DISEDIAKAN OLEH : USTAZ MOHD KHAIRUL IQBAL BIN
TAJUDDIN
UNIT PENGETAHUAN DAN BIMBINGAN BKPJM 2017/2018
Terimalah kesusahan yang sementara, demi
kesenangan yang abadi. Di akhirat nanti kita akan menuai hasilnya.
Jalan menuju ALLAH ertinya ialah jalan
menuju ke syurga. Syurga itu tidak ternilai harganya. Perumpaman syurga itu seperti
perbezaan antara kaca dengan permata. Kaca itu murah dan mudah didapati di
mana-mana. Tetapi permata itu mahal, amat sukar untuk mendapatkannya.
Sudah ditakdirkan, jalan menuju ALLAH penuh dengan godaan,
ujian dan kesukaran. Tetapi adakah kita sengaja menempah kesusahan? Tidak!
Kita hanya rela dan tega menerima
kesusahan yang sementara demi kesenangan abadi di sana (akhirat). Hanya kerana menginginkan
kesenangan disini (dunia), sebahagian manusia alpa tanggungjawab mereka.
Lupakah kita kepada hakikat yang telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w yang
mafhumnya :
“Neraka itu dipagari dengan penuh kenikmatan dan
keseronokan,manakala syurga itu dipagari oleh ujian dan kesukaran.”
Namun aku, kamu dan kita tetap manusia
biasa. Hati kita goyah jua di jalan mujahadah. Hati pasti merintih apabila
pedih. Jiwa pasti terdera apabila berduka. Namun, kita tidak akan sesekali dipatahkan
di jalan mujahadah. Patah sayap terbang jua. Biar jatuh bertongkat dagu, namun
mengalah tetap tidak!
Mujahadah atau jalan menuju ALLAH itu
berasal daripada perkataan jihad yang membawa maksud berjuang
bersungguh-sungguh dengan penuh kegigihan. Di jalan ini, hamba yang menginginkan
keredhaan ALLAH terpaksa berperang dengan musuh yang ada di dalam diri sendiri iaitu
syaitan dan hawa nafsu. Perang dalam diri inilah yang paling hebat dan dahsyat.
Ramai pendekar yang tersungkur. Bukan kerana tusukan
senjata api, akan tetapi oleh godaan wanita. Ramai pula pendekar yang mundur, bukan
kerana amukan musuh, akan tetapi oleh kerlipan kuasa dan harta.
Bermujahadah ertinya berperang dengan diri sendiri untuk
melakukan sesuatu yang sangat dibenci oleh hawa nafsu. Hawa nafsu hanya menginginkan
kejahatan, kelalaian dan keseronokan. Ia sangat membenci kebaikan, peringatan
dan ketaatan.
Dunia hakikatnya adalah gelanggang mujahadah. Kita di
sini untuk 'menanam'. Di sana (akhirat) nanti barulah 'menuai'. Musim bertanam
memanglah payah mencangkul, membaja, menjaga pepohon daripada serangga dan
bermacam-macam lagi kesusahan. Apabila menuai nanti, baru terasa nikmat dan
keseronokannya.
Banyak kepahitan yang perlu ditempuh oleh orang mukmin
untuk memperoleh syurga selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w :
“Syurga dipagari dengan kesusahan ,manakala neraka dipagari oleh
keseronokan.”
Demikianlah kehidupan, tidak ada yang percuma. Apatah
lagi kehidupan di syurga. Justeru, marilah bersama-sama kita saling berpesan
untuk rela menerima kepahitan yang sedikit dan sementara di sini demi menikmati
kemanisan yang banyak dan abadi di sana. Alangkah jahilnya kita jika kita rela
menanggung seksa yang begitu dahsyat dan kekal di akhirat hanya kerana nikmat
yang sedikit dan sementara di dunia.
Akan tetapi, kita ialah orang yang bijak kalau kita terus
bermujahadah untuk melakukan perkara-perkara yang perlu dilakukan sehiggalah
tiba saatnya kita boleh melakukan apa sahaja perkara yang kita ingini. Dimana?
Bila? Jawabnya, di syurga!
Sesungguhnya jalan mujahadah itu ialah jalan kita. Di
jalan itu, sering berlaku perang dialog di dalam diri. Apabila susah melanda, kita
merintih. Apabila godaan mendatang, kita cuba bertahan. Apabila nikmat
menjelma, kita lega. Akan tetapi tidak lama, sukar pun datang mencabar, kita
cuba sabar.
Bertepatan dengan firman Allah :
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا
لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ
Al-‘Ankabut [29:69]
“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana
memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke
jalan-jalan Kami ( yang menjadikan mereka gembira dan beroleh keredaan) dan
sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah berserta orang-orang yang berusaha
membaiki amalannya”.
No comments:
Post a Comment