Wednesday, September 12, 2018

APA BUKTI DIRIMU MUSLIMAH?


DISEDIAKAN OLEH: NURIZZAH SOFEA BINTI ISMAIL
TIMBALAN RESEARCH AND DEVELOPMENT, JABATAN FASILITATOR,
UNIT DAKWAH DAN TARBIAH, BKPJM 2017/ 2018

Muslimat kini menjadi penentu kepada keseimbangan perjuangan islam. Bahkan muslimat merupakan agen-agen utama dalam membentuk pelapis-pelapis pejuang agama Islam daripada peringkat yang terawal, sekaligus menunjukkan peranan muslimat amat penting.

Maka peranan muslimat tersebut mestilah dipastikan berlandaskan ilmu dan kefahaman yang jelas mengenai Islam dalam menceburi medan amal Islami. Kefahaman muslimat dalam memainkan peranannya dalam medan amal memerlukan keringat yang tidak kenal erti lemah dan lelah sebagai penyuluh generasi. Peranan muslimat agar tidak menjadi orang yang melampaui batasan dan terlalu tertutup sehingga kewujudan mereka dianggap bagaikan tiada.



Sejarah telah menunjukkan peranan muslimat yang cukup besar dalam kehidupan apatah lagi dalam bidang yang khusus melibatkan kewanitaan. Antaranya yang dapat dijadiakn contoh pada zaman Nabi sehingga kini iaitu Saidatina Aisyah RA, isteri Rasulullah S.A.W yang senantiasa menjadi salah seorang tempat rujukan para sahabat RA mengenai permasalahan-permasalahan yang melibatkan bidang kewanitaan. Bahkan para ulama’ ada menyebutkan ketika wafatnya Saidatina Aisyah RA, umat Islam kehilangan satu per empat ilmu. Beliau mendapat keistimewaan dalam sudut penerangan terutama ilmu-ilmu Islam. Selain itu tokoh muslimat moden iaitu Zainab al-Ghazali, beliau merupakan antara salah seorang penggerak muslimat di dalam gerakan Islam. Keringat tenaga, masa dan wang ringgitnya banyak dilaburkan menabur bakti dalam medan Islam.

Makanya di sini, muslimat perlu mencerna ideologi dalam memahami peranan wanita muslimah daripada pelbagai aspek realiti kehidupan dewasa kini. Apa yang dapat dinilai bila mana kaum wanita terpandu pada dua arah, iaitu :
1)      Ideologi yang cenderung ke arah mengongkong dan meyekat kebebasan wanita Islam.
Sehinggakan menutup keterbatasan ruang lingkup pergerakan wanita.
2)      Ideologi yang keterlaluan dalam membuka pintu kebebasan terhadap wanita sehingga menghalalkan segala tindakan mereka, mengadaptasikan budaya barat lantas terus tenggelam dalam arus taqlid (mengikut-ikut) dan ikutan membabi buta.

Menjadi seorang wanita sama ada akan menjadi seindah-indah perhiasan atau seburuk-buruk fitnah.
Realiti masa kini yang dapat dilihat bilamana kaum wanita terlalu berkeinginan untuk terkehadapan sehinggakan hilang batasan syariat, hilang arah panduan, hilang rasa malu dan menuntut hak sebelum menunaikannya. Hal ini amat terkesan bilamana pengaruh barat mengelolai seseorang wanita seperti apa yang terjadi pada realiti kini. Sebagai contoh golongan LGBT, tarian-tarian barat, hak kedudukan wanita yang ingin disamaratakan daripada segi kepimpinan dan sebagainya.
Perkara sebegini dapat dilihat kerana wanita barat memiliki tabiat, pegangan, nilai, dan adat serta persekitaran hidup yang berbeza. Begitu juga kita sebagai muslimat punya adat, nilai hidup, pegangan dasar, pendirian Islam yang teguh. Justeru, tidak wajar bagi wanita Islam yang tinggal di negara Islam menurut jejak langkah wanita Eropah.

Sebagaimana Firman ALLAH SWT  dalam surah An-Nur:31 :

"وقل للمؤمنات يغضضن من ابصرهن  ويحفظن فروجهن ولا يبدين زينتهن الا ما ظهر منها وليضربن بخمرهن على جيوبهن"
Maksudnya : “Dan katakanlah pada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripda memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju dengan tudung kepala mereka”.

Wanita menjadi elemen penting dalam Islam apabila martabat wanita diangkat setelah datangnya Islam dan membetulkan persepsi masyarakat yang pada asalnya wanita menjadi punca kemunduran sesebuah institusi. Bertitik tolak dalam hal ini dapat kita lihat kedudukan wanita terjamin disebabkan keadaanya sentiasa di bawah tanggungjawab lelaki dalam segenap situasi mengikut sistem hidup Islam dalam perlaksanaannya.

Maka cabaran muslimah hari ini ialah bagaimana mereka melengkapkan diri dengan kehendak-kehendak semasa, mengisi ruangan-ruangan yang penting dalam umat Islam di hari esok merupakan satu tanggungjawab besar yang mesti difikirkan. Hal ini kerana pihak barat mengeksploitasikan wanita dalam meruntuhkan tamadun Islam yang meninggikan martabat wanita itu sendiri. Islam sangat menuntut dalam mencerminkan keperibadian akhlak yang tinggi  dengan berpegang pada prinsip Islam berpaksikan kepada iman yang kuat dan pegangan agama yang kukuh. Tidak mustahil suatu hari muncul serikandi Islam bangkit mempertahankan agama biarpun dengan laungan takbir di medan juang ataupun bertemu Ilahi dengan tenang. Akhir kalam ‘janganlah impikan lelaki sehebat Rasulullah SAW jika dirimu tidak setulus seperti Khadijah RA’.


Thursday, September 6, 2018

HIKMAH PENGORBANAN, MEMUPUK KESATUAN



DISEDIAKAN OLEH : GHAZALI BIN AB KADIR
SETIAUSAHA SACRIFICE OF AIDILADHA (SOFWAH '18)

KAHERAH, 26 Ogos 2018 - Kemeriahan Sacrifice of Aidiladha (SOFWAH ’18) diserikan lagi dengan majlis rumah terbuka yang bertempat di Asrama Pelajar Johor, Hayyu Thamin. Majlis yang bermula pada jam 10 pagi itu dihadiri oleh para jemputan daripada wakil BKAN lain termasuk wakil daripada PERUBATAN dan Persatuan Mahasiswa Ulum Islamiah (PMUI) yang ada di Mesir ini. program kemudiannya disusuli dengan majlis perasmian penutup pada jam 2 petang dan dimulakan dengan ucapan pendahuluan daripada Ustaz Ahmad Lutfi bin Subahan selaku Pengarah SOFWAH '18. Beliau telah menerangkan serba sedikit perjalanan program yang telah dirancang dan dilaksanakan lebih kurang seminggu ini dan objektif yang ingin dicapai dalam program ini. Seterusnya, majlis penutup SOFWAH '18 ini telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Keluarga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir Ustaz Mohamad Bukhari Ridha bin Mohd Bakri yang juga merupakan taakhi Zon C.


Kehadiran tetamu dianggarkan seramai 500 orang dan berjaya mengumpulkan seluruh anak Johor yang berada di Mesir ini yang terdiri daripada pelbagai bidang pengajian. Ikatan ukhuwah ini diharapakan dapat berkekalan sehingga bila-bila. Tetamu juga tidak melepaskan peluang untuk menikmati juadah istimewa Nasi Biryani dan unta sweet sour sebagai santapan rumah terbuka.



Wednesday, September 5, 2018

PENGALAMAN ISTIMEWA BERSAMA BKPJM



DISEDIAKAN OLEH : GHAZALI BIN AB KADIR
SETIAUSAHA SACRIFICE OF AIDILADHA (SOFWAH '18)

KAHERAH, 23 & 24 Ogos 2018 - Majlis sembelihan dan melapah haiwan korban anjuran Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir sempena Sacrifice of Aidiladha dapat dilaksanakan dengan jayanya. Majlis yang telah berlangsung selama dua hari bertempat di Asrama Pelajar Johor Thamin dengan kehadiran kira-kira 80 orang anak-anak Johor daripada sekitar Kaherah.


Sebanyak 41 ekor kambing dan biri-biri serta seekor unta telah selamat dikorbankan hasil kerjasama semua anak-anak Johor sepanjang dua hari program berlangsung. Sebahagian haiwan-haiwan korban ini disumbangkan oleh rakyat Malaysia dan juga mahasiswa Johor yang berada di Mesir. Proses melapah daging telah dibuat di syaqah-syaqah dan sutuh Asrama Pelajar Johor Thamin. Pada sebelah petang pengagihan daging korban kepada rumah-rumah sewa anak Johor telah dapat diagihkan dengan baik. Selepas proses pengagihan daging korban selesai, pada sebelah malamnya pula anak-anak Johor dijamu dengan sup tulang istimewa. "Terima kasih kepada BKPJM kerana telah memberi pengalaman sebesar ini kepada kami mahasiswa Johor di Mesir."



Tuesday, September 4, 2018

KEMERIAHAN AIDILADHA DI MESIR



DISEDIAKAN OLEH : GHAZALI BIN AB KADIR
SETIAUSAHA SACRIFICE OF AIDILADHA (SOFWAH '18)

KAHERAH, 21 Ogos 2018 - Ahli BKPJM memenuhi ruangan dataran Hayyu Asyir bagi menunaikan solat sunat Aidiladha bersama mahasiswa Mesir dari pelbagai negeri yang telah dianjurkan oleh Majlis Gabungan Badan Kebajikan Anak Negeri.


Kemudian program disambung dengan Pengijazahan Hadis Musalsal berkaitan Hari Raya Aidiladha khusus untuk anak-anak Johor di Mesir yang telah disampaikan oleh Al'allamah Dr. Rif'at Fauzi bin Abdul Mutalib. Program tersebut berlangsung di Asrama Pelajar Johor Rabaah dan diadakan di Syaqah 2 atas faktor keuzuran Syeikh Rifaat.

Majlis diteruskan lagi dengan Perutusan Hari Raya Aidiladha yang telah disampaikan oleh Ustaz Norhalim bin Lokman selaku Yang di-Pertua BKPJM di Asrama Pelajar Johor Rabaah. Harapan daripada Yang di-Pertua BKPJM supaya kita selaku hamba untuk meningkatkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah S.W.T di bulan Zulhijjah ini.



Sunday, September 2, 2018

DAURAH FEQH KORBAN SEMPENA HARI RAYA AIDILADHA 1439 H



DISEDIAKAN OLEH : GHAZALI BIN AB KADIR

SETIAUSAHA SACRIFICE OF AIDILADHA (SOFWAH '18)

KAHERAH, 19 Ogos 2018 - Badan Kebajikan Pelajar- pelajar Johor di Mesir saban tahun menganjurkan program Sambutan Hari Raya Aidiladha dan pada tahun ini telah diberi nama Sacrifice Of Aidiladha (SOFWAH ’18) dengan bertemakan ‘Hikmah Pengorbanan Memupuk Kesatuan’. SOFWAH ’18 telah membuka tirai pada petang 19 Ogos 2018 dengan Daurah Feqh Korban yang telah dibentangkan oleh Ustaz Ahmad Izzat Irfan bin Izani bertempat di Dewan Asrama Pelajar Johor Rabaah, Kaherah.



Daurah yang bermula pada jam 3.30 petang hingga 8 malam itu telah mendapat sambutan yang amat positif dan juga kehadiran yang memberasangkan lebih-lebih lagi daripada adik-adik mahasiswa baru. Antara perkongsian daurah yang telah telah disampaikan di dalam pembentangan tersebut adalah berkaitan kaedah dan aturan penyembelihan. Selain itu, daurah ini juga diakhiri dengan tayangan video promo SOFWAH '18 yang dibuat oleh Eksekutif Promosi dan Teknikal.



Wednesday, August 29, 2018



DISEDIAKAN OLEH: HASNUL HAKIMI BIN HUSSEIN
KETUA UNIT BKPJM MULTIMEDIA CREW, LPP BKPJM 2017/ 2018


               Berdakwah itu bukan sesuatu yang sangat mudah untuk dilakukan malahan ia sangat sukar bahkan lebih sukar dari apa yang kita fikirkan.
“ Habis tu susah sangat ke ? “
  Eh, tak lah. Ia akan jadi mudah dengan bantuan-bantuan yang lain “.
  Apa bantuan tu ? “

  1.       Al-Quran
  2.     Hadis Nabawi
  3.       Niat ingin berdakwah
  4.       Suka membaca
  5.       Kreatif
  6.       Penyayang
  7.       Istiqamah/ berterusan 

AL-QURAN
Al-Quran itu tonggak utama dalam suatu dakwah kerana ia adalah petunjuk dan panduan hidup yang betul dan tepat. Sepertimana dalam Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Jin, ayat ke 2 :

“ Kitab ( Al-Quran ) yang memberi panduan ke jalan yang betul ........ “

Jadinya dakwah itu sangat memerlukan Al-Quran sebagai panduan untuk berdakwah atau untuk disebarkan pada umat yang kini semakin jauh dari ajaran Islam, ajaran agama Allah S.W.T.



HADIS NABAWI
 Hadis  juga merupakan tonggak utama yang kedua selepas Al-Quran kerana tanpa hadis maka hidup seseorang itu tidak akan lengkap. Al-Quran dan hadis wajib seiring kerana banyak ayat-ayat Al-Quran akan diterangkan oleh Rasulullah melalui hadisnya. Contohnya seperti ayat tentang solat. Allah berfirman dalam Al-Quran :

“ Dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat ........ “

Dirikanlah solat ? Bagaimana nak solat ? Apa rukun-rukunnya ? Jadi datangnya hadis sebagai tafsiran atas apa yang  diturunkan oleh Allah S.W.T.


NIAT INGIN BERDAKWAH
Hadis pertama dalam Susunan Hadis 40 Imam Nawawi ada menukilkan soal ‘ Niat ‘.

“ Sesungguhnya melakukan sesuatu amal itu dengan niat ........ “

Oleh sebab itu setiap kali kita ingin melakukan amal maka hendaklah dimulakan dengan niat kerana apabila kita niat untuk melakukan kebaikan maka kebaikan itu akan hadir tapi jika sebaliknya, kita niat untuk melakukan kejahatan maka kejahatan yang kita akan peroleh. Begitu juga dalam berdakwah, kita pasang niat untuk berdakwah dan menyebarkan ajaran Islam ini supaya hati kita bersih dan tahu akan tujuan hidup di muka bumi Allah ini.

SUKA MEMBACA
 Sikap suka membaca ini satu sikap atau satu amalan yang sangat baik untuk berdakwah. Kerana apa? Kerana membaca itu sumber ilmu. Apabila kita sudah ada ilmu malah dakwah kita jadi mudah dan boleh menyebarkan ajaran Allah S.W.T Wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah melalui Malaikat Jibril kepada Baginda Rasulullah S.A.W. ialah surah Al-Ala’ iaitu diawal ayat sudah menyatakan ‘ BACALAH ‘. Jadi dari ayat itu kita yakin bahawa sesungguhnya membaca itu sumber ilmu dan ditambah sedikit mesti seiring dengan pendengaran yang baik kerana mendengar sesuatu ilmu itu juga sangat penting dalam aspek dakwah terutamanya.

KREATIF
Sifat kretif juga perlu ada bagi seorang pendakwah kerana dakwah ini bukan sahaja seperti ‘pak ustaz’ yang duduk dihadapan memberi kuliah atau sebagainya. Malahan kita boleh menggunakan pelbagai alat-alat zaman moden ini untuk berdakwah. Contohnya dakwah melalui media massa. Ada juga yang berdakwah melalui lukisan. Ada juga yang berdakwah melalui penulisan dan ada juga melalui risalah-risalah ilmiah. Pelbagai lagi cara atau kreativiti seseorang pendakwah yang boleh ditunjukkan untuk agama Allah ini.

PENYAYANG
 Dakwahlah dengan rasa kasih saying. Terdapat satu kata-kata pujangga yang mengatakan ‘Cakaplah dengan hati ( kasih sayang ) maka akan jatuh ke hati’. Oleh sebab itu sifat penyayang juga merupakan satu sifat yang perlu dilakukan dalam berdakwah.

“ Bagaimana jika dia seorang yang bengis dan kuat marah ? “

Orang seperti ini tidak akan boleh menarik orang lain untuk bersama-sama dengannya dalam dakwah kerana tiada sifat kasih sayang. Jadi penulis sarankan buanglah ego kita dan belajarlah rasa kasih sayang tu. InsyaAllah ia akan melembutkan orang lain dan mengajak orang lain untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Sifat ini juga merupakan sifat Nabi Muhammad S.A.W. Ikutilah sifat beliau. Itu yang terbaik.


ISTIQAMAH / BERTERUSAN
Bila ditanya ‘ Sampai bila kau nak berdakwah?’ Jawapannyanya ialah sampai ajal menjemput. Oleh sebab itu, sebagai seorang pendakwah hendaklah sentiasa istiqamah dan sentiasa berterusan dalam dakwah kita hatta kematian buat kita hampir tiba. Tidak kisahlah berapa ramai insan yang diasbabkan kita mereka menerima Islam dan mendekatkan diri kepada-Nya. Yang penting kita perlu berterusan dalam dakwah untuk agama Islam ini.

Sepertimana istiqamahnya Nabi Nuh a.s. yang berdakwah selama 900 tahun dan pengikutnya hanya beberapa orang sahaja tapi beliau sangat tekun dan istiqamah dalam dakwah. Akhirnya tetapkan sifat istiqamah dalam diri. InsyaAllah dengan usaha kita itu akan membuah hasil yang sangat besar dan tidak ternilai bandingnya iaitu ganjaran dari Allah s.w.t. samada di dunia lagi mahupun di akhirat kelak.



-Waallahu ‘alam -

Saturday, July 28, 2018

Hisbah Menurut Perspektif Islam




DISEDIAKAN OLEH: USTAZAH NUR FATIHAH BINTI MUSLIMAN
UNIT SAMBUTAN DAN REHLAH HEWI BKPJM 2017/ 2018

HISBAH ialah menegakkan yang ma’ruf apabila ianya ditinggalkan secara terang-terangan dan mencegah kemungkaran apabila ianya dilakukan secara terang-terangan pula.
Ini membawa maksud bahawa sekiranya ditinggalkan atau dilakukan secara sembunyi maka bukan lagi tangungjawab hisbah, tetapi menjadi tangunggjawab para hakim apabila wujud pendakwaan yang melibatkan penyaksian dan keterangan.

Ramai orang menyangka bahawa walaupun melaksana tugas-tugas amar ma’ruf dan nahi mungkar diberikan ganjaran yang amat besar, tetapi mereka merasakan tidak menjadi kesalahan jika meninggalkan kerja-kerja tersebut. Malah mereka merasakan kejayaan hanya terhenti kepada usaha-usaha dan amal-amal berkaitan dengan perkara ibadat sahaja seperti solat, puasa, sedekah, haji dan lain-lain. Kesalahan dan keburukan orang lain tidak menjadi tangunggjawab mereka untuk membetulkannya.

Mereka seolah-olah telah lupa ataupun sengaja cuba melupakan bahawa tugas ini merupakan prasyarat kepada kejayaan di dunia dan di akhirat. Maka bersandarkan kepada perkara di atas ini, para ulama berpendapat bahawa kerja-kerja hisbah adalah suatu yang fardhu.

Agama itu nasihat.

Oleh itu, dalil yang mewajibkan perlaksanaan hisbah bersandarkan kepada :
  • ü  Arahan Allah dan RasulNya.
  • ü  Iman dan Hisbah merupakan dua perkara yang tidak boleh dipisahkan.
  • ü  Antara syarat mendapat kejayaan ialah melaksanakan kerja-kerja hisbah.
  • ü  Amaran keras dengan azab Allah disebabkan meninggalkan kerja-kerja hisbah.

Para ulama’ berselisih pendapat dalam menentukan status kefardhuannya sama ada fardhu ain ataupun fardhu kifayah, namun dalam suasana-suasana tertentu para ulama’ bersepakat mengatakan bahawa ianya boleh berubah menjadi fardhu ain. Antara suasana tersebut ialah :

  • ü  Apabila petugas atau pegawai dilantik oleh pihak berkuasa.
  • ü  Apabila kemampuan untuk melaksanakan tugas ini hanya terbatas kepada beberapa individu sahaja maka hisbah itu menjadi fardhu ain ke atas mereka.
  • ü  Apabila berlaku perubahan situasi di mana bilangan para da’ie berkurangan dan ditambah pula dengan kemungkaran berluluasa serta kejahilan menguasai keadaan, maka ketika itu hisbah menjadi fardhu ain.

Firman Allah Taala :

ولتكن منكم امة يدعون الى الخير ويامرون بالمعروف وينهون عن المنكر واولئك هم المفلحون

Maksudnya : Dan hendaklah ada diantara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan(mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
(Surah Ali Imran : 104)

Umat Islam kini semakin lemah kerana semakin meninggalkan ajaran Islam dan jauh daripada cara hidup muslim yang sebenar sebagaimana golongan terdahulu yang disebut sebagai as-Sabiqun iaitu mereka yang mengikut petunjuk dan panduan al-Quran.

Umat Islam kini juga didorong dengan penyakit wahn (cintakan dunia) sehingga terlupa akan kampung akhirat yang kekal abadi akibat jahil dengan panduan wahyu sebagai cara hidup Islam yang syumul (lemgkap).



Akidah asas perjuangan.

Kesimpulannya, umat Islam perlu mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap isu di sekitar mereka. Tugas amar ma’ruf nahi mungkar merupakan tuntutan yang lebih utama dalam Islam berbanding tuntutan-tuntutan yang lain. Tuntutan ini menggalakkan mahasiswa agar sentiasa memperbaiki diri dalam seluruh aspek kehiudupan dan bereterusan dalam mengajak yang lain kepada kefahaman Islam yang syumul.


Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...