Monday, February 26, 2018

HUBB '18 MENYATUKAN ANAK-ANAK JOHOR DI MESIR



DISEDIAKAN OLEH : NUR SYUADAH BINTI MOHD SALLEH
SETIAUSAHA HARI UKHUWAH JOHOR (HUBB '18)

RABAAH, 13 FEBUARI 2018 – Majlis Penutup Hari Ukhuwah Johor (HUBB ’18) telah berlangsung di Asrama Pelajar Johor Rabaah dengan jayanya. Program dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Ustaz Muhamad Syafiq bin Abd Rashid selaku Pengarah HUBB '18 seterusnya dirasmikan oleh Yang di-Pertua Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) 17/18, Ustaz Norhalim bin Lokman.


Majlis Penutup HUBB '18 meriah dengan kehadiran yang ramai.
   
   Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian hadiah bagi setiap acara yang dipertandingkan. Pasukan Umar (biru) serta pasukan Nusaibah (merah) telah berjaya merangkul gelaran juara bagi keseluruhan acara yang dipertandingan sepanjang HUBB '18 berlangsung.


   Kemeriahan majlis diteruskan lagi dengan slot taaruf pengantin bagi pasangan mempelai Ustaz Ahmad Helmi bin Subahan dan pasangannya Ustazah Farah Atiqah binti Abdul Manan.

   Seterusnya, tetamu diraikan dengan persembahan nasyid daripada kumpulan al-Wadi yang dijemput khas oleh pelaksana program pada kali ini. Majlis diakhiri dengan tayangan video program dan sesi fotografi.


al-Wadi masih berbisa.

Tayangan video menggamit memori setiap anak-anak Johor di Mesir.



   Semoga dengan penganjuran Hari Ukhuwah Johor (HUBB ’18) pada kali ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara anak-anak Johor di Perlembahan Nil seterusnya beroleh keredaan serta keberkatan daripada Allah S.W.T.


Friday, February 23, 2018

ACARA ILMIAH MELATIH BAKAT TERPENDAM



DISEDIAKAN OLEH : NUR SYUADAH BINTI MOHD SALLEH
SETIAUSAHA HARI UKHUWAH JOHOR (HUBB '18)

KAHERAH, 12 FEBUARI 2018 – Acara ilmiah yang telah dijalankan pada hari ketiga Hari Ukhuwah Johor (HUBB '18) menyaksikan pertarungan yang begitu sengit antara semua pasukan baik dalam acara kuiz, bahas Bahasa Melayu ala parlimen, pentomen, busana muslimah mahu pun kalam jama'ie. Kesemua acara ini dijalankan di Asrama Pelajar Johor.

   Menurut penganjur, acara ilmiah ini bukan sahaja disertai oleh mahasiswa dan mahasiswi pengajian Islam malah turut disertai oleh pelajar sains kesihatan dan ini merupakan satu medan bagi mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan anak-anak Johor.

   “Setiap pasukan mempunyai kreativiti dan kemahiran tersendiri dan HUBB '18 ini merupakan gelanggang bagi mereka mengaplikasikannya”, kata saudara Muhammad Hajid bin Mohd Azhar, salah seorang peserta pentomen HUBB '18.



    Hari Ukhuwah Johor (HUBB '18) diserikan lagi dengan majlis akad nikah yang menyatukan kedua mempelai yang merupakan anak Johor, Ustaz Ahmad Helmi bin Subahan dan pasangannya Ustazah Farah Atiqah binti Abdul Manan. Acara akad nikah  yang berlangsung selepas solat Isyak bertempat di Dewan Kutub Sittah, Asrama Pelajar Johor Rabaah disempurnakan lagi dengan kehadiran keluarga pengantin dari Malaysia serta anak-anak Johor.

INDOOR GAME, SATU PERSAINGAN SIHAT


DISEDIAKAN OLEH : NUR SYUADAH BINTI MOHD SALLEH
SETIAUSAHA HARI UKHUWAH JOHOR (HUBB '18) BKPJM 2017/2018

MADINAT NASR, 11 FEBRUARI 2018 – Konsep yang diketengahkan dalam Hari Ukhuwah Johor (HUBB '18) yang dianjurkan oleh Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) 17/18 pada tahun ini dibahagikan kepada beberapa tema iaitu outdoor game, indoor game dan ilmiah.

   Antara acara yang dipertandingkan dalam indoor game pada hari kedua HUBB '18 ialah sepak takraw, ping pong, carrom, dart serta PES dan pasukan Umar telah berjaya meraih markah tertinggi sekali gus menewaskan pasukan lain.

   
   Bagi peringkat mahasiswi pula, acara yang dipertandingkan ialah sukan memanah, explorace, acara cuba teka, rebut kerusi serta masak atas angin dan kesemua pasukan telah menunjukkan kesungguhan dan semangat kesukanan yang tinggi.

   Program diakhiri dengan slot bual bicara bertajuk “Our Reality Our Responsibility” yang telah berlangsung di Asrama Pelajar Johor di Rabaah dan di Hayyu Thamin dengan menampilkan pengisi daripada mahasiswa dan mahasiswi Johor sendiri.


Thursday, February 22, 2018

PEMBUKAAN HUBB '18 DISAMBUT MERIAH



DISEDIAKAN OLEH : NUR SYUADAH BINTI MOHD SALLEH
SETIAUSAHA HARI UKHUWAH JOHOR (HUBB '18) BKPJM 2017/2018

KAHERAH, 10 FEBUARI 2018 – “Family Is The One", tema yang diketengahkan oleh Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) 17/18 bersempena program Hari Ukhuwah Johor (HUBB '18) merupakan antara inisiatif bagi menyatukan anak-anak Johor sekaligus meraikan walimatul urus mereka. Program ini berlangsung selama empat hari dan dijalankan secara berasingan di Nadi Syabab, Musallas bagi mahasiswa dan Nadi Syabab, Hayyu Sadis bagi mahasiswi.

Sebanyak empat pasukan telah dibahagikan dengan setiap pasukan daripada kalangan mahasiswa dan mahasiswi bagi merebut tempat dalam pelbagai acara yang dipertandingkan khususnya bagi acara Piala YDP (Futsal) dan Piala Ketua Hewi (Bola Jaring). Piala Yang di-Pertua telah berjaya dimenangi oleh kumpulan Abu Bakar (merah) manakala pasukan Safiyyah (hijau) telah berjaya memenangi Piala Ketua Hewi.


Program diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada semua pemenang. HUBB '18 benar-benar mendapat sambutan yang menggalakkan daripada anak-anak Johor termasuk dari luar muhafazah yang turut hadir bagi menjayakan objektif HUBB '18.




Monday, February 5, 2018

ISLAM DI AKHIR ZAMAN


DISEDIAKAN OLEH : AMALINA SYAHIRAH BINTI HAMIDUN
UNIT PENGETAHUAN DAN BIMBINGAN HEWI BKPJM 2017/2018

Allah Azza wa Jalla berfirman :

(( الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ))

“… Pada hari ini telah Aku sempurnakan untukmu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redha Islam sebagai agama bagimu …”
 [ Al-Maa-idah:3 ]

Semakin hari dunia semakin tenat. Saban hari dunia semakin dipenuhi dengan penderitaan, kezaliman, permusuhan, kerakusan dan pelbagai bencana alam yang melanda silih berganti. Semua ini angkara tangan–tangan dan akhlak manusia. Janganlah kita menuding jari menyalahkan takdir dan fenomena alam semulajadi atas apa yang telah berlaku.

Mengimbau kembali sejarah yang telah berlaku pada zaman jahiliah, kesyirikan yang melanda masyarakat arab berfaktorkan kepercayaan dan kebudayaan yang jauh daripada nilai-nilai islam; saling menyerangi antara satu sama lain, wanita berhias ketika keluar rumah untuk menzahirkan kecantikannya di khalayak ajnabi, suka berfoya-foya dan sebagainya.

Kemudian, datanglah cahaya Islam memberi sinar baru. Masyarakat Mekah mula memeluk islam secara beransur-ansur.

Tetapi, lihatlah pada hari ini. Apakah yang telah berlaku? Cahaya islam semakin hari semakin menghilang. Ramai dalam kalangan umat manusia yang ditimpa penyakit yang sudah dikhabarkan oleh Baginda Nabi S.A.W. Hal ini seperti yang telah direkodkan di dalam sebuah hadis yang berbunyi :


عَنْ اَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ يَقُوْلُ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ: سَيُصِيْبُ أُمَّتِي دَاءُ اْلأُمَمِ فَقَالُوْا : يَا رَسُوْلَ اللهِ وَمَا دَاءُ اْلأُمَمِ قَالَ : اَلْأَشَروَاْلبَطَرُ وَالتَّكَاثُرُ وَالتَّنَاجُشُ فِي الدُّنْيَا وَالتَّبَاغُضُ وَالتَّحَاسُدُ حَتَّى يَكُوْنَ اْلبَغْىُ
(
رواه الحاكم) 
Maksud: Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a berkata: "Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu.”
Sahabat bertanya: “Apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu?” Nabi Muhammad S.A.W menjawab:
“Penyakit-penyakit itu adalah terlalu banyak berseronok, terlalu bermewah, menghimpunkan harta sebanyak mungkin, tipu menipu dalam usaha merebut harta benda dunia, saling memarahi, hasut menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi antara satu sama lain.
 ( Hadis riwayat : al-Hakim )

Penyakit-penyakit yang disebutkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis tersebut bukanlah satu perkara yang baru kerana penyakit ini telah banyak menjangkiti masyarakat Islam pada hari ini. Bahangnya sudah mula dirasai sejak zaman dahulu lagi. Apabila manusia menolak sistem hidup yang disyariatkan dalam Islam lantas mengambil dan memilih sistem hidup rekaan manusia, maka inilah padahnya.

Islam dipisahkan daripada kehidupan sebenar. Islam hanya pada ibadah semata-mata. Syariat yang dibawa dikatakan kuno dan tidak sesuai dilaksanakan mengikut peredaran zaman bahkan ada yang alergi dengan islam sehinggakan kita pada hari ini didoktrinkan dengan islamophobia, merasakan Islam itu lapuk dan tidak maju.

Saidina Umar bin al-Khattab R.A berkata:
Kita adalah umat yang dipilih oleh Allah S.W.T untuk dimuliakan dengan islam, maka jika kita mencari kemuliaan dengan yang lain, Allah akan memberikan kehinaan kepada kita.

Sebuah kisah:

AHAD, AHAD, AHAD… Itulah sebutan yang tidak lekang daripada mulut si hamba berkulit hitam walaupun dia diseksa dengan begitu teruk oleh tuannya sendiri; Umaiyah bin Khalaf. Bilal bin Rabbah al-Habsyi dari Ethiphio yang dijemur di tengah panas terik, ditimpa batu di atas dadanya dan disebat dengan rotan, tetap tidak berganjak imannya hatta walaupun beliau diseret mengelilingi pergunungan Mekah. Deritanya berakhir apabila Abu Bakar al-Siddiq r.a membelinya dan memerdekakannya.
          
Renungilah kisah para sahabat yang mengharungi segala perit pedih penderitaan namun iman mereka tetap tidak berganjak dan dan kekal utuh walaupun diseksa dengan sedemikan rupa.

Bayangkanlah jika kita berada di tempat mereka, adakah kita tetap mempertahankan Islam? Atau adakah Islam itu sekadar berada di Kad Pengenalan?

Memetik satu kalam daripada ustaz Hassan al-Hudaibi, beliau berkata:
Tegakkan daulah islam di dalam diri kamu, nescaya ia akan tertegak di sekeliling kamu.

Tuntasnya, islam hendaklah dijadikan panduan dalam semua aspek kehidupan individu. Hinanya sebuah kaum mahupun tamadun apabila ia mula meminggirkan dan mengabaikan pengajaran Islam. Realiti pasca kini, mereka yang tegas dan cekal dengan membawa sistem-sistem Islam dikatakan syadid, dipulaukan susuk tubuh dan kata-kata mereka walaupun pada hakikatnya, sudah termaktub di dalam al-Quran bahawa ajaran Islam itu sesuai untuk diamalkan sepanjang zaman.

              Moga sejarah lalu menjadi pengajaran dan mengukuhkan iltizam kita untuk meletakkan Islam sebagai tunjang utama dalam setiap aspek kehidupan.

Friday, February 2, 2018

SENARAI CADANGAN KITAB SEMPENA PESTA BUKU ANTARABANGSA MESIR 2018


Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir di bawah Unit Maktabah, Unit Kebajikan dan Kemanusiaan BKPJM 2017/2018 telah menyediakan senarai cadangan kitab untuk dibeli sempena Pesta Buku Antarabangsa Mesir yang sedang berlangsung pada 27 Januari sehingga 10 Februari 2018.

Sila muat turun link pdf senarai cadangan kitab :
Senarai Kitab Rujukan Bagi Semua Peringkat

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...