Saturday, May 1, 2021

KESAN PUASA TERHADAP PSIKOLOGI DAN TUBUH BADAN

 


بسم الله الرحمن الرحيم، الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن تبعه ونصره ومن والاه.

ربنا زدنا علما وارزقنا فهما وحكما. أما بعد.

 

قال تعالى: ((يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ))

 

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! diwajibkan keatas kamu berpuasa sepertimana yang telah diwajibkan keatas umat-umat terdahulu sebelum daripada kamu, moga-moga kamu bertaqwa.” [ Surah al-Baqarah: 183 ]

 

Pensyariatan berpuasa di bulan Ramadan keatas umat islam, membuka benak fikiran dan minda umat manusia bahawa ianya bukanlah suatu amalan yang sia-sia. Bagi umat islam, setiap ketetapan daripada Allah SWT itu pasti ada hikmah disebaliknya. Begitulah juga dengan ibadah puasa.

 

Perkara ini juga disedari oleh para sahabat Nabi SAW, buktinya sahabat Nabi SAW, yang bernama al-Harith bin Kaladah r.a. (wafat 635 M) pernah berkata:

 

المعدة بيت الداء، والحمية رأس الدواء

 

Maksudnya: “Perut adalah tempat berkumpulnya penyakit. Berdiet adalah ibu segala penawar.”

 

Puasa di bulan Ramadan merupakan satu fasa pemulihan yang mana Allah SWT ciptakan khusus buat umat Islam, demi untuk memastikan perut atau sistem penghadaman berada dalam keadaan sihat serta jauh daripada penyakit. Setelah selama 11 bulan kita mengisi perut dengan makanan dan air, yang mana mengandungi bahan-bahan yang tidak sihat dan berisiko mengundang penyakit.

 

Malah, lebih memburukkan keadaan lagi, bilamana ada segelintir daripada kita yang mengambil dengan kuantiti yang berlebihan yang mana akan mengakibatkan komposisi perut menjadi tidak stabil. Maka, dengan berpuasa, kita dapat mengembalikan kestabilan komposisi perut. Selain, merehatkan sistem penghadaman yang selama ini tidak pernah berhenti bekerja, menerima dan memproses makanan bagi membekalkan tenaga kepada kita.

 

Adapun, kesan berpuasa terhadap psikologi dan tubuh badan ini telah lama dikaji oleh sarjana Islam dan bukan Islam. Buktinya, pada tahun 1994, Kongres Antarabangsa berhubung Kesihatan dan Puasa telah diadakan di Casablanca, Maghribi. Sebanyak 50 kertas kerja dibentangkan dan semuanya bersetuju amalan berpuasa di bulan Ramadan sama sekali tidak memudaratkan. Malahan, lebih mengejutkan lagi, amalan ini mampu mencegah dan menyembuhkan pelbagai penyakit.

 

Kesan Puasa Terhadap Psikologi dan Tubuh Badan:

 

1. Dari aspek psikologi, manusia terdiri daripada empat komponen utama iaitu fizikal, emosi, kognitif (proses pembelajaran) dan spiritual (rohani). Jika kita perhatikan, sebenarnya ibadah puasa akan melatih fizikal, emosi, kognitif dan spiritual dalam melakukan transformasi ke arah amal kebaikan yang dituntut oleh Islam. Secara tidak langsung, mendidik umat Islam supaya menghayati konsep Hablun Min Allah (menjaga hubungan dengan Allah SWT) dan Hablun Minannas (menjaga hubungan sesama manusia). Kesannya, puasa akan mendidik jiwa insan untuk memperbanyakkan sedekah yang mampu menyucikan jiwa daripada sifat mazmumah dalam masa yang sama menerap sifat rendah diri terhadap orang lain.

 

2. Dari sudut lain, puasa dapat memberi ketenangan dan kedamaian kepada minda. Perkara ini dipercayai terjadi disebabkan kandungan paras gula dalam darah yang stabil. Berpuasa juga akan meningkatkan keupayaan memori, Dr. Alan Cott, seorang pakar perubatan Amerika Syarikat telah melakukan penyelidikan psikologi yang mana membuktikan bahawa puasa mempengaruhi tahap kecerdasan seseorang.

 

Ujian tersebut dilakukan terhadap sekumpulan yang rajin berpuasa dan tidak berpuasa. Hasilnya, orang berpuasa memperoleh skor markah yang lebih tinggi berbanding mereka yang tidak berpuasa. Hal ini kerana, ketika perut dan usus melakukan proses pencernaan, otak tidak dapat dapat berfungsi dengan baik dan pengaliran darah hanya tertumpu kepada proses penghadaman makanan. Sebab itulah, bilamana keadaan kita kenyang, otak kita akan mulai lemah untuk berfikir, tubuh mula rasa mengantuk dan malas. Berbeza keadaan ketika berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu hanya kepada otak. Natijahnya, otak dapat berfungsi dengan baik dan tubuh badan dapat melaksanakan aktiviti yang melibatkan mental dan fizikal dengan sempurna.

 

3. Menurut kajian yang dilakukan oleh pakar perubatan Amerika Syarikat iaitu Dr. Bernarr Macfadden (1868-1955), beliau menyatakan bahawa amalan puasa dapat menghilangkan dan menyembuhkan racun yang ada dalam tubuh badan. Physical Culture daripada Ensiklopedia, Macfadden berkata:

 

“Berpuasa adalah bentuk rawatan paling berkesan untuk mengatasi pathologic (penyakit fizikal dan mental) yang berpunca daripada kebiasaan penggunaan racun. Berpuasa memberi peluang kepada badan untuk menyesuaikan semula kepada keadaan normal dan juga menyingkirkan segera racun-racun yang berada di dalam sistem. Lagi pula, Drug Fiend (orang yang obses dengan penggunaan dadah) kebiasaannya tiada selera makan dan dengan berpuasa akan membaik-pulih semula keadaan Alimentary Canal (terusan makanan) kepada normal dalam masa yang singkat. Malah, minda akan bersih dan mendapat kekuatan. Ia juga menyedari bahawa dirinya akan mendapat kekuatan moral dan kuat keazaman untuk melawan tabiatnya.”

 

Kenyataan beliau dipetik daripada Encyclopedia of Physical Culture. Beliau juga, bersama-sama Dr. Felix Oswald (1845-1960) menerbitkan buku berkaitan puasa iaitu “Fasting Hydropathy Exercise”.

 

4. Di samping itu, ibadah puasa juga mampu menyihatkan tubuh badan dan mencegah penyakit. Hal ini dibuktikan oleh seorang professor dari Rusia yang bernama Professor Yuri Serge Nikolaev (1905-1998). Beliau merupakan pengarah Fasting Treatment Unit of Moscow Psychiatric Institute. Beliau berkata:

 

“Setiap orang perlu berpuasa selama empat minggu dalam setahun untuk terus kekal sihat sepanjang hayatnya.”

 

Tidak terhenti disitu, ibadah puasa juga mampu mencegah dan merawat penyakit. Perkara ini dibuktikan oleh Dr. Soliman pengkaji terkemuka dari Universiti Hospital di Amman, Jordan. Beliau membuat penyelidikan mengenai puasa Ramadan dari aspek kesihatan dan beliau telah melakukan uji kaji terhadap 42 lelaki dan 26 wanita Islam yang sedang berpuasa.

 

Hasil kajiannya mendapati bahawa puasa memberi kesan positif terhadap metabolisma tubuh badan dan mencegah daripada serangan pelbagai penyakit khususnya gejala lebihan gula dan lemak. Turut juga membuat kajian yang sama, Dr. F Azizi bersama rakannya dari Universiti Sains Perubatan Tehran, Iran dan hasil ujiannya sama sepertimana yang ditemui oleh Dr. Soliman.

 

Maka, tepatlah apa yang dikatakan oleh Aleix Carrel (1873-1944), penerima anugerah nobel perubatan dan fisiologi pada tahun 1912, beliau menyatakan dalam bukunya “Man The Unknown”:

 

“Banyaknya bahan makanan akan menghentikan sebuah fungsi yang memainkan peranan penting dalam kelangsungan manusia. Fungsi tersebut adalah fungsi adaptasi tehadap makanan yang sedikit. Oleh itu, manusia perlu mencari masa untuk berpuasa.”

 

Tambah beliau lagi: “Penyakit yang paling banyak disembuhkan dengan puasa ialah gangguan pencernaan. Puasa boleh memberi kesan positif terhadap sistem pencernaan. Begitu juga puasa boleh memberi kesan positif kepada darah, dan penyakit tulang seperti penyakit otot atau radang sendi seperti rhematik (rheumatic).”

 

Justeru, tidak dinafikan amalan berpuasa merupakan satu kaedah alternatif dalam mencegah penyakit hatta bapa ilmu perubatan moden, Ibnu Sina sendiri menjadikan puasa sebagai salah satu kaedah dalam merawat penyakit tertentu dengan meminta pesakit tersebut berpuasa selama tiga minggu.

 

5. Kesan-kesan positif amalan berpuasa tidak terhenti sampai disitu sahaja, bahkan lebih lagi. Antara kesan puasa yang sangat terkait rapat dengan situasi kita pada hari ini yang dilanda wabak Covid-19 ialah amalan berpuasa dapat meningkatkan sistem imuniti tubuh badan manusia dalam melawan penyakit dan virus. Sabda Nabi SAW:

 

الصيام جنة

 

Maksudnya: “Puasa itu adalah perisai.” (Hadis Riwayat Bukhari)

 

Dr. Abdul Jawwad as-Sowi, pakar perubatan Arab Saudi, beliau mengaitkan hadis ini dengan hikmah berpuasa secara saintifik yang mampu meningkatkan imuniti tubuh badan secara semula jadi. Malah, terdapat juga kajian yang dibuat oleh Universiti of Southern California pada 2014 menyatakan bahawa berpuasa selama beberapa jam sehari akan meningkatkan sistem imuniti tubuh badan manusia dengan penghasilan sel-sel hematopoietic stem cells (stem hematopoietik). Professor Valter Longo, Pakar Sains Biologi mengulas kajian ini dengan mengatakan:

 

"Apabila anda kelaparan, sistem ini berusaha menjimatkan tenaga, dan salah satu perkara yang dapat dilakukannya untuk menjimatkan tenaga adalah mengitar semula banyak sel imun yang tidak diperlukan, terutama yang mungkin rosak"

 

Jelaslah disini bahawa amalan berpuasa memainkan peranan penting dalam meningkatkan sistem imuniti tubuh badan manusia. Selain dengan memperbanyakkan amalan ibadah yang berbentuk kerohanian ketika berpuasa, akan memberikan ketenangan jiwa dan membantu sistem imuniti badan lebih aktif dalam melawan penyakit dan virus.

 

Kesimpulannya, pensyariatan puasa ini merupakan satu anugerah daripada Allah SWT kepada umat Islam. Lebih menguntungkan lagi, mereka yang menjalani ibadah ini dengan penuh keimanan dan pengharapan sepertimana sabda Nabi SAW:

 

من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

 

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Sebenarnya, terdapat banyak lagi kesan-kesan positif amalan berpuasa dari aspek kesihatan, emosi dan psikologi. Nabi Muhammad SAW sendiri telah menyebut:

 

صوموا تصحوا

 

Maksudnya: “Berpuasalah, nascaya kamu akan sihat.” (Hadis riwayat Tabrani)

 

Semoga di bulan yang mulia ini, kita dapat menghayati ibadah puasa dengan penuh keikhlasan dan pengharapan kepada Allah SWT. Lebih-lebih lagi, sekarang ini kita berada dalam situasi tersebarnya wabak Covid-19. Mungkin dengan asbab tersebarnya wabak ini, Allah SWT ingin memberi peluang kepada kita supaya bermusabah terhadap dosa-dosa yang lalu. Bersamalah kita memperbaiki diri kearah kebaikan dan sentiasa menyebarkan manfaat kepada umat manusia tanpa mengira kaum, bangsa dan warna kulit. Moga-moga kita beroleh reda-Nya. Selamat berpuasa dan selamat kembali kepada fitrah.

 

هذا وبالله التوفيق والهداية، وآخر دعوانا أن الحمدلله رب العالمين سبحانك اللهم بحمدك، أشهد أن لا إله إلا  أنت، وأستغفرك وأتوب إليك. وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم.

 

 Disediakan oleh: Wan Naseerul Nazhan bin Wan Razali

 

Rujukan:

 

1) Al-Quran dan terjemahan.

 

2) Muhammad b. Ismail al-Bukhari (256 H), Sohih Bukhari.

 

3) Muslim b. Al-Hajjaj (261 H), Sohih Muslim.

 

4) Akmal Haji Kamaruddin, Bacalah Wahai Teman (3), Faedah Puasa Antara Syariat dan Sains.

 

https://m.facebook.com/154446448068883/photos/a.235333239980203/1475223249324523/?type=3&source=57&__tn__=EH-R

 

5) Nazlinda binti Ismail, Kelebihan Berpuasa Dari Sudut Psikologi.

 

https://docs.jpa.gov.my/docs/pelbagai/Artikel/2014/KELEBIHAN_BERPUASA_DARI_SUDUT_PSIKOLOGI.pdf

 

6) Jabatan Mufti Kedah, Hikmah Puasa Dari Segi Kesihatan.

 

https://mufti.kedah.gov.my/index.php/10-tinta-ilmiah/8-hikmah-puasa-dari-segi-kesihatan

 

7) Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Pakar Akui Kelebihan Puasa Kepada Jasad Manusia.

 

https://harakahdaily.net/index.php/2021/04/21/pakar-akui-kelebihan-puasa-kepada-jasad-manusia/

 

No comments:

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...