Wednesday, December 27, 2017

JALAN MUJAHADAH ITU INDAH


DISEDIAKAN OLEH : USTAZ MOHD KHAIRUL IQBAL BIN TAJUDDIN
UNIT PENGETAHUAN DAN BIMBINGAN BKPJM 2017/2018

Terimalah kesusahan yang sementara, demi kesenangan yang abadi. Di akhirat nanti kita akan menuai hasilnya.

Jalan menuju ALLAH ertinya ialah jalan menuju ke syurga. Syurga itu tidak ternilai harganya. Perumpaman syurga itu seperti perbezaan antara kaca dengan permata. Kaca itu murah dan mudah didapati di mana-mana. Tetapi permata itu mahal, amat sukar untuk mendapatkannya.

                Sudah ditakdirkan, jalan menuju ALLAH penuh dengan godaan, ujian dan kesukaran. Tetapi adakah kita sengaja menempah kesusahan? Tidak!

Kita hanya rela dan tega menerima kesusahan yang sementara demi kesenangan abadi di sana (akhirat). Hanya kerana menginginkan kesenangan disini (dunia), sebahagian manusia alpa tanggungjawab mereka. Lupakah kita kepada hakikat yang telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w yang mafhumnya :

“Neraka itu dipagari dengan penuh kenikmatan dan keseronokan,manakala syurga itu dipagari oleh ujian dan kesukaran.”

Namun aku, kamu dan kita tetap manusia biasa. Hati kita goyah jua di jalan mujahadah. Hati pasti merintih apabila pedih. Jiwa pasti terdera apabila berduka. Namun, kita tidak akan sesekali dipatahkan di jalan mujahadah. Patah sayap terbang jua. Biar jatuh bertongkat dagu, namun mengalah tetap tidak!

Mujahadah atau jalan menuju ALLAH itu berasal daripada perkataan jihad yang membawa maksud berjuang bersungguh-sungguh dengan penuh kegigihan. Di jalan ini, hamba yang menginginkan keredhaan ALLAH terpaksa berperang dengan musuh yang ada di dalam diri sendiri iaitu syaitan dan hawa nafsu. Perang dalam diri inilah yang paling hebat dan dahsyat.

               Ramai pendekar yang tersungkur. Bukan kerana tusukan senjata api, akan tetapi oleh godaan wanita. Ramai pula pendekar yang mundur, bukan kerana amukan musuh, akan tetapi oleh kerlipan kuasa dan harta.

                Bermujahadah ertinya berperang dengan diri sendiri untuk melakukan sesuatu yang sangat dibenci oleh hawa nafsu. Hawa nafsu hanya menginginkan kejahatan, kelalaian dan keseronokan. Ia sangat membenci kebaikan, peringatan dan ketaatan.

                Dunia hakikatnya adalah gelanggang mujahadah. Kita di sini untuk 'menanam'. Di sana (akhirat) nanti barulah 'menuai'. Musim bertanam memanglah payah mencangkul, membaja, menjaga pepohon daripada serangga dan bermacam-macam lagi kesusahan. Apabila menuai nanti, baru terasa nikmat dan keseronokannya.

                Banyak kepahitan yang perlu ditempuh oleh orang mukmin untuk memperoleh syurga selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w :

“Syurga dipagari dengan kesusahan ,manakala neraka dipagari oleh keseronokan.”

                Demikianlah kehidupan, tidak ada yang percuma. Apatah lagi kehidupan di syurga. Justeru, marilah bersama-sama kita saling berpesan untuk rela menerima kepahitan yang sedikit dan sementara di sini demi menikmati kemanisan yang banyak dan abadi di sana. Alangkah jahilnya kita jika kita rela menanggung seksa yang begitu dahsyat dan kekal di akhirat hanya kerana nikmat yang sedikit dan sementara di dunia.
  
                Akan tetapi, kita ialah orang yang bijak kalau kita terus bermujahadah untuk melakukan perkara-perkara yang perlu dilakukan sehiggalah tiba saatnya kita boleh melakukan apa sahaja perkara yang kita ingini. Dimana? Bila? Jawabnya, di syurga!

                Sesungguhnya jalan mujahadah itu ialah jalan kita. Di jalan itu, sering berlaku perang dialog di dalam diri. Apabila susah melanda, kita merintih. Apabila godaan mendatang, kita cuba bertahan. Apabila nikmat menjelma, kita lega. Akan tetapi tidak lama, sukar pun datang mencabar, kita cuba sabar.

Bertepatan dengan firman Allah :

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ

Al-‘Ankabut [29:69]


“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami ( yang menjadikan mereka gembira dan beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya”.

MEMBONGKAR SIRAH NABI S.A.W


DISEDIAKAN OLEH : NUR AQILAH BINTI SAZALI
SETIAUSAHA UNIT DAKWAH DAN TARBIAH BKPJM 2017/2018

RABAAH, 10 DISEMBER 2017 - Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) 17/18 di bawah Unit Dakwah dan Tarbiah telah mengadakan program Sambutan Maulidur Rasul bertempat di Asrama Pelajar Johor, Rabaah. Program yang saban tahun diadakan ini mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan daripada mahasiswa-mahasiswa Johor.
           
            Seperti kebiasaan program-program tahun lalu, program Sambutan Maulidur Rasul pada kali ini dipenuhi dengan pengisian rohani yang disampaikan oleh Ustaz Mohammad Syarifuddin bin Nor Azli yang berasal daripada BKAN (Badan Kebajikan Anak Negeri) Selangor.

Beliau yang kini sedang menuntut di Kuliah Usuluddin tahun 2 Universiti Al-Azhar menekankan beberapa aspek dalam pengisiannya, antaranya adalah supaya mahasiswa dan mahasiswi tidak hanya menyambut kelahiran Baginda Nabi dengan pujian kepadanya semata-mata, akan tetapi sambutan yang sebenar adalah dengan melaksanakan sunah terbesar yang ditinggalkan oleh baginda iaitu sunah berdakwah dan melakukan amar makruf dan nahi munkar.


Program pada kali ini menyaksikan kehadiran Ustaz Syed Miftahul Ulum bin Syed Mustafa Kamal, wakil daripada Kembara Ilmu Al-Kazimie (KIKM) – sebuah agensi pelancongan - dan Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Johor (ILMAM) bagi melaksanakan simbolik penyerahan sumbangan kepada BKPJM. Sumbangan yang berjumlah RM 5000 itu diperoleh melalui pengedaran kupon sumbangan BKPJM, sumbangan daripada ILMAM sendiri dan juga sumbangan ikhlas daripada jemaah umrah dan haji.

Ustaz Syed Miftahul Ulum yang juga merupakan mantan Yang di-Pertua BKPJM sesi 2010/2011 turut diberikan peluang untuk menyampaikan nasihat dan ingatan kepada ahli-ahli BKPJM.

Program diraikan lagi dengan ucapan daripada Yang di-Pertua BKPJM 17/18 sendiri, Ustaz Norhalim bin Lokman. Dalam ucapannya, beliau sempat mengutarakan kalam terima kasih kepada Ustaz Syed Miftahul Ulum bin Syed Mustafa Kamal dan rombongannya atas sumbangan yang telah diberikan.


Harapan YDP dalam ucapannya adalah agar sumbangan yang telah diterima dapat melancarkan gerak kerja BKPJM seterusnya memudahkan lagi pelaksanaan agenda kebajikan yang senantiasa menjadi matlamat BKPJM selaku wadah kesatuan anak-anak Johor di Mesir.

Beliau juga berharap semoga sambutan yang telah dilaksanakan ini dapat membuka mata kita dalam melihat perjuangan Rasulullah S.A.W dan menjadikan baginda sebagai contoh teladan yang terbaik dalam hidup kita.

Thursday, December 14, 2017

MALAM MUNAJAT WASILAH TARBIAH


DISEDIAKAN OLEH : NUR AQILAH BINTI SAZALI
SETIAUSAHA UNIT DAKWAH DAN TARBIAH BKPJM 2017/2018

RABAAH, 7 DISEMBER 2017 - Telah berlangsung Program Malam Munajat Siri 1 anjuran Unit Dakwah dan Tarbiah (BKPJM) 2017/2018 bertempat di Dewan Kutub Sittah, Asrama Pelajar Johor Rabaah. Program berlangsung bermula pukul 5.40 petang sehingga pukul 8 malam.

Program dimulakan dengan bacaan yassin dan tahlil yang dihadiahkan kepada Almarhumah Ustazah Nurul Anisah binti Alham. Almarhumah telah kembali ke rahmatullah pada 6 Disember 2017 dan jenazahnya telah selesai dikebumikan semalam. Program kemudiannya diteruskan dengan solat Isyak secara berjemaah.

Ustaz Muhammad Syahmi bin Ambe, pengerusi majlis kali ini turut memberikan beberapa nasihat ketika mengendalikan majlis tersebut. Kata beliau :

“Pengisytiharan Baitul Maqdis sebagai Ibu Negara Israel merupakan antara musibah besar yang menimpa umat Islam di seluruh dunia.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama memohon kepada Allah agar Dia memberi kemenangan kepada umat Islam dan menjaga persatuan BKPJM kita ini.”

Program diteruskan lagi dengan perlaksanaan solat sunat hajat dan juga solat sunat hifzi yang julung-julung kalinya diadakan pada sesi ini. Berdasarkan info yang telah diterima daripada pihak penganjur, solat sunat hifzi bertujuan untuk meningkatkan daya hafalan individu.


Sebelum program berakhir, Ustaz Muhammad Syahmi bin Ambe yang juga merupakan Ketua Unit Dakwah dan Tarbiah BKPJM sesi 2017/2018 telah mengumumkan tarikh Muzakarah Berkelompok Amali bagi peringkat mahasiswa serta menggalakkan penglibatan daripada seluruh mahasiswa Johor. Program ditangguhkan dengan bacaan tasbih kafarah dan surah Al-Asr.



Thursday, November 23, 2017

DIARI : DARI HATI PIMPINAN KE HATI AHLI BKPJM

KAHERAH, 21 OKTOBER 2017 : Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) telah berjaya menganjurkan sebuah program ucaptama atau pun nama lainnya, Dari Hati ke Hati (DIARI). Program ini dilaksanakan setelah sebulan berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan BKPJM kali ke-35.

Program DIARI ini diadakan bagi pemimpin memperdengarkan pembawaan BKPJM pada tahun ini kepada ahli-ahli. Ia juga memberi peluang kepada ahli untuk memberi cadangan, muhasabah dan perbahasan bagi melancarkan lagi gerak kerja BKPJM supaya terus tersusun dan berjalan lancar terutamanya dalam memberikan kebajikan kepada anak-anak Johor di Mesir.

Pengarah DIARI, Ustaz Muhammad Zaki bin Ramle (Setiausaha Agung BKPJM 17/18) dan Timbalan Pengarah, Ustazah Amalina Syahirah binti Hamidun (Timbalan Ketua HEWI BKPJM 17/18) serta barisan jawatankuasa pelaksana telah diamanahkan untuk melaksanakan program ini di Dewan Kutub Sittah, Asrama Pelajar Johor Rabaah.

Dengan bertemakan "BKPJM keluarga kita", program DIARI mempunyai objektif untuk memberikan kefahaman kepada ahli berkenaan tema dan pembawaan BKPJM sesi 17/18, memperkenalkan barisan kepimpinan BKPJM sesi 17/18, melahirkan rasa tanggungjawab dalam diri ahli serta menyuburkan sifat ukhuwah dalam kalangan ahli BKPJM.

Program ini dimulakan pada jam 3.30 petang dengan bacaan surah Al-Fatihah, nyanyian lagu negeri Johor, lagu BKPJM dan ucapan pengarah DIARI. Kehadiran ahli dalam program ini berjaya mencecah 100 orang. Ia telah dipengerusikan oleh Ustaz Mohammad Amirnurrashidi bin Mohd Azlan.

Antara slot yang telah berlangsung ialah Ucaptama Yang di-Pertua BKPJM, Ustaz Norhalim bin Lokman dan Ucaptama Ketua HEWI BKPJM, Ustazah Sanisah binti Morney serta pengenalan barisan AJKT dan AJK HEWI pada sesi ini. Program ini diserikan lagi dengan pelancaran unit-unit BKPJM antaranya Unit Dakwah dan Tarbiah (UDT), Unit Pengetahuan dan Bimbingan (UPB), Unit Kebajikan dan Kemanusiaan (UKK) dan Unit Ekonomi (UEKON). Setiap gimik perasmian yang disertakan oleh setiap unit dilaksanakan dengan jayanya.

Program Ucaptama YDP atau DIARI pada kali ini telah membuka ruang kepada semua ahli untuk berbahas sejurus selepas Pembawaan Yang di-Pertua dibentangkan. Usaha ini mendapat sambutan yang baik dengan seramai 10 orang ahli atau lebih telah membuat perbahasan, memberikan cadangan serta muhasabah. Program DIARI melabuhkan tirainya pada jam 10 malam, diakhiri dengan sesi penggambaran, solat isyak berjemaah dan jamuan.

Semoga program ini dapat memberikan manfaat kepada ahli-ahli BKPJM dan merapatkan hubungan silaturrahim sesama mereka seperti yang diharapkan oleh BKPJM itu sendiri. Besar harapan BKPJM agar program ini dapat meneruskan survival legasi pimpinan dan ahli seterusnya menjaga keberlangsungan BKPJM pada masa hadapan.

ABOU ILA PUSAT TUMPUAN MENJELANG MUSIM SEJUK


DISEDIAKAN OLEH : NURMALA SULAIMAN
SETIAUSAHA UNIT SAMBUTAN DAN REHLAH BKPJM 2017/2018

ABOU ILA, 11 NOVEMBER 2017 : Abou Ila yang terletak di daerah Bulaq, berdekatan kawasan Tahrir dan Ramsis ini menjadi salah satu daya tarikan pengunjung menjelang musim sejuk yang bakal tiba.

Di sepanjang jalan anda akan dapat melihat pelbagai jenis dan rekaan baju musim sejuk dengan tawaran harga yang berbeza- beza mengikut kedai dan diskaun daripada penjual. Berikutan itu, Unit Sambutan dan Rehlah BKPJM 17/18 telah mengambil peluang ini dengan menganjurkan satu program jaulah ke sana sebagai persediaan awal bagi anak-anak Johor di Mesir menghadapi musim sejuk.

Seramai hampir 70 peserta yang terdiri daripada anak-anak Johor telah mengikuti jaulah ke Abou Ila anjuran Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM).


Program dimulakan dengan rombongan di sebelah akhawat bermula pada jam 2.00 petang dan bertempat di Asrama Pelajar Johor (APJ) Rabaah sehingga jam 6.00 petang. Manakala ikhwah berkumpul di Asrama Pelajar Johor (APJ) Thamin pada jam 5.00 petang hingga jam 10.00 malam.

Rombongan akhawat tiba di Abou Ila pada jam 3.00 petang dan terus menuju ke Masjid Abou Ila bagi menunaikan solat fardhu Asar terlebih dahulu dan seterusnya bergerak ke pasar Abou Ila untuk aktiviti membeli-belah.

Unit Wartawan sempat mewawancara salah seorang mahasiswi baru yang turut menyertai rombongan ini, iaitu Ustazah Fitri Kesuma Dewi.

Menurutnya sebagai mahasiswi baru, beliau sangat teruja atas inisiatif yang dilaksanakan BKPJM bagi membantu mereka membeli baju sejuk, memandangkan mereka tiada lagi kemahiran selok belok jalan di Mesir dan ini pertama kalinya mereka merasai musim sejuk di sini. “Terima kasih kepada BKPJM dan semua yang terlibat.”


Dalam program ini juga turut diselitkan , pengisian rohani berkaitan sejarah Abou Ila yang telah disampaikan oleh  Ketua Unit Dokumentasi BKPJM dan ucapan penutup oleh Unit Sambutan dan Rehlah BKPJM 17/18.

NUQABA’ TUNJANG KESATUAN ISLAM



DISEDIAKAN OLEH : NUR AQILAH BINTI SAZALI
SETIAUSAHA UNIT DAKWAH DAN TARBIAH BKPJM 2017/2018

RABAAH, 9 NOVEMBER 2017 – Ijtima’ Nuqaba' merupakan program yang saban tahun akan diadakan dan dikelolakan oleh Jabatan Fasilitator (JATA) di bawah Unit Dakwah dan Tarbiah, Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir buat para nuqaba' yang dilantik bagi setiap sesi.

Kali ini program Ijtima' Nuqaba' siri pertama untuk sesi 2017/2018 telah berlangsung pada hari Khamis, 9 November 2017 yang lalu. Program ini telah bermula pada jam 3.00 petang sehingga jam 10.00 malam dan bertempat di Dewan Kutub Sittah, Asrama Pelajar Johor Rabaah.

Program yang dimulai dengan upacara perasmian telah dirasmikan oleh Ustaz Mohd Amin bin Sailan, selaku Penasihat BKPJM sesi 2017/2018. Antara isi kandungan ucapan perasmian beliau ialah penekanan berkaitan ciri-ciri dan keistimewaan seseorang yang telah dilantik dan diamanahkan sebagai nuqaba'.

Pengisian diteruskan lagi dengan slot “Pengenalan Muzakarah Berkelompok dan Peranan Nuqaba” daripada wakil Jabatan Fasililtator (JATA) BKPJM sesi 2017/2018.

Pengisian utama yang berbeza bagi sesi kali ini ialah slot Pengucapan Awam yang telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Amir bin Ghazali, aktivis Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM).Banyak input-input penting dan ilmu berharga yang telah dikongsikan oleh beliau berkaitan teknik pengucapan awam yang merupakan satu keperluan utama yang perlu ada bagi seorang yang bergelar nuqaba.


Menurut kenyataan Ustaz Azrul Bin Raf’aan yang merupakan salah seorang naqib peringkat 3 pada sesi kali ini, "Pengisian dalam program Ijtima’ Nuqaba’ ini sangat bermanfaat buat saya dalam menambah kesedaran berkaitan tanggungjawab seorang naqib dan meningkatkan keyakinan serta potensi diri dalam membawa usrah pada sesi kali ini.”

Turut dibuka sesi cadangan dalam ijtima’ kali ini bagi penambahbaikan perjalanan JATA sesi ini agar berjalan dengan lebih teratur dan lancar. Akhir sekali,  program ini diserikan lagi dengan kata-kata semangat daripada Ustaz Norhalim bin Lokman, selaku Yang di-Pertua BKPJM 2017/2018. Beliau banyak mengingatkan para nuqaba’ berkaitan peranan utama mereka sebagai seorang penerus risalah agama dan gerak kerja dakwah Rasulullah SAW . Beliau mengakhiri ucapannya dengan ucapan terima kasih buat semua para nuqaba' di atas kerjasama dalam menerima tanggungjawab bagi membawa Muzakarah Berkelompok pada sesi kali ini.

HIMPUNAN AKTIVIS DAN SAMBUTAN ULANGTAHUN BKPJM KE-47


OLEH : SHYAHRULNIZAM BIN MOHD DAUD

SETIAUSAHA HIMPUNAN AKTIVIS BKPJM 2017/2018

HAYYU ASYIR, 14 NOVEMBER 2017 : Badan Kebajikan Pelajar- pelajar Johor di Mesir (BKPJM) telah menganjurkan satu program bagi meraikan aktivis-aktivis BKPJM di samping  menyambut ulang tahun BKPJM yang ke – 47 pada 12 November 2017 dan bertempat di Dewan Keluarga Pagubayan Masyarakat Jawa Barat (KPMJB) di Bawabat 3, Hayyu Asyir. Kehadiran aktivis–aktivis BKPJM dengan anggaran melebihi 100 orang turut memeriahkan lagi suasana program.

Himpunan tersebut dimulakan dengan perasmian yang dirasmikan oleh pengarah program merangkap Timbalan Yang di-Pertua (TYDP) BKPJM, Ustaz Fathurrahman bin Mohd Saleh. Seterusnya program diteruskan lagi dengan pengisian yang pertama berkaitan “Peranan Unit dan AJK” yang telah disampaikan oleh ustazah Hanisah binti Abd Rani. Antara input penting yang diperoleh daripada pengisian tersebut adalah berkaitan peranan dan tugas ajk-ajk kecil di dalam setiap unit mengikut bidang tugas masing-masing.


Program diteruskan lagi dengan beberapa slot yang kemudiannya disampaikan oleh Ustaz Ayub bin Azizol iaitu “Diskusi Kitab (SYURA)”, manakala “Slot Protokol dan Etiket Sosial” disampaikan oleh Ustaz Ahmad Helmi bin Subahan.



Program ini diakhiri dengan ucapan oleh YDP Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir 2017/2018, ustaz Norhalim bin Lokman sekaligus melancarkan gimik sambutan ulang tahun BKPJM ke-47. Pihak BKPJM mengharapkan agar aktivis – aktivis sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab serta amanah yang diberi dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan.

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...