Wednesday, September 12, 2018

APA BUKTI DIRIMU MUSLIMAH?


DISEDIAKAN OLEH: NURIZZAH SOFEA BINTI ISMAIL
TIMBALAN RESEARCH AND DEVELOPMENT, JABATAN FASILITATOR,
UNIT DAKWAH DAN TARBIAH, BKPJM 2017/ 2018

Muslimat kini menjadi penentu kepada keseimbangan perjuangan islam. Bahkan muslimat merupakan agen-agen utama dalam membentuk pelapis-pelapis pejuang agama Islam daripada peringkat yang terawal, sekaligus menunjukkan peranan muslimat amat penting.

Maka peranan muslimat tersebut mestilah dipastikan berlandaskan ilmu dan kefahaman yang jelas mengenai Islam dalam menceburi medan amal Islami. Kefahaman muslimat dalam memainkan peranannya dalam medan amal memerlukan keringat yang tidak kenal erti lemah dan lelah sebagai penyuluh generasi. Peranan muslimat agar tidak menjadi orang yang melampaui batasan dan terlalu tertutup sehingga kewujudan mereka dianggap bagaikan tiada.



Sejarah telah menunjukkan peranan muslimat yang cukup besar dalam kehidupan apatah lagi dalam bidang yang khusus melibatkan kewanitaan. Antaranya yang dapat dijadiakn contoh pada zaman Nabi sehingga kini iaitu Saidatina Aisyah RA, isteri Rasulullah S.A.W yang senantiasa menjadi salah seorang tempat rujukan para sahabat RA mengenai permasalahan-permasalahan yang melibatkan bidang kewanitaan. Bahkan para ulama’ ada menyebutkan ketika wafatnya Saidatina Aisyah RA, umat Islam kehilangan satu per empat ilmu. Beliau mendapat keistimewaan dalam sudut penerangan terutama ilmu-ilmu Islam. Selain itu tokoh muslimat moden iaitu Zainab al-Ghazali, beliau merupakan antara salah seorang penggerak muslimat di dalam gerakan Islam. Keringat tenaga, masa dan wang ringgitnya banyak dilaburkan menabur bakti dalam medan Islam.

Makanya di sini, muslimat perlu mencerna ideologi dalam memahami peranan wanita muslimah daripada pelbagai aspek realiti kehidupan dewasa kini. Apa yang dapat dinilai bila mana kaum wanita terpandu pada dua arah, iaitu :
1)      Ideologi yang cenderung ke arah mengongkong dan meyekat kebebasan wanita Islam.
Sehinggakan menutup keterbatasan ruang lingkup pergerakan wanita.
2)      Ideologi yang keterlaluan dalam membuka pintu kebebasan terhadap wanita sehingga menghalalkan segala tindakan mereka, mengadaptasikan budaya barat lantas terus tenggelam dalam arus taqlid (mengikut-ikut) dan ikutan membabi buta.

Menjadi seorang wanita sama ada akan menjadi seindah-indah perhiasan atau seburuk-buruk fitnah.
Realiti masa kini yang dapat dilihat bilamana kaum wanita terlalu berkeinginan untuk terkehadapan sehinggakan hilang batasan syariat, hilang arah panduan, hilang rasa malu dan menuntut hak sebelum menunaikannya. Hal ini amat terkesan bilamana pengaruh barat mengelolai seseorang wanita seperti apa yang terjadi pada realiti kini. Sebagai contoh golongan LGBT, tarian-tarian barat, hak kedudukan wanita yang ingin disamaratakan daripada segi kepimpinan dan sebagainya.
Perkara sebegini dapat dilihat kerana wanita barat memiliki tabiat, pegangan, nilai, dan adat serta persekitaran hidup yang berbeza. Begitu juga kita sebagai muslimat punya adat, nilai hidup, pegangan dasar, pendirian Islam yang teguh. Justeru, tidak wajar bagi wanita Islam yang tinggal di negara Islam menurut jejak langkah wanita Eropah.

Sebagaimana Firman ALLAH SWT  dalam surah An-Nur:31 :

"وقل للمؤمنات يغضضن من ابصرهن  ويحفظن فروجهن ولا يبدين زينتهن الا ما ظهر منها وليضربن بخمرهن على جيوبهن"
Maksudnya : “Dan katakanlah pada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripda memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju dengan tudung kepala mereka”.

Wanita menjadi elemen penting dalam Islam apabila martabat wanita diangkat setelah datangnya Islam dan membetulkan persepsi masyarakat yang pada asalnya wanita menjadi punca kemunduran sesebuah institusi. Bertitik tolak dalam hal ini dapat kita lihat kedudukan wanita terjamin disebabkan keadaanya sentiasa di bawah tanggungjawab lelaki dalam segenap situasi mengikut sistem hidup Islam dalam perlaksanaannya.

Maka cabaran muslimah hari ini ialah bagaimana mereka melengkapkan diri dengan kehendak-kehendak semasa, mengisi ruangan-ruangan yang penting dalam umat Islam di hari esok merupakan satu tanggungjawab besar yang mesti difikirkan. Hal ini kerana pihak barat mengeksploitasikan wanita dalam meruntuhkan tamadun Islam yang meninggikan martabat wanita itu sendiri. Islam sangat menuntut dalam mencerminkan keperibadian akhlak yang tinggi  dengan berpegang pada prinsip Islam berpaksikan kepada iman yang kuat dan pegangan agama yang kukuh. Tidak mustahil suatu hari muncul serikandi Islam bangkit mempertahankan agama biarpun dengan laungan takbir di medan juang ataupun bertemu Ilahi dengan tenang. Akhir kalam ‘janganlah impikan lelaki sehebat Rasulullah SAW jika dirimu tidak setulus seperti Khadijah RA’.


No comments:

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...