Tuesday, November 15, 2016

DARI BKPJM UNTUK BKPJM:UCAPTAMA KETUA HEWI BADAN KEBAJIKAN PELAJAR-PELAJAR JOHOR DI MESIR 2016/2017


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته..
ان الحمد لله نحمده و نستعينه ونستغفره ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلن تجد له وليا مرشدا اشهد ان لا اله الا الله و اشهد ان محمد رسول الله..أما بعد

Yang dimuliakan saudara pengerusi majlis, yang dihormati Yang diPertua Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir Ustaz Muhammad Arif bin Hamzah. Yang berusaha ,Ustaz Ahmad Helmi bin Subhan selaku pengarah program. Yang dikasihi sahabat pimpinan AJKT & HEWI BKPJM 2016/2017  serta hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekalian.

Selaut kesyukuran dipanjatkan kehadrat Ilahi diatas segala nikmat yang dikurniakan. Selawat dan salam ke atas junjungan nabi Muhammad SAW ,ahli keluarga baginda serta para sahabat RA yang setia berkorban dalam menyokong risalah perjuangan Islam.

Alhamdulillah HEWI BKPJM pada sesi ini meneruskan lagi pentadbiran dengan membawa tema baru iaitu MEMBENTUK GENERASI MITHALI bagi mempertingkatkan pencapaian demi pencapaian kearah yang lebih cemerlang.
Sidang hadirin sekalian,

 Hari ini, Keberadaan kita dibumi  Anbia bukan hanya selaku mahasiswa yang menuntut ilmu sahaja tetapi sebagai seorang khalifah yang akan menyebarkan dan mempraktikkan ilmu di sini dan di Malaysia nanti. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kepada kita untuk mempersiapkan diri untuk menjadi generasi yang berilmu, berkemahiran dan berketerampilan. 

Bertemakan MEMBENTUK GENERASI MITHALI besarlah harapan diperingkat HEWI  menginginkan agar satu gelombang transformasi yang menitik beratkan kefahaman Islam, kesatuan ukhuwwah dan kemahiran gerak kerja daripada pelbagai sudut dapat dijayakan dan direalisasikan  bersama-sama dalam lapangan kerja di dalam BKPJM secara umumnya.

Di bawah tema HEWI BKPJM terdapat 3 subtopik :
1) Menerapkan kefahaman dan keilmuan Islam.
2) Mengukuhkan ukhuwwah islamiah dan kesatuan di antara mahasiswi.
3) Meningkatkan kualiti gerak kerja dan kemahiran mahasiswi.

Hadirin yang dirahmati sekalian,untuk subtopik yang pertama:

1) MENERAPKAN KEFAHAMAN DAN KEILMUAN ISLAM

Dr.Yusof Qardhawi didalam kitabnya واجب الشباب المسلم اليوم  telah mengariskan kewajipan yang mesti dilaksanakan oleh setiap individu muslim ialah memahami islam dengan pemahaman yang sebenar. Sabda Rasulullah S.A.W  :

"طلب العلم فريضة على كل مسلم"
menuntut ilmu adalah diwajibkan ke atas setiap individu muslim.

Oleh itu, memahami islam dengan kefahaman yang sebenar, mengamalkannya serta menyeru kearahnya adalah menjadi satu kewajipan kepada kita. Penghayatan ilmu yang sebenar haruslah disemai dalam diri mahasiswi islam bagi mencerna minda supaya benar-benar memahami konteks islam serta kewajipan sebagai seorang muslim.

Dewasa kini, dunia melihat umat islam dipengaruhi oleh pelbagai bentuk serangan pemikiran daripada segenap sudut kehidupan. Maka dalam menongkah arus serangan pemikiran yang mengalir deras ini, usaha ke arah menerapkan kefahaman dan keilmuan islam yang sebenar dikalangan mahasiswi terutamanya adalah sangat wajar digiatkan.

          Pendokong-pendokong fahaman ideologi songsang seperti  sekularisme, pluralisme, kapitalisme dan sebagainya yang terus menyusur laju dalam menyampaikan dakyah mereka perlu disekat dengan cara menerapkan kefahaman Islam yang benar. Hal ini sangat penting demi menjaga  assolah manhaj Islam yang telah dibawa daripada zaman rasulullah S.A.W, para sahabat dan para salafussoleh sehinggalah hari ini.

Tanggungjawab di dalam memahami Islam itu tidaklah hanya terpundak  pada golongan pemuda sahaja. Bahkan, wanita juga turut mempunyai tangungjawab yang sama. Seperti mana yang telah disebutkan didalam surah An Nahl ayat 97, maksudnya
 
Sesiapa yang beramal soleh, daripada lelaki atau perempuan, sedang ia beriman , maka sesungguhnya kami akan hidupkan dia dengan kehidupan yang baik, dan sesungguhnya kami akan membalas mereka  dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan.

Justeru itu HEWI BKPJM memandang serius terhadap perkara ini kerana kefahaman islam yang sebenar merupakan perkara tuntutan dalam sebuah persatuan .
 Antaranya dengan menerapkan kefahaman dan keilmuan islam dalam kehidupan mahasiswi dan menjana kelangsungan generasi pelapis dalam setiap lapangan bagi membuahkan kefahaman.

Bagi merealisasikan subtopik tersebut HEWI BKPJM progresif dalam menyusun beberapa medan antaranya dengan menubuhkan Madrasah Saidatina Nafisah sebagai medan akademik pemikiran, forum isu semasa ,pembentangan kertas kerja serta meneruskan lagi program berkala seperti memperanankan muzakarah berkelompok sebagai agen penerang dan pemberi fahaman yang benar, menganjurkan kelas tutorial dan diskusi kitab-kitab terpilih .

Sahabat yang dirahmati ALLAH, untuk subtopik yang kedua:

2) MENGUKUHKAN UKHUWWAH ISLAMIAH DAN KESATUAN DI ANTARA MAHASISWI

    Kesatuan adalah tonggak kekuatan sebuah organisasi dan ia dapat direalisasikan melalui senergi ukhuwah yang padu dan utuh. Firman Allah SWT ada menyebut didalam ayatnya yang bermaksud :

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah SWT dan janganlah kamu berpecah-belah. Dan ingatlah nikmat yang Allah kurniakan kepada kamu ketika kamu bermusuhan, maka Allah menyatukan hati-hati kamu dan jadilah kamu dengan nikmatnya bersaudara.

 Definisi kesatuan melalui ukhuwah yang dikarang di dalam kitab risalah taalim ialah merupakan satu ikatan hati dan jiwa yang dapat ditautkan dengan akidah Islamiah.

Sahabat seakidah sekalian,
BKPJM telah lama bertapak selama empat dekad, ini bermakna keberadaaan BKPJM ini adalah hasil daripada keutuhan ukhuwah sahabat seakidah dari dahulu hingga kini. Bahkan BKPJM masih lagi terus utuh dengan adanya sokongan daripada ahli tidak kira daripada pengajian islam mahupun sains kesihatan.

Keutuhan dalam kesatuan amat dititik beratkan malahan  Syed Mustafa Masyhur juga berkata didalam kitab karangannya kekuatan yang utama adalah kekuatan dalam kesatuan

Justeru itu, semua pihak perlu memainkan peranan penting dan bertindak dengan kreatif dalam mempelbagaikan dan memperkasakan ukhuwwah sesama mahasiswi. Oleh itu, HEWI BKPJM telah menyusun aktiviiti-aktiviti yang berkonsepkan ukhuwah seperti PERMATA , Ijtima Siswi, Katibah, ziarah ahli luar muhafazah dan riadah fatayat serta jaulah bagi mempelbagaikan medan dalam berinteraksi dan berkomunikasi sesama kita.

Hati yang diikat dengan ukhuwah mampu melahirkan rasa kasih dan sayang sesama kita seterusnya melahirkan gagasan generasi yang memberi pengorbanan yang lebih tinggi dan akan membuahkan kesatuan hati, fikrah dan amal sesama kita.
Dan ingatlah ukhuwah merupakan saudara bagi keimanan dan perpecahan adalah saudara bagi kekufuran.

     Sidang hadirin yang dihormati untuk subtopik yang terakhir adalah:

3) MENINGKATKAN KUALITI GERAK KERJA DAN KEMAHIRAN MAHASISWI

       Keunggulan mahasiswi Islam bukan hanya dinilai dari perspektif kecemerlangan akademik semata-mata malah penekanan kepada kualiti gerak kerja dan kemahiran perlu di ambil perhatian. Era globalisasi kini menuntut mahasiswi islam untuk mempertingkatkan kualiti gerak kerja dan kemahiran agar kredebiliti ini tidak dipandang enteng dan sepi oleh sesetengah golongan.

Justeru itu HEWI BKPJM telah mengambil inisiatif bagi memanfaatkan kedua-dua elemen penting ini ke dalam gelanggang mahasiswi untuk bergerak aktif.
 Sabda nabi muhammad SAW :

من اراد الدنيا فعليه بالعلم ومن اراد الأخرة فعليه بالعلم...
“Barang siapa yang mengkehendaki dunia maka keatasnya dengan ilmu dan siapa yang mengkehendaki akhirat keatasnya juga dengan ilmu…”.

Sebagai seorang muslim menjadi tuntutan kepada kita untuk meningkatkan produktiviti gerak kerja dari semasa ke semasa. Oleh itu, BKPJM secara optimis akan mengadakan himpunan aktivis secara berkala dan pemerkasaan Pusat Sumber Tenaga ( PESAT ) untuk kali ini. Tambahan lagi, ilmu kemahiran merupakan nilai tambah kepada mahasiswi Islam sebagai bekalan sebelum terjun ke medan masyarakat.

Sehubungan dengan itu, HEWI BKPJM sangat optimis dalam menggerakan program yang berbentuk kemahiran seperti bengkel PA Sistem, bengkel penulisan, bengkel percussion dan sebagainya. Dan membentuk kelab dibawah unit-unit yang berkaitan seperti kelab nasyid, kelab silat, kelab khat dan sebagainya untuk melahirkan mahasiswi yang mahir dan berkualiti dalam bidang tersebut. 

Akhir kata Membentuk Generasi Mithali.
BKPJM Keluarga Kita

Sekian terima kasih.

أقول قولي هذا وأستغفر الله لي ولكم والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته...

DARI BKPJM UNTUK BKPJM:UCAPTAMA YANG DI-PERTUA BADAN KEBAJIKAN PELAJAR-PELAJAR JOHOR DI MESIR 2016/2017


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم
الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِن دِيَارِهِم بِغَيْرِ حَقٍّ إِلَّا أَن يَقُولُوا رَبُّنَا اللَّهُ ۗ وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا ۗ وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ  *الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ *
Maksudnya : (40.) Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan kami ialah Allah". dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamanya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa;
(41.) Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.
(Al-Haj 22 : 40-41)

الحمد الله الذي أنزل على عبده الكتاب ولم يجعل له عوجا والصلاة والسلام على رسول الله المبعوث رحمة للعالمين وعلى آله وأصحابه ومن سار على نهجه إلى يوم الدين وبعد. قال رب اشرح لي صدري ويسرلي أمري واحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي.
Yang berbahagia saudara pengerusi majlis.
Yang berusaha Saudara Ahmad Helmi Bin Subahan, Timbalan Yang di-Pertua BKPJM merangkap Pengarah Program Dari BKPJM Untuk BKPJM 2016.
Yang dihormati Saudari Nur Fathin Binti Md Zailani, Ketua HEWI BKPJM sesi 2016/2017.
Yang dihormati barisan Kepimpinan AJKT dan AJK HEWI BKPJM 2016/2017.
Yang berusaha Jawatankuasa pelaksana program Dari BKPJM Untuk BKPJM 2016.
Yang dikasihi para pencinta, aktivis serta semua ahli BKPJM yang dirahmati Allah SWT.
Juga tidak dilupakan kepada seluruh anak-anak Johor yang berada di Mesir sekalian.

Alhamdulillahi Rabbil A'lamin, puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT yang sentiasa mengurniakan nikmat Iman dan Islam kepada kita semua. Selawat dan salam dipanjatkan kepada junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. serta seluruh ahli keluarga baginda dan sahabat-sahabat baginda yang meneruskan dakwah Islam ke seluruh alam sehingga dakwah Islam itu sampai kemanisannya kepada kita pada hari ini selaku penuntut Al-Quran dan hadis baginda S.A.W. di bumi Mesir yang penuh dengan barakah ini.

Alhamdulillah, dengan limpah kurniaNya juga telah 46 tahun BKPJM bertapak di Mesir. BKPJM yang pada asalnya dinamakan Tabung Derma Pelajar Islam Johor (TDPIJ), sejak dahulu lagi menjadi satu-satunya wadah untuk anak-anak Johor di Mesir bersatu. TDPIJ yang berperanan untuk mengumpul derma untuk kebajikan pelajar di samping mengadakan hubungan dengan Kerajaan Negeri Johor Darul Takzim, Majlis Agama Islam Negeri Johor dan pihak-pihak berwajib yang lain. Dengan meningkatnya bilangan pelajar dan timbulnya pelbagai masalah, maka pada 12 November 1982 Tabung Derma Pelajar Islam Johor (TDPIJ) telah dibubarkan dan digantikan dengan nama Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) hinggalah hari ini. Dan kelmarin merupakan hari ulang tahun BKPJM. Selamat Ulang Tahun ke-46 BKPJM!

Seiring usianya, BKPJM semakin utuh membantu menguruskan segala aspek keperluan anak-anak Johor di Mesir baik dari aspek kesatuan, kebajikan, pendidikan, dan sebagainya. Dalam meniti usianya ini, BKPJM mengharungi ujian, fitnah, tohmahan, dan pelbagai ancaman lain yang dilemparkan semuanya ingin merosakkan kesatuan atas dasar Islam yang dibawa. Tambahan lagi, terdapat banyak cubaan untuk memecahkan kesatuan BKPJM dengan anak-anak Malaysia yang lain dengan pelbagai cara yang dilihat kotor dan tidak selari dengan landasan Islam. Namun begitu segala puji bagi Allah, BKPJM terus mampu bertahan mendepani cabaran dan terus relevan menjadi wadah kesatuan anak-anak Johor di Mesir. Firman Allah S.W.T di dalam surah ali Imran ayat 103 :

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ *

Maksudnya : “ dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama islam), dan janganlah kamu bercerai-cerai. Dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyyah dahulu), lalu Allah menyatukan diantara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara ”
Baginda S.A.W juga bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang berbunyi :

عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه قال : ( مَثَلُ المؤمنين في تَوَادِّهم وتراحُمهم وتعاونهم، مثلُ الجسد، إِذا اشتكى منه عضو، تَدَاعَى له سائرُ الجسد بالسَّهَرِ والحُمِّى) أخرجه البخاري ومسلم عن النعمان بن بشير.

Ertinya : “Perumpamaan orang-orang mukmin dalam berkasih sayang bagaikan satu tubuh, apabila satu anggota badan merintih kesakitan maka sekujur badan akan merasakan panas dan demam”. (HR. Bukhari dan Muslim yang diriwayatkan daripada Nu’man bin Basyir).

Maka, dalil-dalil ini jelas menunjukkan bahawa kesatuan adalah perkara yang dituntut dalam agama. Dan BKPJM terus komited dalam menjalankan agenda kesatuan dan perpaduan demi memenuhi tuntutan agama Islam.

Saudara dan saudari yang dirahmati Allah,

            Cogan kata “KEBAJIKAN DAN PERPADUAN” telah menjadi satu gagasan dan matlamat utama di dalam pentadbiran BKPJM. Sehingga hari ini, di dalam setiap aktiviti dan program yang dilaksanakan oleh BKPJM, “kebajikan dan perpaduan” semestinya diletakkan antara objektif penting yang akan digariskan untuk membentuk ukhuwah dan perpaduan di kalangan anak-anak Johor di Mesir. Penting untuk diketahui bahawa BKPJM telah mempelopori aktiviti kebajikan sejak sekian lama, bahkan bukan sedikit sumbangan dan baktinya kepada anak-anak Johor yang berada di Mesir ini. Skop kebajikan yang dicurahkan BKPJM kepada ahlinya bukan hanya berbentuk kewangan semata-mata. Akan tetapi BKPJM juga memberikan kebajikan dari aspek thaqafah, kecemerlangan akademik, kesihatan dan lain-lain lagi.

            Sehingga hari ini, BKPJM berbekalkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai dasarnya terus konsisten dalam membawa segala matlamat dan tujuan penubuhan BKPJM. Antara tujuan penubuhannya adalah berusaha untuk mengeratkan hubungan ukhuwah Islamiah di antara ahlinya dan seluruh anak-anak Johor di Mesir. Membuat dan meningkatkan kemajuan dalam pelbagai bidang untuk kepentingan BKPJM dan seluruh ahlinya. Menyalurkan kebajikan kepada seluruh ahli dan anak-anak Johor di Mesir. Antara tujuan lain penubuhan BKPJM juga adalah untuk menjalinkan hubungan dengan Kerajaan Negeri Johor Darul Takzim dan pihak-pihak tertentu selagi tidak melanggar dasar dan tujuan penubuhan BKPJM.
Hadirin hadirat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian,

Islam merupakan agama yang sangat menitiberatkan ikatan ukhuwah persaudaraan sesama muslim. Konsep ukhuwah ini telahpun diajar oleh baginda Rasulullah S.A.W melalui sirah baginda dalam mempersaudarakan dan menyatupadukan kaum Muhajirin dan Ansar. Konsep persaudaraan yang telah ditunjuk oleh Baginda S.A.W ini jelas memberi maksud kepada kita semua akan betapa pentingnya kehidupan berjamaah atau hidup secara berkumpulan, kerana hidup secara berjamaahlah yang akan menjadi sumber kekuatan bagi sesuatu kaum.

Sebagaimana yang telah disebutkan diatas, BKPJM bagi sesi kepimpinan 2016/2017 telah meletakkan tema pembawaan “KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN” sebagai VISI yang perlu dicapai bagi pentadbiran sesi ini. Tema ini perlu sama-sama kita jayakan demi kesatuan yang kita cintai ini. Kerana dengan kebersamaanlah yang akan mengukuhkan kesatuan. Dengan kesatuanlah kekuatan akan terbina. Oleh itu, kukuhkanlah kesatuan, nescaya akan terbinanya kekuatan. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!

            Bagi mencapai visi “KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN” ini, BKPJM telah meletakkan sebanyak 5 subtopik tema pembawaan sebagai misi utama untuk dilaksanakan oleh semua ahli BKPJM. 5 misi tersebut ialah :
1.    Mengukuhkan ukhuwah di kalangan anak-anak Johor di Mesir.
2.    Mempertahankan Hak BKPJM dan Hak anak-anak Johor di Mesir.
3.    Memperkasa Penjanaan Ekonomi BKPJM.
4.    Memperluas Jaringan Hubungan Luar BKPJM.
5.    Memperkemas PESAT BKPJM.

Huraian bagi 5 misi tersebut adalah seperti berikut :

1.    Mengukuhkan ukhuwah di kalangan anak-anak Johor di Mesir.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ *

Maksudnya : Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).

Selaku insan yang bernama muslim, maka telahpun menjadi tanggungjawab fardhu ain dalam diri kita terhadap tuntutan Allah S.W.T. ini. Konsep ukhuwah dalam setiap gerak kerja yang dimaksudkan disini adalah sikap saling bantu membantu dalam apa saja gerak kerja, sama ada ianya berbentuk amal jami’e mahupun amal ijtima’e. Bagi menyemai rasa kebersamaan, perkara ini adalah perkara yang sangat penting yang perlu diletakkan dalam diri setiap individu islam. Kerana kewujudannya akan membenamkan sikap ego, sombong dan sikap pentingkan diri sendiri. Demikian itu, mengukuhkan ukhuwah di kalangan anak-anak Johor menjadi misi utama dalam menjayakan visi kesatuan BKPJM.

Program-program berbentuk rutin mingguan akan diteruskan sebagai nadi ukhuwah anak-anak Johor di Mesir seperti yasinan mingguan, sukan mingguan dan pastinya muzakarah berkelompok mingguan. Pada sesi ini juga BKPJM akan berusaha untuk mendengar sebarang permasalahan, idea bahkan kritikan secara langsung kepada BKPJM melalui majlis sehari bersama BKPJM seperti program DBUB yang sedang kita langsungkan pada hari ini. BKPJM juga mensasarkan penyertaan yang lebih meluas dalam program-program mega BKPJM seperti Hari Sukan Johor dan sambutan hari raya Aidilfitri kepada seluruh anak-anak Johor yang berada di setiap muhafazah di Mesir.

Sabda baginda S.A.W yang bermaksud :
“Permudahkanlah jangan engkau susahkan dan berikanlah kabar gembira dan jangan beri kabar yang berdukacita”.

            BKPJM seawal penubuhannya hinggalah ke hari ini, sangat menitiberatkan agenda kebajikan bagi anak-anak Johor di Mesir dalam apa jua keadaan. Pelbagai gerak kerja telah dijalankan dan Insyaallah akan terus dijalankan demi memastikan kebajikan anak-anak johor di mesir ini terjamin. Namun begitu, BKPJM juga sangat menggalakkan ahli-ahlinya untuk sama-sama mengambil cakna akan kebajikan rakan seperjuangan mereka yang lain, dengan cara mengambil tahu akan masalah yang dialami dan memaklumkan masalah tersebut kepada pimpinan BKPJM untuk diambil tindakan susulan. Dan di sini juga BKPJM sangat mengharapkan kepada semua ahli, untuk tidak berasa malu dan segan untuk meminta bantuan dalam apa jua masalah yang dialami kerana insya Allah selagimana BKPJM ini wujud maka selagi itulah agenda kebajikan ini akan terus dilaksanakan. Melalui medan inilah natijah bagi misi ukhuwah yang diletakkan dapat dicapai bersama.

Hadirin dan hadirat sekalian,
2.    Mempertahankan Hak BKPJM dan Hak anak-anak Johor di Mesir.

            Sedia maklum, pada tanggal 18 Januari 2016 BKPJM telah kehilangan pejabat rasminya di Asrama Pelajar Johor (APJ) Hayyu Thamin. Pejabat yang telah beroperasi selama 34 tahun ini hilang peranannya sebagai pusat pentadbiran BKPJM dalam menjayakan dasar dan tujuannya, hasil daripada tindakan pihak yang dengki akan kesatuan ini. Bahkan tindakan memecah masuk dan mengeluarkan aset BKPJM secara paksa adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak professional. Oleh itu, bagi menjayakan usul Mesyuarat Agung Tahunan BKPJM kali ke-34 yang lalu BKPJM akan terus berusaha untuk mendapatkan kembali hak pusat pentadbiran BKPJM di APJ Hayyu Thamin. Tidak ketinggalan hak kedai al-Jauhar di Asrama Pelajar Johor Rabaah dan hak peruntukan program tahunan kepada pelajar akan turut diperjuangkan.

            Sinonim dengan nama persatuan kebajikan dalam memainkan peranan untuk menyalurkan sumbangan dan kebajikan kepada ahli-ahlinya, BKPJM juga akan terus memperjuangkan hak anak-anak Johor yang tertindas seperti penafian hak zakat dan hak penempatan di Asrama Pelajar Johor dalam menjamin hak kebajikan keselamatan dan ketenteraman hidup di Mesir ini. Oleh yang demikian dengan agenda kebajikan yang menjadi teras dalam BKPJM secara tak langsung akan menunjukkan peranan BKPJM dalam menyelesaikan permasalahan-permasalahan yang sering menimpa anak-anak Johor di Mesir.

            BKPJM pada sesi ini juga suka untuk mencadangkan dan menggesa kepada pihak-pihak berwajib untuk mengambil berat akan hal ehwal kebajikan dan keselamatan anak-anak Johor di Mesir. BKPJM mencadangkan agar proses pembaharuan visa bagi anak-anak Johor di Mesir dapat dipermudah melalui pemusatan proses tersebut di Pejabat Atase Pendidikan Negeri itu sendiri.

Sidang Pendengar yang dirahmati Allah sekalian,

3.    Memperkasa Penjanaan Ekonomi BKPJM.

            Islam amat menganjurkan perniagaan dalam mencari rezeki. Bahkan termaktub di dalam sirah Nabi Muhammad SAW yang mana Baginda seawal umur remajanya telah mula menceburkan diri dalam bidang muamalat dan perniagaan. Perniagaan juga merupakan antara sunnah yang telah diajarkan oleh Baginda kepada kita selaku ummatnya. Saban tahun BKPJM bergerak dengan sumber ekonomi yang dijana sendiri oleh BKPJM. Ekonomi yang baik menjadi sumber utama dalam menggerakkan agenda kebajikan kepada semua ahli BKPJM dan anak-anak Johor di Mesir ini. Dalam melicinkan gerak kerja BKPJM, misi memperkasa penjanaan ekonomi menjadi matlamat yang penting dalam mencapai kelancaran bagi memberi kebajikan kepada semua ahli. Selain dengan pendapatan tetap BKPJM melalui kutipan yuran ahli dan kemasukan daripada lajnah ekonomi BKPJM, BKPJM juga bergerak dalam mendapatkan sumbangan luar sama ada daripada Malaysia mahupun Mesir.

            Selain itu, terdapat aktiviti yang disusun khusus bagi menjana ekonomi dan melatih ahli BKPJM dalam berniaga seperti penganjuran program bazaria. Seperti yang kita maklum juga, setiap pertubuhan mempunyai tanda atau produk pengeluaran tersendiri bagi memperkenalkan sesebuah pertubuhan tersebut dan sekaligus dapat menjana kemasukan ekonomi pertubuhan tersebut. Sebagai contoh dalam beberapa sesi yang lepas BKPJM telahpun berjaya mengeluarkan produk T-Shirt BKPJM dalam mempromosi BKPJM kepada seluruh anak-anak Johor di Mesir secara khususnya dan masyarakat di Malaysia secara amnya. Dengan adanya sebuah sistem ekonomi yang mapan ini, BKPJM dilihat akan terus mendapat sokongan dan kepercayaan ahli dalam menjana ekonomi demi kebajikan anak-anak Johor di Mesir. Oleh itu, dalam pembawaan pada kali ini BKPJM cenderung untuk berusaha menjana ekonomi BKPJM sebagai sumber kemasukan dan mencari dana dari luar bagi melancarkan segala gerak kerja dan program yang dijalankan oleh BKPJM.
           
            Bertepatan dengan itu, antara usaha-usaha yang akan dijalankan adalah seperti memperkasakan projek ekonomi, operasi kedai al-Jauhar sementara, menganjurkan program bazar dan lain-lain lagi. Pada sesi ini juga BKPJM akan memperkenalkan sistem mudhorobah kepada ahli yang berminat dan mensasarkan pendapatan sebanyak LE1000 sebulan. Sebagaimana yang telah dimaklumkan melalui carta organisasi BKPJM, pada sesi ini Unit Ekonomi BKPJM dijadikan sebagai satu unit bagi merealisasikan misi pemerkasaan ekonomi ini.

Sahabat-sahabatku sekalian,

4.    Memperluas Jaringan Hubungan Luar BKPJM.

            Setelah sekian lama, BKPJM telah menjalinkan hubungan rasmi dengan banyak pihak bagi menlancarkan segala gerak kerja di bawah unit-unit yang terdapat dalam BKPJM demi menjaga kebajikan anak-anak Johor di Mesir ini selaras dengan cogan kata BKPJM iaitu Kebajikan dan Perpaduan. BKPJM merupakan wadah kesatuan anak-anak Johor di Mesir yang menjadi penghubung perantaraan di antara anak Johor dan agensi-agensi kerajaan mahupun bukan kerajaan di Malaysia seperti Kerajaan Negeri Johor Darul Takzim, Majlis Agama Islam Negeri Johor, Yayasan Pelajar Johor, NGO-NGO kebajikan seperti PAPISMA, Muslim-Care dan banyak lagi.

            Disamping itu juga, pengukuhan hubungan luar yang diadakan oleh BKPJM diharapkan dapat memberi manfaat dan melicinkan gerak kerja setiap unit agar lebih memberi kesan kepada anak-anak Johor. Antara teknikal yang disusun oleh BKPJM ialah membina hubungan yang lebih kukuh bersama Pejabat Pegawai Atase Pendidikan Negeri Johor Mesir, Pegawai Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) di Mesir, Kerajaan Negeri Johor Darul Takzim, Majlis Agama Islam Negeri Johor dan agensi-agensi kerajaan yang lain. Terus mengukuhkan hubungan dengan seluruh Badan Kebajikan Anak Negeri di Mesir seperti yang telah disepakati di dalam persidangan khas PMRAM 2014. Menjalinkan hubungan dengan agensi-agensi bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan-pertubuhan yang diiktiraf oleh BKPJM. Untuk makluman seluruh ahli BKPJM, pada sesi ini BKPJM akan menjalinkan hubungan secara rasmi dengan salah satu daripada PERUBATAN cawangan di samping hubungan taakhi dengan Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) dan Keluarga Pelajar Perlis (KPP) yang sedia terjalin.

Para aktivis dan pencinta BKPJM sekalian,

5.    Memperkemas PESAT BKPJM.

            Statistik dari Jabatan Statistik Negara menunjukkan kira-kira 40000 graduan dilaporkan menganggur sehingga November 2001. Antara faktor utama pengangguran graduan tersebut ialah kurang kemahiran berkomunikasi dalam pelbagai bahasa, kurang mahir dalam gerak kerja organisasi, dan tiada kemahiran insaniah atau ‘soft skill’ yang menjadi nilai tambah kepada graduan negara masa kini. BKPJM tidak mahu lulusan Mesir termasuk dalam golongan ini. Justeru itu, BKPJM akan memperkemas penggunaan sumber manusia melalui Pusat Sumber Tenaga (PESAT) dan menjadikan Jabatan Fasilitator (JATA) sebagai medium pencetak sumber tenaga BKPJM. BKPJM juga telah meletakkan beberapa perancangan dalam memastikan lulusan Mesir terlepas dari menjadi penganggur antaranya Himpunan Aktivis, kursus pengurusan Islam, Kursus Vokasional, Bengkel Ucapan Umum dan lain-lain lagi. Kursus dan bengkel yang akan dijalankan juga akan mengambil kira tentang keperluan ahli dan bukan terhadap kehendak semata-mata.

Begitu juga, BKPJM menyediakan peluang kepada ahli-ahlinya untuk menajamkan kemahiran masing-masing melalui gerak kerja BKPJM sebagai sebuah persatuan bersifat non-partisan. BKPJM hari ini perlu mengutamakan kualiti dalam setiap gerak kerja yang dijalankan. Gerak kerja BKPJM tidak boleh bersifat melepaskan batuk di tangga, kerana BKPJM merupakan wadah kesatuan anak-anak Johor di Mesir yang bertindak sebagai penyelesai masalah, pembantu, dan orang tengah dalam menyuarakan kehendak dan hak ahli kepada pihak terbabit. Justeru itu, BKPJM perlu menjalankan gerak kerja dengan sebaiknya dan menjadi pentadbir yang terbaik dalam mengendalikan urusan Ummat Islam khususnya urusan anak-anak Johor di Mesir. BKPJM juga akan mempertimbangkan pelantikan muslimat sebagai pengarah program sebagai usaha meningkatkan keterampilan mahasiswi di mata masyarakat.

Saudaraku yang dikasihi sekalian,

            Untuk akhirnya, kita perlu sedar bahawa lemahnya Umat Islam hari ini adalah disebabkan mereka dipecahbelahkan dan dibahagi-bahagikan mengikut sentimen kenegaraan yang melampau sehinggakan terlupa akan konsep persaudaraan Islam. Lihat sahaja bagaimana Ummat Islam sanggup berbunuhan semata-mata kerana perlawanan bola sepak seperti apa yang telah berlaku di antara negara Mesir dan Algeria beberapa tahun yang lalu. Persengketaan ini wujud kerana tiadanya kesedaran di kalangan ummat dan pemimpinnya untuk menerapkan konsep kesatuan dan ukhuwah Islamiah dalam diri masing-masing. Melihat realiti ini, BKPJM mengambil pendekatan menyatukan anak-anak Johor di Mesir melalui wadah BKPJM sebagai langkah pertama dalam memastikan Ummat Islam kembali bersatu demi masa depan Islam akan datang.

BKPJM pada hari ini tidak akan mampu untuk bergerak tanpa adanya ahli yang sanggup bekerja membantu kepimpinan BKPJM dalam mengemudi bahtera ini. Kepimpinan BKPJM memilih tema ini kerana tema ini dilihat selaras dengan keperluan semasa ahli secara umum. Oleh itu, saya MUHAMMAD ARIF BIN HAMZAH Yang di-Pertua BKPJM bagi sesi 2016/2017 beserta barisan kepimpinan AJKT dan AJK HEWI BKPJM sesi 2016/2017 menyeru kepada seluruh ahli dan anak-anak Johor di Mesir sekalian marilah bersama-sama kami dalam merealisasikan visi dan tema pembawaan BKPJM tahun ini.

“Kebersamaan Mengukuh Kesatuan!”

Sebagai penutup marilah kita sama-sama melaungkan tema program pada hari ini.
Setia Bersamamu ... BKPJM!
(Laung 3x)

Sekian, terima kasih.

ما أصابك من حسنة فمن الله وما أصابك من سيئة فمن نفسي. أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم وبالله التوفيق والهداية السلام عليكم ورحمة الله وبركاته.


Friday, November 11, 2016

[ MAKLUMAN ] Struktur Organisasi Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor Di Mesir Sesi 2016/2017.


[ Struktur Organisasi ]
Berikut adalah struktur organisasi Ahli Jawatankuasa Tadbir Dan Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam sesi 2016/2017.
Senarai Ahli Jawatankuasa Tadbir BKPJM :

Yang Di-Pertua (Lajnah Perancang)
Muhammad Arif Bin Hamzah


Timbalan Yang Di-Pertua (Lajnah Perhubungan Luar)
Ahmad Helmi Bin Subahan


(Setiausaha Agung)
Muhamad Syafiq Bin Abdul Rasyid


Timbalan Setiausaha Agung (Lajnah Penerangan Dan Penerbitan)
Muhammad Zaki Bin Ramle



Bendahari (Lajnah Perumahan)
Mohammad Amirnurrashidi Bin Mohd Azlan


(Unit Dakwah Dan Tarbiah)
Muhammad Syakir Bin Sahimi


(Unit Pengetahuan Dan Bimbingan)
Aizat Bin Shahadan


(Unit Ekonomi)
Norhalim Bin Lokman


(Unit Kebajikan Dan Kemanusiaan)
Muhamad Syahmi Bin Ambe


Unit Sambutan Dan Rehlah (Lajnah Kebudayaan, Kesenian Dan Sukan)
Muhammad Hanafi Bin Azmi


Senarai Ahli Jawatankuasa HEWI BKPJM :

Ketua Hewi (Lajnah Perancang Hewi)
Nur Fathin Binti Md Zailani


Timbalan Ketua Hewi (Lajnah Penerangan Dan Penerbitan)
Nur Hazirah Husna Binti Md Rafpidin


(Setiausaha Hewi)
Nurul Najihah Binti Kamaruddin


Bendahari Hewi (Lajnah Perumahan Hewi)
Siti Norfatihah Binti Mohd Anuar

(Unit Dakwah Dan Tarbiah Hewi)
Amalina Syahirah Binti Hamidun


(Unit Pengetahuan Dan Bimbingan Hewi)
Sanisah Binti Morney


(Unit Ekonomi Hewi)
Raidah Asheila Binti Razali


(Unit Kebajikan Dan Kemanusiaan Hewi)
Nur Baiduri Binti Mohd Zamri


Unit Sambutan Dan Rehlah Hewi (Lajnah Kebudayaan, Kesenian Dan Sukan Hewi)
Solihah Binti Rosli



Disediakan Oleh: Jabatan Setiausaha Agung Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor Di Mesir Sesi 16/17

Tuesday, November 8, 2016

MAHASISWA DAN KEHIDUPAN DALAM PERSPEKTIF ISLAM



            Mahasiswa jika dilihat dari perspektif  Islam adalah merupakan pemuda yang penuh dengan semangat dalam membentuk perubahan untuk menerajui kebangkitan Islam sebagaimana yang didambakan setiap insan yang bergelar mahasiswa atau pemuda Islam. Mahasiswa Islam memainkan peranan yang cukup besar dalam perkembangan agama Islam. Kekuatan dan keutuhan agama Islam di atas muka bumi ini berhajat kepada peranan dan gerak kerja yang dimainkan oleh golongan pemuda atau mahasiswa Islam itu sendiri sebagai role model yang bertujuan membimbing masyarakat dalam pelbagai lapangan kehidupan. Sebagaimana yang telah disebutkan oleh Dr Amru Ibrahim Zakaria menulis di dalam kitabnya yang berjudul   
"دور الشباب في حملة رسالة الإسلام"  Katanya :

“Sesungguhnya pemuda pada setiap masa, setiap tempat bermula daripada zaman lampau sehinggalah kepada kita pada hari ini, mereka adalah tunjang kekuatan umat Islam, rahsia kebangkitan dan pencetus ketamadunan Islam. Golongan pemuda juga adalah pembawa panji-panji Islam serta mereka jugalah yang akan memimpin kesatuan bagi memastikan agama Islam berada di puncak dan mencapai kemenangan. Sesungguhnya agama Islam tidak akan tertegak dalam jiwa manusia, kekuasaaan Islam tidak akan berterusan di atas muka bumi dan agama Islam tidak mungkin akan berkembang dengan baik ke seluruh pelusuk dunia melainkan perkara tersebut direalisasikan oleh golongan pemuda yang beriman yang telah dididik dan ditarbiah melalui madrasah Nabi Muhammad SAW dan dikeluarkan daripada pusat asuhan mengikut manhaj Nabi SAW  secara menyeluruh.”

        Oleh yang demikian mahasiswa pada hari ini perlulah menyedari akan hakikat pentingnya peranan mereka dalam membangunkan agama Islam kerana pemuda hari ini adalah cerminan masa hadapan. Mereka yang bergelar mahasiswa perlu diberi pengisian yang seimbang antara jasmani, rohani, keilmuan, kesukanan, kemasyarakatan dan sebagainya sebagai salah satu persediaan dalam memastikan diri dapat memberikan khidmat yang pelbagai mengikut kepakaran mereka dalam berhadapan masyarakat kelak. Mahasiswa Islam juga perlulah memiliki sifat-sifat berikut sebagai persediaan asas dalam berkhidmat kepada gerakan Islam :
1-      Mengetahui secara jelas sebab matlamat Allah menciptakan manusia.
2-      Mengambil berat terhadap permasalahan yang dialami oleh umat Islam yang lain walaupun  berbeza bangsa, keturunan dan negara.
3-      Optimis terhadap kemenangan Islam.
4-      Mengikut contoh-contoh golongan terdahulu yang telah dan banyak berjasa.

      Mahasiswa yang berkecimpung dalam masyarakat mestilah memiliki sifat-sifat yang telah disebutkan sebagai persediaan asas iaitu mengetahui matlamat manusia diciptakan di muka bumi sebagai khalifah serta membebaskan diri dari kezaliman dan perhambaan kepada selain Allah SWT. Sebagaimana ungkapan yang disebut oleh Rub’I bin Amir :

“Sesungguhnya Allah mengutuskan kami untuk membebaskan manusia dari mengabdikan diri kepada sesama makhluk kepada mengabdikan diri kepada Allah, dan untuk membebaskan manusia dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat, dan daripada kezaliman agama-agama yang ada kepada keadilan Islam.”

Penegasan ini merupakan pendirian orang-orang yang benar keimanannya kepada Allah SWT. Seseorang yang bergelar mahasiswa Islam perlulah mempunyai sifat cakna terhadap isu semasa umat Islam tanpa mengira bangsa, keturunan dan negara dalam membentuk perpaduan Islam di mata dunia. Rasulullah SAW pernah bersabda berkaitan manusia yang tidak mengambil berat keadaan manusia yang lain. Sebagaimana sabdanya :

" من لا يهتم الناس فليس منا "
Yang bermaksud:” Barangsiapa tidak mengambil berat perihal manusia, maka bukanlah ia dikalangan umatku.”

        Selain itu,terdapat juga beberapa perkara penting yang manjadi penekanan kepada mahasiswa Islam adalah keyakinan mereka akan kemenangan Islam.Perkara inilah yang perlu dipasak dalam diri mahasiswa Islam yang disebut  sebagai ”Generasi kemenangan yang Dinanti” kerana ianya merupakan aqidah yang menjadi dasar umat Islam seluruhnya.Mahasiswa haruslah mengambil pengajaran daripada generasi terdahulu yang telah banyak berjasa dalam persada dunia Islam dalam memastikan Islam terus tertegak dan relevan di setiap zaman.

           Justeru itu, Mahasiswa Islam mestilah berusaha melaksanakan gerak kerja dengan baik dan semampu yang boleh serta meningkatkan diri dengan ilmu dan thaqafah agar dapat dimanfaatkan bersama dalam menyebarkan syiar Islam.Di samping itu,mahasiswa haruslah menitikberatkan hubungan antara diri dengan Allah SWT seperti memperbanyakkan amalan soleh serta menjauhi maksiat kerana boleh jadi sekiranya kemenangan yang akan diturunkan oleh Allah SWT bukanlah kemenangan pada hakikat namun sebagai bala atas kemungkaran yang dilakukan.

            Kesimpulannya, Fudhail bin Iyadh pernah berpesan kepada umat Islam agar sentiasa bertaubat kerana dosa itu lebih ditakuti daripada mata pedang pihak lawan. Para pemuda Islam akan terus bergelumang dalam kepompong songsang sekiranya diri mahasiswa Islam harapan negara dan bangsa sendiri mencairkan ketinggian nilai akhlak yang mulia kerana itulah cerminan terhadap rohani kita. Wallahu A’lam.

Disediakan Oleh: Unit Dakwah Dan Tarbiah BKPJM Sesi 16/17

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...