir ke atas dunia diciptakan dengan fitrah yang tersendiri. Fitrah adalah sesuatu yang bersifat suci kerana ianya merupakan aturan oleh Allah SWT dan bersifat semulajadi. Sesuatu yang bersifat semulajadi tidak boleh dianggap tidak rasional, tidak berhati perut dan lain-lain. Sebagai contoh, jika seekor haiwan memakan haiwan yang lain maka ianya adalah fitrah dan aturan semulajadi, tetapi jika manusia yang berbunuhan sesama sendiri maka ianya bukan fitrah.  Begitu juga fitrah manusia yang dilahirkan sama ada sebagai lelaki ataupun perempuan, yang mana merupakan aturan semulajadi. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا

(49:13)

Maksudnya : “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)…”

Namun begitu, adanya manusia yang dilahirkan secara semulajadi mempunyai 2 alat kelamin lelaki dan wanita, yang mana dikenali di dalam Islam sebagai khunsa (خنثى).

Bertepatan dengan definisi yang telah diletakkan oleh Kamus Dewan Edisi Keempat, khunsa ialah individu yang mempunyai 2 alat kelamin.

Manakala menurut Imam al-Nawawi pula, beliau menegaskan bahawa khunsa bukanlah jantina yang ketiga. Mereka ini tergolong sama ada lelaki atau wanita. Beliau menyebut :

فَمَذْهَبُنَا أَنَّهُ إمَّا رَجُلٌ وَإِمَّا امْرَأَةٌ وَلَيْسَ قِسْمًا ثَالِثًا

“Mazhab kami menentukan bahwa khunsa itu sama ada lelaki atau perempuan. Dia bukan jantina ketiga.”

Keburukan dan Kesan Pengiktirafan Gender Ketiga:

1.      Mencabuli hak asasi manusia akibat daripada diskriminasi terhadap jantina, serta memberi kesan yang buruk terhadap masa hadapan masyarakat dan negara.

2.      Boleh mengakibatkan jenayah sosial yang serius dalam kalangan masyarakat apabila terjadinya hubungan sejenis di luar tabi’i antara lelaki dengan lelaki, atau perempuan dengan perempuan.

3.      Berlakunya penipuan keatas jantina asal seseorang individu, hasil daripada kesan transgender atau transeksual keatas dirinya yang boleh mengakibatkan hilangnya imej dan identiti seorang muslim.

4.      Meruntuhkan institusi kekeluargaan disebabkan kesan buruk terhadap jangka masa panjang kepada kelangsungan generasi dan populasi rakyat sesebuah negara tersebut.

Kesimpulan:

            Kita dapat lihat di sini bahawa usul penyelidikan dan kajian terhadap gender ketiga yang dibawa oleh SUHAKAM dalam usaha untuk mengiktiraf gender ketiga di dalam perundangan Malaysia ini ditentang kerana ia membawa kepada  banyak keburukan serta membuka ruang kepada budaya hidup yang tidak sihat dalam kalangan masyarakat. Bahkan ia juga melahirkan generasi yang rosak didalam institusi kekeluargaan dan penipuan jantina asal seseorang individu itu. Maka, perlulah ditekankan di sini bahawa pentingnya mewujudkan satu suasana masyarakat yang harmoni tanpa mendiskriminasi jantina dalam kalangan individu dan masyarakat majmuk, agar keamanan dan keharmonian dalam sesebuah negara terpelihara.

Disediakan oleh: Ahmad Najib bin Fadilah

Sumber Rujukan:

1.      Alquran serta terjemahannya.

2.      Wikipedia: Definisi Gender ketiga.

https://www.translatetheweb.com/?from=id&to=ms&dl=en&ref=trb&a=https%3A%2F%2Fid.wikipedia.org%2Fwiki%2FGender_ketiga

3.      Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat: Definisi Khunsa.

4.      Bayan Linnas siri ke-235: Gender Ketiga menurut perspektif Islam.

https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/4838-bayan-linnas-siri-ke-235-gender-ketiga-menurut-perspektif-islam?fbclid=IwAR2_E8olg7P6c0v1Drc50izGwO8Bf29js4SDh8G3H6HYDSWCkgUtammbo5s

 

 


Monday, May 31, 2021

[ KENYATAAN RASMI KETUA UNIT DAKWAH DAN TARBIAH BKPJM SESI 20/21 ]



 [KENYATAAN RASMI KETUA UNIT DAKWAH DAN TARBIAH BKPJM SESI 20/21]


Assalamualaikum wbt,


Segala puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam yang luas rahmat dan kasih sayang kepada Hamba-NYA .Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang sama membawa serta menyebarkan Islam hingga ke hari ini. 


Firman Allah SWT:


إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَأَخْبَتُوا إِلَىٰ رَبِّهِمْ أُولَٰئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ


Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, serta tunduk taat menunaikan ibadat kepada Tuhan mereka dengan khusyuk, mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya.

[Surah Hud:23]

                                    

Bertepatan dengan ayat Al-Quran diatas menunjukkan bahawa tanda ingin memasuki syurga Allah SWT sentiasa melakukan ibadah soleh dengan bersungguh-sungguh.


Sedemikian itu, Antara langkah yang perlu kita lakukan untuk mendapat ganjaran di akhirat kelak dengan memperbanyakkan amalan kita secara istiqomah (berterusan).


Justeru itu, Unit Dakwah dan Tarbiah BKPJM sesi 20/21 telah menyediakan satu inisiatif kepada anak-anak Johor khususnya di Mesir dengan membuat Mutabaah Amal melalui Goggle Form. 


Apa yang dimaksudkan Mutabaah (المتابع) dari sudut bahasa bererti mengikut atau mengawasi dari sudut istilah pula Mutabaah Amal juga ini bererti mengikuti satu senarai amalan soleh yang akan meningkatkan keimanan kepada Allah SWT.


Antara tujuan utama Mutabaah Amal ini ialah ingin memantau biah solehah dikalangan pelajar Johor yang berada di Mesir. Di samping itu, mempertingkatkan sahsiah  dikalangan pelajar Johor ke arah mencapai keredaan Allah SWT. Mutabaah Amal adalah salah satu perkara yang dapat membantu untuk meningkatkan amalan seharian kita bagi setiap individu Muslim untuk menjadi hamba yang berkeperibadian teguh. 


Ini bertepatan dengan hadis Nabi Muhammad SAW bersabda :

Amal yang bagaimanakah yang disukai Allah ? Jawab Rasulullah SAW: “Amal yang dikerjakan secara tetap  walaupun sedikit (berterusan).” 


[Hadis Riwayat Muslim]


Akhir kata, semoga kita semua terus bersemangat untuk kekal istiqamah dalam melakukan amal soleh dan ikhlas beribadah kepada Allah SWT sepanjang masa. 


ولله أعلم


Hamizan Iskandar Bin Ab Rahman 

Ketua Unit Dakwah dan Tarbiah BKPJM sesi 20/21

Saturday, May 22, 2021

[ PALESTIN | ISU MALAR SEGAR UMAT ISLAM ]

 


[ PALESTIN : ISU MALAR SEGAR UMAT ISLAM ]

 

Palestin merupakan negara yang sangat bermakna di hati umat Islam. Hal yang demikian kerana di sana ada Masjid al-Aqsa yang merupakan masjid ketiga paling diberkati selepas Masjid al-Haram di Mekah dan Masjid an-Nabawi di Madinah.

 

Selain itu, Masjid al-Aqsa juga disebut dalam al-Qur’an.

 

Firman Allah SWT :

 

‎سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ ءَايَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

 

Maksudnya : Maha suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang diberkati sekelilingnya untuk Kami perlihatkan tanda-tanda kekuasaan Kami, bahwasanya Dia itu Maha Mendengar dan Maha Melihat“.

 

Palestin atau al-Quds telah menjadi rebutan 3 agama yakni Islam, Kristian dan Yahudi berkurun lamanya. Perkara demikian yang berlaku kerana Palestin mempunyai kedudukan yang istimewa dalam agama masing-masing.

 

Secara rasminya, Palestin hilang dari tangan umat Islam ketika termeterainya perjanjian Sykes-Picot 1916 yang penuh dengan tipu muslihat. Sebuah perjanjian yang akhirnya membawa kepada pembahagian tanah umat Islam di tangan pihak kuffar.

 

Selepas jatuhnya Palestin ke tangan musuh, sentiasa ada gerakan yang dilancarkan oleh umat Islam untuk merampas kembali tanah Palestin. Antaranya, Perang Enam Hari pada tahun 1967, Perang Yom Kippur 1973 dan gerakan Intifadah yang berlaku sebanyak 3 kali.

 

Siri-siri mempertahankan maruah umat Islam tidak terhenti setakat itu sahaja. Bahkan, masih diteruskan sehingga hari ini.

 

Namun jika diperhatikan, mengapa Palestin masih lagi menjadi isu yang tidak pernah selesai hingga ke hari ini? Pasti ada sebab yang menjadi tunjang kepada kegagalan dalam merealisasikan cita-cita yang tertinggi ini.

 

Ada beberapa sebab yang dianggap munasabah mengapa Palestin masih gagal dimiliki hingga hari ini.

 

1. Kesatuan umat Islam

 

Kesatuan merupakan perkara yang masih rapuh dalam kalangan umat Islam. Lihat sahajalah ketika isu ini dibentangkan. Masih ada golongan yang saling menyalahkan antara satu sama lain kerana berbeza ideologi dan pegangan. Belum lagi dikira dari latar belakang yang berbeza. Sehingga, isu menghantar bantuan ke Palestin masih lagi ramai yang mendabik dada merekalah yang paling banyak menggembleng tenaga.

 

2. Kesedaran yang hilang

 

Agama merupakan tunjang dalam kehidupan manusia. Tanpa agama, manusia ibarat pesawat tanpa radar. Kesedaran umat Islam untuk beragama semakin lama semakin pudar. Ini ditambah dengan budaya Hedonisme yang membarah dalam diri umat Islam. Semakin lama, pemuda yang jiwanya segar untuk Islam semakin pupus. Perkara ini jika tidak dicegah, maka al-Quds akan semakin kabur dari pandangan mata.

 

3. Mentaliti yang lemah

 

Setelah kejatuhan Khilafah, negara yang majoritinya umat Islam telah didoktrin oleh barat sebagai satu bangsa yang lemah. Umat Islam didoktrin agar tidak pandai berdikari. Segalanya perlu dicatur oleh barat dan yang menjadi bidaknya ialah umat Islam. Maulana Abu Hasan Ali an-Nadwi di dalam kitabnya, “Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam” mengatakan :

 

“Begitu lemahnya umat Islam, sehingga pen yang digunakan untuk menandatangani perjanjian pembahagian tanah umat Islam pun dicipta oleh Barat”.

 

Setelah kita melihat dan meninjau isu ini secara rencam, apakah solusi yang boleh digunakan untuk memastikan cita-cita menakluk al-Quds dari tangan kuffar kekal relevan?

 

1. Konsisten mendukung aspirasi Palestin

 

Palestin akan terus kekal menjadi “kekasih” di hati umat Islam. Sewajarnya isu berkaitan Palestin terus dinaikkan agar negara ini tidak luput dari kacamata umat Islam. Kesedaran berkempen perlu diteruskan agar semangat mencintai warisan para Anbiya’ ini terus relevan.

 

2. Menyumbang kepada Palestin

 

Palestin bukanlah negara yang kaya raya seperti negara Arab yang lain. Justeru, sumbangan dari umat Islam khususnya Malaysia perlu terus kekal dijalankan. Pastikan sumbangan yang dihulurkan dikirim kepada NGO-NGO yang bertauliah dan diakui keabsahannya.

 

3. Menjauhi anasir perpecahan

 

Perpecahan merupakan satu perkara yang tidak dapat dielakkan. Bahkan, ketika Rasulullah SAW memanjatkan tiga doa kepada Allah SWT, satu darinya tidak dimakbulkan iaitu agar umatnya tidak berpecah. Namun, demi al-Quds yang tercinta, segala latar belakang dan fahaman haruslah diletak tepi seketika agar fokus terhadap isu dapat diletakkan. Umat Islam harus berganding bahu bersatu tenaga dan membantu antara satu sama lain dari segala sudut.

4. Kembali kepada Allah

 

Di fasa akhir zaman ini, manusia sudah terlalu jauh dari Allah SWT. Keadaan ini menyebabkan murka Allah lebih dekat berbanding rahmat-Nya. Manusia seharusnya kembali kepada Allah dengan sebenar-benar kembali. Melaksanakan tuntutan-Nya dan meninggalkan segala larangan. Manusia sewajarnya membentuk diri dengan peribadi seorang mukmin yang sejati. Segala kelengkapan sebagai seorang yang beriman mestilah telah sedia. Jika seorang Islam itu jarang mendirikan solat, maka solatnya harus didirikan. Begitu juga dengan kewajipan yang lain.

 

Firman Allah SWT :

 

‎فَفِرُّوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ ۖ إِنِّى لَكُم مِّنْهُ نَذِيرٌ مُّبِينٌ

 

Maksudnya : “Maka segeralah kembali kepada (mentaati) Allah. Sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata dari Allah untukmu.

Kesimpulannya, Palestin akan terus menjadi isu malar segar umat Islam. Seandainya kemerdekaan yang dituju Palestin 100 tahun lagi, maka selama itu jugalah usaha kita tidak akan terhenti. Persediaan menuju ke arah tersebut haruslah dibina sedari kecil. Jika seorang ibu melahirkan anak, sejak itulah harus dilentur anaknya mengenai bumi suci umat Islam ini. Sama-samalah kita menghayati Kalam Saidina Abu Bakar RA :

 

أينقص الدين و أنا حي ..

 

Maksud : “Adakah akan mundur agama ini, sedangkan aku masih hidup”..

 

Wallahu-A’lam.

 

Disediakan oleh:  Amirul Ashraf bin Sulaiman

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...