Timbalan Unit Panitia Kecemerlangan Akademik Johor ( PAKAR ) BKPJM 2016/2017
Dan
tidaklah harus bagi orang-orang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan
RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidak harus mereka)
mempunyai hak memilih ketetapan sendiri, mengenai urusan mereka. Dan sesiapa
yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNnya maka sesungguhya ia telah
sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.
(Al-Ahzab
: 36)
Syeikh
Muhammad al-Ghazali menyebut bahawasanya “Apabila kamu ingin memelihara
kebenaran dan menentukan batas-batasnya, kamu sepatutnya terlebih dahulu
mengetahui kebenaran itu dan pelbagai perkara yang berkaitan dengan kebenaran
tersebut.Kamu mungkin menimbulkan persoalan kenapa perkara-perkara ini begitu
penting? Kenapa tidak mengetahui pelbagai perkara yang berkaitan dengan sesuatu
kebenaran itu akan merosakkan dan menimbulkan kefahaman yang salah mengenai kebenaran
tersebut?.Jawabnya adalah ,”Pengetahuan yang sempurna pasti memiliki
batas-batasnya.” Ada pepatah arab menyebutkan bahawa (yang bermaksud) :
‘Kejahilan
adalah musuh kepada dirinya sendiri.’
Syeikh
Amir Syakib Arsalan melalui bukunya : “Mengapa umat Islam mundur dan mengapa
umat selainnya maju?Beliau menyebutkan faktor utama penyebab kemunduran ialah
faktor kejahilan dalam kalangan umat Islam sehingga ada di antara mereka tidak
dapat membezakan antara arak dan cuka.Natijahnya, orang jahil akan pasrah
sahaja menerima permasalahan yang dikemukan tanpa mengetahui cara untuk menolaknya.
Mutakhir
ini, kita sering dimomokkan dengan isu pindaan Akta 355 yang telah menjadi
tanda Tanya dan bualan rakyat Malaysia. Adakah pindaan ini releven dilaksanakan di bawah kuasa perundangan Islam?
Justeru,
sebagai orang Islam kita perlu mengambil sikap cakna serta meneliti berkaitan
isu-isu yang berlaku di sekeliling kita.Dewasa ini ketidakjelasan dan
salah faham isu meyebabkan timbul lontaran idea yang tidak lagi berpijak kepada
hakikat yang nyata. Kegagalan memahami isu hasil daripada salah faham ketika
menerima maklumat berpunca daripada kehilangan adab dalam kalangan pencari
kebenaran akibat cuba mendapatkan ilmu daripada orang yang bukan ahli dalam sesuatu
bidang tersebut.
Apakah
sebenarnya Akta RUU 355? Apa tujuan pindaan akta ini? Apa kesan kepada sistem
perundangan negara? Siapa sahaja yang terlibat? dan banyak lagi persoalan yang
bermain di fikiran kita. Justeru, penawar bagi penyakit kejahilan ini
ialah merujuk, bertanya dan berbincang kepada ahli bidang dan juga pihak yang memahami
dengan baik akan cadangan pindaan akta ini. Kesan daripada salahfaham dan
kejahilan akan terus menyebabkan keharmonian serta kehidupan masyarakat setempat
terjejas. Ini akan merencatkan sebuah kejayaan yang sepatutnya dimiliki
bersama.Sebelum menjawab semua persoalan ini pentingnya kepada kita semua untuk
keluar daripada kegelapan kejahilan berkenaan sistem perundangan ini dengan
mengetahui keistimewaan Syariat Islam itu sendiri.
Menurut
Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, terdapat 7 keistimewaan Syariat Islam yang
menjadikannya sentiasa relevan
sepanjang masa di seluruh alam sejagat.
Antara 7 keistimewaan
tersebut ialah :
1.
Rabbaniyyah (sifat bertuhan)
2.
Insaniyyah (kemanusiaan)
3.
Syumuliyyah (menyeluruh)
4.
Tawazun atau Wasatiyyah (seimbang)
5.
Waqieyyah (berpijak secara nyata)
6.
Wuduh (jelas)
7.
Thabat & Murunah (tetap dan anjal)
1. Rabbaniyyah (sifat
bertuhan)
Rabbaniyyah
yang dimaksudkan ialah Islam menjadikan tujuan akhir dan sasarannya jauh
kedepan iaitu menjaga hubungan dengan Allah S.W.T dan meraih redhaNya kerana
hakikat hidup di mata orang yang bodoh hanyalah untuk makan dan bersenang
lenang di atas muka bumi ini tetapi bagi orang yang beriman dan berfikir itu
hakikat kehidupan yang sebenar hanyalah untuk beribadah kepada penciptanya. Maka,
buah daripada redha Allah itu akan menjadikan hamba itu pada fitrahnya. Fitrah
iman yang merupakan sebuah kekayaan yang tidak ternilai. Mampu untuk hidup
damai dan tenteram dengan ketenangan jiwanya di atas muka bumi ini.
2. Insaniyyah (kemanusiaan)
Bagi
orang-orang yang mempelajari Islam akan tampak jelas kepadanya bahawa Islam itu
sangat mementingkan aspek kemanusiaan dalam kehidupan manusia sehari-hari. Syariat
Islam itu meliputi aspek-aspek kemanusian yang sangat luas baik dari aspek
pembangunan syakhsiyah (keperibadian diri), muamalat (pergaulan), perundangan
jenayah dan banyak lagi. Bahkan jika diperhatikan daripada 5 rukun Islam itu
sahaja sudahpun meliputi aspek kemanusiaan. Sebagai contoh,Islam mewajibkan
zakat sebagai sebuah sistem takaful sesama manusia yang mampu membebaskan
manusia daripada kefakiran.
3.
Syumuliyyah (menyeluruh)
Sungguh telah terbukti bahawa Islam itu bersifat sangat
menyeluruh dan universal. Salah satu buktinya yang paling agung adalah
Al-Quran. Al-Quran yang terpelihara sehingga kini biarpun usianya telah
melampaui lebih 1400 tahun sejak diutuskan melalui baginda Rasulullah Muhammad
S.A.W. Risalah yang dibawa bukan sahaja relevan sepanjang zaman di seluruh
pelusuk alam bahkan relevan terhadap seluruh kehidupan tanpa mengenal batasan. Ketahuilah
bahawa Islam itu negara dan tanah air, kerajaan dan rakyat. Islam itu akhlak
dan kekuatan, rahmat dan keadilan. Islam itu pengetahuan dan undang-undang,
ilmu dan kehakiman. Islam itu benda dan harta, pendapatan dan kekayaan. Islam
itu jihad dan dakwah, tentera dan gagasan. Islam itu akidah yang sejahtera,
ibadah yang betul.
4. Tawazun atau Wasatiyyah
(seimbang)
Keseimbangan
dalam Islam yang dimaksudkan ialah seimbang antara dua arah yang bertentangan di
mana salah satu dari dua arah tersebut tidak mampu berpengaruh dengan
sendirinya dan mengabaikan yang lain. Seimbang dengan maksud sesuatu itu tidak
mampu untuk melampaui atau mengambil hak sesuatu yang lain. Sebagai contoh,
Islam itu menuntut ibadah sebagai ruhiyyah tetapi Islam juga menuntut kerja
sebagai maddiyah. Islam menuntut ibadah bersifat individu dan Islam juga
menuntut untuk bernegara. Natijahnya, Islam itu menjadi adil dengan sifat
wasatiyyah ini.
5. Waqieyyah (berpijak secara nyata)
Waqieyyah
yang dimaksudkan oleh Islam ialah mengakui realiti alam sebagai suatu hakikat yang
terjadi secara fakta dan mempunyai jisim atau sifat yang terlihat oleh
pancaindera. Hakikatnya Islam melihat daripada sudut yang jauh lebih besar.
Wujud yang abadi, lebih jauh daripada sekadar wujudnya alam ini. Waqieyyah
Islam itu apabila setiap sesuatu itu dapat diterima oleh akal, membawa
ketenangan jiwa dan tidak bertentangan dengan fitrah salimah. Islam
mengajak beriman kepada Allah dengan menampakkan dalil-dalil kewujudan-Nya. Islam
mengajak beriman kepada Rasul dengan menyempurnakan akhlak Rasulullah S.A.W dan
mengurniakan mukjizat sebagai bukti kerasulan.
6. Wuduh (jelas)
Islam itu
sangat jelas ajarannya dah tiada padanya keraguan sama sekali. Setiap sesuatu
dihadirkan bersamanya dalil dan hikmah. Bahkan jelas Islam itu dibuktikan
secara saintifik bagi saintis yang cuba menafikannya. Jelasnya Islam itu
dibuktikan dengan syair dan kata-kata indah bagi penyair yang cuba mencabarnya.
Jelasnya Islam itu dibuktikan dengan falsafah yang nyata bagi ahli falsafah
yang cuba mendustakannya.
7. Thabat & Murunah (tetap dan anjal)
Islam
itu tetap tetapi anjal. Hukum solat itu wajib tetapi gugur kewajipannya kepada
wanita haid. Syarat sahnya solat zohor itu ialah didirikan dengan 4 rakaat
tetapi diberikan rukhsah (keringanan) bagi musafir kepada 2 rakaat
sahaja. Bangkai itu haram tetapi diharuskan untuk makan ketika dalam keadaan
darurat.
Oleh
itu, Ingatlah bahawa sebarang tindakan kita pada hari ini akan menjadi sejarah
yang pasti dibaca dan diteliti oleh generasi kita akan datang. Dengan kedudukan
Islam yang begitu tinggi dan terserlah ini, sudah tentu tiada sebab untuk Syariah
Islam tidak dapat dilaksanakan atau sekurang-kurangnya diperkasakan dalam
konteks perundangan yang sedia ada. Sesungguhnya Syariat Islam tidak menuntut
kepada seorang hamba untuk melaksanakan kewajipan yang diluar kemampuan.Syariat
Islam juga tidak memberikan bebanan kepada seseorang hamba melebihi
kemampuannya. Namun, semua ini adalah merupakan sifat dasar Syariat Islam yang Syumul yang dapat ditegakkan dan salah
satu caranya dengan mempunyai sistem mahkamah dan kehakiman yang kukuh dan
mantap.
Akhir
kalam,saya meyeru kepada seluruh mahasiswa dan umat Islam agar melihat kepada maslahat untuk membina sebuah negara
yang maju dan berdaya saing.Sudah menjadi tuntutan utama kepada kita semua
menyokong pindaan Akta 355. Semoga dengan kewujudan perundangan ini, Allah
Taala memelihara negara yang kita cintai dengan menatijahkan Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur.Amin. Wa
Allahu A’lam.
“Kebersamaan
Mengukuh Kesatuan”
“Membentuk
Generasi Mithali”
No comments:
Post a Comment