Tuesday, November 8, 2016

MAHASISWA DAN KEHIDUPAN DALAM PERSPEKTIF ISLAM



            Mahasiswa jika dilihat dari perspektif  Islam adalah merupakan pemuda yang penuh dengan semangat dalam membentuk perubahan untuk menerajui kebangkitan Islam sebagaimana yang didambakan setiap insan yang bergelar mahasiswa atau pemuda Islam. Mahasiswa Islam memainkan peranan yang cukup besar dalam perkembangan agama Islam. Kekuatan dan keutuhan agama Islam di atas muka bumi ini berhajat kepada peranan dan gerak kerja yang dimainkan oleh golongan pemuda atau mahasiswa Islam itu sendiri sebagai role model yang bertujuan membimbing masyarakat dalam pelbagai lapangan kehidupan. Sebagaimana yang telah disebutkan oleh Dr Amru Ibrahim Zakaria menulis di dalam kitabnya yang berjudul   
"دور الشباب في حملة رسالة الإسلام"  Katanya :

“Sesungguhnya pemuda pada setiap masa, setiap tempat bermula daripada zaman lampau sehinggalah kepada kita pada hari ini, mereka adalah tunjang kekuatan umat Islam, rahsia kebangkitan dan pencetus ketamadunan Islam. Golongan pemuda juga adalah pembawa panji-panji Islam serta mereka jugalah yang akan memimpin kesatuan bagi memastikan agama Islam berada di puncak dan mencapai kemenangan. Sesungguhnya agama Islam tidak akan tertegak dalam jiwa manusia, kekuasaaan Islam tidak akan berterusan di atas muka bumi dan agama Islam tidak mungkin akan berkembang dengan baik ke seluruh pelusuk dunia melainkan perkara tersebut direalisasikan oleh golongan pemuda yang beriman yang telah dididik dan ditarbiah melalui madrasah Nabi Muhammad SAW dan dikeluarkan daripada pusat asuhan mengikut manhaj Nabi SAW  secara menyeluruh.”

        Oleh yang demikian mahasiswa pada hari ini perlulah menyedari akan hakikat pentingnya peranan mereka dalam membangunkan agama Islam kerana pemuda hari ini adalah cerminan masa hadapan. Mereka yang bergelar mahasiswa perlu diberi pengisian yang seimbang antara jasmani, rohani, keilmuan, kesukanan, kemasyarakatan dan sebagainya sebagai salah satu persediaan dalam memastikan diri dapat memberikan khidmat yang pelbagai mengikut kepakaran mereka dalam berhadapan masyarakat kelak. Mahasiswa Islam juga perlulah memiliki sifat-sifat berikut sebagai persediaan asas dalam berkhidmat kepada gerakan Islam :
1-      Mengetahui secara jelas sebab matlamat Allah menciptakan manusia.
2-      Mengambil berat terhadap permasalahan yang dialami oleh umat Islam yang lain walaupun  berbeza bangsa, keturunan dan negara.
3-      Optimis terhadap kemenangan Islam.
4-      Mengikut contoh-contoh golongan terdahulu yang telah dan banyak berjasa.

      Mahasiswa yang berkecimpung dalam masyarakat mestilah memiliki sifat-sifat yang telah disebutkan sebagai persediaan asas iaitu mengetahui matlamat manusia diciptakan di muka bumi sebagai khalifah serta membebaskan diri dari kezaliman dan perhambaan kepada selain Allah SWT. Sebagaimana ungkapan yang disebut oleh Rub’I bin Amir :

“Sesungguhnya Allah mengutuskan kami untuk membebaskan manusia dari mengabdikan diri kepada sesama makhluk kepada mengabdikan diri kepada Allah, dan untuk membebaskan manusia dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat, dan daripada kezaliman agama-agama yang ada kepada keadilan Islam.”

Penegasan ini merupakan pendirian orang-orang yang benar keimanannya kepada Allah SWT. Seseorang yang bergelar mahasiswa Islam perlulah mempunyai sifat cakna terhadap isu semasa umat Islam tanpa mengira bangsa, keturunan dan negara dalam membentuk perpaduan Islam di mata dunia. Rasulullah SAW pernah bersabda berkaitan manusia yang tidak mengambil berat keadaan manusia yang lain. Sebagaimana sabdanya :

" من لا يهتم الناس فليس منا "
Yang bermaksud:” Barangsiapa tidak mengambil berat perihal manusia, maka bukanlah ia dikalangan umatku.”

        Selain itu,terdapat juga beberapa perkara penting yang manjadi penekanan kepada mahasiswa Islam adalah keyakinan mereka akan kemenangan Islam.Perkara inilah yang perlu dipasak dalam diri mahasiswa Islam yang disebut  sebagai ”Generasi kemenangan yang Dinanti” kerana ianya merupakan aqidah yang menjadi dasar umat Islam seluruhnya.Mahasiswa haruslah mengambil pengajaran daripada generasi terdahulu yang telah banyak berjasa dalam persada dunia Islam dalam memastikan Islam terus tertegak dan relevan di setiap zaman.

           Justeru itu, Mahasiswa Islam mestilah berusaha melaksanakan gerak kerja dengan baik dan semampu yang boleh serta meningkatkan diri dengan ilmu dan thaqafah agar dapat dimanfaatkan bersama dalam menyebarkan syiar Islam.Di samping itu,mahasiswa haruslah menitikberatkan hubungan antara diri dengan Allah SWT seperti memperbanyakkan amalan soleh serta menjauhi maksiat kerana boleh jadi sekiranya kemenangan yang akan diturunkan oleh Allah SWT bukanlah kemenangan pada hakikat namun sebagai bala atas kemungkaran yang dilakukan.

            Kesimpulannya, Fudhail bin Iyadh pernah berpesan kepada umat Islam agar sentiasa bertaubat kerana dosa itu lebih ditakuti daripada mata pedang pihak lawan. Para pemuda Islam akan terus bergelumang dalam kepompong songsang sekiranya diri mahasiswa Islam harapan negara dan bangsa sendiri mencairkan ketinggian nilai akhlak yang mulia kerana itulah cerminan terhadap rohani kita. Wallahu A’lam.

Disediakan Oleh: Unit Dakwah Dan Tarbiah BKPJM Sesi 16/17

No comments:

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...