Saturday, September 16, 2023

[ KENYATAAN RASMI PENGARAH SPR BKPJM 2023 ]





 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ 


الحمدللّه ربّ العالمين وبه نستعين على أمور الدنيا والدين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد

وعلى آله وصحبه أجمعين. أما بعد.. 


Saya Muhammad Azery bin Syed Hussin selaku individu yang telah diamanahkan sebagai Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir 2023 (SPR BKPJM) yang akan menguruskan proses pemilihan pimpinan BKPJM bagi sesi 2022/ 2023 bersama pegawai SPR BKPJM yang dilantik.


Pada tahun ini, pihak SPR BKPJM membuka bilik gerakan SPR BKPJM yang bertempat di Darul Hamka, Hayyu Sabiek untuk pencalonan Yang Dipertua dan Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) serta Ahli Jawatankuasa HEWI BKPJM bagi kepimpinan sesi 2023/ 2024. 


 Proses penamaan calon untuk semua borang pencalonan ditangguhkan kepada tarikh yang akan dimaklumkan kelak.


Sebarang maklumat lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa.


Sekian sahaja daripada saya. Terima kasih.


Siiru a'la barakatillah.


 

"BERSIH, TELUS & AMANAH"



Yang Menjalankan Amanah,


MUHAMMAD AZERY BIN SYED HUSSIN

No Ahli: 2688

Pengarah SPR BKPJM 2023.

Monday, September 11, 2023

[ KENYATAAN RASMI PENGARAH SPR BKPJM 2023 ]




 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ 


الحمدللّه ربّ العالمين وبه نستعين على أمور الدنيا والدين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد

...وعلى آله وصحبه أجمعين. أما بعد


Firman Allah S.W.T:


 یَـٰدَاوُۥدُ إِنَّا جَعَلۡنَـٰكَ خَلِیفَةࣰ فِی ٱلۡأَرۡضِ فَٱحۡكُم بَیۡنَ ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ ٱلۡهَوَىٰ فَیُضِلَّكَ عَن سَبِیلِ ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱلَّذِینَ یَضِلُّونَ عَن سَبِیلِ ٱللَّهِ لَهُمۡ عَذَابࣱ شَدِیدُۢ بِمَا نَسُوا۟ یَوۡمَ ٱلۡحِسَاب  ٢٦ 


Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.

Sad, Ayat 26

 

Saya Muhammad Azery bin Syed Hussin selaku individu yang telah diamanahkan sebagai Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir 2023 (SPR BKPJM) yang akan menguruskan proses pemilihan pimpinan BKPJM bagi sesi 2023/2024 bersama pegawai SPR BKPJM yang dilantik.


Pada tahun ini, pihak SPR BKPJM membuka bilik gerakan SPR BKPJM yang bertempat di Darul Hamka, Hayyu Sabiek untuk pencalonan Yang Dipertua dan Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) serta Ahli Jawatankuasa HEWI BKPJM bagi kepimpinan sesi 2023/ 2024. Proses penamaan calon akan diadakan pada 16 & 17 September 2023, manakala hari bantahan 18 September 2023. 


Pencalonan dibuka bagi memilih :


• Borang A (Seorang Yang Dipertua)


• Borang B (5 Ahli Jawatankuasa Tadbir Badan) 


• Borang C (Seorang Ketua Hal Ehwal Wanita Islam) 


• Borang D (4 Ahli Jawatankuasa HEWI) 


• Sekiranya pencalonan tidak mencukupi kuota yang ditetapkan, maka calon yang sedia ada akan dikira sah.


Sebarang maklumat lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa.


Sekian sahaja daripada saya. Terima kasih.


Siiru a'la barakatillah.


"BERSIH, TELUS & AMANAH"


Yang Menjalankan Amanah,


MUHAMMAD AZERY BIN SYED HUSSIN

No Ahli: 2688

Pengarah SPR BKPJM 2023.

Monday, September 26, 2022

[ RISALAH AL-ISYTAQ | UNIT BAIT MUSLIM ]

 


RISALAH UNIT BAIT MUSLIM (UBM)

TAJUK: KISAH ROMANTIK NABI MUHAMMAD SAW BERSAMA ISTERINYA 

PEMBENTUKAN KELUARGA BAHAGIA.


Kisah Rasulullah S.A.W memujuk isterinya iaitu Safiyyah yang sedang merajuk:


Tsabit al-Bunani menceritakan kepada kami daripada Anas bin Malik berkata "Suatu ketika Safiyyah ikut bersama Nabi dalam satu musafir. Hari itu hari giliran beliau. Beliau bergerak sangat lambat ketika itu. Maka Rasulullah datang kepadanya ketika beliau sedang menangis. Beliau berkata: ‘Awak bawa saya di atas unta yang lambat!'


Maka Rasulullah S.A.W pun menyapu mata beliau dengan dua tangan Baginda sendiri. Baginda cuba mententeramkannya namun beliau tetap menangis. Akhirnya Rasulullah S.A.W marah dan membiarkannya." 


‎حَدَّثَنَا ثَابِتٌ البُنَانِي، عَن أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ كَانَت صَفِيَّةُ مَعَ رَسُولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلمَ فِي سَفَرٍ. وَكَانَ ذَلِكَ يَوْمَهَا، فَأَبْطَأَتْ فِي المَسِيرِ. فَاسْتَقْبَلَهَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهِيَ تَبْكِي وَتَقُولُ حَمَلْتَنِي عَلَى بَعِيرٍ بَطِيءٍ.


‎فَجَعَلَ رَسُولُ اللهِ صلَّى اللهُ عَليهِ وَسَلَّمَ يَمْسَحُ بِيَدَيْهِ عَيْنَيْهَا. وَيُسْكِتُهَا فَأَبَتْ إِلَّا بُكَاءً. فَغَضَبَ رَسُولُ اللهِ صَلى اللهُ عليهِ وسلمَ وَتَرَكَهَا. 


(Riwayat al-Nasa'i)


Subhanallah, kisah diatas menunjukkan Rasulullah S.A.W tersangatlah romantik dan penyabar dalam mengurus emosi isterinya. Baginda menggunakan jarinya untuk mengesat air mata isterinya dan berusaha memujuk serta menenangkan isterinya. Pada hari ini, boleh jadi para suami jika romantik sekali pun akan menghulurkan tisu sahaja. Kalau ada yang menggunakan jari mungkin dalam drama melayu jam 7 malam.


Tentang isteri yang membuat Nabi S.A.W marah, tidaklah jatuh berdosa kerana perbuatan tersebut tidak melibatkan sesuatu yang haram. Nabi S.A.W marah dengan tujuan mendidik, bukan marah mengikut hawa nafsu. Semua manusia ada perasaan marah, namun Nabi S.A.W marah dengan kasih sayang. 


Pengajaran yang boleh diambil dari kisah diatas ialah:


  1. Suami perlu memahami emosi isteri dan tidak terlalu egois.

  2. Isteri tidak boleh merajuk secara berlebihan dan menjaga adab dengan suami.

  3. Suami perlu mendidik isteri agar tidak merajuk secara berlebihan.


Oleh itu, Rasulullah S.A.W adalah seorang suami yang boleh dijadikan contoh para suami hari ini. Banyak akhlak mulia Rasulullah yang sepatutnya kita contohi terutama dari aspek pembentukan rumah tangga yang baik. Suami adalah susuk tubuh yang menjaga dan melindungi serta mendidik sesebuah keluarga. Jika baik akhlak seorang suami itu, maka baiklah keluarga dan seisinya. Di samping itu, di sebalik susuk tubuh seorang suami yang hebat, ada seorang isteri yang sentiasa taat dan menenangkan serta banyak membantu dalam menuju pembentukan keluarga yang sakinah. Justeru, pemilihan pasangan hidup adalah penting kerana ia menentukan tujuan kehidupan seseorang selepas itu.  


Antara pembentukan keluarga yang bahagia ialah:


  1. Memiliki Pasangan yang Baik.


Sabda Rasulullah:


عن أبي هريرة رضي الله عنه: قال النبي صلى الله عليه وسلم: " تنكح المرأة لأربع لمالها ولحسبها ولجمالها ولدينها فاظفر بذات الدين تربت يداك"


"Wanita dinikahi kerana empat perkara: hartanya, keturunan, kecantikannya, dan agamanya.’’ (HR. Bukhari)


  1. Mengetahui Hak Suami dan Isteri.


Allah berfirman dalam Surah an-Nisa:34


ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍۢ وَبِمَآ أَنفَقُوا۟ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ ۚ فَٱلصَّـٰلِحَـٰتُ قَـٰنِتَـٰتٌ حَـٰفِظَـٰتٌۭ لِّلْغَيْبِ

 بِمَا حَفِظَ ٱللَّهُ ۚ وَٱلَّـٰتِى تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَٱهْجُرُوهُنَّ فِى ٱلْمَضَاجِعِ وَٱضْرِبُوهُنَّ ۖ فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا۟ عَلَيْهِنَّ

 سَبِيلًا ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيًّۭا كَبِيرًۭا 


Maksudnya: Lelaki adalah penjaga wanita, kerana lelaki telah ditetapkan oleh Allah atas wanita dan ditugaskan untuk menyokong mereka dari segi kewangan. Dan wanita yang solehah ialah mereka yang taat dan apabila bersendirian, mereka menjaga apa yang Allah amanahkan kepada mereka. Dan jika kamu merasakan kemungkaran dari wanita kamu, bermula dengan nasihati mereka, jika mereka berterusan, jangan sekatil tempat tidur, tetapi jika mereka masih berterusan, maka disiplinkanlah mereka dengan lemah-lembut. Tetapi jika mereka mengubah cara mereka, jangan berlaku zalim kepada mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.


  1. Kewajiban Menafkahi Keluarga


عن أبي هريرة -رضي الله عنه- قال: قال رسول الله -صلى الله عليه وسلم-: "دينار أنفقته في سبيل الله، ودينار أنفقته في رقبة، ودينار تصدقت به على مسكين، ودينار أنفقته على أهلك، أعظمها أجرًا الذي أنفقته على أهلك"


Rasulullah bersabda: “Satu dinar yang kamu nafkahkan di jalan Allah, satu dinar yang kamu belanjakan untuk leher, dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin, dan dinar yang kamu nafkahkan untuk keluargamu, paling besar pahalanya adalah yang kamu nafkahkan untuk keluargamu.”


  1. Kewajipan Memberikan Pendidikan Agama


Allah berfirman dalam Surah Toha:132


وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِٱلصَّلَوٰةِ وَٱصْطَبِرْ عَلَيْهَا ۖ لَا نَسْـَٔلُكَ رِزْقًۭا ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُكَ ۗ وَٱلْعَـٰقِبَةُ لِلتَّقْوَىٰ 


Maksudnya: Dan perintahkanlah kepada keluargamu (dan umatmu) sembahyang dan teguhkanlah hatimu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu; Kami memberi rezeki kepadamu dan kesudahan (yang terbaik) adalah bagi orang-orang yang bertakwa.


Rujukan: Asam Garam Rumah tangga Nabi, Jilid 1, m/s 72


Saturday, September 24, 2022

[ KENYATAAN RASMI PENGARAH SPR BKPJM 2022 ]

 


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ 


الحمدللّه ربّ العالمين وبه نستعين على أمور الدنيا والدين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد

وعلى آله وصحبه أجمعين. أما بعد.. 


Firman Allah S.W.T:


 یَـٰدَاوُۥدُ إِنَّا جَعَلۡنَـٰكَ خَلِیفَةࣰ فِی ٱلۡأَرۡضِ فَٱحۡكُم بَیۡنَ ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ ٱلۡهَوَىٰ فَیُضِلَّكَ عَن سَبِیلِ ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱلَّذِینَ یَضِلُّونَ عَن سَبِیلِ ٱللَّهِ لَهُمۡ عَذَابࣱ شَدِیدُۢ بِمَا نَسُوا۟ یَوۡمَ ٱلۡحِسَابِ﴿ ٢٦ ﴾


Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah)  itu. 


Surah Sad : 26

 

Saya Muhammad Hafizh bin Borhanudin selaku individu yang telah diamanahkan sebagai Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir 2022 (SPR BKPJM) yang akan menguruskan proses pemilihan pimpinan BKPJM bagi sesi 2021/ 2022 bersama pegawai SPR BKPJM yang dilantik.


Pada tahun ini, pihak SPR BKPJM membuka bilik gerakan SPR BKPJM yang bertempat di Darul Hamka, Hayyu Sabiek untuk pencalonan Yang Dipertua dan Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) serta Ahli Jawatankuasa HEWI BKPJM bagi kepimpinan sesi 2022/2023. Proses penamaan calon akan diadakan pada 28 & 29 September 2022, manakala hari bantahan 1 Oktober 2022. 


Pencalonan dibuka bagi memilih :

• Borang A (Seorang Yang Dipertua)

• Borang B (5 Ahli Jawatankuasa Tadbir Badan) 

• Borang C (Seorang Ketua Hal Ehwal Wanita Islam)

 •Borang D (5 Ahli Jawatankuasa HEWI) 

Jika pencalonan tidak mencukupi kuota yang ditetapkan, maka calon yang sedia ada akan dikira sah dan  sekiranya pencalonan melebihi kuota yang ditetapkan, maka akan diadakan pilihan raya. 

Sebarang maklumat lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Sekian sahaja daripada saya. Terima kasih.

Siiru a'la barakatillah

"BERSIH, TELUS & AMANAH"

Yang Menjalankan Amanah,

MUHAMMAD HAFIZH BIN BORHANUDIN 

No Ahli: 2653 

Pengarah SPR BKPJM 2022.

Tuesday, June 14, 2022

[ RINGKASAN KITAB RISALAH ILA AKHI FILLAH ]


 

[ RINGKASAN KITAB RISALAH ILA AKHI FILLAH (KARANGAN DR. MAJDI AL-HILALI) ]

 

Muqaddimah 

Sesungguhnya setinggi-tinggi hubungan kemanusiaan di alam al-wujud adalah hubungan ukhuwah dalam naungan Allah. 

Sebanyak mana manfaat yang diperoleh oleh seseorang, itulah ukuran yang menjadi perhatiannya untuk membentuk hubungan dengan seseorang yang lain. 

Ternyata kebaikan dalam ukhuwah itu datang daripada Allah dan keburukannya itu datang daripada diriku. Tiadalah aku berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Allah adalah tujuanku dan Dialah yang Maha Memberi Petunjuk kepada jalan yang betul. 

Cinta Dalam Naungan Allah 

Akhi fillah, sesungguhnya erti cinta kerana Allah adalah kita mencintai sesuatu yang berada pada seseorang apa yang Allah cintai padanya. Maka kita tidak bolehlah mencintai seseorang yang lain kerana zat-Nya melainkan kerana sifat-sifat yang berada pada dirinya yang Allah cintai. 

Oleh itu, kita mencintai Rasulullah SAW kerana Allah mencintai baginda dan menyuruh kita untuk mencintai baginda. Demikianlah kita mencintai orang-orang Islam dan membenci orang-orang kafir. 

Siapa Merasai, Dia Mengetahui 

Akhi fillah, barangsiapa yang merasai, maka dia akan mengetahui. Sesungguhnya aku telah pun merasai kelazatan kecintaanmu dan aku tidak mendapati rasa yang lebih lazat dan sempurna daripadanya setelah kemanisan beribadah dan ketaatan kepada Allah. 

Setiap yang telah merasai kelazatannya tidak akan reda untuk menukarnya dengan yang lain, malah seluruh kelazatan dunia itu berdiri tersipu-sipu ketinggalan jauh daripadanya. 

Kekaguman 

Akhi fillah, aku telah melihat tanda-tanda kekaguman yang terpancar jelas pada wajah-wajah orang ramai yang melihat kita dan melihat sejauh mana keeratan hubungan kita. 

Aku berwaspada terhadap diriku dan dirimu daripada mencintai antara kita hanya kerana luaran sahaja. Perasaan-perasaan ukhuwah ini merupakan yang paling bahaya apabila cinta itu mula berubah daripada mencintai kerana Allah kepada kecintaan kerana luaran seseorang sahaja. 

Ukhuwah Yang Benar 

Akhi fillah, antara tanda benarnya ukhuwah dan kecintaan kita kerana Allah adalah kita saling membantu sesama kita untuk mendekatkan diri kepada Allah. 

Oleh itu, hendaklah setiap daripada kita mengingatkan saudara kita kepada amal-amal kebaikan, membantunya dalam melaksanakannya, mencegahnya daripada melakukan kemungkaran dan membantunya dalam meninggalkan kemungkaran tersebut. 

Telah Kau Potong Leher Sahabat

Akhi fillamu h, sekiranya kau prihatin terhadapku dan menghendaki kebaikan untukku maka janganlah kau memujiku di hadapanku. Pujian itu menjadikan manusia mabuk dan berbangga dengan dirinya. 

Peliharalah kehormatanku dan janganlah kau mengumpatku atas apa-apa nama sekalipun seperti kerana maslahah atau selainnya. Panggillah aku dengan nama-nama yang aku sukai. Janganlah memberi gelaran kepadaku yang berbentuk cacian atau kejian. 

Penyakit Berita, Tukang Ceritanya 

Akhi fillah, janganlah kau bersangka-sangka kepadaku kerana ia adalah seburuk-buruk perkara. Jika dirimu tidak mampu menahan sangkaanmu, janganlah kau menyimpannya atau menceritakannya kepada sesiapa pun tetapi segeralah ceritakan kepadaku hingga aku terangkan perkara sebenar. 

Janganlah kau menjadikan telingamu sebagai sumber utama untuk mendapatkan sesuatu maklumat tetapi pastikanlah kebenaran sesuatu itu. Janganlah kau menjadikan kata-kata itu hanya disampaikan menggunakan lidah tanpa melalui akal terlebih dahulu. 

Yang Mulia, Yang Berkekalan Kekasihnya 

Akhi fillah, aku mungkin berbeza denganmu dalam satu pandangan tertentu, maka janganlah ditimbulkan rasa benci dalam dadamu terhadapku.

Perbezaan pandangan tidak bererti kemampuan seseorang itu dihina. Ia merupakan suatu realiti yang tidak dapat ditolak. Sememangnya perbezaan itu adalah satu tabiat dan kadang-kadang ia terpuji sekiranya menjadi sebab untuk menyampaikan kebenaran.

Sekiranya kita menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran antara manusia, maka wajiblah kita bermula dengan diri kita dahulu. Hendaklah kita saling menasihati dan biasakanlah diri kita dengannya supaya kita dapat ditarbiyah melaluinya. 

Taasublah kepada kebenaran dan janganlah taasub kepada individu meskipun dia adalah orang yang paling rapat denganmu kerana kebenaran itu hanya satu dan tidak berbilang-bilang. 

Apabila kau telah melakukan sesuatu kebaikan kepadaku, janganlah kau mengungkit-ungkit kebaikan tersebut kerana hal itu akan melukakan aku. Hendaklah setiap daripada kita memaafkan kesilapan orang lain dan menghalang diri daripada mencela kesilapan tersebut. 

Janganlah Menjauhi Daripadaku 

Akhi fillah, telah hadir kepadaku satu saat yang menyakitkan. Maka janganlah kau menjauhiku dan meninggalkanku meskipun kau lebih teruji daripadaku. Sungguh, aku sangat-sangat berhajat untuk berada denganmu pada saat itu.  

Wahai orang yang aku menjadi dekat kepada Allah dengan asbab cintanya, ingatkanlah aku kepada Allah apabila aku telah melupai-Nya. Ingatkanlah aku tentang kematian jika aku lalai tentangnya. Ingatkanlah aku kepada sunnah Rasulullah SAW apabila kau melihat aku telah jauh daripadanya. 

Wahai orang yang sentiasa aku nanti-nantikan untuk bertemu, janganlah kau lupakan diriku ketika waktu berjauhan dan kenangkan aku dalam doamu. Moga-moga Allah SWT menghimpunkan kita dalam syurga sepertimana Dia telah menghimpunkan hati-hati kita di dunia ini. 

Penutup 

Sesungguhnya aku telah menggarap wasiat ini dalam keadaan aku sangat berhajat kepadanya. Aku bermunajat kepada Allah agar menolong kita untuk membangunkan hak-hak ukhuwah, menerima ukhuwah tersebut, mengampunkan kita, menetapkan kita di atas jalan-Nya. Sungguh, Dia Maha Mendengar lagi Maha Menerima Doa. 

 

Disediakan oleh: Unit Biah Solehah, Unit Dakwah dan Tarbiah BKPJM sesi 2021/2022

Wednesday, April 13, 2022

[ TINTA PIMPINAN | PENGURUSAN MASA YANG BIJAK ]

 


TAJUK: PENGURUSAN MASA YANG BIJAK 

Semakin hari semakin dewasa,

Menyambut ia dengan bermacam rasa,

Berdepan Kita dengan pelbagai perkara,

Yang pasti semua itu terikat dengan masa, 

Jika celaru banyak kewajipan akan tertunda,

Bijaklah mengurus masa, ianya akan berjaya. 

Saranan Ibn Jauzi dalam sebuah kata-kata motivasinya yang masyhur : 

  " Hari-hari adalah lembaran baru untuk goresan amal perbuatan. Jadikanlah hari-hari mu sarat dengan amalan yang terbaik. Kesempatan itu akan segera lenyap secepat perjalanan awan, dan menunda-nunda pekerjaan tanda orang yang rugi dan barang siapa  bersampan kemalasan, ia akan tenggelam bersamanya."

 Sidang sahabat yang dirahmati Allah S.W.T ,

Masa itu adalah kehidupan, sebagai mahasiswa Islam perlulah kita bijak dalam menjayakan pengurusan masa yang berkesan agar kita mampu melakukan pelbagai perkara termasuklah melakukan aktiviti yang sihat untuk rohani dan jasmani. 

Terdapat 7 tanggungjawab kita sebagai mahasiswa Islam dalam menghargai masa :

1. Hak terhadap Allah dan Rasul

2. Hak terhadap ibu bapa

3. Hak terhadap akademik 

4. Hak terhadap jasmani

5. Hak terhadap masyarakat

6. Hak terhadap keluarga 

7. Hak terhadap perjuangan aktiviti yang diceburi

Sahabat  yang dimuliakan Allah S.W.T 

  Perlulah kita percaya bahawa kewajipan seharian kita  adalah lebih banyak daripada masa untuk kita manfaatkan dengan sebaiknya. Kewajipan kita sebagai mahasiswa bukanlan berpundak kepada satu perkara sahaja. Namun sering kita gagal dalam mengurus dan menjadi satu bebanan pada akhirnya.

Punca seseorang lemah dalam mengatur masa 

1. Sibuk kepada perkara sampingan

2. Letakkan amal ibadat yang sederhana 

3. Penuhi dengan perkara yang tidak berfaedah

4. Kumpul banyak perkara dalam satu masa 

5. Meyakini esok masih ada 

Punca-punca di atas inilah yang menyebabkan kita berada pada tahap lama dan tidak bertindak.

Teringat akan pesanan Imam Ghazali, 

" Kehidupan ini cuma tiga detik, sesaat yang berlalu tidak dapat kita ubah lagi, sesaat yang sedang dilalui ini manfaatkan sebaiknya dan sesaat yang akan datang belum pasti kita temui."

Oleh itu, kita perlu amalkan beberapa langkah dalam menjalankan  pengurusan masa yang efektif. 

Langkah dalam pengurusan masa yang efektif

1. Kenal pasti kekuatan dan kelemahan diri kita 

2. Perancangan jadual yang tersusun dan mengutamakan prioriti

3. Fokus pada matlamat yang jelas

4. Elakkan daripada terpedaya dengan perkara trivia (perkara-perkara kecil dan tidak penting)

5. Sentiasa muhasabah aktiviti seharian 

Ketahuilah sahabat, bahawa prestasi kehidupan seseorng bergantung kepada prestasi pengurusan masa kita seharian. Biasakanlah seharian kita dengan perkara-perkara yang membuahkan hasil. "At first you make habits, at last habits make you".

Firman Allah S.W.T :

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيم

 وَٱلْعَصْرِ

إِنَّ ٱلْإِنسَٰنَ لَفِى خُسر

إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّٰلِحَٰتِ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلْحَقِّ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلصَّبْرِ

Demi masa,

Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

Akhir kata, pengurusan masa perlulah dipandang serius oleh setiap individu. Hal ini kerana, ia boleh mendatangkan kesan yang negatif kepada diri seseorang. Marilah sama-sama kita mempratikkan kepentingan pengurusan masa agar kehidupan kita sebagai mahasiswa Islam lebih teratur dan dapat diharungi dengan mudah.

Bittaufiq wannajah sahabat fillah .

Sekian,

والله أعلم

Ustazah Nur Ayuni binti Mohd Zamri

Unit Sambutan dan Rehlah HEWI (Lajnah Kebudayaan, Kesenian dan Sukan HEWI) BKPJM 21/22


Thursday, March 31, 2022

[ PEMBAWAAN UBS KEDUA | INDAHNYA SOLAT BERJEMAAH ]

 


INDAHNYA SOLAT BERJEMAAH
  
• Dalil al-Quran: 
 
وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ الصَّلَاةَ فَلْتَقُمْ طَائِفَةٌ مِّنْهُم مَّعَكَ 
Maksudnya: Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak daripada mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu. (Surah al-Nisa: 102) 
 
Imam Ibrahim al-Bajuri menyebut bahawa dalil ini tuntutan ketika ketakutan (contoh: peperangan) maka lebih utama lagi dalam keadaan aman (Hasyiah al-Bajuri) 
 
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ
 
Maksudnya: Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk. (Surah al-Baqarah: 43) 
 
Syeikh Sa’id Hawwa menyebut bahawa maksud ayat ini ialah solat berjemah dan kebanyakan ulama menggunakan dalil ini ke atas kewajipan solat berjemaah (al-Asas Fi al-Tafsir) 
 
• Dalil Hadis: 
 
عن عبدالله بن عمر رضي الله عنهما أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: ((صلاةُ الجماعةِ أفضلُ مِن صلاةِ الفذِّ بِسبعٍ وعشرينَ درجةً)) (متفق عليه)
 
Maksudnya: Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersenderian sebanyak 27 darjat (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 
 
Ustaz Sofuan Soberi menyebut bahawa 27 darjat itu didapati pada mula-mula masuk pada solat jemaah itu hingga habis solat walaupun masbuq, cumanya 27 darjat bagi orang yang datang awal itu terlebih besar berbanding 27 darjat bagi orang yang datang lambat dalam solat jemaah. 
 
Ada riwayat kata 25 bahagian (juz’a). Maka Imam al-Nawawi menyebut bahawa sama ada 25 atau 27 bahagian adalah berdasarkan keadaan solat dan orang yang menunaikannya dan kesempurnaan solatnya serta sejauh mana dia menjaga solat secara berjemaah (Majmuk Syarh al-Muhazzab)
 
• Ta’rif Solat Berjemaah 
 
Bahasa: Golongan atau kumpulan (طائفة). 
Istilah: Satu ikatan solat makmum dengan solat imam (ربط صلاة المأموم بصلاة الإمام). 
  
• Hukum Solat Berjemaah 
 
1. Sunat Muakkadah –  Ini pendapat Imam Rafiie. Ataupun disebut sebagai Sunat Ain (dituntut atas tiap-tiap orang). Sunat Muakkadah ini maksudnya hampir-hampir jadi wajib.  
 
2.  Sunat Kifayah – Pekerjaan yang dituntut untuk dilaksanakan tetapi pekerjaan sunat itu memadai apabila seorang melakukannya maka pahala bagi yang membuat sahaja, tidak pada orang lain. 
 
3.  Fardhu Ain – Ini pendapat Imam Ahmad bin Hanbal. Wajib iaitu ada dua pendapat iaitu jika tidak berjemaah tidak sah dan tidak berjemaah sah tapi berdosa. Imam Ahmad mengambil hukum ini berdasarkan dalil bahawa Nabi SAW keinginan kuat untuk memerintahkan solat supaya diiqamatkan (berjemaah), lalu aku pergi ke rumah mereka yang tidak solat berjemaah kemudian aku akan bakar rumah-rumah mereka (ancaman Nabi SAW). 
 
Ulama mazhab Syafie berpendapat bahawa hadis ini tidak menjadi dalil hukum solat berjemaah Fardhu Ain kerana yang pertama adalah Rasulullah tidak mengotakan keinginan untuk membakar rumah-rumah mereka dan mereka yang meninggalkan solat berjemaah pada masa itu ialah mereka yang sangat jelas munafiq dan mereka sebenarnya tidak solat sama sekali. 
 
4. Fardhu Kifayah – Ini adalah pendapat yang asoh (terlebih sah) menurut Imam Nawawi dalam mazhab Syafie bagi lelaki yang baligh, merdeka, bermuqim dan dalam solat tunai sahaja. Yakni fardhu kifayah pada rakaat pertama sahaja, tidak wajib berjemaah pada setiap rakaat. Jika telah buat satu rakaat maka terlepas tuntutan fardhu kifayah. 
 
• Pensyariatan Solat Berjemaah 
 
Rasulullah SAW telah menetap di Mekah selama 13 tahun, di sepanjang tempoh itu baginda tidak solat berjemaah kerana para sahabat baginda masih dikuasai oleh kaum kafir Quraisy. Oleh itu, mereka menunaikan solat di rumah masing-masing. Setelah berhijrah ke Madinah, mereka telah mendirikan solat berjemaah dan berterusan memeliharanya. Melalui kesungguhan Rasulullah SAW dan para sahabat memelihara solat berjemaah inilah maka ulama’ secara ijma’ mengatakan solat berjemaah sememangnya disyariatkan (al-Mughni al-Muhtaj)

Ada yang mempersoalkan bagaimana dengan peristiwa solat yang telah didirikan oleh Rasulullah SAW bersama para sahabat keesokan hari selepas peristiwa al-Isra’ wa al-Mi’raj yang diimamkan oleh Jibril. Peristiwa kedua ialah Nabi SAW solat bersama Saidina Ali dan Saidatina Khadijah. Kedua-dua peristiwa ini berlaku di Mekah. Maka Ustaz Haidzir menjawab, yang dimaksudkan baginda tidak solat berjemaah sebelum hijrah ialah tidak melakukan solat berjemaah secara terang-terangan dan tidak berterusan melakukannya (Solat Berjemaah Serta Panduan Imam dan Makmum) 
 
• Nilai Solat Berjemaah di sisi Salaf al-Soleh 
 
- Mereka yang hidup sepanjang 3 kurun pertama yang dikenali sebagai generasi al-Salaf al-Soleh beranggapan bahawa tidak dapat menunaikan solat secara berjemaah itu adalah seperti ditimpa suatu musibah. 
 
- Suatu ketika, seorang lelaki pergi ke kebun kurmanya. Apabila dia pulang, didapatinya orang ramai sudah selesai menunaikan solat Asar berjemaah. Kemudian ia mengatakan (inna lillahi ila akhir), telah luput daripadaku solat berjemaah. Maka dengan itu bersaksikan kamu semua, sesungguhnya kebun kurma aku itu aku sedekahkan kepada fakir miskin. 
 
- Suatu ketika Saidina Abdullah bin Umar RA luput daripada solat Isyak berjemaah. Maka dengan itu, ia telah mengulangi solat Isyak sepanjang malam sehingga terbit fajar, bertujuan untuk menampung kekurangan pahala yang ia tidak perolehi akibat tertinggal solat berjemaah tadi. 
 
- Abdullah bin Umar al-Quwariri RA, beliau berkata, aku tidak pernah luput solat berjemaah. Pada suatu malam, aku didatangi tetamu, dan dengan sebab sibuk melayaninya, aku tidak dapat solat Isyak berjemaah di masjid. Kemudian aku pergi juga ke masjid untuk solat berjemaah tetapi setibanya aku di sana aku dapati masjid sudah berkunci. Kemudian aku pulang ke rumahku dengan perasaan sungguh sedih. Aku berkata kepada diriku, dalam Hadis Rasulullah SAW bersabda (solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat). Maka dengan itu, aku pun solat Isyak 27 kali. 
 
Kemudian, aku tidur. Dalam tidurku aku bermimpi, aku melihat diriku menunggang kuda bersama-sama orang kampung dan mereka berada di hadapanku. Aku memacu kudaku di belakang mereka, tetapi aku tidak dapat mengejar mereka. Salah seorang daripada mereka berpaling ke arahku dan berkata, engkau memenatkan kudamu, engkau tidak akan dapat mengejar kami. Aku bertanya, mengapa? Maka dia berkata, kerana kami solat Isyak berjemaah, sedangkan engkau solat bersendirian. Aku terus terjaga daripada tidur dengan perasaan sedih. 
 
- Sesetengah ulama salaf berpendapat bahawa seseorang itu tidak akan terluput daripada solat berjemaah melainkan kerana dosa-dosa yang telah dilakukannya. Pada umumnya masyarakat di zaman itu menganggap solat berjemaah adalah suatu yang amat penting dalam kehidupan mereka. Jika ada di antara mereka yang tidak dapat menunaikan solat secara berjemaah satu waktu, maka anggota masyarakat yang lain akan mengucapkan takziah kepadanya berlanjutan selama seminggu. Ada yang meriwayatkan, walaupun hanya terlewat satu rakaat sahaja. 
 
Mereka juga akan mengucapkan takziah selama 3 hari berturut-turut kepada sesiapa sahaja yang terlewat dan tidak mendapat takbiratul ula bersama imam. 
 
• Hikmah dan Kelebihan Solat Berjemaah 
 
1. Mendapat ganjaran besar dengan 27 darjat. 
 
2. Manusia mungkin saling berpecah dan dengki antara satu masa lain. Maka dengan wujudnya pertemuan melalui solat berjemaah akan menthabatkan hati-hati mereka daripada terus koyak akibat perpecahan dan menjaga hati mereka daripada kebencian dan hasad. Orang mukmin yang sejati itu bukan seperti orang munafik; orang mukmin menzahirkan solat berjemaah dan ibadah mereka dan berusaha untuk sentiasa ke masjid (Fiqh al-Manhaji) 
 
3.  Perkumpulan orang Islam itu menzahirkan keagungan syiar Islam agama Islam. Padanya ada syiar kesatuan, kekuatan dan hubungan yang baik dengan Allah dan agamanya (Taisir al-Fiqh al-Islam li al-Nasyiah)

4. Dilepaskan daripada api neraka dan selamat daripada sifat munafiq (al-Taqrirat al-Sadidah) 
 
5.  Diampunkan dosa (al-Taqrirat al-Sadidah) 
 
• Pengajaran 
 
1.  Solat berjemaah mendidik dan mentarbiyah umat Islam untuk hidup dalam sebuah jemaah dengan mematuhi adab-adab sebagai makmum (ahli) dan imam (pemimpin). 
 
2.  Tuan Guru Haji Zulkifli Ismail menyebut bahawa tidak akan tercapai kesatuan muslimin ini melainkan mereka semua beriltizam dalam jemaah muslimin dan pimpinan mereka. Yang dikehendaki dengan jemaah muslimin ini ialah orang-orang yang berpegang teguh dengan kebenaran daripada kalangan muslimin walaupun seorang (Risalatut Tahridh alal Jihad Fi Islahil Bilad wal Ibad) 
 
3.  Mengikat tali kesatuan umat Islam dan bersatu-hati dalam mencapai tujuan yang sama iaitu mendapatkan keredhaan Allah. 
 
Wallahu a’lam.

Disediakan oleh: Unit Biah Solehah, Unit Dakwah dan Tarbiah BKPJM 2021/2022

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...