Friday, January 29, 2016

PENGISYTIHARAN | BKPJM Mengembalikan Semula Hak Pejabat Rasmi BKPJM



[ Kenyataan Rasmi YDP BKPJM]
PENGISYTIHARAN : BKPJM MENGEMBALIKAN SEMULA HAK PEJABAT RASMI BKPJM KE ASRAMA PELAJAR JOHOR HAYYU THAMIN.

الحمد لله رب العالمين الصلاة والسلام على أشرف الانبيأ والمرسلين وعلى اله وصحبه اجمعين.

Saya Muhammad Ariff Bin Haron, YDP BKPJM 2015/2016 dengan ini mengisytiharkan BKPJM akan mengembalikan hak Pejabat Rasmi BKPJM ke Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin (APJ8) sebagaimana berikut :

Tarikh : 29 Januari 2016
Hari : Jumaat
Masa : 3 Petang

Keputusan ini diputuskan sebulat suara oleh Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) BKPJM setelah beberapa sesi perbincangan dan juga berdasarkan kepada perbincangan rundingan bersama TYT Duta Besar Malaysia ke Republik Arab Mesir yang diadakan pada hari semalam 28 Januari 2016.

Hasil perbincangan rundingan tersebut adalah seperti berikut :
  1. Pihak kedutaan mengambil sikap berkecuali dan menyerahkan kepada pihak BKPJM dan Pegawai Atase Pendidikan Negeri Johor untuk berbincang terus dengan pihak kerajaan negeri. Pihak kedutaan sedia untuk mengadakan pertemuan rundingan atas dasar BKPJM sebagai sebuah persatuan yang bernaung dengan pihak kedutaan. Oleh itu, penghargaan dan terima kasih saya ucapkan terutama kepada TYT Dato' Ku Jaafar Bin Ku Shaari, Duta Besar Malaysia ke Republik Arab Mesir.
  2. Kebanyakan pegawai bersetuju agar En. Khairi Bin Jalalluddin selaku Pegawai Atase Pendidikan Negeri Johor membayar semula ganti rugi kepada BKPJM terhadap tindakan yang telah dibuat.
  3. Kaunselor keselamatan kedutaan, ACP Tuan Taufik menyatakan untuk tidak melibatkan pihak ketiga iaitu pihak keselamatan Mesir.
  4. Pihak BKPJM menyatakan pendirian yang BKPJM komited untuk mengembalikan hak Pejabat Rasmi BKPJM ke APJ8.
Oleh itu, pihak BKPJM telah bersepakat untuk mengambil tindakan sebagaimana berikut :
  1. Mengembalikan semula Pejabat Rasmi BKPJM ke APJ8 dan kembali beroperasi semula seperti sedia kala.
  2. Dalam masa yang sama, pihak BKPJM akan berunding terus dengan pihak Kerajaan Negeri Johor Darul Takzim bagi menyelesaikan kemelut isu yang berlaku.
Di sini suka untuk saya tegaskan bahawa BKPJM MEMPUNYAI HAK ke atas APJ8. Kita ada bukti terhadap kenyataan ini dan bersedia untuk dikemukakan kepada pihak kerajaan negeri dalam rundingan yang akan diadakan kelak. Maka setelah pelbagai pertimbangan dibuat, terhasilnya keputusan seperti yang dinyatakan di atas.

Dalam kesempatan ini saya menyeru kepada semua ahli BKPJM dan seluruh anak-anak Johor untuk bersama BKPJM dalam menjayakan keputusan di atas. Saya juga mengharapkan kepada semua untuk hadir ke Majlis Penerangan Isu BKPJM yang akan diadakan pada malam ini 29 Januari 2016 pada jam 6.30 malam bertempat di APJ8 selepas proses pemindahan selesai dijalankan.

Pihak BKPJM sentiasa komited dalam membina hubungan diplomasi dan hubungan baik di antara pihak berwajib seperti pihak pegawai dan kedutaan. BKPJM akan berusaha sedaya upaya dalam mempertahankan hak BKPJM demi kelangsungan persatuan yang kita cintai ini. Maka di sini saya menyeru sekali lagi kepada semua untuk bersama-sama dalam mempertahankan hak ini.
Besar harapan saya buat semua agar sentiasa memberikan sokongan, dorongan dan doa yang berterusan agar kelangsungan persatuan ini dapat diteruskan sehingga ke generasi seterusnya. Dinasihatkan juga kepada semua untuk menunjukkan akhlak yang mulia, beradab terhadap semua pihak dan sentiasa memberi kepercayaan penuh kepada keputusan pimpinan.
Semoga keputusan ini dipandu oleh ALLAH SWT dan didoakan semoga ALLAH SWT sentiasa memelihara dan merahmati BKPJM dalam meneruskan kebajikan dan perpaduan serta mengharap sokongan terus dari semua pihak.

Sekian, terima kasih.

Muhammad Ariff bin Haron
Yang DiPertua,
Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir 2015/2016

Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan
Keilmuwan Memangkin Kesatuan Islam
Kebajikan dan Perpaduan

Monday, January 25, 2016

KRONOLOGI | Pejabat BKPJM di Pecah Masuk oleh Pihak Yang Tidak Bertanggungjawab




KRONOLOGI SEJARAH HITAM “PECAH MASUK PEJABAT BKPJM” OLEH PIHAK YANG TIDAK BERTANGGUNGJAWAB.


18 November 2015 (RABU)
  • YDP bersama SUA Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) bertemu En. Khairi Bin Jalalluddin bagi membincangkan beberapa masalah yang berlaku di kalangan anak Johor.
  • Di akhir pertemuan, En. Khairi Bin Jalalluddin memberi memo berkaitan arahan pengosongan pejabat BKPJM di Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin (APJ8) dan Kedai Al-Jauhar di Asrama Pelajar Johor Rabaah (APJ4). Memo tersebut dikeluarkan TANPA sebarang perbincangan diantara kedua-dua pihak.
  • En. Khairi Bin Jalalluddin menyebarkan memo tersebut kepada umum melalui media.


21 November 2015 (SABTU)
  • Rentetan memo yang tersebar, YDP BKPJM mengeluarkan kenyataan bagi menerangkan isu yang berlaku.
  • YDP BKPJM menyatakan bahawa memo yang di keluarkan oleh pihak pegawai tidak mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak. Hal ini kerana TIADA sebarang perbincangan lumat diadakan sehingga menatijahkan keputusan sebagaimana yang tertulis dalam memo tersebut.


23 November 2015 (ISNIN)

  • BKPJM sekali lagi mengadakan pertemuan bersama Pegawai Atase Pendidikan Negeri Johor yang diwakili oleh YDP, SUA dan Mantan YDP BKPJM sesi 2014/2015.
  • Pertemuan diadakan bagi menghantar surat bantahan dan membincangkan semula masalah berkaitan memo yang dikeluarkan.
  • Namun TIADA sebarang keputusan yang dicapai melalui pertemuan tersebut.


27 November 2015 (JUMAAT)

  • Penerangan isu Johor di Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) Selangor.


3 Disember 2015 (KHAMIS)

  • Penerangan isu Johor di BKAN Kelantan dan BKAN Perak.


21 Disember 2015 (ISNIN)

  • Penerangan isu Johor di BKAN Terengganu.


NOTA : Sepanjang tempoh ini, pihak BKPJM tidak menerima sebarang maklum balas mahupun panggilan perbincangan berkaitan memo tersebut. Oleh itu, AJKT BKPJM bersepakat untuk terus mempertahankan hak Pejabat Rasmi BKPJM di APJ8 berdasarkan sejarah serta bukti kewujudan BKPJM menguruskan APJ dan kebajikan anak-anak Johor di Mesir yang telah bertapak sejak tahun 1970 di bumi Mesir ini. Hal ini mendapat sokongan dan dokongan ramai yang terdiri dari pelbagai pihak.


18 Januari 2016 (ISNIN)

Sekitar Jam 9.00 - 11.00 pagi

  • Pejabat Rasmi BKPJM yang bertempat di APJ8 telah dipecah masuk oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
  • Kesemua aset dan barang hak milik BKPJM telah dipunggah keluar daripada pejabat rasmi dan dihantar ke APJ4 tanpa sebarang pemakluman kepada YDP BKPJM.

12.30 pagi

  • Seorang penghuni APJ8 memaklumkan kejadian tersebut kepada salah seorang AJKT BKPJM.
  • Setelah mendapat makluman, AJKT tersebut segera memaklumkan perkara berkenaan kepada YDP BKPJM dan terus bergerak menuju ke tempat kejadian.
  • Malangnya ketika tiba disana, proses pengeluaran aset milik BKPJM telah pun selesai dan pintu dewan APJ8 telah ditutup dan dikunci oleh pihak Pegawai Atase Pendidikan Negeri Johor.
  • Kesemua aset tersebut dipindahkan dan diletakkan di luar APJ4 oleh pihak yang tidak bertanggungjawab berkenaan.
  • Pada masa yang sama, setelah menerima laporan kejadian berkenaan, Penasihat BKPJM, Ustaz Mohd Helmi bin Nor Isham berusaha menghubungi Encik Khairi Bin Jalaluddin setelah panggilan daripada YDP BKPJM tidak dijawab. Panggilan tersebut dijawab dan Encik Khairi mengakui bahawa beliau bertanggungjawab mengarahkan tindakan tersebut.

1.00 petang

  • Orang ramai yang terdiri daripada para pendokong dan penyokong BKPJM mula bergerak dan memenuhi ruang APJ4 bagi melihat sendiri dan mendapatkan maklumat berkaitan kejadian yang berlaku.

1.30 petang

  • Wakil  BKPJM segera menemui Penolong Pegawai Atase Pendidikan Negeri Johor, Ustaz Adam Bin Ibrahim bagi mendapatkan penjelasan berkenaan kejadian.
  • Beliau meminta agar perkara ini dirujuk terus kepada Encik Khairi Bin Jalalluddin.
  • Setelah gagal mendapatkan penjelasan, wakil BKPJM memohon kebenaran daripada Ustaz Adam Bin Ibrahim untuk meletakkan aset-aset BKPJM berkenaan di dalam APJ4. Alhamdulillah, permohonan tersebut diluluskan oleh Ustaz Adam Bin Ibrahim.
  • Setelah dikenal pasti, terdapat beberapa kerosakan pada aset milik BKPJM selepas proses perpindahan yang dilakukan oleh warga Arab yang diupah. Malah terdapat juga beberapa aset BKPJM yang hilang.

3.00 petang

  • Orang ramai telah memenuhi perkarangan APJ4.
  • Pimpinan BKPJM telah mengumpulkan semua hadirin yang hadir bagi memaklumkan kejadian berkenaan dan meminta agar semua ahli bertenang dan memberikan kepercayaan penuh kepada pimpinan BKPJM bagi menyelesaikan isu yang berlaku.

3.51 petang

  • Kenyataan YDP BKPJM dikeluarkan bagi memaklumkan kejadian yang berlaku dan menyeru ahli untuk bertenang serta menyerahkan kepercayaan kepada pimpinan BKPJM bagi menyelesaikan masalah yang berlaku.
  • YDP BKPJM juga meminta ahli untuk bersama bermunajat bagi memohon bantuan daripada Allah S.W.T.

5.30 malam    

  • BKPJM telah mengadakan Munajat Perdana dan penerangan isu pecah masuk pejabat BKPJM kepada mahasiswa/wi Malaysia di bumi Mesir. Majlis ini diadakan di APJ4.
  • YDP BKPJM masih gagal menghubungi En. Khairi Bin Jalalluddin bagi mendapatkan penjelasan.
  • BKPJM berjaya mengumpulkan sebanyak 288 tandatangan hadirin yang hadir menyatakan bantahan terhadap tindakan En. Khairi Bin Jalalluddin semasa majlis penerangan isu tersebut.


19 JANUARI 2016 (SELASA)

9.00 pagi

  • BKPJM merupakan badan yang bernaung di bawah Kedutaan Besar Malaysia Ke Republik Arab Mesir. Oleh itu, Setiausaha Agung BKPJM, Ustaz Ahmad Helmi Bin Subhan menghubungi TYT Duta untuk membuat aduan serta melaporkan permasalahan yang berlaku.
  • SUA BKPJM juga memohon untuk membuat perjumpaan pada 20 atau 21 Januari 2016 bersama TYT Duta bagi membincangkan perkara yang telah berlaku.
  • Namun permohonan tersebut gagal, kerana TYT Duta terlibat dengan urusan lain pada tarikh tersebut.

2.30 petang

  • YDP BKPJM sekali lagi menghubungi TYT Duta bagi menyatakan hasrat untuk mengadakan pertemuan agar masalah ini dapat di selesaikan secepat mungkin.
  • TYT Duta bersetuju untuk mengadakan pertemuan, akan tetapi YDP di minta untuk menghubungi ASP Hashim bagi menetapkan tarikh.

5.30 malam

  • Munajat BKPJM di teruskan lagi bagi hari yang kedua (Solat Sunat Hajat, bacaan Hizib Bahar dan bacaan Yassin).

6.00 malam

  • ASP Hashim menghubungi YDP BKPJM dan memaklumkan bahawa Encik Khairi Bin Jalalluddin akan memulangkan peti besi dan aset BKPJM yang diambil.
  • ASP Hashim juga memaklumkan bahawa TYT Duta bersedia untuk bertemu dengan pihak BKPJM.

8.00 malam

  • YDP BKPJM bersama penasihat  BKPJM, Ustaz Mohd Helmi bin Nor Isham dan beberapa AJKT BKPJM bergerak ke APJ8 untuk bertemu dengan En. Khairi Bin Jalaluddin bagi mendapatkan semula peti besi serta aset BKPJM yang diambil.

9.00 malam

  • Dalam pertemuan tersebut, YDP BKPJM dan penasihat BKPJM cuba mendapatkan penjelasan daripada En. Khairi Bin Jalalluddin tetapi gagal. Sebaliknya beliau hanya berdiam diri dan menyatakan bahawa sebarang penjelasan akan diberikan semasa pertemuan bersama TYT Duta.
  • Peti besi dan barang-barang yang di simpan di Pejabat Atase Pendidkan Negeri Johor di APJ8  dikembalikan semula kepada BKPJM dan terus dibawa pulang ke APJ4.


20 JANUARI 2016 (RABU)

Jam 8.13 pagi

  • BKPJM melancarkan “Kempen Munajat Selamatkan BKPJM” melalui Ustaz Fathurrahman bin Mohd Saleh selaku Ketua Unit Dakwah dan Tarbiah BKPJM.

2.23 petang

  • BKPJM mengeluarkan “Kenyataan Kerugian BKPJM Akibat Salah Laku Pihak Yang Tidak Bertanggungjawab” melalui Bendahari BKPJM, Ustaz Muhammad Syaker Naim Bin Aris.
  • Taksiran awal kerugian BKPJM dianggarkan sekitar LE 3000.
  • BKPJM juga menyeru kepada pihak berkenaan agar bertanggungjawab.

5.30 malam

  • “Kempen Munajat Selamatkan BKPJM” diteruskan lagi bagi hari yang ke 3.
  • Jumlah kehadiran kempen munajat BKPJM di tahap memberansangkan yang masih di jalankan di APJ4.

8.58 malam

  • YDP BKPJM menghubungi ASP Hashim bagi menetapkan tarikh dan waktu pertemuan dengan TYT Duta.
  • Tarikh yang dicadangkan adalah pada 26 atau 27 Januari 2016.

11.33 malam

  • Kenyataan ke dua daripada YDP BKPJM dikeluarkan.
  • Isi kandungan kenyataan :

  1. Menasihati semua agar tidak bertindak melulu dan menjaga adab serta tatasusila selaku mahasiswa Islam.
  2. Makluman kepada semua berkenaan pertemuan YDP BKPJM bersama En. Khairi Bin Jalalluddin bagi mendapatkan semula aset BKPJM yang diambil.
  3. Makluman kepada ahli berkaitan kerjasama baik pihak kedutaan bagi menyelesaikan masalah ini. BKPJM juga mengharapkan tindakan segera dan professional oleh pihak kedutaan.
  4. Penghargaan buat semua penyokong dan pendokong BKPJM yang bersama bersatu memelihara kesatuan ini.

21 Januari 2016 (KHAMIS)

5.30 malam

  • “Kempen Munajat Selamatkan BKPJM” diteruskan lagi bagi hari yang ke 4.
  • Jumlah kehadiran program munajat BKPJM di tahap memberansangkan yang masih di jalankan di APJ4.

8.06 malam

  • ASP Hashim memaklumkan perubahan tarikh pertemuan TYT Duta bersama BKPJM kepada 28 Januari 2016.

22 Januari 2016 (JUMAAT)

5.30 malam

  • “Kempen Munajat Selamatkan BKPJM” diteruskan lagi bagi hari yang ke 5.
  • Jumlah kehadiran kempen munajat BKPJM di tahap memberansangkan yang masih di jalankan di APJ4 di sertai dengan sahabat dari pelbagai negeri.

23 Januari 2016 (SABTU)

5.30 malam

  • “Kempen Munajat Selamatkan BKPJM” diteruskan lagi bagi hari yang ke 6.
  • Jumlah kehadiran kempen munajat BKPJM di tahap memberansangkan yang masih di jalankan di APJ4 di sertai dengan sahabat dari pelbagai negeri.

24 Januari 2016 (AHAD)

2.57 petang

  • YDP BKPJM menghubungi ASP Hashim bagi mendapatkan butiran pertemuan bersama TYT Duta.
  • ASP Hashim memaklumkan butiran pertemuan tersebut iaitu pada 28 Januari 2016 jam 2.40 petang bertempat di Bangunan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah.

5.30 malam

  • “Kempen Munajat Selamatkan BKPJM” diteruskan lagi bagi hari yang ke 7.
  • Jumlah kehadiran kempen munajat BKPJM di tahap memberansangkan yang masih di jalankan di APJ4 di sertai dengan sahabat dari pelbagai negeri.


Disediakan Oleh :

Lajnah Penerangan & Penerbitan
Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir 15/16.

Saturday, January 23, 2016

Ziarah Wakil AJKT ke Shoubra

Ziarah Wakil AJKT ke Shoubra yang diwakili oleh :
  1. Timbalan Yang DiPertua BKPJM, Ustaz Muhd Nur Syaza bin Mohd Jamal
  2. Setiausaha Agung BKPJM, Ustaz Ahmad Helmi bin Subahan ke Shoubra.





Thursday, January 21, 2016

Susulan Isu Pecah masuk Pejabat Rasmi BKPJM


( Kenyataan Rasmi YDP BKPJM )
SUSULAN ISU PECAH MASUK PEJABAT RASMI BKPJM.


Assalamualaikum wbt.
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين، وعلى آله وأصحابه
أجمعين.
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
(وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ ِ* وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ)

Ertinya : Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!" Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.
[Surah Fussilat : 33 & 34]

Rentetan daripada isu pecah masuk pejabat rasmi BKPJM yang berlaku pada 18 Januari yang lepas, saya selaku Yang DiPertua Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Di Mesir sekali lagi menasihati agar semua ahli BKPJM khususnya dan amnya buat semua mahasiswa/wi Malaysia di Mesir untuk bertenang dan sabar dengan situasi yang berlaku ini. Saya juga menasihati agar tidak bertindak melulu, menjaga adab dan tatasusila sebagai mahasiswa/wi Islam dalam apa jua tindakan mahupun perkataan. Berikan sepenuh kepercayaan kepada kami pimpinan BKPJM dalam menangani isu ini dengan sebaik mungkin. Teruskan berdoa, bermunajat dan meletakkan pergantungan hanya kepada Allah SWT agar BKPJM terus berada di dalam pemeliharaanNya.

Untuk makluman semua, Alhamdulillah semalam 19 Januari 2016 pihak BKPJM berjaya untuk bertemu Encik Khairi bin Jalaluddin dalam menuntut semula beberapa aset BKPJM yang telah diambil. Dalam pertemuan tersebut, BKPJM mendapat semula semua aset yang diambil. Namun begitu, pihak kami gagal dalam mendapatkan sebarang penjelasan terhadap tindakan yang telah dilakukan sebaliknya hanya dijanjikan akan diberi penjelasan semasa pertemuan rundingan bersama TYT Duta Besar Malaysia ke Republik Arab Mesir.

Pihak BKPJM juga telah berhubung dengan pihak kedutaan dan kini sedang berusaha dalam mengatur pertemuan pada sekitar tarikh 26 atau 27 Januari 2016. Oleh itu, terima kasih diucapkan kepada pihak TYT Duta Besar Malaysia yang memberikan kerjasama baik dalam membantu menyelesaikan permasalahan yang berlaku. Besar harapan kami agar dapat mempercepatkan rundingan isu ini bersama pihak kedutaan dan mengharapkan pihak kedutaan dapat mengambil tindakan yang selayaknya dan bertindak profesional dalam menyelesaikan permasalahan yang berlaku.Pihak BKPJM sentiasa membuka ruang untuk berunding kepada pihak-pihak yang berwajib.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan buat semua pendokong dan penyokong BKPJM dalam sama-sama memelihara kesatuan yang sangat kita cintai ini. Akhir kalam, sukacita ditegaskan kepada semua bahawa BKPJM akan terus dan sentiasa komited dalam mempertahankan hak pejabat BKPJM di Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin. Semoga ALLAH SWT terus memelihara kesatuan BKPJM ini sebagai badan yang berkebajikan dan menjaga perpaduan serta mengharapkan segala sokongan dan dokongan daripada semua. Sekian, terima kasih.

"Kebajikan dan Perpaduan"

Muhammad Ariff Bin Haron
Yang DiPertua,
Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Di Mesir sesi 15/16



Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan
Keilmuan Memangkin Kesatuan Islam
Kebajikan dan Perpaduan

‪#Setia‬BersamamuBKPJM
‪#‎BKPJM‬KeluargaKita

Wednesday, January 20, 2016

KERUGIAN BKPJM | Akibat Salah Laku Pihak Yang Tidak Bertanggungjawab




[ Kenyataan Rasmi Bendahari (Lajnah Ekonomi) BKPJM ]

Assalamualaikum wbt.

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين، وعلى آله وأصحابه
أجمعين.

Seperti sedia maklum, pada 18 Januari 2016 lalu, tercalit satu peristiwa bersejarah kepada Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM). Sejarah hitam, yang mana Pejabat Rasmi BKPJM telah dipecah masuk oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan segala barang dan aset BKPJM dibawa keluar dari Pejabat Rasmi BKPJM tanpa pengetahuan YDP BKPJM.Kejadian yang tidak dijangka ini menyebabkan telah berlakunya kerugian yang besar terhadap BKPJM.

Taksiran awal kerugian yang dialami adalah seperti berikut :

Aset yang rosak :
1. Sebuah kipas berdiri
2. Bingkai gambar carta organisasi BKPJM
3. Meja
4. Pintu pejabat
5. Dan lain-lain kerosakan.

Berdasarkan taksiran awal tersebut, jumlah kerugian yang dialami adalah dianggarkan sekitar LE 3000. Pihak BKPJM dengan ini melahirkan rasa kesal dan menuntut kepada pihak berkenaan untuk bertanggungjawab terhadap kerugian yang berlaku.

Semoga ALLAH SWT terus memelihara kesatuan BKPJM ini sebagai badan yang berkebajikan dan menjaga perpaduan serta mengharapkan segala sokongan dan dokongan daripada semua. Sekian, terima kasih.

Disediakan oleh :
Muhammad Shaker Naim Bin Aris.
Bendahari BKPJM 2015/2016

Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan
Keilmuan Memangkin Kesatuan Islam
Kebajikan dan Perpaduan

KEMPEN MUNAJAT SELAMATKAN BKPJM



Saya selaku Ketua Unit Dakwah dan Tarbiah BKPJM 15/16 menyeru kepada seluruh mahasiswa/wi di Mesir khusus untuk anak-anak Johor dan umum untuk semua Badan Kebajikan Anak Negeri bagi sama-sama kita bermunajat pada Allah selama 40 hari dan mendoakan supaya Allah pelihara kesatuan BKPJM yang akan dilaksanakan di Asrama Pelajar Johor dan di rumah-rumah sewa


Fathurrahman bin Mohd Saleh,
Ketua Unit Dakwah dan Tarbiah BKPJM 15/16
BKPJM KELUARGA KITA!
Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan
Keilmuan Memangkin Kesatuan Islam
Kebajikan dan Perpaduan

Monday, January 18, 2016

KENYATAAN RASMI YANG DIPERTUA BADAN KEBAJIKAN PELAJAR-PELAJAR JOHOR DI MESIR



[KENYATAAN RASMI YANG DIPERTUA BADAN KEBAJIKAN PELAJAR-PELAJAR JOHOR DI MESIR]
Assalamualaikum wbt.
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين، وعلى آله وأصحابه أجمعين.
Hari ini, 18 Januari 2016 merupakan hari bersejarah kepada Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM). Hari sejarah hitam, yang mana Pejabat Rasmi BKPJM telah dipecah masuk oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan segala barang dan aset BKPJM dibawa keluar dari Pejabat Rasmi BKPJM.
Saya selaku Yang DiPertua (YDP) BKPJM, meminta kepada seluruh ahli untuk bertenang terhadap apa yang telah berlaku pada hari ini. Diminta juga pada semua ahli untuk tidak melakukan sebarang tindakan peribadi sebelum arahan YDP dikeluarkan.
Saya juga meminta kepada seluruh ahli untuk memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Barisan Pimpinan BKPJM untuk menyelesaikan masalah yang telah berlaku ini.
In shaa Allah, pada malam ini diminta kepada seluruh ahli untuk mengadakan Solat Sunat Hajat dan Bacaan Hizib Bahr agar urusan Barisan Pimpinan dipermudahkan dan agar situasi ini dipermudahkan dan di beri bantuan oleh Allah Ta'ala.
Sekian sahaja daripada saya dan terima kasih kepada semua ahli yang sentiasa bersama dengan kesatuan induk Anak Johor di Mesir ini.
Muhammad Ariff bin Haron
Yang DiPertua,
Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir,
sesi 2015/2016
:: Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan ::
:: Keilmuan Memangkin Kesatuan Islam ::
:: Kebajikan dan Perpaduan ::

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...