DISEDIAKAN OLEH : AMALINA SYAHIRAH BINTI
HAMIDUN
UNIT PENGETAHUAN DAN BIMBINGAN HEWI BKPJM
2017/2018
Allah Azza wa Jalla
berfirman :
(( الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ
وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ))
“… Pada hari ini
telah Aku sempurnakan untukmu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu
nikmat-Ku, dan telah Aku redha Islam sebagai agama bagimu …”
[ Al-Maa-idah:3 ]
Semakin hari dunia semakin tenat. Saban
hari dunia semakin dipenuhi dengan penderitaan, kezaliman, permusuhan, kerakusan
dan pelbagai bencana alam yang melanda silih berganti. Semua ini angkara
tangan–tangan dan akhlak manusia. Janganlah kita menuding jari menyalahkan
takdir dan fenomena alam semulajadi atas apa yang telah berlaku.
Mengimbau kembali sejarah yang telah
berlaku pada zaman jahiliah, kesyirikan yang melanda masyarakat arab berfaktorkan
kepercayaan dan kebudayaan yang jauh daripada nilai-nilai islam; saling
menyerangi antara satu sama lain, wanita berhias ketika keluar rumah untuk menzahirkan
kecantikannya di khalayak ajnabi, suka berfoya-foya dan sebagainya.
Kemudian, datanglah cahaya Islam memberi
sinar baru. Masyarakat Mekah mula memeluk islam secara beransur-ansur.
Tetapi, lihatlah pada hari ini. Apakah
yang telah berlaku? Cahaya islam semakin hari semakin menghilang. Ramai dalam
kalangan umat manusia yang ditimpa penyakit yang sudah dikhabarkan oleh Baginda
Nabi S.A.W. Hal ini seperti yang telah direkodkan di dalam sebuah hadis yang
berbunyi :
عَنْ اَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ يَقُوْلُ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ: سَيُصِيْبُ أُمَّتِي دَاءُ اْلأُمَمِ فَقَالُوْا : يَا رَسُوْلَ اللهِ وَمَا دَاءُ اْلأُمَمِ قَالَ : اَلْأَشَروَاْلبَطَرُ وَالتَّكَاثُرُ وَالتَّنَاجُشُ فِي الدُّنْيَا وَالتَّبَاغُضُ وَالتَّحَاسُدُ حَتَّى يَكُوْنَ اْلبَغْىُ (رواه الحاكم)
Maksud:
Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a berkata: "Aku pernah mendengar
Rasulullah SAW bersabda: Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang
pernah menimpa umat-umat dahulu.”
Sahabat bertanya: “Apakah
penyakit-penyakit umat terdahulu itu?” Nabi Muhammad S.A.W menjawab:
“Penyakit-penyakit itu adalah
terlalu banyak berseronok, terlalu bermewah, menghimpunkan harta
sebanyak mungkin, tipu menipu dalam usaha merebut harta benda dunia, saling
memarahi, hasut menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi antara satu sama
lain.”
( Hadis riwayat : al-Hakim )
|
Penyakit-penyakit yang disebutkan oleh Rasulullah SAW
di dalam hadis tersebut bukanlah satu perkara yang baru kerana penyakit ini telah
banyak menjangkiti masyarakat Islam pada hari ini. Bahangnya sudah mula dirasai
sejak zaman dahulu lagi. Apabila manusia menolak sistem hidup yang disyariatkan
dalam Islam lantas mengambil dan memilih sistem hidup rekaan manusia, maka
inilah padahnya.
Islam dipisahkan daripada kehidupan
sebenar. Islam hanya pada ibadah semata-mata. Syariat yang dibawa dikatakan
kuno dan tidak sesuai dilaksanakan mengikut peredaran zaman bahkan ada yang alergi
dengan islam sehinggakan kita pada hari ini didoktrinkan dengan islamophobia,
merasakan Islam itu lapuk dan tidak maju.
Saidina Umar bin al-Khattab R.A berkata:
Kita adalah umat yang dipilih oleh Allah S.W.T
untuk dimuliakan dengan islam, maka jika kita mencari kemuliaan dengan yang
lain, Allah akan memberikan kehinaan kepada kita.
Sebuah kisah:
AHAD, AHAD, AHAD… Itulah sebutan yang
tidak lekang daripada mulut si hamba berkulit hitam walaupun dia diseksa dengan
begitu teruk oleh tuannya sendiri; Umaiyah bin Khalaf. Bilal bin Rabbah al-Habsyi
dari Ethiphio yang dijemur di tengah panas terik, ditimpa batu di atas dadanya
dan disebat dengan rotan, tetap tidak berganjak imannya hatta walaupun
beliau diseret mengelilingi pergunungan Mekah. Deritanya berakhir apabila Abu
Bakar al-Siddiq r.a membelinya dan memerdekakannya.
Renungilah kisah para sahabat yang mengharungi
segala perit pedih penderitaan namun iman mereka tetap tidak berganjak dan dan kekal
utuh walaupun diseksa dengan sedemikan rupa.
Bayangkanlah jika kita berada di tempat
mereka, adakah kita tetap mempertahankan Islam? Atau adakah Islam itu sekadar
berada di Kad Pengenalan?
Memetik satu kalam daripada ustaz Hassan
al-Hudaibi, beliau berkata:
Tegakkan daulah islam di dalam diri kamu, nescaya
ia akan tertegak di sekeliling kamu.
Tuntasnya, islam hendaklah dijadikan panduan dalam semua
aspek kehidupan individu. Hinanya sebuah kaum mahupun tamadun apabila ia mula meminggirkan
dan mengabaikan pengajaran Islam. Realiti pasca kini, mereka yang tegas dan
cekal dengan membawa sistem-sistem Islam dikatakan syadid, dipulaukan susuk
tubuh dan kata-kata mereka walaupun pada hakikatnya, sudah termaktub di dalam
al-Quran bahawa ajaran Islam itu sesuai untuk diamalkan sepanjang zaman.
Moga sejarah lalu menjadi pengajaran dan
mengukuhkan iltizam kita untuk meletakkan Islam sebagai tunjang utama dalam
setiap aspek kehidupan.
No comments:
Post a Comment